Thursday, April 1, 2010

Anwar Ridhwan Lancarkan Buku Azizi, Faisal dan Isa

TEKS UCAPAN
SN DATO’ DR. ANWAR RIDHWAN
MEMPERKENALKAN ENAM BUAH BUKU AMEEN KREATIF
[DI PESTA BUKU ANTARABANGSA KUALA LUMPUR, SABTU 27 MAC 2010]


Sungguhpun AmeenBooks memberi tumpuan kepada penerbitan buku motivasi dan pendidikan, penerbit ini yang dilaman web-nya menyenaraikan 119 produk, tidak ketinggalan menerbitkan buku-buku sastera.

Sejak tahun 1956 apabila kerajaan mewujudkan sebuah institusi pembinaan dan pengembangan bahasa dan sastera kebangsaan [iaitu Dewan Bahasa dan Pustaka], yang menjadi penerbit utama buku-buku sastera, sebenarnya telah muncul penerbit-penerbit swasta yang turut menerbitkan karya-karya sastera bermutu. Ada karya-karya sastera yang diterbitkan oleh penerbit swasta malah berdiri sama tinggi dengan karya terbitan institusi kerajaan tersebut, dan menjadi karya lestari.

Pada hari ini AmeenBooks menghadirkan enam judul buku sastera, karya tiga orang penulis terkenal dari dua buah negara iaitu Malaysia dan Singapura, dan dalam dua bahasa iaitu Melayu dan Inggeris. Saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada AmeenBooks atas penerbitan buku-buku ini.

Saya menerima keenam-enam karya ini dalam tempoh seminggu yang lalu. Dan dalam majlis ini, dalam waktu yang relatif terbatas pula, izinkanlah saya memperkenalkan buku-buku tersebut secara ringkas:


1. BERUK/ Genre : Novel (AZIZI ABDULLAH)

Ini contoh sebuah interteks yang baik. Azizi mengolah semula hipoteks cerpennya “Beruk” yang pernah diterbitkan dalam tahun 1970-an, mengembangkannya menjadi sebuah novel dengan judul yang sama. Di dalam novel ini, suasana era 1960-an dikekalkan, dengan suatu harapan suatu ‘kunjungan kembali’ ke zaman itu dapat difahami dan dihayati oleh pembaca remaja zaman kini.

Tetapi kisah dalam novel ini masih boleh berlaku dalam zaman kini, terutamanya di kawasan pedalaman. Malah kisah tentang pelajar miskin yang bergelut dengan nasib keluarga di tengah-tengah keazaman tinggi untuk belajar, adalah isu pendidikan dan kemanusiaan yang sentiasa menarik perhatian – tidak kira sama ada melibatkan pelajar luar bandar, mahupun pelajar di bandar, dahulu kini dan selamanya.

Penceritaan Azizi begitu lancar. Segala episod bagai tergambar di hadapan mata pembaca. Sekali anda memegang buku ini, anda tidak mahu melepaskan, hingga menyelesaikan pembacaannya. Buku ini amat sesuai sebagai bacaan remaja. Bagi pelajar remaja luar bandar, mereka akan lebih mengakrabi tema dan kehidupan yang hampir. Sementara bagi pelajar remaja bandar, akan memahami isu yang agak jauh daripada kehidupan, dan merapatkan jurang psikologi kota-desa di kalangan generasi muda.

2. BAHLUT / Genre : Novel (FAISAL TEHRANI)

Tidak banyak novel Malaysia yang mengketengahkan kehidupan serta watak yang dianggap marginal dalam masyarakat kita. Jumlahnya hanya segelintir, termasuk yang ditulis oleh Akira (Mahat anak China), penulis keturunan Orang Asli – iaitu keturunan yang dalam anggapan beberapa pihak merupakan kelompok pinggiran dalam kehidupan kita di Malaysia.

Novel eponim Bahlut mengketengahkan watak luar biasa ini – pemuda Orang Asli suku Semai. Sukan moden dan kepantasannya di trek, melonjakkan kejayaannya sebagai atlit ternama di peringkat nasional. Bahlut malah ikut serta dalam pertandingan peringkat antarabangsa di Turki. Tetapi pemuda ini tahu diri dan realiti diri, perasaan, serta nasib suku kaumnya dalam zaman yang diracuni ekses pembangunan yang tidak terkawal.

