Sunday, November 25, 2012


 
“Sebagaimana contoh di Madinah, umat Islam itu sendiri (baik daripada golongan Ansar mahupun golongan Muhajirin), terlebih dahulu memupuk dan memperkasakan perpaduan ummah. Oleh yang demikian apabila mutakhir ini muncul kembali seruan perpaduan Melayu, maka seruan ini haruslah dilihat dalam perspektif perpaduan Melayu dalam konteks Islam, sesuatu yang bersifat intra, dalaman, bukan sebagai suatu ancaman kepada orang bukan Melayu-Islam.” 

MUTAKHIR INI isu perpaduan ummah khususnya yang melibatkan orang-orang Melayu berkumandang lagi. Timbulnya situasi atau suasana ‘perpecahan’ yang dirasai, tentu bersebab. Mungkin oleh sebab rentak tambur politik yang berbeza, yang menyebabkan ummah mengatur langkah yang berbeza-beza. Mungkin oleh sebab gaya hidup yang berbeza akibat pendidikan serta lingkungan yang berbeza-beza, serta jurang pendapatan yang berbeza yang meluaskan sempadan kelas dalam masyarakat – sehingga setiap individu mempunyai matlamat hidup yang tidak seragam.  Mungkin oleh sebab tiada perancangan strategik hala tuju jelas bagi pencapaian masa depan ummah secara rohaniah dan kebendaan – sehingga setiap individu tidak mungkin melanggan satu ideologi politik bagi menambahbaik kehidupan mereka. Mungkin oleh sebab sejarah pahit  tahun 1970-an yang tidak menjadi penawar bagi sesetengah pihak.
       Sebenarnya bukan dalam masyarakat moden atau pascamoden ini -  yang mengandungi sistem sosial, ekonomi dan politik yang serba kompleks  di mana setiap individu dan bangsa-bangsa saling bersaing sengit  – yang selalu disedarkan akan kepentingan perpaduan itu. Dalam masyarakat Melayu tradisional, agraria, yang agak tertutup dan  sederhana, muncul peribahasa “bagai aur dengan tebing” atau “bulat air oleh pembuluh, bulat kata oleh muafakat” bagi melakarkan betapa pentingnya kerjasama, bersatu dan berpadu sebagai fikrah kehidupan yang terpuji. Lebih-lebih lagi apabila menghadapi sesuatu dugaan besar.
       Antara dugaan besar dalam sejarah bangsa ialah kedatangan tentera Portugis pada awal Kurun ke-16. Kita ingin melupakan perpecahan di kalangan atasan di Istana Melaka, yang mengakibatkan malapetaka. Kita ingin mengingat dua hikayat ini yang memberi perspektif berbeza, iaitu Hikayat Anggun Cik Tunggal dan Hikayat Malim Dewa. Sebagaimana yang pernah disebut dalam sebuah makalah oleh Md Salleh Yaapar, Hikayat Anggun Cik Tunggal pada mulanya merupakan cerita lisan Pawang Ana, yang dituturkan pada awal Kurun ke-20 dan telah disunting oleh  R.O. Winstedt dengan bantuan Raja Haji Yahya. Sementara  Hikayat Malim Dewa  dituturkan oleh  Pawang Ana dan Raja Haji Yahya, serta disunting oleh  R.O. Winstedt dan A.J. Sturrock. Kedua-dua hikayat ini amat popular di kalangan rakyat di Semenanjung Malaysia dan Sumatera sekitar era tersebut hingga beberapa dekad kemudian.
       Kandungan kedua-dua buah hikayat ini boleh dilihat serta diinterpretasi dari pelbagai sudut. Md Salleh Yaapar umpamanya melihat bagaimana kedua-dua hikayat ini menampilkan wira dan bala tentera Melayu melawan musuh iaitu angkatan Portugis, memburu mereka hingga ke tanah Portugis, menewaskan mereka, dan bagi wira Anggun hingga berjaya mengahwini puteri-puteri raja Portugal; sementara wira Malim Dewa hingga berjaya membunuh maharaja Portugal – suatu wacana balas, suatu strikes back terhadap sebuah kuasa asing.
       Kedua-dua buah hikayat ini juga boleh diinterpretasi betapa perpaduan (raja dan rakyat, panglima dan bala tentera) begitu penting untuk menghadapi dugaan besar – ketika itu merupakan ancaman dari sebuah kuasa asing yang beribu-ribu batu jauhnya dari Alam Melayu. Perpaduan dan kekentalan jiwa untuk bertindak balas (yang mutakhir baru disebut sebagai dorongan wacana pascakolonial) memperlihatkan betapa anak Melayu yang disangka lemah, telah melakukan strikes back yang luar biasa, dan sepotong sejarah telah diinterpretasi serta ditulis kembali.
       Lama sebelum masyarakat Melayu mencipta peribahasa-peribahasa  tentang perpaduan, lebih 1,400 tahun terdahulu, Islam telah memberi asas perpaduan berkasih-kasihan sesama Mukmin, terutama karib kerabat:
Muhammad itu adalah rasul (utusan) Allah. Orang-orang yang beriman dengan dia (Muhammad) sangat keras terhadap orang-orang kafir, berkasih sayang sesama mereka, engkau lihat mereka itu rukuk, sujud serta mengharapkan kurnia daripada Allah dan keredaan-Nya. Tanda mereka itu adalah di muka mereka, kerana bekas sujud. Itulah contoh (sifat) mereka dalam Taurat. Dan contoh mereka dalam Injil, ialah seperti tanaman yang mengeluarkan anaknya (yang kecil lagi lemah), lalu bertambah kuat dan bertambah besar, lalu tegak lurus dengan batangnya, sehingga ia menakjubkan orang-orang yang menanamnya. (Begitu pula orang-orang Islam, pada mula-mulanya sedikit serta lemah, kemudian bertambah banyak dan kuat, supaya Allah memarahkan orang-orang kafir sebab mereka. Allah telah menjanjikan ampunan dan pahala yang besar untuk orang-orang yang beriman dan beramal salih di antara mereka itu. [Terjemahan Al-Fath ayat 29, Tafsir Quran Karim oleh Prof. Dr. H. Mahmud Yunus]. 

