Sunday, November 29, 2009

Anugerah Sastera Negara Hanya Untuk Karya dalam Bahasa Kebangsaan Malaysia.

Sdr. Salbiah Ani dalam tulisannya di Berita Harian baru-baru ini membangkitkan semula pendapat politikus Fuad Zarkashi (Timbalan Menteri Pelajaran) di Dewan Rakyat bahawa kerajaan sedia mempertimbangkan pemberian Anugerah Sastera Negara kepada para penulis yang menulis dalam bahasa-bahasa lain selain Bahasa Kebangsaan.
Pendapat politikus ini berbahaya kerana hanya memenuhi keinginan politik, bukan keinginan kebangsaan.
Malaysia mempunyai Bahasa Kebangsaan (iaitu bahasa Melayu), sebagaimana Thai mempunyai bahasa kebangsaannya, dan Indonesia mempunyai bahasa kebangsaannya. Seperti di dua negara jiran kita, hadiah sasteranya hanya diberikan kepada karya penulis yang menulis dalam bahasa kebangsaan masing-masing (sama ada Thai atau Bahasa Indonesia, atau Bahasa Melayu di Malaysia).
Bahasa Melayu telah mempunyai karya sastera tradisional sejak ribuan tahun (seperti pantun yang dianggap genius), dan karya-karya agung seperti Hikayat Hang Tuah dan Sulalat al-Salatin sejak ratusan tahun lampau. Ini warisan sah bagi kesusasteraan modennya (dalam bahasa Melayu) yang wajar dianggap sebagai sastera kebangsaan Malaysia.
Mempertimbangkan Anugerah Sastera Negara untuk karya yang bukan dalam Bahasa Kebangsaan (seperti luahan pendapat Fuad) adalah mencabul Fasal 152 Perlembagaan Persekutuan, dan pendapat itu seolah-olah cenderung ke arah konsep Malaysian Malaysia.
Daulatkan Bahasa Kebangsaan dalam semua aspek kehidupan rakyat Malaysia!

3 comments:

  1. Itulah sebabnya kami dalam PENA sering membuat resolusi agar Dasar Kebudayaan Kebangsaan diaktakan yang denga sendiri mengabsahkan Kesusasteraan Kebangsaan mestilah dalam bahasa Melayu sahaja, supaya perkara ini tidak terus dipermainkan oleh golongan agitator itu

    ReplyDelete
  2. Daulatkan Bahasa Kebangsaan dalam semua aspek kehidupan rakyat Malaysia!

    Kepada pencabul bahasa, jangan sesekali berniat merendahkan martabat bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan seperti yang telah diiktiraf. Hormati bahasa Melayu jika diri mengaku rakyat Malaysia.

    Buat Dato' Dr. Anwar Ridhwan, terima kasih atas penjelasan yang diberikan. Semoga memberi manfaat kepada warga Malaysia seluruhnya. Amin. Perjuangan tiada bernokhtah.

    ReplyDelete
  3. Dato'
    Malangnya, ada sahabat yang berperangai dan bertingkah laku tidak seperti sahabat.

    Ada orang yang sebelumnya kita lihat cerdik, dan kita fikir mampu mendukung hasrat, tetapi di depan orang lain suka menanam tebu di bibir.

    Malang sekali lagi, ramai yang di atas selalu lupa, tentang pantang berladang tebu di puncak gunung.
    Semoga bangsa kita sentiasa dilindungi.

    ReplyDelete