Sunday, December 2, 2012


 
“Di sesetengah negara, kadang-kadang campur tangan politik dan bisnes mengatasi dapatan dan cadangan pakar-pakar alam sekitar, menyebabkan kawasan-kawasan hijau dan kawasan tadahan hujan, termasuk di lereng-lereng bukit dan gunung, dibangunkan dengan berleluasa. Selalu pula tiada kawalan dan penguasaan yang ketat terhadap operasi kilang-kilang dari luar negara, sehingga mereka melepaskan bahan toksik ke dalam sungai, tasik, paya dan laut, dan melepaskan kepulan asap hitam pekat ke udara selama 24 jam. Penduduk negara asal kilang-kilang tersebut pastinya berasa gembira kerana segala bahan toksik dan kotoran telah dilepaskan di negara-negara miskin atau sedang membangun …”
KONSEP ‘hablumminannas’ selalu diberi takrifan yang singkat iaitu peri hubungan sesama manusia, pada hal manusia memerlukan alam – termasuk segala flora dan fauna dalam kitaran kehidupan. Sehubungan ini, sejak beberapa dekad yang lalu, karya sastera turut menampilkan alam sebagai watak, lalu muncullah kritikan ekologi dalam apresiasi karya kesusasteraan.
       Dalam sebuah tulisannya Buell mendefinisi kritikan ekologi sebagai “ a study of the relation between literature and the environment conducted in a spirit of commitment to environmentalist praxis.” Howarth menyebut tentang “ecology describes the relations between nature and culture.” Sementara Evernden menanggapinya sebagai “The deep ecological movement, the one that concerns itself with the underlying roots of environment crisis rather than simply its physical manifestation, demands the involvement of arts and humanities.”
       Anda menemui tema ini dalam beberapa buah novel, umpamanya Seluang Menodak Baung (Shahnon Ahmad) dan Daerah Beta (Azizi Haji Abdullah). Satu daripada isu yang menarik perhatian penulis dalam proses penghasilan Naratif Ogonshoto  ialah isu alam sekitar, yang kemudian menjadi sebahagian bab novel tersebut iaitu “Aisberg.”
        Di negara-negara miskin dan sedang membangun, keprihatinan semua pihak terhadap pelestarian alam sekitar pada umumnya masih rendah. Keperluan bagi mendapatkan bahan bakar yang murah dan mudah menyaksikan penebangan hutan dan belukar yang berleluasa. Cara mudah membuang pelbagai sisa dan sampah sarap ialah melontarkannya ke tasik, sungai dan laut. Tiadanya perancangan jangka panjang dan bersepadu oleh pihak yang bertanggungjawab, mengakibatkan pembangunan yang tidak terkawal.
       Di sesetengah negara, kadang-kadang campur tangan politik dan bisnes mengatasi dapatan dan cadangan pakar-pakar alam sekitar, menyebabkan kawasan-kawasan hijau dan kawasan tadahan hujan, termasuk di lereng-lereng bukit dan gunung, dibangunkan dengan berleluasa. Selalu pula tiada kawalan dan penguasaan yang ketat terhadap operasi kilang-kilang dari luar negara, sehingga mereka melepaskan bahan toksik ke dalam sungai, tasik, paya dan laut, dan melepaskan kepulan asap hitam pekat ke udara selama 24 jam. Penduduk negara asal kilang-kilang tersebut pastinya berasa gembira kerana segala bahan toksik dan kotoran telah dilepaskan di negara-negara miskin atau sedang membangun, dan dengan cara itu mereka dapat mengekalkan kejernihan air dalam sungai dan tasik negara mereka, di samping melestarikan langit biru jernih berudara segar di negara mereka.
        Negara-negara maju tidaklah terus mencapai status tersebut, tanpa – dalam skala yang berbeza-beza – menghadapi isu alam sekitar pada masa lampau. Sungguhpun isu alam sekitar terus wujud di setiap negara, tetapi pada umumnya negara-negara maju dapat merangka dan menguatkuasakan pelestrian alam sekitar. Jika alam sekitar dijadikan latar kepada empat keperluan asas manusia iaitu (a) makanan, (b) pakaian, (c) perumahan, dan (d) pendidikan, maka negara maju amat mengambil berat terhadap kualiti air dan tanah untuk pertanian; amat mengambil berat operasi kilang industri asas tani dan pakaian; lebih teliti merancang pembangunan kawasan perumahan yang mesra alam, di samping mendapat bekalan air bersih yang berkualiti dan bekalan elektrik yang berpanjangan; serta lebih teliti ketika mendirikan institusi-institusi pendidikan agar cukup kondusif, dan landskap yang bergabung-jalin dengan alam sekitarnya (terutama yang lokasinya bertempat di sub-urban atau luar kota). Sungguhpun di bandaraya tertentu negara maju muncul isu CFC dan sebagainya, pada umumnya masih terdapat kawasan hijau dan kawasan tadahan air yang dijaga rapi, dan mereka tidak menghadapi masalah kekurangan air serta bekalan elektrik, yang merupakan dua keperluan penting bagi kehidupan manusia. 
       Sewaktu penulis sedang merangka ‘Naratif Ogonshoto’ di Tokyo, penulis terbaca berita tentang krisis bekalan air yang melanda Melaka dan Kuala Lumpur. Di Melaka krisisnya lebih dahsyat. Tidak ada bekalan air selama berhari-hari, yang amat menyulitkan urusan orang ramai, serta bidang pertanian, ternakan dan operasi kilang yang memerlukan bekalan air.
       Situasi tersebut menimbulkan semacam ironi. Hujan turun hampir setiap hari di Malaysia, tetapi tiada jaminan bahawa bekalan air akan sentiasa ada bagi pelbagai keperluan. Tentulah tiada ironi jika situasi tersebut berlaku di negara padang pasir tandus. Sumber yang amat berharga yang selalu turun dari langit, tampaknya tidak ditadah secara sistematik, untuk dikumpulkan dalam empangan yang besar bagi menjamin bekalan yang berpanjangan. Dalam masa yang sama, pengabaian terhadap pelestarian kawasan-kawasan hijau tadahan hujan, penerokaan hutan yang kurang terkawal, dan pencemaran sungai, turut menyumbang kepada krisis bekalan air. Ini menunjukkan bahawa kepekaan  terhadap konsep pelestarian alam sekitar yang holistik masih pada tahap yang belum memuaskan. Anehnya, di sesetengah negara, termasuk di Republik Ogonshoto, dana yang besar telah dikeluarkan untuk projek mega, yang dalam kes republik tersebut ialah memugar hutan belantara kawasan tadahan hujan bagi membina padang golf yang luas, demi citra di mata dunia; daripada menggunakan dana yang besar itu untuk menyediakan salah satu keperluan asas rakyatnya.  
       Penulis teringat akan kata-kata seorang sahabat penulis, yang bertugas sebagai jurutera yang bertanggungjawab terhadap empangan dan bekalan air di Lembah Kelang. Katanya, “Apabila paras air empangan rendah, tekanan darah saya jadi tinggi. Apabila paras air empangan tinggi, tekanan darah saya jadi rendah.”      
         Isu krisis bekalan air di Melaka itu mengingatkan penulis kepada sebuah     peribahasa Melayu : “Itik Berenang dalam Air Mati Kehausan.” Jika diambil pengertian literal, lugas atau kognitifnya sahaja, jelaslah bahawa penduduk Melaka ketika krisis tersebut seolah-olah itik berenang mati kehausan, kerana sungguhpun hujan turun, tetapi mereka tidak mendapat bekalan air yang sewajarnya. Bagaimanapun, beberapa bahagian Naratif Ogonshoto, menterjemahkan maksud yang biasanya dikaitkan dengan peribahasa tersebut, untuk menggambarkan keciciran peribuminya dalam pelbagai bidang kehidupan di sebuah republik yang kaya raya.
       Krisis bekalan air di Republik Ogonshoto terjadi selepas pembinaan sebuah padang golf luas yang setaraf St. Andrews,  dengan mengorbankan hutan hijau kawasan tadahan hujan, semata-mata kerana Presiden mahu menaikkan citra republik tersebut yang mampu membina dan memiliki padang golf kelas dunia. Bagi Presiden, citra lebih penting daripada realiti. Pandangan dan pendapat pakar-pakar alam sekitar yang tulen telah diketepikan, kerana Presiden boleh membentuk sekumpulan pakar-pakar alam sekitar yang memihak kepadanya, yang boleh menyokong semua rancangan pembangunan di Ogonshoto melalui sogokan wang atau kenaikan pangkat.
       Apabila kemarau terjadi, dalam situasi terdesak, Presiden memuaskan egonya dengan memerintahkan agar dua bongkah aisberg dari Kutub Selatan ditarik ke Ogonshoto. Aisberg itu nanti boleh ditambat di pelabuhan, dipotong-potong, dan dimuatkan ke dalam tangki-tangki air. Sikap grandiose Presiden sejajar dengan seleranya yang tinggi mengumpulkan kekayaan, merancang projek skala besar, mendewakan materialisme, dan menunjukkan kehebatannya. Projek itu  memakan biaya besar (yakni biaya kepada pakar aisberg, dan operator 14 buah kapal yang setiap tujuh buah akan menarik sebongkah aisberg). Projek itu diberikan kepada kroninya.
Penulis menjukstaposisikan sikap grandiose Presiden dengan seorang lelaki tua warga Ogonshoto itu yang agak tuli dan buta huruf, tetapi bersikap lebih praktikal dalam menangani kemarau sehari-hari. Dia menterjemahkan enigma angka kepada kerja. Cerita tentang dua bongkah aisberg besar mendorongnya untuk menggali perigi dan menyuling air laut dalam dua periuk besar – sebagai persiapan menghadapi kemarau panjang. Angka empat belas buah kapal yang menarik aisberg memberinya ilham untuk mencari 14 tong air yang bakal mengisi air sulingnya. Hasil kerja gigihnya berbulan-bulan dalam musim kemarau yang membakar, kolam yang digali telah mengeluarkan mata air, dan dia dapat mengumpul 14 tong air suling.
       Apabila Presiden Ogonshoto yang ‘lebih suka ditakuti daripada dihormati’ itu tidak mengendahkan nasib rakyatnya, wajarlah orang kecil seperti lelaki tua itu bersikap praktikal dalam menangani kehidupannya sehari-hari. [DS1211].