Kumpulan cerpen
oleh Lai Choy (penulis Cina Malaysia yang menulis cerpen dalam bahasa Melayu) berjudul Migrasi ke Selatan, telah diterbitkan beberapa tahun yang lalu. Akan tetapi
judul tersebut memberi gambaran serta konotasi yang jauh lebih realistik dan
mendalam terhadap hakikat diaspora masyarakat Cina di Malaysia.
Ketika membaca dan menilai sebuah
manuskrip antologi 14 cerpen Mahua, saya mendapati bahawa penulis-penulis cerpen
dalam antologi ini secara jujur mengimbas kembali migrasi nenek moyang mereka
ke selatan, ke tanah air baharu yang kini dikenali sebagai Malaysia. Antologi
cerpen ini diusahakan oleh Persatuan Penterjemahan dan Penulisan Kreatif
(PERSPEKTIF) yang aktif membina jambatan persefahaman sastera pelbagai kaum
melalui usaha penterjemahan dan penerbitan. Antologi cerpen ini mungkin akan diterbitkan pada penghujung tahun
ini oleh Dewan Bahasa dan Pustaka dengan judul “Misteri Pahatan : Antologi
Cerpen Mahua V”.
Beberapa buah cerpen dalam antologi ini
mencitrakan watak-watak Cina yang menyedari pangkal pohon diaspora mereka di
beberapa wilayah China, yang dahan serta ranting diasporanya menyebar ke beberapa tempat, khususnya
Malaysia. Mereka bermigrasi atas beberapa alasan seperti politik, ekonomi atau
‘kekejaman’ alam yang membawa musim yang tidak memihak pertanian. Generasi yang
hidup, lahir dan membesar di tanah air baharu ini bebas mengamalkan kebudayaan
mereka, dan dalam masa yang sama turut mengasimilasi budaya dan kehidupan
tempatan yang dilatari alam, flora dan fauna yang agak berbeza daripada tanah
leluhur. Dua buah cerpen yang watak-wataknya menyedari akan asal usul dari
tanah leluhur ialah “Bandar Usang” (oleh Chen Wen Rui) dan “Watak-watak Perantau”
(oleh Li Tian Bao).
Di
bandar usang yang menua bersama perantau-perantau, kehidupan getir
diteruskan dengan warna warni tersendiri : kenangan, impian dan realiti. Ketika
pemuda pemudinya meninggalkan ‘Bandar Usang’ untuk bekerja di luar negara bagi
mencari bekalan kesenangan (sebahagiannya sebagai pekerja tanpa izin) yang
bergelut dengan nasib, penipuan dan manipulasi, hanya sedikit sumber yang mampu
menghiburkan orang-orang tua yang menetap di ‘Bandar Usang’, umpamanya Mak
Kuang Fu yang selepas mandi dengan air suam, duduk menghadap tv menonton siri
“Balik ke Tangshan.” Tangshan, tanah leluhur telah lama ditinggalkan ketika
migrasi ke selatan, tetapi ironinya, seperti penutup cerpen ini, generasi muda Cina
kini terpaksa pula merantau ke negara-negara lain untuk cuba mencipta kehidupan yang lebih
baik. Rantai perantauan berputar semula.
Fengtang dalam “Watak-watak Perantau”
mencipta kejayaan bisnes di sini, tetapi dia harus membayar kesan emosi yang
tinggi. Dia meninggalkan kampung halaman di Tangshan yang sering dilanda
kemarau dan banjir silih berganti, serta seorang isteri enam tahun lebih tua daripadanya yang
dijodohkan oleh keluarga. ‘Tidak pernah kurang bagi ‘orang rumah’nya; orang
perempuan di luar pun sentiasa dibekalkannya pakaian-pakaian lawa lagi
berharga. Akan tetapi hanya ‘orang rumah’ di Tangshan yang tidak dapat semua
kemewahan ini.’ Tanah leluhur adalah latar yang perlahan-lahan memudar dalam
bayangan bersama-sama imejan watak dan peristiwa yang pernah menghuni jiwa protagonisnya
– seperti sapuan dakwat China yang menipis di pinggir kertas kehidupan hari
tua.
Setelah
selesai membaca sesebuah buku, seperti antologi cerpen ini, pembaca akan
mendapat beberapa kesan, termasuk kesan estetik dan pengalaman intelektual yang
membekas oleh kuasa naratifnya. Oleh sebab semua cerpen dalam antologi ini
dihasilkan oleh penulis-penulis Cina Malaysia yang berbakat, citra umum
masyarakat Cina turut terlakar di dalamnya.
Citra pemigrasi ke selatan ini mungkin
stereotaip, tetapi streotaip yang berdimensi positif. Dalam cerpen ‘Bandar
Usang’ ada sebuah lagu nyanyian para pelajar sekolah rendah Cina yang menjadi
kunci pembuka citra ini : ‘Kita keturunan Cina yang migrasi ke selatan
mempunyai sejarah yang panjang. Di kampung halaman baru ini kita terokai, kita
bertitik peluh dan berdarah membanting tulang, amalan yang baik ini harus
diwarisi dan dikembangkan seterusnya.’
Mereka ‘meneroka’ pelbagai bidang
pekerjaan di kampung halaman baru : bertani atau menternak seperti dalam cerpen
“Tahi Harimau,” berniaga secara kecil-kecilan seperti dalam cerpen “Kucing
Hitam dan Kucing Bertompok,” atau dalam skala yang lebih besar seperti watak
Fengtang dalam “Watak-watak Perantau,” hinggalah terlibat dalam aktiviti yang tidak bermoral seperti yang dilalui Yu
Nihong dan Denghua dalam “Watak-watak Perantau.”
Menitikberatkan pelajaran merupakan
citra penting masyarakat Cina, kerana melalui pelajaran mereka boleh mengubah
nasib buruk menjadi nasib yang lebih baik. Mereka menekuni sesuatu bidang dan
berilmu dalam bidang tersebut (umpamanya perniagaan). Jika pada hari ini kita
melihat kejayaan masyarakat Cina dalam sektor bisnes dan beberapa profesion
yang terhormat, ia tidak dicipta sekelip mata. Ia berpangkal daripada keperitan
hidup bermigrasi ke selatan, hampir bermula dengan sifar, tetapi dibakar dengan
semangat kental untuk mengubah nasib melalui kunci ilmu pengetahuan.
Tema menitikberatkan pelajaran terlakar
dalam “Bandar Usang” dan “Dik Nyonya.” Perbualan antara Cikgu Yang dengan bapa
Lin Zhina ini (dalam “Dik Nyonya”) menggambarkannya : ‘Dia ada menegaskan
kepentingan pendidikan melalui bahasa ibunda. Oleh itu dia pun membuat
keputusan berpindah ke sini. Ini menyenangkan Zhina bertukar ke sekolah Cina
demi menerima unsur kebudayaan Cina …(yang) pasti tidak akan merupai anak
sulungnya, Yingchong, yang asyik menyanjung hujan emas perak di negara barat.’
Penegasan terhadap ‘kepentingan
pendidikan melalui bahasa ibunda’ dalam cerpen “Dik Nyonya” wujud lama sebelum
dasar PPSMI yang penuh kontroversial itu. Bagi majoriti masyarakat Cina, pendidikan melalui bahasa ibunda bukan sahaja
dianggap sebagai kaedah mencerap pengetahuan secara alamiah dan berkesan, malah
diangap sebagai suatu kaedah ‘menerima unsur kebudayaan Cina’ (seperti petikan
perbualan Cikgu Yang dengan bapa Lin Zhina di atas).
Bagi aktivis Melayu yang menentang dasar
PPSMI kesedaran ini juga dikongsi bersama. Pengajaran sains dan matematik dalam
bahasa Melayu akan memudahkan pelajar Melayu atau pelajar aliran sekolah
kebangsaan menerima pengetahuan bagi kedua-dua ilmu tersebut secara alamiah dan
lebih berkesan. Di samping itu, oleh kerana bahasa adalah produk sesuatu
budaya, maka para pelajar akan turut menerima unsur kebudayaan Melayu yang
menjadi teras bagi kebudayaan kebangsaan. Pandangan sinis masyarakat Cina
terhadap orang Cina yang tidak melanggan konsep keCinaan yang total,
digambarkan melalui sebutan ‘OCBC’ yakni ‘orang Cina bukan Cina!’
Kehidupan
sesuatu masyarakat adalah sebuah jelmaan idealisme kolektif dan realiti
individual. Sungguhpun masyarakat Cina mencitrakan kehidupan yang berpaksi pada
pendidikan yang berguna, nilai tradisional yang positif, bekerja keras, serta
perniagaan yang menguntungkan – yang semuanya boleh dijadikan asas pembentukan
sebuah kehidupan yang mapan dan berkualiti, tetapi sejumlah penulis dalam
antologi ini menyedari akan realiti individual yang oleh sebab-sebab tertentu,
gagal melanggani idealisme kolektif bangsanya. Ini melibatkan suatu realiti
yang semakin ketara di dunia pascamoden mutakhir. Ini melibatkan kehidupan dan watak yang
dipinggirkan, yang dimarginalkan oleh masyarakat dan nasib malangnya sendiri. Watak-watak malang ini terjelma pada tubuh
Wang Cui Yu (“Burung Tiong yang Comel”), Niu Yecheng (“Desakan Nafsu”), dan
Xiao Ping (“Rintihan Si Merah Jambu”).
Salah
satu keasikan merenangi perairan sastera ialah apabila kita dapat menyelami
psikologi manusia melalui watak-watak yang ditampilkan di dalam karya. Sebuah
karya sastera bukanlah semata-mata pemaparan tentang watak dan aksi
kehidupannya. Yang tidak kurang penting ialah bagaimana psikologinya ketika
bersemuka dengan konflik, yakni psikologi yang berlatarbelakang pendidikan,
pengetahuan dan cara pendewasaannya – sehingga secara tidak langsung boleh
menawarkan pengalaman baru dan pengalaman intelektual kepada khalayaknya
melalui strategi naratif pengarangnya.
Melalui antologi cerpen ini, langkah
pertama migrasi ke selatan oleh leluhur mereka terdahulu, telah merunutkan
ribuan tapak tentang kehidupan getir dan manis rakan-rakan Cina kita di
Malaysia. Tahniah kepada para penulisnya. Tahniah kepada para penterjemahnya
yang melalui kuasa bahasa, membina jambatan sastera penghubung dua tebing jiwa,
perasaan dan pemikiran manusia.
No comments:
Post a Comment