Thursday, April 3, 2014



Anwar Ridhwan

MENGEKSPORT  SASTERA
 
Penyebarluasan karya sastera kita sebenarnya mempunyai sekurang-kurangnya dua sempadan. Pertama, sempadan wilayah berbahasa Melayu dengan tembok birokrasi serta akta yang melindungi perdagangan serta kepentingan bahasa Melayu masing-masing negara. Untuk memasarkan karya sastera kita ke Indonesia terutamanya, juga Brunei Darussalam, Singapura dan Thai Selatan, beberapa prosedur mereka harus dipatuhi. Padahal wilayah ini menggunakan bahasa Melayu yang sama, dengan sedikit perbezaan kosa kata, atau kelainan makna bagi kosa kata tertentu.
    Apabila prosedur ketat pihak Indonesia selalu disebut-sebut sebagai halangan pengeksportan buku Melayu ke sana, seorang teman daripada industri buku Indonesia cuba menggunakan alasan yang tidak seratus peratus bersifat perbukuan. Ia menekankan kualiti, sebagaimana dahulu masyarakat di sana menerima filem-filem P. Ramlee; atau kini bagaimana kanak-kanan Indonesia menerima Upin dan Ipin.
    Sempadan kedua adalah perbatasan antara sastera Melayu dengan bahasa-bahasa lain di luar sana. Perbatasan ini bukanlah tidak pernah dilalui. Sejak beberapa dekad yang lalu, sastera Melayu dalam terjemahan telah melewati perbatasan antarabangsa. Dalam hubungan ini Dewan Bahasa dan Pustaka, Institut Terjemahan Negara Malaysia (kini Institut Terjemahan dan Buku Malaysia) dan beberapa penerbit swasta, telah dan sedang mengambil langkah untuk menterjemahkan karya sastera, menerbitkannya secara bersendirian atau bersama, serta memasarkannya di peringkat antarabangsa.
    Usaha-usaha mempromosi karya sastera Melayu dalam terjemahan juga dilakukan melalui pelbagai cara. Antaranya ialah diskusi buku, serta penyertaan dalam pesta-pesta buku antarabangsa yang penting seperti di Bologna, Itali; Tokyo, Jepun; London, England  dan Frankfurt, Jerman.
    Pengeksportan karya sastera Melayu ke luar negara sebenarnya terlebih dahulu melibatkan suatu perkara asas iaitu pemilihan. Siapakah yang memilih karya tersebut untuk diterjemahkan? Dan, mengapakah karya tersebut dianggap wajar untuk diterjemahkan? Soalan kedua itu biasanya disandarkan kepada rasional subjektif bahawa karya tersebut dianggap ‘bermutu,’ maka wajarlah karya tersebut diterjemahkan ke dalam bahasa asing. Sandaran ini masih terbuka kepada perdebatan lantaran asas rasionalnya yang  subjektif itu.
    Persoalan siapakah yang memilih sesebuah karya untuk diterjemahkan merupakan isu yang menarik. Hal ini demikian kerana biasanya terdapat dua kaedah sudut pandang. Pertama, dari sudut pandang orang asing sendiri yang tertarik kepada sesebuah karya sastera Melayu, lalu dipilih untuk diterjemahkan ke dalam bahasa ibundanya. Kedua, dari  sudut pandang individu atau jawatankuasa yang dibentuk di Malaysia untuk memilih karya-karya yang wajar diterjemahkan ke bahasa antarabangsa.
    Contoh daripada sudut pandang pertama ialah apabila Hans Overbeck yang terpesona dengan Hikayat Hang Tuah, memilih karya agung Melayu ini untuk diterjemahkan ke dalam bahasa Jerman. Terjemahan tersebut diterbitkan di Munich pada tahun 1923. Hans Overbeck juga terpukau dengan pantun-pantun Melayu, mengumpulkannya, dan memperkenalkannya dalam Deutsche Watch untuk khalayak Jerman.
    Pemilihan melalui kaedah sudut pandang pertama itu mungkin dianggap sebagai yang paling baik, alamiah dan sesuai dengan cita rasa masyarakat antarabangsa itu sendiri. Ini kerana pihak mereka sendiri yang menemuinya, menilai serta mengangkatnya, dan menterjemahkannya melalui bahasa yang mereka kuasai, yakni  nuansa bahasa khalayak sasarannya. Secara ringkas, karya-karya yang dipilih melalui sudut pandang pertama itu dianggap bermutu, unik, dan mengandung tema atau persoalan yang menarik.
