Friday, January 1, 2010

Selamat(kah) Tahun Baru

Masuk hari kedua tahun 2010 saya menulis blog ini. Ada beberapa perkara yang harus menjadi renungan/pemikiran kita bersama:
(1) Agama : (a)Penggunaan perkataan 'Allah' dalam penerbitan bahasa Melayu agama Katolik di Malaysia. Konsep Allah dalam Islam(bererti mentauhidkan Allah yang tunggal) jauh berbeza dengan Kristianiti yang mengaitkan Tuhan dengan triniti. Moga-moga dalam tempoh terdekat akan terdapat penyelesaian yang adil bagi Islam dan umatnya. (b) Kes mantan model yang dijatuhi hukuman sebat (tetapi belum dilaksanakan) kerana meminum arak di khalayak ramai - menyerlahkan dua kepincangan yang harus segera diperbaiki, iaitu (i) keseragaman hukum syariah bagi semua negeri di Malaysia. Ya Maulana ya Habibi, kita sudah lebih 50 tahun merdeka, mempunyai institusi agama Islam di setiap negeri, memiliki pakar undang-undang syariah, dan ketua kerajaan Negeri yang dipertanggungjawabkan atas hal ehwal Islam. Dengan kuasa dan kepakaran yang ada, sepatutnya keseragaman undang-undang syariah dapat disepakati, bukan untuk diselesaikan hingga bertahun-tahun lagi, dan (ii) wujudnya sesuatu yang belum dibereskan khususnya antara hukuman dan pelaksanaan.
(2) Politik : Puisi yang saya baca dalam majlis sambutan tahun baru 2010 anjuran Kerajaan Selangor turut menyentuh peranan pejuang terdahulu, terutamanya Abu Bakar al-Baqir dan Burhanuddin el-Helmy dalam upaya memperkukuhkan politik, pendidikan, serta sosio-ekonomi Melayu. Akibat memperjuangkan Melayu, mereka ditahan oleh penjajah Inggeris. Moga-moga 2010 akan menyaksikan suatu simbiosis luar biasa yang melibatkan kumpulan-kumpulan siasah Melayu terutamanya, agar Melayu menjadi lebih baik, tidak menjadi lebih parah.
(3) Pendidikan : Dua tahun lagi, menurut janji TPM dan Menteri Pelajaran, PPSMI akan dihapuskan. Semoga janji itu dikotakan. Akan tetapi dalam masa yang sama kita tentu berharap institusi seperti DBP, penerbit-penerbit universiti, institusi penyelidikan sains dan sains sosial, serta sarjana, menghasilkan dan menerbitkan BANYAK buku dalam bahasa Melayu untuk pelbagai peringkat (kanak-kanak, remaja, dewasa) dalam pelbagai bidang dan subbidang ilmu dan karya kreatif. Jika penerbitan dalam bahasa Melayu gagal menyahut keperluan pelanggan (pembaca - terutamanya pelajar pelbagai peringkat) , maka kita bimbang tamadun berasaskan bahasa Melayu di negara ini akan ditolak ke tepi oleh tamadun berbahasa Inggeris.
(4) Kebudayaan : Melihat imejan di kaca tv, media cetak dan sebagainya (yang secara terang-terangan mengketengahkan konsep penggunaan pelbagai bahasa, budaya dll), saya bertanya dalam hati : Adakah kita sedang dalam proses bawah-sedar untuk 'menghalalkan' konsep Malaysian Malaysia yang pernah disuarakan oleh Lee Kuan Yew?
(5) Kesusasteraan : Moga-moga tahun ini lebih banyak karya kebangsaan kita diterjemahkan ke bahasa-bahasa asing (terutama oleh penerbit luar negara), sastera dan sasterawan kita dipromosikan secara terancang oleh DBP dan ITNMB; ada karya-karya baru magnum opus daripasa sasterawan kita dapat dilahirkan, dan dunia kritikan kita kembali rancak.
(6) Antarabangsa: Keprihatinan saya tentunya ke atas usaha kemerdekaan Palestina. Dan di rantau ini, Myanmar yang demokratis.