Monday, October 19, 2009

PIDATO PENERIMAAN ANUGERAH SASTERA NEGARA

CITRA SASTERA DAN KEPRIHATINAN SASTERA


‘Bismillah itu permulaan kalam,
Dengan nama Allah Khalikulalam,
Berkat Muhammad Sayid Alanam
Memberi rahmat siang dan malam.’1

Awal bismillah fakir menyusun,
Di pangkal jalan memohon ampun,
Maklum bahasa tidak tersusun,
Banyak perkara hendak dihimpun.

Majlis permai fakir mengisi,
Kata dan fikir dengan puisi,
Kerana fakir bertugas di institusi
Yang ‘melangkah ke hadapan bersama tradisi’.2


I : Citra Sastera

Sastera itu adab persuratan,
Pelbagai makna serta tafsiran,
Namun bakat serta indah penulisan
Tentang Tuhan, makhluk-Nya dan pemikiran.

Bakat dan karya ada tanggungjawabnya,
Berbuat di dunia balasannya di alam baqa,
Diingatkan Allah menjadi khalifah-Nya
Bantu membimbing umat manusia.

Hindari kutukan kepada penyair sesat,
Dalam Ash-Shu’ara telah tersurat,3
Yang ditulis benar itulah yang diperbuat,
Taqwa itu memandu pena menyurat.



Dengan akal pena menukilkan,
Seperti lidah wajar berperaturan,
Pena yang jujur lebih dimuliakan,
Bukan pedang melibas sembarangan.

Persuratan itu mengandung ilmu,
Juga mendidik tiadalah jemu,
Mutiara kata dapat ditemu,
Yang indah-indah dan merdu turut diramu.

Hamzah Fansuri, Syeikh Ahmad al-Fatani,
Tun Seri Lanang, Raja Ali Haji,
Karya persuratan padat berisi
Tanda pujangga seorang insani.

Persuratan tidak mengulang yang lama,
Atau hanya alam dan watak semata,
Fikrah falsafah itu lebihlah mulia,
Disulam keindahan membijaksanakan manusia.

Dibantu ilmu karya terkarang,
Piawai Melayu ini jangan dibuang,
Nyata dan magis silang bersilang
Ke pentas dunia masuk gelanggang.

Melayu menyediakan atur hukum sastera,
Dalam puisi dan hikayat warisan bangsa,
Ditambah ilmu bantu dan prinsip semasa,
Ciptakan karya bertaraf dunia.

Ibn Tufail, Ibn al-Nafis,
Menyelami dasar falsafah menulis,
Apungkan ilmu madahnya pun majlis
Keadilan hakiki pencarian penulis.


II : Keprihatinan Sastera Malaysia

Sastera bukan khayali ke dalam diri,
Nasib alam dan ummah diperhati,
Peka akan gejolak yang mengelilingi,
Dicipta persuratan untuk dihayati:




(i)

Asas tamadun sudah bertunas,
Melayu bersyarak kepada nas,
Lenyap kegelapan oleh nur yang bernas,
Hablum min Allah, Hablum min al-nas.

Pusat intelektual bermula di istana,
Lahirkan ulama, pemikir dan pujangga,
Muamalat, munakahat, siasah dijana
Hukum jinayat, adab, persuratan juga.

Seteguh dahulukah Melayu-Islam kini?
Akidah mencair atas nama hak asasi,
Islam liberal dan sekularisme mencemari,
Kepada ad-Din yang benar hendaklah kembali.

Ada yang mencabar hukum syariah,
Anggap hukum duniawi lebih indah,
Tidak sempurna bukan sifatnya Allah,
Di atas segalanyalah asma’ ilahiyyah.


(ii)

Kita mengenal Suhaif Al-Rumi,
Begitu juga Salman Al-Farisi,
Berserta dengan Bilal Al-Habashi,
Begitu pelbagainya wajah insani.

Allah ciptakan pelbagai bangsa,
Allah hembuskan seribu bahasa,
Untuk berkenalan sesama manusia,
Jangan sampai abaikan hak milik kita.

Semenanjung Melayu ini di Alam Melayu,
Sebab musababnya jelas bagi yang tahu,
Sejak Abad ke-VII kembangkan tradisi ilmu
Kuasai ekonomi Nusantara delapan penjuru.

Majapahit, Sriwijaya, Langkasuka dan Melaka,
Corakkan wajah kebudayaan kita,
Sehingga penjajah membawa tenaga kerja,
Bekerja demi kepentingan ekonomi mereka.


Kini tenaga kerja asing terus penuhi negara,
Pada tempat dan ketika lebih ramai mereka,
Rakyat rasa tak selamat tak rasa bebas merdeka
Berbuatlah sesuatu agar negara ini tenang semula.


(iii)

Bangsa bermaruah merdeka daripada penjajah,
Kuasa-kuasa Barat dan Timur datang menjarah,
Menghalau mereka tidak sahaja perwira dan orang siasah,
Peranan ulama dan penulis juga diakui sejarah.

Justeru setiap menyambut ulang tahun merdeka,
Kenangilah pengorbanan dan bakti mereka,
Yang benar-benar berjasa tampilkan ke muka,
Berterima kasih pada saat sesuai dan ketika.

Melayu dengan kedaulatan dan ketuanan,
Ehsan memberi taraf kerakyatan,
‘Kontrak Sosial’ menjadi ikatan,
Diikat kukuhlah jangan rungkaikan.

Maka teguh-kukuhkan perkara yang empat,
Kedudukan Raja-raja Melayu menjamin daulat,
Islam agama rasmi, Melayu Bahasa Kebangsaan dinobat,
Hak istimewa Melayu dan bumiputera mendapat tempat.

Prihatinlah akan nasib tanah air dan bangsa,
Hubul watan manal iman peganglah ia,
Berhujahlah Melayu baru dengan akal dan fakta,
Bukan zahirkan rasa dan emosi semata.

Namun bertimbang rasalah kepada taulan,
Pelbagai bangsa jiran dan kenalan,
Pada zamannya Nabi telah tunjukkan
Islam menjalin indah perpaduan.


(iv)

Melayu itu beradab, berperaturan, berkerajaan,
Di Alam Melayu ribuan tahun kekuasaan,
Khalifah Allah segala raja dan sultan,
Patut dibantu Orang-orang Besar bijaksana lagi budiman.


Jangan sekali-kali bertindak atas hukum rimba,
Matlamat dan cara mesti halal belaka,
Tersurat hukum kanun dan undang-undang mulia,
Pangkal peraturan bagi segala raja-raja dan rakyatnya.


(v)

Pendidikan Melayu itu berliku lorongnya,
Pada zaman penjajah, hanya vernacular kastanya,
Peribumi sengaja ditolak dari bandar dan kotanya,
Sentiasa mengekori pelajar kota yang pantas lariannya.

Terfikir fakir akan nasib bahasanya,
Ratusan tahun melakar wacana;
Tanpa menjadi bahasa ilmu akan ke mana?
Cukupkah jadi bahasa basahan sahaja?


Pada Abad-XVI Valentijn4 terpesona,
Di sebelah sini bahasa Melayu berkuasa,
Dari timur Parsi hingga ke Kepulauan Filipina,
Kini mesti lebih perkasa di negaranya dan dunia.

Ilmu sekular-moden Melayu wajar berhati-hati,
Kerana akhirat itu pasti dihadapi,
Atas ilmu ukhrawi dirikan ilmu duniawi,
Baharulah barakah hingga ke kampung kekal abadi.

(vi)

Asal asali itu Melayu teras jua,
Bangsa besar lagi majoriti jumlahnya,
Patutlah teras segala citra budaya,
Entah kenapa kini digerhanakan seri wajahnya.

Budaya itu bersendi adat berpangkal agama,
Tanda bangsa beradab lagi mulia,
Tapi hedonisme tampak dibiarkan merajalela,
Budi bahasa amat ketara lunturnya.

Segalanya bermula darinya rumah,
Mencipta kasih sayang mawaddah war-rahmah,
Tahzibul akhlak tanggungjawab ummah,
Akhiran terpuji husnul khatimah.
(vii)

Persuratan dan bahasa ‘azwar’ yang baik,
tamsil makhluk dengan yang Khalik,
Perjuangan bahasa bukanlah pelik,
Kuasai yang asing, tak tercicir milik.

Hang Tuah kuasai berbelas bahasa,
Melalui munsyi bahasa yang berjasa
Bukan dengan ‘pandai besi’ berbadan sasa
Bukan dengan ‘pandai emas’ mencanai suasa.

Kuasai bahasa Arab di dalam dada,
Bahasa barat dan timur di dalam minda,
‘Seribu bahasa kita bicara
Manakan sama bahasa bunda.’5

Ke manakah arah Bahasa Melayu?
Di pandang rendah tak banyak yang mahu,
Sesekali dipakai miskinnya mutu,
Nama tempat, jalan dan bangunan tidak menentu.

Alangkah molek bercitra kebangsaan,
Setiap bangsa rohnya diciptakan Tuhan,
Tercabut rohnya citra pun kehilangan,
Bagaikan tanah ini tidak bertuan.


(viii)

Sebelum mengundur diri fakir rakamkan,
Ucapan ‘terima kasih’ kepada sekalian,
Pengkritik, penterjemah, editor dan panel budiman,
Isteri, anakanda dan menantu pemberi sokongan.

Serta sahabat fakir Cina dan India,
Kadazandusun, dan Iban juga;
Dengan bakat, akal, bahasa dan karya
Perkasakan tamadun bangsa kita.

Sudah sampai ke hujung fakir bermadah,
Pada malam bersejarah menjunjung Anugerah,
Jutaan ampun atas silap dan salah,
Yang Maha Sempurna Terpuji itu miliknya Allah.


Wahai segala arif permata,
Janganlah apa fakir dikata,
Kalam buruk kertasnya lata,
Menyuratnya tidak ada pelita.6

Sudahlah dengan takdir Allah,
Tiadalah dapat lagi disalah,
Di Luh Mahfuz suratan terjumlah
Barang yang datang disyukurkanlah.7

[Pidato Penerimaan pada majlis Anugerah Sastera Negara Ke-10, pada 20 Oktober 2009, di Grand Ballroom, Palace of The Golden Horses, The Mines, Kuala Lumpur]

1,6,7 Rangkap-rangkap ini dipetik daripada Syair Perang Siak (Donald J. Goudie, MBRAS Monograph No. 17, 1989).
2 Moto ‘Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan’ (ASWARA), Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia.
3 Ash-Syu’ara (ayat 224 – 227).
4 Kehebatan bahasa Melayu pada Abad-XVI seperti yang pernah dirakamkan oleh sarjana Belanda ini, Francois Valentijn (Dordrecht 17 April 1666 – 6 Ogos 1727). Bukunya yang terkenal Oud en Nieuw Oost-Indien (1726).
5 Dua baris terakhir rangkap ini dipetik daripada puisi SN Usman Awang ‘Bahasa Bunda.’

Thursday, October 15, 2009

BAHASA MELAYU SEBAGAI PETUNJUK TAMADUN BANGSA

Cabaran Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, agar ilmuwan Malaysia menghasilkan karya ilmiah bermutu tinggi (Berita Harian, 7 Oktober), kena pada masanya dan wajar disambut. Bola kini berada di gelanggang ribuan ilmuwan yang berada di IPTA awam dan swasta, institusi penyelidikan dan pengembangan, serta yang bergerak sendirian.
Kuantiti dan kualiti penerbitan ilmiah dan penerbitan untuk bacaan umum di sesebuah negara, selalunya dijadikan petunjuk tamadun sesuatu bangsa. Masyarakat hari ini tidak sahaja ‘melihat’ tamadun masa lampau berdasarkan tinggalan-tinggalan sejarah. Memang masyarakat hari ini akur akan wujudnya tamadun Romawi kerana sisa Roman Forum dan Colosseum; tamadun India kerana seni bina di Lembah Indus atas pendewaan Hindu, Buddha dan Jain; tamadun China kerana Tembok Besar; tamadun Mesir kerana Piramid; dan tamadun Maya kerana Chichen Itza di semenanjung Yucatan. Akan tetapi yang lebih penting daripada itu ialah tinggalan-tinggalan dalam bentuk teks persuratan dalam pelbagai jenis tulisan termasuk pictographs dan ideograms.
Cabaran Timbalan Perdana Menteri itu ketika merasmikan Bulan Bahasa Kebangsaan 2009 tentulah ada kaitannya dengan karya ilmiah bermutu tinggi dalam bahasa Melayu. Pastilah beliau secara yakin menyedari tamadun rantau ini amnya, dan Malaysia khasnya, yang berpaksi pada bahasa dan kebudayaan Melayu. Mutakhir juga beliau sering berbicara tentang usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu, termasuk menghapuskan PPSMI mulai tahun 2012. Dapat juga diduga beliau meyakini bahawa bahasa Melayu akan menjadi lebih dinamik, relevan dan bermartabat sekiranya menjadi bahasa ilmu tinggi. Dalam konteks inilah cabaran tersebut dizahirkan, dan sewajarnya disambut oleh para ilmuwan. Ciri bahasa moden, termasuk bahasa Melayu, ialah kemampuannya untuk menjadi bahasa ilmu.
Terdapat empat elemen yang biasanya dikaitkan dengan bahasa. Elemen-elemen tersebut ialah bahasa yang didengar, bahasa yang dituturkan, bahasa yang ditulis, dan bahasa yang dibaca. Ketika zaman primitif, dan pada ketika sesuatu bahasa dituturkan oleh kelompok terpencil, hanya dua eleman bahasa sahaja yang hidup – iaitu bahasa yang dituturkan, dan bahasa yang didengar. Keperluan ilmu pengetahuan yang lebih canggih, yang mendorong kemunculan sesuatu tamadun, memerlukan dua elemen bahasa lagi iaitu bahasa yang ditulis, dan bahasa dan dibaca.
Tulisan-tulisan kuno, pictograph, ideograms, rumi, jawi dan sebagainya, telah mentransformasi sesuatu idea yang abstrak dan berada dalam dunia fikiran, menjelma sebagai aksara dan wacana yang boleh dibaca dan difahami. Pangkal tamadun memerlukan pemikir yang boleh mencipta aksara, guru yang mengajar dan murid yang mempelajarinya. Aksara dan wacana telah berperanan meluahkan sesuatu catatan atau pemikiran yang mudah, hinggalah kepada penzahiran idea serta pemikiran yang kompleks. Demikianlah proses tamadun itu berkembang dan menjadi perkasa.
Tamadun Malaysia kini terus memerlukan keempat-empat elemen tersebut bagi bahasa Melayu yang menjadi bahasa ilmu, bahasa perpaduan, dan Bahasa Kebangsaan. Sehubungan itu mutu bahasa Melayu yang didengar, dituturkan, ditulis dan dibaca mestilah memperlihatkan peningkatan. Hal ini lebih mendesak dewasa ini, ketika perkembangan bahasa Melayu sedang menghadapi ancaman. Akan tetapi kesungguhan pihak kerajaan untuk memperkasakan bahasa Melayu mutakhir ini harus juga dilihat sebagai suatu peluang keemasan, terutamanya oleh institusi-institusi yang dipertanggungjawabkan mengembangkan bahasa Melayu.
Sebelum membicarakan aspek penerbitan dalam bahasa Melayu yang menjadi petunjuk tamadun – yakni merujuk bahasa Melayu yang ditulis dan yang dibaca, wajar juga disentuh tentang bahasa Melayu yang dituturkan dan didengar. Seperti yang telah dinyatakan, bahasa Melayu yang dituturkan dan didengar, terutamanya dalam situasi rasmi, wajar memperlihatkan peningkatan mutu. Harapan ini sejajar dengar taraf bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan Bahasa Kebangsaan.