    Pengalaman yang sama turut terjadi ke atas beberapa karya Islami atau daripada tradisi kesusasteraan Arab, apabila pihak  barat memilih untuk menterjemahkannya. Antara karya ini termasuklah 1001 Malam, Rubaiyyat oleh Umar Khayyam, puisi-puisi Khalil Gibran yang lebih kontemporari dan sebagainya.
    Puisi-puisi Arab seperti qasida, ghazal, qitah, masnawi, ruba’i dan maqamah bukanlah sesuatu yang mudah untuk diterjemahkan ke dalam bahasa asing. Bagaimanapun  pihak barat berusaha melakukannya walaupun menyedari bahawa terjemahan tidak mungkin mengekalkan semua struktur, dan terutamanya rima  yang berkonotasi kerohanian. Imejan sufistik ada yang tidak dapat diterjemahkan bagi menangkap makna vertikal kerohanian,  sebaliknya hanya menatijahkan gambaran yang memberi makna horizontal keduniaan yang fana.
    Selepas Hikayat Hang Tuah yang menarik perhatian pengkaji Jerman dan barat umumnya, beberapa buah novel Melayu telah diterjemahkan ke bahasa lain atas pilihan sarjana asing. Kaedah ini seperti yang telah dinyatakan, adalah lebih baik, kerana penilaian datang daripada sudut pandang orang asing.
    Bagaimanapun untuk menyebarluaskan karya sastera Melayu ke persada antarabangsa, kaedah pemilihan hanya daripada sarjana asing tidak boleh dijadikan sebagai sandaran tunggal, atau satu-satunya jalan. Ini kerana banyak karya sastera terus dihasilkan, yang memungkinkan lahirnya beberapa karya yang dianggap baik untuk dikongsi secara sejagat. Di samping itu, proses penterjemahan serta penerbitan yang memakan masa, mungkin menyebabkan ada karya bermutu yang harus menunggu giliran untuk dapat dikesan oleh pengkaji luar umpamanya.
    Justeru, usaha solicited, yang merancang secara dalaman pemilihan karya sastera untuk diterjemahkan, wajar diteruskan. Sebagai usaha yang berdasarkan kesan serta penilaian dalaman,  hasil penerimaan ke atas karya tersebut di peringkat antarabangsa mungkin meleset. Kemelesetan tersebut boleh disumbangkan oleh dua lagi faktor, iaitu penterjemahan yang dilakukan bukan oleh penutur asli bahasa khalayak sasaran karya tersebut, dan  karya tersebut di cetak dan hanya dipasarkan di Malaysia.
    Akan tetapi tema serta persoalan dalam karya sastera, terutamanya novel, turut menentukan sama ada karya itu boleh dipasarkan di peringkat antarabangsa ataupun tidak.  Ini suatu pendapat yang boleh diperdebatkan. Ada yang menyebut bahawa kalau persoalannya menyangkut tentang seks, jenayah, pengintipan dan sebagainya, maka karya tersebut mudah memancing penerbit antarabangsa. Tahun lepas, sebuah novel Malaysia yang olahan ceritanya melibatkan seks, jenayah dan pengintipan – dengan latar Kuala Lumpur, dan watak-watak seperti Ning Somprason aka Devil, Terry Fernandez dan Fellatio – telah diterjemahkan dan diterbitkan di Itali.
    Sebahagian besar pengarang Melayu yang mapan dan muda, tampaknya masih tetap rasional untuk tidak terdorong mengolah cerita nafsu nafsi dan selangkangan, semata-mata untuk mencipta nama di pentas dunia.
    Sejak sekian lama pengarang Melayu menyedari tanggungjawab sebagai penulis yang membawa pesan-pesan positif untuk khalayak pembacanya. Untuk menyebut mereka ‘khalifah’ mungkin agak berlebihan, namun karya-karya mereka sering memancarkan kesedaran serta tanggungjawab sebagai karyawan Islam – dengan mesej kental atau bersahaja.
    Bagi mereka ini, terjemahan karya adalah suatu bonus. Mereka tidak mengharapkan lonjakan nama kerana sesuatu yang sensual semata-mata, yang terpikul akibatnya di hari kemudian. Adalah lebih bermakna, hadir dengan karya yang bermutu tinggi, dan pesan yang mendalam abadi untuk pembacanya; dan jika karya itu menjadi fenomena di peringkat antarabangsa, namanya terangkat sekali oleh sebab-sebab yang boleh diterima serta cocok dengan prinsip kepengarangannya.
    Kerana tersembunyi di balik karang, mutiara mungkin lambat ditemui. Mutiara tetaplah bernilai mutiara tidak kira bila ia dituai dari lantai lautan.
(Pertama kali diterbitkan oleh Berita Harian)
   

1 comment: