Tuesday, November 13, 2012


“Untuk selama beberapa dekad, perbezaan bahasa pengucapan kreatif merupakan tembok yang menghalang proses mengenali sastera dan sasterawan antara kaum lain di negara ini:  Melayu, Cina, India, keturunan Siam, Iban, Kadazandusun dan penulis keturunan Orang Asli. Sumbangan sastera sukuan harus diperhatikan dan dihargai, sungguhpun secara perlembagaan, bukti kebahasaan dan kebudayaan, kesemuanya itu tidak boleh menandingi kedudukan  sastera kebangsaan yang  lebih tinggi.”
PENDEDAHAN KEPADA KARYA SASTERA DUNIA (melalui karya asli atau terjemahan) menyebabkan sebahagian kita lebih mengenali sasterawan antarabangsa dari timur, barat dan Amerika Latin, berbanding dengan penulis kaum lain di Malaysia yang lebih merupakan jiran kita sendiri.
       Perbezaan bahasa pengucapan kreatif di negara ini merupakan hasil serta akibat daripada sistem pendidikan. Kanak-kanak Melayu pada umumnya bersekolah kebangsaan (Melayu). Kanak-kanak Cina bersekolah jenis kebangsaan Cina, Kanak-kanak India bersekolah jenis kebangsaan Tamil. Sebahagian kecil kanak-kanak dihantar oleh ibu bapa mereka ke sekolah yang tidak mewakili etnik mereka kerana sebab-sebab yang tertentu, umpamanya terdapat sebilangan pelajar Melayu di sekolah Cina, atau pelajar Cina dan India di sekolah kebangsaan.
       Untuk selama beberapa dekad, perbezaan bahasa pengucapan kreatif itu merupakan tembok yang menghalang proses mengenali sastera dan sasterawan antara kaum lain di negara ini:  Melayu, Cina, India, keturunan Siam, Iban, Kadazandusun dan penulis keturunan Orang Asli. Sumbangan sastera sukuan harus diperhatikan dan dihargai, sungguhpun secara perlembagaan, bukti kebahasaan dan kebudayaan, kesemuanya itu tidak boleh menandingi kedudukan  sastera kebangsaan yang  lebih tinggi.
       Untuk mengenal jiran sasterawan yang tidak dikenali, biasanya ada dua proses yang boleh membuka jendela perkenalan tersebut. Pertama, melalui penterjemahan terhadap kara-karya yang terpilih, dan yang kedua, melalui aktiviti-aktiviti  sastera yang melibatkan pelbagai kaum.
       Perjalanan sastera pelbagai kaum di negara ini pastinya terhutang budi kepada institusi dan badan sukarela yang merintis serta memupuk integrasi nasional melalui karya dan aktiviti sastera. Dewan Bahasa dan Pustaka kerana program penerbitannya yang terbuka kepada semua penulis pelbagai kaum yang menulis dalam bahasa kebangsaan. Di samping itu DBP juga mempunyai bahagian khusus yang melibatkan program serta kegiatan penulis  pelbagai kaum. Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) kerana memperkenalkan karya penulis pelbagai kaum negara ini ke pentas dunia. Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) kerana menyediakan program pendidikan dan latihan seni penulisan kepada para pelajar pelbagai kaum. Persatuan Penterjemahan dan Penulisan Kreatif (PERSPEKTIF) kerana memperkenalkan sastera Mahua kepada masyarakat Melayu dan sebaliknya. Banyak lagi persatuan penulis yang ikut mengambil bahagian, yang tidak dapat disebutkan satu per satu di sini.
       Tulisan ini tidak bermaksud mempengaruhi penulis lain untuk hanya melanggan konsep integrasi nasional dalam karya mereka, kerana tema atau persoalan dalam karya sastera begitu rencam, beragam dan kompleks. Hanya, dalam konteks masyarakat majemuk seperti Malaysia,  perpaduan adalah suatu kuasa abstrak yang sangat kuat, yang boleh menjadi pemangkin  kualiti serta peningkatan kualiti hidup umat manusia dalam pelbagai lapangan kehidupan.

         Perkembangan kesusasteraan di Malaysia telah memunculkan beberapa istilah serta genre yang menarik. Dua daripadanya muncul kerana penglibatan kaum Cina dalam sastera. Pertama, kemunculan ‘Sastera Peranakan’ atau ‘Sastera Baba’, dan yang kedua, kemunculan ‘Sastera Mahua’. Perbezaan yang ketara antara kedua-duanya ialah, bagi para pendukung serta penggerak ‘Sastera Peranakan’ atau ‘Sastera Baba’, mereka berusaha berkarya dalam bahasa Melayu; sementara penulis ‘Sastera Mahua’ menulis karya sastera dalam bahasa ibunda mereka, dengan karya berlatarkan Malaysia.
       Hal yang sama boleh dikatakan tidak berlaku seiras terhadap perkembangan sastera Tamil di negara ini, dengan maksud bahawa memang wujud penulis India yang menulis dalam bahasa Tamil, tetapi tidak muncul tradisi penulisan seperti ‘Sastera Peranakan’ atau ‘Sastera Baba’ di kalangan penulis Tamil di negara ini (sungguhpun terdapat beberapa individu yang menulis dalam bahasa Melayu). Istilah ‘Jawi Peranakan’ atau ‘Jawi Pekan’ lebih mengkhusus kepada kumpulan atau karyawan India-Muslim.

      Ada pendapat yang menyatakan bahawa ‘Sastera Peranakan’ muncul mulai akhir abad ke-19 (mungkin seawal 1877 apabila drama ‘Nasib Mustapha’ dipentaskan oleh kumpulan Theater Royal di Singapura). Di Indonesia, yang merupakan sebahagian dunia Melayu, penulis Tionghua turut menulis dalam bahasa Melayu. Sedari awal kemunculan kelompok ini, sastera Indonesia dalam bahasa Melayu menerima sumbangan 3,005 karya daripada 806 penulis Tionghua (Kesasteraan Melayu Tionghua dan Kebangsaan Indonesia Jilid 1-7 .Jakarta : Kepustakaan Popular Gramedia, 2000). Sementara itu ‘Sastera Mahua’ bermula pada awal kurun ke-20 (pada tahun 1919 dengan wujudnya ruangan sastera ‘Majalah Rakyat Baru’ atau Xin Guoming Zazhi dalam akhbar ‘Harian Rakyat Baru’ atau Xin Guoming Ribao, di Singapura (Yang Quee Yee, Perkembangan Kesusasteraan Mahua Moden : 1919-1965. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka, 2000).
       Sastera Mahua, walaupun ditulis dalam bahasa Cina,  mengambil latar tempatan Malaysia. Sehubungan itu karya sastera Mahua, terutama yang berbentuk cereka, turut melibatkan watak-watak Melayu. Ini adalah suatu proses ‘mengenali’ dan ‘memahami’ orang Melayu oleh penulis Cina dalam proses kreatif mereka. Sama ada ‘perkenalan’ dan ‘pemahaman’ mereka terhadap Melayu itu ringkas dan cetek, atau luas dan mendalam, sangat tergantung pada tempoh masa serta dari sudut mana jalinan tersebut dilakukan. Akan tetapi pemerhatian mereka terhadap Melayu turut juga membentuk konsepsi mereka terhadap bangsa ini. Untuk menzahirkan ‘realiti-fiktif’, pengarang Mahua turut memanfaatkan penggunaan  dialog dalam bahasa Melayu, terutama yang melibatkan watak Melayu.
         Dahulu lain, sekarang lain. Kini, pemahaman penulis Cina terhadap Melayu, terutamanya bagi penulis-penulis Cina yang menulis dalam bahasa Melayu seperti Lim Swee Tin dan Jong Chian Lai, sudah jauh lebih maju dan mendalam daripada ‘abang-abang’ mereka. Hal ini demikian kerana faktor pendidikan, sosial dan sebagainya.

        Tidak banyak yang diketahui tentang permasalahan ini di kalangan penulis India atau Tamil di negara ini. Akan tetapi dengan mengambil iktibar daripada kesan diaspora, kebahasaan, serta asimilasi budaya, barangkali dapat disimpulkan bahawa mereka juga (penulis-penulis India atau Tamil di negara ini) mengalami situasi sebagaimana yang dihadapi oleh para penulis Mahua.
       Hal ini demikian kerana proses dan perkembangan yang sama turut dihadapi oleh penulis-penulis Melayu. Pada peringkat awal (lewat tahun 1940-an dan awal 1950-an), cerpen-cerpen Melayu yang melibatkan watak-watak bukan Melayu, agak dangkal perwatakannya, selain dilihat daripada kacamata yang stereotaip.. Ini adalah akibat proses ‘mengenali’ dan ‘memahami’ yang baru bermula.
       Akan tetapi apabila masa terus beredar, pergaulan antara kaum semakin erat, apabila wujud rasa saling bergantungan dalam aspek material serta keperluan hidup sehari-hari, maka proses ‘mengenali’ dan ‘memahami’ itu memasuki fasa yang lebih bermakna. Dengan demikian kaum lain dilihat bukan daripada aspek fizikalnya sahaja, tetapi sebagai watak yang berdarah daging dengan segala macam aspirasi, impian, kekecewaan dan perjuangan mereka dalam sebuah negara.
       Kadang-kadang sasterawan mendapat ilham daripada kacau bilau atau peperangan yang mengorbankan manusia. Daripada kemusnahan itu dibangunkan cita-cita kemanusiaan dalam karyanya. Apalah ertinya ‘kemanusiaan’ yang dibangunkan daripada suatu tragedi kemanusiaan?
       Dalam konteks  Malaysia, suara sasterawannya adalah seperti yang diwakili oleh suara Usman Awang, Hasan Ali, Abdullah Hussain, dan semua penulis sama ada Melayu, Cina, India, Iban, Kadazandusun, atau berketurunan Siam, bahawa perpaduan amat mahal harganya, kerana nilai kemanusiaan berada di dalamnya. Tiada faedahnya kita merobek perpaduan yang ada, kemudian mencari-cari nilai kemanusiaan dalam situasi perpecahan yang kalut.
       Menutup pintu ‘Benteng’ kali ini, penulis memetik sebahagian kenyataan akhbar Sasterawan Negara yang berbunyi : “… sastera ada ruangnya sendiri dengan keseniannya yang khusus pula. Kita harus membaca sastera sebagai sastera, dan bukan buku sejarah atau politik. Membaca sastera ialah suatu proses berfikir, merasa dan menghayati bahasa, peristiwa dan gagasan. Proses ini penting untuk diri manusia sendiri kerana yang ditawarkan ialah berbagai-bagai jenis pengalaman buat pembacanya - dari yang lahiriah sampailah kepada sikap dan pendiriannya. Semuanya dianggap sebagai cermin dan bayang makna kehidupan manusia.”

No comments:

Post a Comment