Sebagai seorang remaja yang kehilangan ayah dan kematian ibu yang konon dibaham harimau, hidup Bahlut mempunyai dunia mikro cintanya kepada Kabut; juga dunia makro yang menuntut keprihatinannya terhadap isu pembalakan yang serakah, serta pengambilan tanah adat, juga isu kebersamaan yang menyentuh masa depan Orang Asli seluruhnya. Novel ini lama ditulis sebelum peristiwa demonstrasi Orang Asli secara besar-besaran di Putrajaya beberapa minggu yang lalu.

Pedagogi Islami Faisal Tehrani, seperti karya-karyanya yang lain, turut terpancar dalam novel ini. Bahlut tertarik kepada Islam bukan semata-mata kerana latar belakang pergaulannya yang agak lama dengan penganut Islam, tetapi kerana orang Islam (melalui watak Pak Idi dan Cikgu Zaiful) sentiasa menunjukkan akhlak yang dikagumi.

Ini sebuah lagi novel yang memikat daripada seorang pengarang Malaysia kontemporari yang prolifik dan berbakat besar.

3. INGIN JADI NASRALLAH / Genre : Kumpulan Puisi (FAISAL TEHRANI)

Dalam tahun-tahun yang suram bagi genre puisi, termasuk khabarnya Dewan Bahasa dan Pustaka tidak akan menerbitkan lagi kumpulan puisi penyair muda, penerbit AmeenBooks tampaknya memiliki keberanian yang disertai dengan pendekatan menarik untuk menerbitkan kumpualn puisi Ingin Jadi Nasrallah karya Faisal Tehrani.

Penerbit Al-Ameen menerbitkan kumpulan puisi ini bukan dengan sosok fizikal buku puisi yang biasanya nipis, berekabentuk kuno, dan tidak menarik. Dengan buku berukuran 10” x 10”, halaman-halamannya menyerap puisi-puisi Faisal yang kadang lembut kadang sinis kadang marah mencakar. Buku ini juga dihiasi foto-foto artistik kenangan penyairnya yang kebanyakannya di luar negara, yang merakam detik bermakna tanpa dapat diulang lagi.

Puisi-puisi dalam buku ini bukan sekadar merimakan sifat peribadi. Banyak puisinya mengajak kesedaran kita untuk merenung isu kemanusiaan – baik isu yang sedang menggelegak di Palestin, atau isu yang meninggalkan parut Berlin dan Bosnia Hezergovina. Tentang Palestin antara lain beliau melakarkan:

Rumah-rumah sudah tiada
tiang ataupun tangga
kami takkan dapat kembali
walau dalam mimpi.

Tentang puisi yang menjadi judul kumpulan ini, Faisal antara lain menurunkan baris-baris berikut:

Apa rahsiamu Nasrallah?
apa yang kaupupuk
pada tentera Hizbullah?
Tauhidmu sekamus dengan tauhidku
selawatmu tak juga asing dari selawatku
jadi bagaimana kau menjadi si pemberani itu?

Ingin Jadi Nasrallah merupakan kumpulan puisi pertama Faisal Tehrani. Ia sebuah penerbitan yang menyerlahkan bakatnya sebagai penyair juga. Sebahagian besar puisinya mengandungi pemikiran mendalam yang diperkukuh dengan imejan, metafora serta diksi yang berkesan.


4. INTERCESSION /Genre : Novel terjemahan (ISA KAMARI)

Novel ini terbit pertama kali dalam bahasa Melayu dengan judul Tawassul. Kini novel keempat Isa Kamari ini diterjemah dan diterbitkan dalam bahasa Inggeris dengan judul Intercession.

Novel ini menarik, sekurang-kurangnya daripada dua aspek. Daripada aspek leitmotif, novel ini berbicara sesuatu yang sukar, iaitu tentang konsep hubungan vertikal antara hamba dengan Khalik, suatu usaha insan mendekatkan diri kepada Pencipta melalui ibadah khusus mahupun umum; juga tentang mentafsir sejarah Islam dalam konteks situasi kini.

Subjek yang sukar ini – walaupun sejumlah sunahnya telah ditunjukkan sepanjang hayat Baginda Rasulullah SAW, tidak mudah untuk diolah dalam bentuk cereka malah oleh pengarang yang cukup mapan dan mendalami tasawuf. Barangkali sebab itu Isa Kamari mengambil langkah mengemukakan aspek kedua yang menarik dalam novel ini, iaitu memilih sudut pandangan orang pertama pelbagai watak. Dengan membiarkan watak-wataknya berbicara dan menterjemahkan tawassul, kebanyakan melalui monolog serta arus bawah sedar, konsep itu mengembara ke dunia imaginasi dengan seperangkat nilai serta makna yang harus dihayati dan difahami oleh pembacanya, dengan kejutan serta cabaran tersendiri. Novel ini membuktikan bahawa Isa Kamari ialah pengarang Melayu Singapura yang harus diperhatikan kerana kekuatan kreatif serta imaginasinya.

