Monday, November 5, 2012


 

 

 “Karya agung sesuatu bangsa, umpamanya Hikayat Hang Tuah dan Sulalat al-Salatin bagi bangsa Melayu, menjadi agung bukan  kerana  mendefinisi bangsanya secara  luaran dan fizikal, tetapi kerana definisinya turut menarik masuk idealisme bangsa pintar, bitara, dan unggul, sering mengatasi tokoh dan kerajaan-kerajaan jirannya, serta tokoh dan kerajaan-kerajaan besar dunia.” 

HUJAH MENDEFINISI BANGSA  dilakukan dalam mana-mana karya kesusasteraan dunia. Definisinya berupa kolaj-kolaj sejarah agama, politik, ekonomi, intelektual dan sebagainya, yang dimunculkan dalam karya kesusasteraan dari masa ke masa, melalui pelbagai gaya, teknik atau pendekatan. Oleh sebab definisi kesusasteraan terhadap bangsa mempunyai beberapa pertimbangan, visi serta matlamat jangka panjang, ia tidak mungkin ditafsirkan melalui definisi sains sosial atau antropologi  semata-mata.
       Di dalam kesusasteraan Melayu, definisi bangsa turut ditentukan oleh fungsi karya sastera, yang antara lain (menurut Muhammad Haji Salleh dalam Puitika Sastera Melayu), menjadi ‘wadah dan wajah kebijaksanaan,’ ‘ penawar dan penghibur’ dan ‘pembawa contoh dan unggul.’ Fungsi terakhir itu, dalam konteks mendefinisi bangsa, bukanlah sesuatu yang telah tuntas, tetapi sebaliknya merupakan suatu proses  yang wajar ‘dicontohi’ – agar definisi sebuah bangsa yang unggul dalam pelbagai bidang dapat dijelmakan.
       Kesusasteraan Melayu moden yang awal  adalah bancuhan pekat proses tersebut. Di samping pengarang-pengarangnya sedar bahawa bangsa Melayu adalah bangsa utama, teras dan majoriti, tetapi kesedaran itu tidak memudahkan suatu definisi bangsa yang mereka ingini. Mereka menyelongkar ke wilayah tema yang beragam, cuba mengeluarkan anak bangsanya daripada kelam pendidikan, ekonomi, persaingan sosial di dunia sama rata, serta ajaran agama yang progresif.
       Watak pemimpin – yang secara hakikinya mengetuai rekayasa bangsa dalam pelbagai bidang, didekati dan cuba difahami (seperti “Pemimpin Kecil dari Kuala Semantan” oleh Keris Mas ), atau dipandang dengan penuh harapan serta kecurigaan (seperti dalam Menteri dan Perdana oleh Shahnon Ahmad). Apabila pada akhir tahun 1960-an Shahnon Ahmad memukul canang Malay Power akibat kelemahan pemimpin hingga mencetuskan Tragedi 13 Mei, yang tidak mengambil langkah-langkah preventif awalan melalui tema-tema yang telah lama diselongkar dalam kesusasteraan Melayu, subteksnya adalah suatu hasrat agar definisi bangsa dirangka semula, bukan berdasarkan warna kulit, bahasa dan budayanya, tetapi kekuatan dalaman (agama, pendidikan, ekonomi, moral, integriti) dan intelektual yang membolehkan bangsa ini terus di muka menakhoda tamadunnya.
       Dalam Ucapan Penerimaan Anugerah Sastera Negara saya menukilkan:

Persuratan itu mengandung ilmu,
Juga mendidik tiadalah jemu,
Mutiara kata dapat ditemu,
Yang indah-indah dan merdu turut diramu. 

       Ada pendapat yang menyatakan, ketika Danial Defoe ‘melepaskan’  Robinson Crusoe belayar pada tahun 1719, itu adalah suatu usaha mendefinisi bangsa Inggeris dalam era penjelajahan dan penaklukan (terhadap ‘the others’) dan lantaran itu takrif orang Inggeris harus turut menyebutnya sebagai kolonial di benua Afrika, Asia dan kawasan samudera. Beberapa tahun kemudian  (1726) Jonathan Swift menghadirkan Gulliver’s Travel. Sama ada ia menjadi ‘gergasi’ di Liliput, atau ‘si kenit’ di Brobdingnag, ada yang menyebutnya ia adalah suatu proses mendefinisi kekuasaan sebuah bangsa yang sedang dalam pencarian, dalam era ketika pintu samudera dunia dibuka kepada pelaut-pelaut berjiwa penakluk.
       Rahim definisi sesuatu bangsa yang paling awal  melekat pada cerita-cerita lisan tentang asal usul keturunan raja atau bangsawan – sama ada sebagai penjelmaan ‘tuhan’, ‘dewa’ , keturunan Iskandar Zulkarnean dan sebagainya.  Ia telah disakralkan begitu rupa, untuk membentuk dikotomi yang sangat jelas antara ‘yang berkuasa’ dengan ‘yang dikuasai.’ Dan definisi sesuatu bangsa pada awalnya tampak membezakan dua darjat ini.
       Definisi tersebut terus dipadankan dengan kekuasaan tradisional, kekuasaan moden, kemudian perang saudara atau perang untuk kemerdekaan yang telah memunculkan penguasa-penguasa absolutisme, aristokrasi, totalitarianisme, pelanggan demokrasi  dan sebagainya. Ia muncul dalam novel-novel Rusia, Eropah, Amerika Syarikat, Amerika Latin dan sebagainya. Bangsa didefinisikan lagi menurut kehendak dan rentak penguasa. Ketika penguasa berkiblat kepada isme, sasterawan melihat pelbagai jalur pilihan ekspresi di hadapan mereka bagi mendefinisi bangsa melalui pelbagai gerakan seni – yang bukan sahaja memanipulasi metafora dan tanda, malah  menggunakan teknik seperti realisme magis. Dan teknik ini bukanlah baharu kerana Tun Seri Lanang, melalui Sulalat al-Salatin (ditulis 1612) telah menerapkannya. Saya menzahirkan pandangan ini melalui Pidato Penerimaan Anugerah Sastera Negara:

Dibantu ilmu karya terkarang,
Piawai Melayu ini jangan dibuang,
Nyata dan magis silang bersilang,
Ke pentas dunia masuk gelanggang.

