MAJLIS PELANCARAN BUKU TERJEMAHAN
DRAMA KLASIK FAUST
28 Februari 2013 (Khamis) | 3.00
petang | Cinnamon Coffee House, One World Hotel
______________________________________________________________________________________
Pengarah Urusan Institut Terjemahan & Buku Malaysia.
Yang berbahagia
Dr. Michael Feiner,
Pemangku Ketua Perwakilan Jerman di Malaysia.
Sdr Latiff
Mohidin,
Penterjemah buku Faust, pelukis
dan penulis terkenal tanah air.
Dif-dif
kehormat, jemputan-jemputan khas, para sasterawan, penulis,
pihak media, tuan-tuan dan puan-puan yang saya dihormati sekalian.
1.
Alhamdulillah,
bersyukur kita ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah rahmat-Nya dapat kita
bersama-sama dalam Majlis Pelancaran Buku Terjemahan Drama
Klasik Faust versi
bahasa Melayu terjemahan Latiff Mohidin. Majlis yang dianjurkan oleh Institut
Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) ini, pada hemat saya melakar satu lagi kejayaan dan usaha penting
yang dilaksanakan dalam penerbitan, apabila sebuah buku Karya Agung Dunia yang
sangat terkenal akan dilancarkan dan dipersembahkan kepada umum sebentar sahaja
lagi.
2.
Atas
sebab-sebab penjajahan, dari kecil kita sudah diperkenalkan kepada lagu
kanak-kanak, serta karya sastera negara penjajah kita. Padahal di luar dari
lingkungan itu, terdapat seaneka karya sastera besar dan agung. Salah satu
daripadanya dari Jerman, iaitu Faust
yang dilancarkan pada petang ini.
3.
Faust adalah karya terbesar penulis
tersohor Jerman, Johann Wolfgang von Goethe selepas karyanya yang lain seperti Stella, Egmont, Torquata Tasso dan
sebagainya. Pada hemat saya setiap pelajar teater belum sempurna
pembelajarannya jika belum membaca dan menghayati karya drama besar, termasuk Faust ini.
4.
Masyarakat Malaysia, khususnya
pendukung dan golongan penting bidang sastera tanah air wajar berasa bangga,
apabila buku terjemahan klasik Faust
karangan Goethe dilancarkan di sini, dan meletakkan Latiff Mohidin sebagai
seorang penterjemah berwibawa yang berjaya mengungkapkan versi klasik Jerman ke
dalam bahasa Melayu, dengan leretan puisi yang begitu indah dan setia kepada pengungkapan
aslinya; seterusnya diterbitkan oleh Institut Terjemahan & Buku Malaysia
dalam bentuk yang berprestij dengan ciri penerbitan istimewa. Dengan bentuk
ini, karya klasik terkenal ini dapat dinikmati, dihayati dan dikongsi oleh
pelbagai lapisan masyarakat di negara kita. Kita perlu menunggu kira-kira 240 tahun, dan seorang
seniman-penterjemah tempatan yang menguasai bahasa Jerman dengan baik, iaitu
Latiff Mohidin, untuk dapat menatap Faust
dalam bahasa Melayu.
5. Faust menjadi sebuah karya agung Jerman, dan sebagaian sastera
besar dunia, kerana keterampilan seni pengarangnya mengangkat tema besar
tentang kehidupan manusia yang tidak abadi ini, yang masuk ke jagat
logosentrisme. Kreativitinya meluaskan dimensi horisontal kita untuk memahami
jiwa manusia, dan dalam masa yang sama mengangkat dimensi vertikal kita akan yang
Maha Agung. Penanjakan dimensi vertikal ini bagaimanapun, mungkin menimbulkan
persoalan rumit tentang tanzil, atau
antropomorfik dalam kalangan kita, terutamanya dalam bahagian ‘Prolog di
Langit’ apabila Maha Agung diturunkan ke pentas oleh pengarangnya.
6.
Karya
Faust ini masih berpengaruh sehingga
kini dan dikatakan mempunyai pesona yang besar dalam dunia sastera, teater dan
kegiatan seni, khususnya di benua Eropah. Karya ini sudah banyak difilemkan dan
ia menjadi perbahasan khusus dalam dunia sastera. Lantaran itu, saya mengalu-alukan usaha ITBM menerbitkan terjemahan drama
klasik Faust yang akan dapat
mempererat hubungan sastera dan ilmu kedua-dua negara iaitu Jerman dan
Malaysia.
7.
Keperluan melakukan transformasi dalam persekitaran yang
semakin berubah amat dituntut seandainya kita ingin terus kekal berdaya saing
seiring dengan negara maju lain. Ini juga proses yang harus dilalui oleh
seseorang penulis tempatan jika kita ingin sampai ke pentas sastera dunia. Perubahan
yang banyak dilakukan oleh ITBM sejak kebelakangan ini dan penerbitan pelbagai
karya agung, sastera dan klasik yang diusahakannya merupakan suatu bentuk
perubahan yang diambil oleh ITBM dalam menerajui dunia penerbitan negara, yang
harus dimanfaatkan oleh penulis-penulis tempatan. Melalui penerbitan karya
sastera luar, ITBM berjaya mengorak langkah lebih jauh mendepani penerbit yang
lain dan mempunyai peluang yang lebih besar untuk menerokai dunia baharu di
luar sempadannya. Saya mengucapkan tahniah atas usaha konsisten dan kejayaan
ITBM meneroka jauh ke pasaran penerbitan antarabangsa.
8. Dengan lafaz Bismillahhirrahmannirrahim,
saya dengan sukacita melancarkan Buku Terjemahan Drama Klasik Faust karya
Johann Wolfgang von Goethe yang diterjemahkan oleh Latiff Mohidin. Semoga Allah
SWT memberkati segala usaha kita dalam memperbanyak khazanah ilmu dan
menyemarakkan penerbitan karya sastera di Malaysia.
Sekian, Wabillahi
Taufiq Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
27
Februari 2013.