Friday, November 30, 2012


 
“Pasaran penerbitan dalam bahasa Melayu juga sepatutnya melihat kemampuan bahasa ini pada peringkat supra nasional. Semua penerbitan dalam bahasa Melayu (termasuk dari Indonesia terutamanya), seharusnya dapat diterima tanpa apa-apa hambatan linguistik. Begitu juga dengan penerbitan buku-buku Melayu untuk pasaran Indonesia. Kita harus belajar daripada bahasa dunia yang besar, di mana bahasa itu bebas menyeberang batas geo-politik, dan dapat diterima serta difahami oleh khalayak yang mempunyai kepelbagaian budaya serta kepercayaan.”
JIKA KERAJAAN tidak mengubah pendirian yang diumumkan oleh YAB Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran kira-kira setahun lebih  yang lalu untuk mengembalikan pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Melayu, maka tahun 2012 bolehlah dianggap sebagai ambang peluang kedua untuk bahasa Melayu kembali menjadi bahasa ilmu. Sebaliknya, jika kerajaan meneruskan dasar PPSMI dalam bahasa Inggeris, maka masa depan bahasa Melayu semakin malap.      
       Kemajuan dan perkembangan bahasa Melayu di Malaysia akan banyak bergantung pada dasar pembinaan dan pengembangan bahasa ini, di samping polisi serta persepsi kerajaan terhadap bahasa ini yang sepatutnya  diangkat menjadi bahasa rasmi, bahasa komunikasi,  bahasa kebangsaan dan bahasa ilmu pengetahuan. Tidak kurang penting ialah penerimaan orang Melayu sendiri terhadap bahasanya, di samping penerimaan kaum-kaum lain terhadap bahasa kebangsaan ini. Usaha mengembangkan bahasa Melayu juga berkait rapat dengan upaya memperkasakan tamadun Melayu. Kita tidak mungkin memperkasakan tamadun Melayu dengan meminjam bahasa orang lain.
       Alam Melayu di tanah lamanya sebelum kedatangan Islam turut mensisakan tinggalan sejarah berupa pelbagai jenis tulisan dan candi. Akan tetapi sejak disinari cahaya tauhid, umat Melayu-Islam memilih tulisan jawi – daripada tulisan Arab yang ditambah beberapa huruf bagi menyesuaikannya dengan lidah serta bunyi Melayu. Melalui aksara ini pujangga dan ulama Melayu silam menghasilkan karya-karya besar termasuk karya-karya sufisme dan kesusasteraan.
       Gelombang pertama kemunculan dan perkembangan bahasa Melayu bermula sejak orang Melayu menghuni gua purba, pesisir dan pulau; daripada masyarakat agrarian sepenuhnya, hinggalah kepada sebahagian masyarakat modennya yang mula menghuni kota. Gelombang pertama ini menyaksikan bahasa Melayu yang dituturkan dan didengar telah berhasil membentuknya sebagai sebuah bahasa yang dinamik. Telah tercipta karya kesusasteraan yang menjadi genius bangsa berupa pantun, peribahasa serta hikayat-hikayat yang agung seperti Hikayat Hang Tuah dan Sulalat al-Salatin. Kepustakaan Melayu terus diisi dengan buku-buku pelbagai bidang.
       Penubuhan UKM dapat dianggap sebagai puncak perkembangan bahasa Melayu. Melalui pendidikan dalam bahasa Melayu, di institusi tersebut latihan ilmiah, tesis, wacana, kuliah dan penerbitan pelbagai bidang dan subbidang dalam bahasa Melayu telah dihasilkan; disamping menghasilkan lulusan pelbagai fakulti. Sepatutnya puncak gelombang itu dipertahankan dan dilonjakkan lagi, kerana ternyata bahasa Melayu mampu mengungkapkan ilmu pengetahuan moden yang tinggi dan rumit.
       Bagaimanapun benteng penyekat gelombang itu dibina dan disiapkan dengan begitu cepat oleh seorang pemimpin negara yang menghadapi kerancuan fikiran  tentang kedaulatan serta potensi bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Benteng itu dibina sekitar tahun 2003 melalui dasar PPSMI.  Jika dasar PPSMI diteruskan, bahasa Melayu perlahan-lahan akan terhakis sebagai bahasa ilmu, bukan sahaja ilmu sains dan teknologi, malah ilmu-ilmu yang sedikit banyak memerlukan disiplin atau pengkaedahan sains dan matematik di dalamnya.
       Keberanian Menteri Pelajaran sekarang untuk memansuhkan PPSMI mulai 2012 bolehlah dianggap sebagai memberikan ‘peluang kedua’ kepada bahasa Melayu untuk membentuk gelombang baru dan seterusnya. Akan tetapi bahasa Melayu terus menghadapi cabaran hebat. Jika salah strategi bahasa Melayu tidak akan kekal sebagai bahasa utama di Malaysia, sebaliknya hanya akan menjadi bahasa kedua. Apakah perkara-perkara yang harus dimantapkan untuk memperkasakan bahasa Melayu agar kekal sebagai bahasa pertama?
       Pertuturan dan pendengaran adalah  saling berhubungan. Mungkin dianggap remeh. Akan tetapi pertuturan yang gramatis, lengkap, dan berkesan akan memberi citra baik terhadap sesuatu bahasa. Begitu juga sebaliknya. Jika bahasa Melayu dituturkan secara buruk (umpamanya tidak gramatis, pemilihan diksi yang salah, bercampur baur dengan bahasa lain – atau disebut ‘bahasa rojak’, dan seumpamanya) sama ada oleh menteri, pegawai kerajaan, dalam situasi rasmi atau tidak rasmi, dalam media elektronik, dan malah oleh pelajar – maka mereka memberi isyarat yang bahaya dan salah terhadap kemampuan bahasa Melayu. Yang tidak mampu (berbahasa dengan baik) adalah mereka, bukan kelemahan bahasa Melayu. Oleh itu wajar pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu turut menekankan cara bertutur bahasa Melayu yang betul dan berkesan sedari awal lagi.
       Untuk terus berkembang, bahasa Melayu mesti mempunyai kepustakaan ilmu dan persuratan yang banyak. Dan dibaca secara meluas pula. Di Malaysia, khususnya di institusi pendidikan tinggi awam, terdapat kira-kira 1,700 orang profesor dan 20,000 lagi staf akademik. Sekiranya setiap daripada mereka menulis dan menerbitkan sebuah buku setiap dua tahun, maka jumlah kepustakaan Melayu akan meningkat dengan mendadak. Akan tetapi perkara sebaliknya berlaku. Hanya segelintir profesor dan staf akademik IPTA yang menulis dan menerbitkan buku, dan dari yang segelintir itu hanya sebahagaian kecil yang menghasilkan penulisan yang betul-betul mendalam.
       Kepustakaan ini mesti memenuhi selera, minat serta tuntutan ilmu pelbagai golongan – kanak-kanak, remaja dan dewasa. Kepustakaan ini juga mesti meliputi semua bidang dan subbidang. Akan tetapi para sarjana kita di IPTA mungkin lebih mengejar penulisan makalah untuk jurnal-jurnal ISI demi masa depan mereka, selain tawar hati kerana penulisan buku dalam bahasa Melayu tidak diambil kira sebagai salah satu faktor untuk kenaikan pangkat. Jika IPTA tidak memartabatkan bahasa Melayu di Malaysia, pihak mana lagi yang kita harapkan? Mengapa bahasa Melayu dianaktirikan di IPTA Malaysia?
       Menteri Pelajaran pernah menyarankan agar jumlah penerbitan ditingkatkan, begitu juga buku-buku ilmiah. Saranan atau gesaan tersebut amat penting bagi memperkasakan bahasa Melayu. Tetapi siapakah yang menyambut saranan atau gesaan tersebut? Tidak terbaca atau terdengar sebarang perancangan strategik oleh pihak-pihak yang sepatutnya menanggungjawab cabaran tersebut.
       Kadar penerbitan tahunan buku-buku judul baru di negara ini, sebagai contoh, masih amat rendah berbanding jumlah penduduk. Jumlah kira-kira 16,000 judul baharu setahun (berdasarkan perangkaan yang dikeluarkan oleh Perpustakaan Negara Malaysia) masih tidak memuaskan, kerana kita sepatutnya menerbitkan 28,000 judul buku baharu setahun ( kira-kira 0.1% daripada jumlah penduduk negara, dalam upaya membentuk masyarakat lebih berilmu (learned society).  Ini menandakan ramai sarjana, penyelidik dan orang yang mengaku dirinya penulis, tidak menulis, atau kurang produktif. 
       Pasaran penerbitan  kita sepatutnya  dibanjiri dengan akhbar, majalah, buku, jurnal, ensiklopedia, buku dan penerbitan elektronik dalam bahasa Melayu. Cuba bandingkan semua ini dengan bahan-bahan yang terdapat di toko-toko buku yang besar di tanah air kita. Bahan bacaan dalam bahasa Melayu amat sedikit jumlahnya. Bagaimanapun, menurut pengusaha perbukuan, permintaan terhadap buku-buku dalam bahasa Melayu terus meningkat. Di beberapa toko buku yang besar dan terkenal, buku-buku Melayu mendapat tempat peragaan yang lebih strategik. Ini menunjukkan bahawa di peringkat akar umbi, mereka tetap berasa bahawa bahasa Melayu boleh bersaing dengan bahasa-bahasa lain.
       Pasaran penerbitan dalam bahasa Melayu juga sepatutnya melihat kemampuan bahasa ini pada peringkat supra nasional. Semua penerbitan dalam bahasa Melayu (termasuk dari Indonesia terutamanya), seharusnya dapat diterima tanpa apa-apa hambatan linguistik. Begitu juga dengan penerbitan buku-buku Melayu untuk pasaran Indonesia. Kita harus belajar daripada bahasa dunia yang besar, di mana bahasa itu bebas menyeberang batas geo-politik, dan dapat diterima serta difahami oleh khalayak yang mempunyai kepelbagaian budaya serta kepercayaan.
       Untuk menjadi bahasa pertama di negara ini, bahasa Melayu mesti berkemampuan memenuhi tuntutan kreatif dan ilmu pengetahuan semua golongan khalayaknya, terutamanya aspek kepustakaan ilmu. Bahasa Melayu juga wajar dituturkan secara gramatis, baik dan berkesan, agar memberi citra baik terhadap bahasa ini. Bahasa Melayu juga harus menjadi bahasa pengantar utama pendidikan rendah hingga universiti, menjadi bahasa komunikasi utama rakyat, serta citranya yang unggul dan berwibawa dapat dilihat di mana-mana.
Kepustakaan Melayu juga harus men-tsunami dunia maya, agar  - melalui kemudahan teknologi elektronik dan digital - mudah dicapai oleh sesiapa saja, di-mana-mana saja, pada saat apa pun. 

 

 

 

No comments:

Post a Comment