Sunday, August 16, 2009

Promosi Sastera

[Pertama kali terbit dalam Berita Minggu, 16 Ogos 2009]:

Mutakhir ini begitu banyak produk di keluarkan setiap hari, sama ada produk domestik, mahu pun produk internasional. Jenis produk itu berbagai-bagai pula, daripada produk pertanian, hinggalah kepada produk industri berat. Setiap produk dikeluarkan dengan matlamat untuk dijual. Tidak ada produk yang dikeluarkan hanya untuk tujuan disimpan, atau sekadar untuk memuaskan ego pengeluarnya, tanpa memikirkan keuntungan, atau sekurang-kurangnya titik pulang modal. Oleh sebab itu setiap pengeluar biasanya menyediakan peruntukan khas, dalam bentuk kewangan, untuk tujuan promosi. Dalam lambakan produk yang banyak, promosi yang berkesan bukan sahaja akan memperkenalkan khalayak pengguna kepada sesuatu produk, malah boleh mempengaruhi pengguna untuk membeli produk tersebut.

Daripada 50 jenama produk yang paling terkemuka di dunia dewasa ini, hanya empat jenama produk China tersenarai di dalamnya; pada hal China sedang bangkit dengan hebatnya sebagai kuasa ekonomi baru dunia. Masalah yang dikenal pasti adalah kerana China belum menyediakan peruntukan serta pelan strategik yang berkesan bagi mempromosikan lebih banyak jenama produknya. Pengeluar semua produk menyedari, sesuai dengan kemajuan ICT dan dasar globalisasi, setiap produk yang dikeluarkan mempunyai potensi pasaran antarabangsa yang meluas, yang boleh memberi pulangan kewangan yang besar.

Satu daripada produk yang tidak boleh diabaikan ialah produk seni seperti karya-karya sastera. Sejak beberapa dekad yang lalu, banyak negara di dunia ini, melalui penerbit-penerbit, telah mempromosikan karya sastera dengan hebat, sama ada di dalam negeri, mahu pun di luar negara. Promosi yang berkesan bukan sahaja berhasil menjual karya-karya sastera, malah mendatangkan pulangan kewangan yang bertambah melalui pembelian hak cipta, dan produk sampingan industri kreatif. Perluasan medium penyiaran telah memberi manfaat langsung kepada pengarang dan penerbit, sesuai dengan akta yang memberikan pelindungan harta intelek kepada mereka.

Disedari atau pun tidak, promosi sastera nasional dalam negara ini belumlah mencapai tahap yang boleh dibanggakan. Dalam suasana dan ketika tertentu, sastera nasional itu seolah-olah digerhanai oleh sastera dalam bahasa asing, terutamanya sastera Inggeris. Hal ini demikian kerana dalam suasana dan ketika yang tertentu itu, promosi sastera Inggeris dibuat dengan lebih hebat dan rapi berbanding promosi terhadap sastera nasional. Gejala ini pastilah mencalarkan imej sastera nasional di negaranya sendiri.

Bagaimanapun situasi promosi sastera nasional ke peringkat antarabangsa mulai menunjukkan tanda-tanda positif, melalui usaha-usaha yang dilakukan oleh kepemimpinan baru Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM). Akan tetapi tugas ini tidak sewajarnya dibebankan kepada ITNM sahaja. Institusi lain yang diberi tanggungjawab wajar berperanan lebih aktif, termasuk gerakan penulis bertaraf nasional yang sepatutnya turut mengketengahkan penulis-penulis nasional ke pentas antarabangsa. Hal ini perlu dilakukan kerana negara-negara lain sedang rancak mempromosikan sastera (dan sasterawan) nasional masing-masing.

Di peringkat rantau pun, promosi sastera nasional sangat terbatas. Promosi berkala dapat dilihat tatkala pengarang kita menerima anugerah atau hadiah peringkat rantau, seperti SEA Write Award, Anugerah Sastera MASTERA, atau Hadiah Sastera MASTERA; serta sambutan penghargaan pasca acara.

Kini terdapat lebih 80 bahasa yang penting dan agak penting di dunia, masing-masing mempunyai akhbar, penerbitan, serta media elektroniknya. Banyak negara luar sedang berlumba-lumba mempromosi sastera nasional masing-masing ke sebanyak mungkin bahasa-bahasa dunia itu. Langkah pihak kita berlegar seputar empat atau lima bahasa seperti Inggeris, Perancis, China, Rusia dan Jerman, hendaklah dianggap sebagai langkah awal untuk menuju pentas yang lebih luas dan besar. Usaha menjadikan sastera nasional sebagai warga sastera dunia yang berkesan, hanya boleh menjadi realiti dalam tempoh lima hingga sepuluh tahun yang akan datang, jika lonjakan besar-besaran terhadap penterjemahan dan promisi dapat dilakukan.

Usaha promosi sastera nasional ke peringkat antarabangsa barangkali wajar turut mengenal pasti sejumlah kira-kira 500 tokoh antarabangsa yang terdiri daripada sarjana sastera yang terkenal, editor majalah sastera , editor jurnal sastera, editor akhbar yang mempunyai ‘literary supplement’, pimpinan institusi yang berkaitan sastera (termasuk sarjana-sarjana bahasa dan sastera Melayu/Indonesia di institusi-institusi pengajian tinggi luar negara), pengkritik sastera, penulis dan seumpamanya – untuk dijadikan perantara dan pembicara sastera nasional kita.

Barangkali perlu juga diterbitkan serta disebarkan buletin tentang sastera nasional dalam terjemahan, setiap empat atau enam bulan sekali, kepada kira-kira 500 tokoh yang telah dikenal pasti seperti di atas. Buletin ini antara lain boleh mengandungi biografi ringkas sasterawan nasional, memperkenalkan penulis muda yang berbakat, menyiarkan cerpen dan beberapa buah puisi terjemahan, resensi beberapa karya sastera, senarai karya sastera yang telah diterjemahkan ke dalam bahasa asing, serta makluman kegiatan sastera yang akan dilangsungkan. Kandungan yang sama boleh diterbitkan dalam bentuk buletin elektronik yang boleh dicapai melalui internet, untuk khalayak yang lebih luas.

ITNM turut menerbitkan semula beberapa karya sastera nasional yang telah diterjemahkan sebelum ini, di samping judul-judul baru. Ini adalah langkah yang baik. Khabarnya ITNM juga sedang mencari penerbit-penerbit luar negara yang boleh bekerjasama menerbit, mempromosi dan memasarkan karya sastera kita. Biasanya penerbit asing lebih peka berhubung aspek kemasan dan reka bentuk buku yang sesuai, untuk dipasarkan di peringkat global. Pemasarannya hendaklah turut mengambil kira kemudahan pembelian melalui internet.


Sejak beberapa tahun kebelakangan, hampir tiada berita tentang sasterawan kebangsaan kita yang diperkenalkan ke pentas antarabangsa, lebih-lebih lagi secara yang amat sistematik. Kita sesungguhnya tidak kekurangan tokoh puisi, cereka dan drama yang boleh ditampilkan ke peringkat global.

Khalayak sastera khususnya pastilah mengharapkan, dalam tempoh terdekat ini pelbagai judul sastera tradisional yang dianggap genius bangsa Melayu, dan karya sastera moden kita diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa dunia. Dalam konteks sastera moden, sastera kita mampu menawarkan kepada dunia buah tangan daripada penulis-penulis terkenal tanah air, termasuk karya penulis-penulis generasi baru dan muda.

9 comments:

  1. Tahniah datuk atas penganugerahan Sasterawan Negara.

    ReplyDelete
  2. Tahniah dari saya juga di atas anugerah Sasterawan Negara.

    ReplyDelete
  3. Tahniah buat Datuk, atas penganugerahan Sasterawan Negara .

    Saya ni seorang pencinta sastera .
    Saya ni seorang guru Kesusasteraan Melayu Tradisional STPM.

    Saya sangat berminat untuk mendapat tunjuk ajar daripada Datuk.

    Sekian.

    ReplyDelete
  4. Salam Datuk.
    Tahniah atas penganugerahan sebagai SN baharu-baharu ini. Saya amat tertarik dengan rencana di atas. Memang sudah sampai masanya kita "mengeksport" produk-produk sastera kita. Mudah-mudahan juga teks-teks sastera Inggeris yang diguna pakai kini diganti dengan karya-karya sastera anak-anak tempatan yang dialih bahasanya.

    ReplyDelete
  5. salam ramadhan dari penuntut di bumi Eire.. blog hopping.. rajin2, lompat laa ke blog hamba.. :)

    ReplyDelete
  6. Assalamualaikum,

    Saya pernah ajukan peranan ITNM dalam memantapkan bidang penterjemahan di Malaysia semasa pesta buku April lepas. Pada pendapat saya, jika kegiatan penterjemahan dilakukan dengan lebih aggresif lagi, dan disokong dengan pemasaran yang mantap, tidak mustahil ada karya sasterawan kita yang mampu memenangi anugerah Nobel, misalnya. Saya juga bersetuju dengan pendapat Datuk Anwar bahawa ITNM tidak sepatutnya dibebankan dengan tanggungjawab ini. Pihak lain juga harus ke hadapan dalam memeartabatkan sastera kita.

    ReplyDelete
  7. Salam Syawal Dato',
    Selamat Hari Raya Aidil Fitri. Terima kasih atas segala galakan yang Dato' berikan.
    Halalkan ilmu yang dipetik, maafkan bicara yang menjentik. Teruskan menulis setiap detik.

    ReplyDelete
  8. tahniah.teruskan perjuangan...semoga dirahmati allah selalu...wslm

    ReplyDelete