Thursday, November 8, 2012


 

 

 “Kedudukan geografi serta kemakmuran hasil laut dan daratannya, telah menjadikan Malaysia menerima lakaran sejarah kehadiran penghijrah-penghijrah melalui beberapa gelombang perpindahan manusia. Sungguhpun sejumlah etnik pernah menjejakkan kaki ke bumi ini, namun dua penghijrah yang paling utama ialah orang-orang Cina dan India.” 

KONTROVERSI BERPANJANGAN  ke atas novel Interlok, dan akhiran peleraiannya yang tidak begitu cantik, menyebabkan empat Sasterawan Negara (Shahnon Ahmad, Noordin Hassan, Muhammad Haji Salleh dan Anwar Ridhwan), pada Selasa 8 Mac 2011, bersama-sama menzahirkan keprihatinan. Beberapa jam selepas ‘Kenyataan Akhbar’ mereka dihantar kepada pihak media, portal Malaysiakini telah memetiknya. Pada sebelah malamnya TV3 mengangkatnya dalam berita perdana pukul 8.00 malam. Keesokan harinya kenyataan akhbar tersebut mendapat liputan semua akhbar utama tanah air. Teks lengkap kenyataan tersebut turut disiarkan sepenuhnya dalam Dewan Sastera, April 2011.
              Tatkala Hikayat Hang Tuah dan Sulalat al-Salatin memunculkan beberapa watak asing seperti India, Cina dan Portugis, pintu Alam Melayu telah terbuka, tetapi diperlihatkan secara tekal bahawa Melayulah yang mula-mula membuka negeri, yang berkuasa dan berdaulat. Alam Melayu ini pada asalnya adalah dunia bagi orang Melayu sebagaimana benua China bagi orang Cina, dan benua kecil India bagi orang India. Dan sebahagian kecil manusia, bergerak ke mana-mana di muka bumi ini atas beberapa sebab. Kadang-kadang mereka bergerak seperti gelombang, hingga kemudiannya membentuk diaspora di beberapa tempat yang jauh dari tanah asal.
       Bukti-bukti pensejarahan (umpamanya tulisan Barbara Watson Andaya dan Leonard Y. Andaya dalam buku mereka Sejarah Malaysia), serta petunjuk sastera umpamanya dalam Sulalat al-Salatin, menunjukkan bahawa negeri-negeri Semenanjung yang dibuka oleh raja-raja Melayu, dari masa ke masa menerima kunjungan saudagar dari timur dan barat, pengembang agama, malah musuh sejauh dari Portugis.
       Sungguhpun kunjungan rasmi kerajaan China telah berlaku sejak zaman Kerajaan Melayu Melaka (Abad 13-awal Abad 16), dan melalui perdagangan, kedatangan orang-orang Cina, dan kedatangan orang India ke Tanah Melayu (kemudian Malaysia) menjadi lebih nyata ketika penjajahan British terutamanya oleh dorongan ekonomi kolonial sejak Abad ke-19.
Dalam Pidato Penerimaan Anugerah Sastera Negara saya menyebut:
Majapahit, Sriwijaya, Langkasuka dan Melaka,
Corakkan wajah kebudayaan kita,
Sehingga penjajah membawa tenaga kerja,
Bekerja demi kepentingan ekonomi mereka. 

       Berbeza dengan masyarakat Cina dan India di Thailand dan Indonesia yang harus menyerap hampir sepenuhnya kebudayaan nasional negara baharu masing-masing, masyarakat Cina dan India di Malaysia bebas mengamalkan kepercayaan dan budayanya – melalui sistem pendidikan, bahasa, media dan sebagainya.
       Bagaimanapun, berlaku juga  asimilasi budaya masyarakat Cina dan India Malaysia dengan budaya penduduk tempatan, dengan kadar ‘kepekatan’ yang berbeza-beza. Di kawasan yang majoritinya penduduk Melayu, seperti pantai timur Semenanjung dan beberapa kawasan di Kedah dan Perlis, masyarakat Cina dan India  di sana terbiasa dengan budaya Melayu, yang tergambar melalui penguasaan bahasa Melayunya. Di Negeri-negeri Selat seperti Melaka, Pulau Pinang dan Singapura telah muncul komuniti Baba yang berasimilasi dengan budaya Melayu, yang tergambar bukan sahaja melalui bahasa Melayunya, malah melalui makanan, dan turut bergiat dalam muzik ‘dondang sayang’ serta penciptaan ‘pantun’ iaitu puisi genius bangsa Melayu. Di tempat lain, proses asimilasi mungkin sedikit ‘cair’, tetapi dalam sebuah negara pelbagai kaum di mana setiap kaum adalah saling bergantungan, maka asimilasi budaya adalah suatu proses sosio-budaya yang alamiah dan sedang dicabar pula oleh budaya global.
        Watak-watak bukan Melayu seperti yang muncul dalam Musafir (Hasan Ali, 1959) dan dalam Salina (A.Samad Said, 1961), bukanlah watak-watak yang digeruni sebagai suatu ancaman. Watak-watak tersebut, dalam beberapa hal telah berasimilasi dengan watak, latar dan budaya di sebuah tanah air baru; dan menzahirkan perwatakan yang boleh diterima umum. Di tangan pengarang, watak mereka dihidupkan untuk mempunyai emosi, fikiran dan kesedaran berhubung dengan manusia lain di sekeliling mereka.      

       Kedudukan geografi serta kemakmuran hasil laut dan daratannya, telah menjadikan Malaysia menerima lakaran sejarah kehadiran penghijrah-penghijrah melalui beberapa gelombang perpindahan manusia. Sungguhpun sejumlah etnik pernah menjejakkan kaki ke bumi ini, namun dua penghijrah yang paling utama ialah orang-orang Cina dan India. Diaspora mereka telah memindahkan mereka dari tanahair beretnik dan berbudaya tunggal, ke wilayah yang sama sekali berbeza, menyebabkan mereka bertaburan, dan menyesuaikan diri dengan iklim dan budaya tempat baharu. Tentang perkara ini, studi budaya menyebut:
The concept of diaspora is deployed to indicate a dispersed network of ethnically and culturally related peoples. As such, this term is concerned with ideas of travel, migration, scattering, displacement, homes and borders.
       Di penempatan-penempatan berkelompok dalam fasa awal mereka di tanah air yang baharu, seperti di Malaysia (umpamanya di kawasan perlombongan, perladangan, atau bandar), etnik-etnik penghijrah ini berusaha mengekalkan nilai, norma, amalan, simbol dan artifak – yang mewarnakan subjektiviti dan identiti mereka. Studi budaya turut menyentuh isu ini.
Cultural boundary formation between groups of people who have been discursively constructed as sharing values, norms, practices, symbols and artifacts and are seen as such by themselves and others … The significance of the concept of ethnicity lies in its acknowledgement of the place of history, language and culture in construction of subjectivity and identity.
       Akan tetapi para penghijrah itu tidak mungkin selama-lamanya hidup dan bergerak dalam penempatan-penempatan yang khusus dan terbatas. Atas keperluan sosial, ekonomi, pendidikan, dan sebagainya, mereka harus saling berhubungan dengan rakyat tempatan. Ini bukanlah suatu proses yang mudah atau terhindar daripada segala prasangka, kerana setiap bangsa dan etnik mempunyai subjektiviti serta identiti masing-masing.
       Beberapa kes terpencil pernah menunjukkan bahawa terjadi konflik kecil di sana sini yang menjejaskan isu perpaduan kita. Akan tetapi orang Melayu pada umumnya – seperti yang dibuktikan sejak kedatangan Portugis sebagai kuasa penjajah, penakluk, pedagang, dan penyebar agama Kristian – adalah bangsa yang sentiasa dapat menyesuaikan diri namun amat prihatin terhadap agama Islam dan jati dirinya. Orang-orang Cina dan India juga, oleh faktor masa serta hakikat saling bergantungan, dapat menyesuaikan diri dengan kehidupan budaya dan politik orang Melayu.
       Lama kelamaan, terutama sejak menjelang kemerdekaan negara, isu kerakyatan serta kewarganegaraan bagi masyarakat Cina dan India telah ditimbulkan dan diselesaikan. Dari suatu sudut, penyelesaian isu kewarganegaraan ini turut memberi impak terhadap isu perpaduan, kerana dalam kerangka demokrasi seperti yang turut diamalkan oleh Malaysia, ia menghubungkan keperluan mikro-politik etnik dengan makro-politik yang lebih bersifat nasional.
In the context of the modern democratic tradition, citizenship can be understood as one aspect of our multiple selves whereby a civic ‘identity of citizenship’ seeks to hold together a diversity of values and life-worlds within a democratic framework … As such, the concept of citizenship is a mechanism for linking the micro-politics of representation and identity with the official macro-politics of institutional and cultural rights.
       Realiti sosial di tanahair kita inilah, dengan semangat perpaduan kental yang ingin terus dipupuk dan dilestarikan, menjadikan puisi Usman Awang “Anak Jiran Tionghua” menjadi terkenal, dan beliau sendiri menjadi ikon serta ‘institusi’ perpaduan melalui jalinan persahabatan yang tampak benar-benar jujur dan ikhlas dengan rakan-rakan Cina dan India di negara kita ini. [DS511].

No comments:

Post a Comment