       Banyak orang bukan Islam  hanya tahu sedikit-sedikit ungakapan di atas (kerana bukan tanggungjawab mereka untuk mendalami Islam), hingga mereka menyimpulkan bahawa Islam memusuhi SEMUA yang bukan Islam. Hakikatnya tidak demikian. Ketika Madinah dihuni oleh pelbagai kaum dan kepercayaan sejak hijrah Nabi Muhammad SAW, Islam telah meletakkan nilai keharmonian bermasyarakat, yang mengajak sesama umat manusia menghormati taulan, jiran, kenalan dan penduduk senegara. Dalam Pidato Penerimaan Anugerah Sastera Negara saya menyebut:

Namun bertimbang rasalan kepada taulan,
Pelbagai bangsa, jiran dan kenalan,
Pada zamannya Nabi telah tunjukkan
Islam menjalin indah perpaduan. 

       Sebagaimana contoh di Madinah, umat Islam itu sendiri (baik daripada golongan Ansar mahupun golongan Muhajirin), terlebih dahulu memupuk dan memperkasakan perpaduan ummah. Oleh yang demikian apabila mutakhir ini muncul kembali seruan perpaduan Melayu, maka seruan ini haruslah dilihat dalam perspektif perpaduan Melayu dalam konteks Islam, sesuatu yang bersifat intra, dalaman, bukan sebagai suatu ancaman kepada orang bukan Melayu-Islam.
       Dalam media baru, ada pihak yang mempersoalkan perpaduan Melayu. Suara aneh itu melaung: Mengapa Melayu harus berpadu? Adakah apa-apa kepentingan Melayu yang telah mereka (baca : bukan Melayu) rampas? Suara aneh itu  berasa bimbang akan perpaduan Melayu, lalu menggunakan pendekatan berbau perkauman dalam hujahnya. Suara aneh itu bimbang jika Melayu-Islam berpadu maka hak-hak mereka pula terancam. Perpaduan Melayu-Islam tiada kena mengena dengan ancaman terhadap kaum-kaum lain. Perpaduan Melayu-Islam semata-mata untuk memperkasakan bangsa teras dan majoriti di negara ini bagi membangunkan serta memantapkan hak-hak yang telah dijamin dalam perlembagaan Persekutuan; memperkasakan tamadun Melayu yang telah mempunyai sejarah ribuan tahun; dan agar ‘tak Melayu hilang di dunia.’ 

       Untuk itu bangsa Melayu terlebih dahulu harus menyedari bahawa mereka menganut dan mematuhi ajaran Islam sebagai sumber kekuatan dan keselamatan di dunia dan akhirat. Banyak  puisi tradisional seperti syair dan pantun, serta sajak-sajak moden yang melakarkan peri pentingnya hubungan vertikal dengan Allah, dan hubungan horizontal dengan sesama makhluk, alam, flora dan faunanya.
       Bangsa Melayu seterusnya harus menyedari bahawa mereka mewarisi tamadun  yang besar dan tinggi, terutamanya setelah ketibaan agama Islam di rantau ini. Mereka bangsa bertamadun, sama seperti bangsa-bangsa yang bertamadun dari barat dan timur. Banyak karya agung Melayu telah dihasilkan. Walaupun Malaysia tidak mempunyai tinggalan candi yang utuh, tetapi (seperti menurut Ismail R al-Faruqi), tamadun berasaskan tauhid adalah semulia-mulia tamadun di sisi Allah.
       Sehubungan itu, sebagai umat Melayu yang bertamadun, bangsa ini seharusnya menggerakkan idea-idea besar, bukan bersengketa atas perkara yang remeh temeh. Perpaduan adalah salah satu idea besar itu, bagi menjana kekuatan kolektif sebagai suatu bangsa bermaruah. Sebagai bangsa teras dan majoriti  di tanah airnya, bangsa ini bergerak ke hadapan, bertindak dan bersuara sebagai bangsa teras. Bangsa ini harus di hadapan dalam soal menguasai ilmu pengetahuan ukhrawi dan duniawi, pencipta, penguasaan tanah, kekuasaan ekonomi dan politik,  di samping terus memperkasakan bahasa, budaya serta warisan bangsanya. Dalam Pidato Penerimaan Anugerah Sastera Negara saya menyebutkan: 

Prihatinlah akan nasib tanah air dan bangsa,
Hubbul watan minal iman peganglah ia,
Berhujahlah ‘Melayu Baru’ dengan akal dan fakta,
Bukan zahirkan rasa dan emosi semata.
[DS0911].
 

 

      

No comments:

Post a Comment