Akan tetapi mutakhir ini, lebih-lebih lagi dalam situasi tidak rasmi, mutu bahasa Melayu yang dituturkan dan didengar, amatlah mengecewakan. Timbullah istilah ‘bahasa rojak’ dan sebagainya. ‘Bahasa rojak’ ini turut dipindahkan ke atas pentas, di rostrum ucapan, dan diudarakan dalam penyiaran elektronik seperti radio dan tv. Akibatnya, bahasa Melayu tidak ditampilkan dengan citra yang baik dan yang sepatutnya. ‘Bahasa rojak’ terjadi kerana kelemahan penuturnya menguasai kosa kata, diksi dan aturan berbahasa dengan baik, bukan kelemahan bahasa Melayu itu sendiri.
Bahasa Melayu juga kerap kali dipinggirkan dalam ucapan atau acara yang sepatutnya menggunakan Bahasa Kebangsaan ini. Tokoh pemimpin pernah melakukannya. Agensi-agensi kerajaan pernah melakukannya. Syarikat-syarikat berhubung Kerajaan (GLC) pernah melakukannya. Pihak swasta pula memang tampaknya agak tidak menghiraukan Bahasa Kebangsaan, kerana kurangnya peraturan serta pengawalan, serta tidak diberi contoh teladan yang boleh ditiru. Gejala ini wajar diperbaiki dan dihindari, bagi menjaga taraf dan mutu bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan.
Lebih daripada bahasa yang dituturkan dengan baik dan didengar, bahasa Melayu memerlukan kepustakaan ilmu yang luas. Dalam hubungan inilah cabaran Timbalan Perdana Menteri itu dilontarkan ke tengah-tengah gelanggang para ilmuwan.
Menurut perangkaan Perpustakaan Negara Malaysia, kebelakangan ini jumlah buku judul baru yang diterbitkan di Malaysia ialah antara 8,000 – 10,000 judul setahun, mengalami tahun pasang-surutnya. Jumlah ini meliputi semua buku untuk kanak-kanak, remaja dan dewasa; serta buku ilmiah dan bacaan umum. Daripada jumlah tersebut, jumlah buku ilmiah bermutu tinggi amat kecil bilangannya. Dalam penilaian memilih buku ilmiah terbaik, termasuk Anugerah Akademik Negara yang dianjurkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi, saingan karya ilmiah terbaik amat kecil dan tidak pernah sengit.
Jumlah penerbitan buku negara ini sewajarnya mencapai panduan umum sejagat, iaitu sekurang-kurangnya pada nisbah 0.01% daripada jumlah penduduk. Dengan penduduk Malaysia dianggarkan 26 juta jiwa, maka judul buku baru setahun wajar mencapai 26,000 judul; bukan 10,000 judul seperti sekarang.
Dari manakah jumlah 26,000 judul baru itu, yang setengah daripadanya patut merupakan buku ilmiah boleh diperolehi? Dengan adanya 20 buah institusi pengajian tinggi awam, puluhan pusat penyelidikan dan pengembangan bidang tertentu, dan ratusan IPTS peringkat kolej, kolej universiti dan universiti, jumlah 26,000 judul baru itu boleh dicapai sekiranya kebanyakan staf akademik dan penyelidik menerbitkan karya ilmiah mereka, setiap satu atau dua tahun. Malangnya kebanyakan mereka tidak menulis!
Gejala ini sewajarnya menggerakkan suatu kebangkitan kolektif bagi menyahut cabaran Timbalan Perdana Menteri itu. Sepatutnya pihak-pihak seperti Dewan Bahasa dan Pustaka, penerbit-penerbit universiti, ITNM, pusat-pusat penyelidikan dan pengembangan bidang tertentu, penerbit-penerbit swasta, dan pihak-pihak berkepentingan lain, segera duduk semeja menentukan strategi jangka pendek dan jangka panjang bagi menerbitkan karya ilmiah bermutu tinggi. Sebelum tahun ini berakhir, pelan strategik penerbitan ilmiah wajar diumumkan untuk pengetahuan ramai.
Hal ini penting kerana massa perlu melihat kemampuan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu tinggi. Jika selama ini mereka boleh membaca buku ilmiah tentang pelbagai bidang dan subbidang dalam bahasa Inggeris, maka hasil pelan strategik itu nanti mestilah membolehkan mereka membaca pelbagai buku ilmiah pelbagai bidang dan subbidang dalam bahasa Melayu.
Dewan Bahasa dan Pustaka sering mencanangkan bahawa mereka telah mencipta kira-kira sejuta istilah pelbagai bidang dan subbidang dalam bahasa Melayu. Akan tetapi peristilahan saja belum mencukupi bagi menyuburkan penulisan dan penerbitan karya ilmiah bermutu tinggi. Justeru pelan strategiknya wajar turut mengambil kira latihan yang sistematik dan tekal dalam usaha memberi kursus bahasa dan laras bahasa, melatih penulis, editor umum dan editor bidang, pereka, ilustrator dan sebagainya.
Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu tinggi sedang berada dalam kedudukan genting dan mencemaskan. Kerajaan melalui Timbalan Perdana Menteri bukan sahaja melontarkan cabaran, malah memberi ‘peluang kedua’ untuk bahasa Melayu bangkit mengisi kepustakaan ilmu moden. Harapannya, karya ilmiah bermutu tinggi terus menjadi petunjuk kepada pengembangan tamadun, dan dinamika bahasa Melayu itu sendiri [Telah tersiar dalam BERITA MINGGU 10 Oktober 2009].

REPRESENT MALAYSIA IN SINGAPORE WRITERS FESTIVAL 2009

I am very grateful to represent Malaysia (together with other fellow Malaysian writers : Baha Zain, Wong Phui Nam, K S Maniam, Lat) in Singapore Writers’ Festival 2009. Appearance dates for me in this year’s festival will be on 24th, 25th, 27th and 29th October.
Singapore is not only our nearest neighbor, only minutes walk crossing Tambak Johor in the southern peninsula. In the 50’s, Singapore was one of the centre of Malay urban culture, where ‘make believe’ world of Jalan Ampas, owned by Shaw Brothers, transform the hikayats (traditional Malay stories) and so called modern Malay life, into the movies directed by film directors such as B S Rajhan, B N Rao, K M Basker, L Krishnan, and P Ramlee (to name a few). And the images that were projected in silver screens, quickly captured the mind of not only urban Malays but also Malays who lived in the rurals and remote islands.
In the 50’s the only university for Malaya and Singapore students was University of Malaya, situated in Singapore – which was actually formed by combining King Edward VII College (formed 1905) and Raffles College (formed 1927). In 1959 its branch was opened in Kuala Lumpur, later known as Universiti Malaya ( since January 1, 1962). I gained my first degree, master and PhD degree from this university.
Malay mainstream newspaper, Utusan Melayu - which is very close to the Malays, was published in Singapore since 1938 – operated at the Queen Street and later at Cecil Street. Five months after Malaya independence, Utusan Melayu moved to Kuala Lumpur. Several quality Malay books, including poetries and novels, were also published in Singapore since 1963, by publisher Pustaka Nasional at Kandahar Street.
The formation of Angkatan Sasterawan 50 (Generation 50’s Writers), or ASAS 50 on 6 August 1950 in Singapore has technically and ideologically gave a great impact for both Malay writers in Malaya and Singapore, at least for two decades. ASAS 50 was formed exactly one year and one day after I was born. When I was in my teen, I read a lot of literary work written by ASAS 50 writers such as Mas (Mohd. Ariff Ahmad), Hamzah Husain, Rosmera, Jymy Asmara, Masuri S.N., Keris Mas, Usman Awang, Awam il-Sarkam and so on. When I was at Dewan Bahasa dan Pustaka (Institute of Malay Language and Literature, Malaysia) I was lucky to work together with Keris Mas, Usman Awang and Awam il-Sarkam for a few years.
Participating in Singapore Writers Festival 2009 is not only an opportunity to meet my old friends in Singapore – Malays and non-Malays, or interact with literary audience there – young and old (in several programs : readings, meet-the-author sessions, talks, workshops, or visit to educational institutions). This is an opportunity to update, read and appreciate new literary works by Singaporean writers such as Gopal Baratham, Djamal Tukimin, Catherine Lim, Zuraidah Ibrahim, Shirley Geok-Lin Lim, Anuar Othman, Suchen Christine Lim, Alfian Saat, Isa Kamari, Kirpal Singh, Mohamad Latif Mohamad, Hwee Hwee Tan, Ovidia Yu and so on. And to meet other writers from another country, to know their aspiration and idealism through their works or discussion.
As a judge of Golden Point Award 2009 for Malay short stories written by Singaporean writers, I have encountered few good short stories, and the top three short story will receive Golden Point Award 2009. One of the aim of the competition is to identify new creative writing talent. I certainly would like to meet the winners.
To know budding and new writers are as important as to know established writers other than their names and works only. Unfortunately we seldom know them personally. There should be a mechanism where we – Malaysian and Singaporean writers know each other very well, as well as knowing further writers in China, Japan or Europe including this year’s Nobel laureate, Germany author Herta Mueller.
[Released in Kuala Lumpur, in conjunction of Launch of Singapore Writers Festival 2009, at MPH Mid Valley Megamall 15 October 2009, 2.00 pm].