5. NADRA / Genre : Novel terjemahan (ISA KAMARI)

Ini merupakan novel terjemahan daripada novel kelima Isa Kamari, Atas Nama Cinta. Literatur tentang kehidupan dan peristiwa Natrah di Singapura dalam tahun 1950-an itu relatif banyak – baik di dalam akhbar, majalah, buku atau jurnal undang-undang. Peranan pengarang novel seperti Isa Kamari ialah untuk memilih bahan yang sesuai, mengatur episod-episod yang berkesan di dalam plot penceritaannya, dan menuliskannya secara kreatif untuk tatapan genarasi kini.

Sungguhpun tampak mudah, tetapi menghidupkan suatu era dan peristiwa lampau yang penuh intrik agama, politik dan sosial adalah sesuatu yang sangat mencabar bagi seorang pengarang. Novel ini bukan sahaja menarik sebagai sebuah karya sastera, kerana kepelbagaian latar dan pendalaman emosi serta pemikiran watak, malah memberikan gambaran secara dekat, dramatik, dan jurnalistik tentang isu Natrah yang wajar diketahui oleh generasi muda. Di dalam novel ini cinta yang abstrak dan kudus boleh diletakkan di neraca undang-undang, dan nasib cinta boleh ditentukan di kamar hakim. Akan tetapi Nadra lebih daripada itu, kerana cinta adalah sesuatu yang harus dilayari, dan nasib Nadra memberi impak terhadap nilai agama, hukum serta gejolak masyarakat yang mempertahankan nilai tauhid. Seperti novelnya Tawassul, sekali lagi Isa Kamari melalui novel Atas Nama Cinta/Nadra ini membuktikan kekuatannya sebagai seorang penulis novel.

6. PINTU / Genre : Drama (ISA KAMARI)

Buku ini memuatkan tiga buah drama Isa Kamari iaitu “Sidang Burung”, “Pintu” dan “Restoran.” Dua drama yang terkahir merupakan karya asli beliau, sementara drama yang pertama, seperti yang dicatat oleh pengarang, merupakan adaptasi daripada karya klasik Fariduddin Attar, Mantiq Utthair atau ‘Musyawarah Burung.’ Dalam drama “Sidang Burung” yang melepaskan imaginasi kanak-kanak untuk mencipta wujud heroik masa depannya, drama ini turut dianyam dengan kelincahan teknik yang agak surreal yang sesuai dengan kembara minda imaginatif dunia kanak-kanak.

Terdapat beberapa unsur yang agak surreal juga di dalam drama “Pintu”. Ini antara lain adalah cerita tentang manusia sebuah kota, manusia yang telah dilumpuhkan dan dikuasai. Dalam drama seperti ini yang berusaha lari daripada kaedah konvensional, penulis kurang mementingkan plot yang berpaksi pada hukum kausaliti atau sebab-akibat. Isa Kamari juga mengindahkan skripnya dengan penampilan lagu, puisi dan narator.

Sementara drama “Restoran” bukan sahaja membicarakan salah satu keperluan asas manusia, tetapi bagaimana di kota yang maju, canggih dan dianggap berbudaya, ada dimensi kemanusiaan yang tidak dapat diselesaikan oleh elemen pascamoden dan robotik.

Penerbitan buku drama ini bukan sahaja menambah kepustakaan drama Melayu Singapura, malah drama Melayu umumnya. Tahniah kepada AmeenBooks kerana masih percaya bahawa buku drama tetap boleh dijual dan mempunyai khalayaknya.

Akhirulkalam saya mengucapkan tahniah kepada Azizi Haji Abdullah, Faisal Tehrani dan Isa Kamari – kerana buku-buku mereka diperkenalkan dalam Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2010 pada hari ini. Saya juga mengucapkan tahniah kepada AmeenBooks atas penerbitan keenam-enam buah buku ini, dan lebih 100 produknya yang sedang dipasarkan dalam pesta buku kali ini. Terima kasih juga saya ucapkan kerana mengundang saya untuk memperkenalkan dan melancarkan enam buah buku terbitan AmeenBooks pada petang ini.


Pusat Dagangan Dunia Putera,
Kuala Lumpur.

27 Mac 2010.

1 comment: