KONSEP
‘hablumminannas’ selalu diberi takrifan
yang singkat iaitu peri hubungan sesama manusia, pada hal manusia memerlukan
alam – termasuk segala flora dan fauna dalam kitaran kehidupan. Sehubungan ini,
sejak beberapa dekad yang lalu, karya sastera turut menampilkan alam sebagai
watak, lalu muncullah kritikan ekologi dalam apresiasi karya kesusasteraan.
Dalam sebuah tulisannya Buell
mendefinisi kritikan ekologi sebagai “ a
study of the relation between literature and the environment conducted in a
spirit of commitment to environmentalist praxis.” Howarth menyebut tentang
“ecology describes the relations between
nature and culture.” Sementara Evernden menanggapinya sebagai “The deep ecological movement, the one that
concerns itself with the underlying roots of environment crisis rather than
simply its physical manifestation, demands the involvement of arts and
humanities.”
Anda menemui tema ini dalam beberapa
buah novel, umpamanya Seluang Menodak
Baung (Shahnon Ahmad) dan Daerah Beta
(Azizi Haji Abdullah). Satu daripada isu yang menarik perhatian penulis dalam
proses penghasilan Naratif Ogonshoto ialah isu alam sekitar, yang kemudian
menjadi sebahagian bab novel tersebut iaitu “Aisberg.”
Di negara-negara miskin dan sedang membangun,
keprihatinan semua pihak terhadap pelestarian alam sekitar pada umumnya masih
rendah. Keperluan bagi mendapatkan bahan bakar yang murah dan mudah menyaksikan
penebangan hutan dan belukar yang berleluasa. Cara mudah membuang pelbagai sisa
dan sampah sarap ialah melontarkannya ke tasik, sungai dan laut. Tiadanya
perancangan jangka panjang dan bersepadu oleh pihak yang bertanggungjawab,
mengakibatkan pembangunan yang tidak terkawal.
Di sesetengah negara, kadang-kadang
campur tangan politik dan bisnes mengatasi dapatan dan cadangan pakar-pakar
alam sekitar, menyebabkan kawasan-kawasan hijau dan kawasan tadahan hujan,
termasuk di lereng-lereng bukit dan gunung, dibangunkan dengan berleluasa.
Selalu pula tiada kawalan dan penguasaan yang ketat terhadap operasi
kilang-kilang dari luar negara, sehingga mereka melepaskan bahan toksik ke
dalam sungai, tasik, paya dan laut, dan melepaskan kepulan asap hitam pekat ke
udara selama 24 jam. Penduduk negara asal kilang-kilang tersebut pastinya
berasa gembira kerana segala bahan toksik dan kotoran telah dilepaskan di negara-negara
miskin atau sedang membangun, dan dengan cara itu mereka dapat mengekalkan
kejernihan air dalam sungai dan tasik negara mereka, di samping melestarikan
langit biru jernih berudara segar di negara mereka.
Negara-negara
maju tidaklah terus mencapai status tersebut, tanpa – dalam skala yang
berbeza-beza – menghadapi isu alam sekitar pada masa lampau. Sungguhpun isu
alam sekitar terus wujud di setiap negara, tetapi pada umumnya negara-negara
maju dapat merangka dan menguatkuasakan pelestrian alam sekitar. Jika alam
sekitar dijadikan latar kepada empat keperluan asas manusia iaitu (a) makanan,
(b) pakaian, (c) perumahan, dan (d) pendidikan, maka negara maju amat mengambil
berat terhadap kualiti air dan tanah untuk pertanian; amat mengambil berat
operasi kilang industri asas tani dan pakaian; lebih teliti merancang
pembangunan kawasan perumahan yang mesra alam, di samping mendapat bekalan air
bersih yang berkualiti dan bekalan elektrik yang berpanjangan; serta lebih
teliti ketika mendirikan institusi-institusi pendidikan agar cukup kondusif,
dan landskap yang bergabung-jalin dengan alam sekitarnya (terutama yang
lokasinya bertempat di sub-urban atau luar kota). Sungguhpun di bandaraya
tertentu negara maju muncul isu CFC dan sebagainya, pada umumnya masih terdapat
kawasan hijau dan kawasan tadahan air yang dijaga rapi, dan mereka tidak
menghadapi masalah kekurangan air serta bekalan elektrik, yang merupakan dua keperluan
penting bagi kehidupan manusia.
Sewaktu penulis sedang merangka ‘Naratif
Ogonshoto’ di Tokyo, penulis terbaca berita tentang krisis bekalan air yang
melanda Melaka dan Kuala Lumpur. Di Melaka krisisnya lebih dahsyat. Tidak ada
bekalan air selama berhari-hari, yang amat menyulitkan urusan orang ramai,
serta bidang pertanian, ternakan dan operasi kilang yang memerlukan bekalan
air.
Situasi tersebut menimbulkan semacam
ironi. Hujan turun hampir setiap hari di Malaysia, tetapi tiada jaminan bahawa
bekalan air akan sentiasa ada bagi pelbagai keperluan. Tentulah tiada ironi
jika situasi tersebut berlaku di negara padang pasir tandus. Sumber yang amat
berharga yang selalu turun dari langit, tampaknya tidak ditadah secara
sistematik, untuk dikumpulkan dalam empangan yang besar bagi menjamin bekalan
yang berpanjangan. Dalam masa yang sama, pengabaian terhadap pelestarian
kawasan-kawasan hijau tadahan hujan, penerokaan hutan yang kurang terkawal, dan
pencemaran sungai, turut menyumbang kepada krisis bekalan air. Ini menunjukkan
bahawa kepekaan terhadap konsep
pelestarian alam sekitar yang holistik masih pada tahap yang belum memuaskan.
Anehnya, di sesetengah negara, termasuk di Republik Ogonshoto, dana yang besar
telah dikeluarkan untuk projek mega, yang dalam kes republik tersebut ialah
memugar hutan belantara kawasan tadahan hujan bagi membina padang golf yang
luas, demi citra di mata dunia; daripada menggunakan dana yang besar itu untuk
menyediakan salah satu keperluan asas rakyatnya.
Penulis teringat akan kata-kata seorang
sahabat penulis, yang bertugas sebagai jurutera yang bertanggungjawab terhadap
empangan dan bekalan air di Lembah Kelang. Katanya, “Apabila paras air empangan
rendah, tekanan darah saya jadi tinggi. Apabila paras air empangan tinggi,
tekanan darah saya jadi rendah.”
Isu krisis bekalan air di Melaka itu
mengingatkan penulis kepada sebuah
peribahasa Melayu : “Itik Berenang dalam Air Mati Kehausan.” Jika
diambil pengertian literal, lugas atau kognitifnya sahaja, jelaslah bahawa
penduduk Melaka ketika krisis tersebut seolah-olah itik berenang mati kehausan,
kerana sungguhpun hujan turun, tetapi mereka tidak mendapat bekalan air yang
sewajarnya. Bagaimanapun, beberapa bahagian Naratif
Ogonshoto, menterjemahkan maksud yang biasanya dikaitkan dengan peribahasa
tersebut, untuk menggambarkan keciciran peribuminya dalam pelbagai bidang
kehidupan di sebuah republik yang kaya raya.
Krisis bekalan air di Republik Ogonshoto
terjadi selepas pembinaan sebuah padang golf luas yang setaraf St. Andrews, dengan mengorbankan hutan hijau kawasan
tadahan hujan, semata-mata kerana Presiden mahu menaikkan citra republik
tersebut yang mampu membina dan memiliki padang golf kelas dunia. Bagi
Presiden, citra lebih penting daripada realiti. Pandangan dan pendapat
pakar-pakar alam sekitar yang tulen telah diketepikan, kerana Presiden boleh
membentuk sekumpulan pakar-pakar alam sekitar yang memihak kepadanya, yang
boleh menyokong semua rancangan pembangunan di Ogonshoto melalui sogokan wang
atau kenaikan pangkat.
Apabila kemarau terjadi, dalam situasi
terdesak, Presiden memuaskan egonya dengan memerintahkan agar dua bongkah
aisberg dari Kutub Selatan ditarik ke Ogonshoto. Aisberg itu nanti boleh
ditambat di pelabuhan, dipotong-potong, dan dimuatkan ke dalam tangki-tangki
air. Sikap grandiose Presiden sejajar
dengan seleranya yang tinggi mengumpulkan kekayaan, merancang projek skala
besar, mendewakan materialisme, dan menunjukkan kehebatannya. Projek itu memakan biaya besar (yakni biaya kepada pakar
aisberg, dan operator 14 buah kapal yang setiap tujuh buah akan menarik
sebongkah aisberg). Projek itu diberikan kepada kroninya.
Penulis menjukstaposisikan sikap grandiose Presiden dengan seorang lelaki
tua warga Ogonshoto itu yang agak tuli dan buta huruf, tetapi bersikap lebih
praktikal dalam menangani kemarau sehari-hari. Dia menterjemahkan enigma angka
kepada kerja. Cerita tentang dua bongkah aisberg besar mendorongnya untuk
menggali perigi dan menyuling air laut dalam dua periuk besar – sebagai
persiapan menghadapi kemarau panjang. Angka empat belas buah kapal yang menarik
aisberg memberinya ilham untuk mencari 14 tong air yang bakal mengisi air
sulingnya. Hasil kerja gigihnya berbulan-bulan dalam musim kemarau yang
membakar, kolam yang digali telah mengeluarkan mata air, dan dia dapat
mengumpul 14 tong air suling.
Apabila Presiden Ogonshoto yang ‘lebih
suka ditakuti daripada dihormati’ itu tidak mengendahkan nasib rakyatnya,
wajarlah orang kecil seperti lelaki tua itu bersikap praktikal dalam menangani
kehidupannya sehari-hari. [DS1211].
No comments:
Post a Comment