       Sebagai karya agung bangsa, Sulalat al-Salatin bukan sahaja menarik kerana sejumlah unsur profetik di dalamnya, tetapi juga kerana ia mencuba mendefinisi Melayu unggul, melalui pandangan teropong sejarah era kejatuhan. Seorang yang pernah berkuasa dan berjaya, akan lebih arif mentakrif erti keunggulan apabila berada dalam era kejatuhan bangsanya.
       Definisi bangsa berdasarkan wilayah geografi, bahasa, warna kulit dan budaya tampak mudah ditakrifkan bagi masyarakat yang homogeneous, tetapi akan menjadi lebih rumit lagi apabila takrifannya ingin menyelam ke dalam jiwa, perasaan serta pemikiran bangsa. Sesuatu bangsa bukanlah diukur dari aspek zahirnya sahaja, tetapi juga aspek jiwa, perasaan serta pemikiran yang berasas pada kepercayaan, kosmologi dan pelbagai unsur pembentukan kebudayaannya. Dan Melaka serta warisannya, seperti yang dilukiskan oleh Tun Seri Lanang, bukanlah mewariskan masyarakat yang benar-benar homogeneous walaupun bilangan anggota masyarakat Melayu lebih banyak berbanding etnik yang lain. Apabila pelbagai bangsa dan etnik ingin ditakrifkan dalam konteks ikatan ketatanegaraan, ia mengundang definisi yang panjang lebar.
       Bagi negara-negara indigenous yang mempunyai penduduk dan kerajaan asal turun temurun (seperti Malaysia, Indonesia, Thailand, Jepun dan sebagainya), definisi penduduk indigenous  ini lebih mudah dilakar dan difahami. Ini agak berbeza dengan mendefinisi bangsa , lebih-lebih lagi dalam konteks ketatanegaraan, di negara-negara yang dikuasai pendatang (umpamanya Singapura, Amerika Syarikat dan Australia). Bagi yang terakhir ini, definisi bagi bangsa majoriti biasanya lebih terancang, panjang dan halus berbanding bangsa minoriti, dengan turut memanipulasi unsur-unsur etnik, linguistik dan sejarah. Pembuat definisi di dalam golongan ini berlindung di balik tembok yang didirikan sejarawan pro pascamoden yang pada dindingnya tertulis : “The past is unknown!”
       Akan tetapi negara indigenous  seperti Malaysia, akibat penjajahan dan ekonomi, terpaksa membuka ruang realiti kepada kedatangan orang--orang baru terutamanya dari China dan India. Dalam tempoh beberapa dekad sahaja, Malaysia menjadi melting pot  di mana setiap orang , atas nama demokrasi dan pasaran bebas,  memanfaatkan segala peluang dan kesempatan dalam pelbagai lapangan kehidupan.
       Percampuran kaum yang baharu dan  riuh ini mengundang persoalan ‘perpaduan’ atau integrasi, kerana negara tidak mungkin bergerak dengan tenang dan maju ke hadapan dalam pelbagai sektor kehidupan, jika aspek integrasi antara kaum diabaikan. Sastera pun ingin memainkan peranannya, secara tidak langsung atau pun langsung, umpamanya yang terlihat dalam Musafir (Hasan Ali) dan Interlok (Abdullah Hussain).
       Penulis Interlok mendefinisi Melayu, China dan India dengan mengambil kira faktor indigenous, tanah asal orang Cina dan India yang datang ke Tanah Melayu (kemudian Malaysia), juga sistem sosial yang ketara dan telah turun temurun dalam tamadun bangsa mereka – termasuk clan dan kasta. Penulis Interlok menggunakan definisi yang telah lama tercatat dalam buku-buku kajian budaya dan strata sosial mereka. Suatu definisi yang telah diterima umum kerana berakar pada realiti kebudayaan turun temurun.
       ‘Penulis cerpen berbangsa India di Malaysia juga mengakui adanya hakikat kasta itu dalam masyarakat mereka. Menurut mereka, amalan sistem kasta merupakan antara masalah yang perlu dihapuskan, khususnya di dalam masyarakat India. Menyedari hakikat ini penulis cerpen Tamil Malaysia cuba memaparkan isu tersebut dalam penulisan mereka. Cerpen ‘Puzliyum Pavamum’ (‘Dosa dan Pahalanya’), ‘Samuthaya Irul’ (‘Kegelapan Sosial’) – kedua-duanya oleh oleh M. Ramaiya, menggambarkan penentangan terhadap amalan sistem kasta’ itu.
       Apabila ada pihak yang tidak menyetujui definisi penulis Interlok, ini bermakna pihak tersebut tidak menyetujui definisi yang berakar pada realiti kebudayaan turun temurun, sebaliknya mahu suatu definisi baru digubal dan diperkenalkan. Pihak ini ingin mencipta definisi baru yang bebas daripada ikatan serta realiti kebudayaan masa lampau di tanah asal mereka. Ini menunjukkan bahawa usaha mendefinisi bangsa merupakan kerja yang belum selesai.
       Kini ketika Melayu merupakan golongan majoriti yang lemah (bahasanya, ekonominya, politiknya, pendidikannya, perpaduannya, pegangan agamanya serta moralnya), barangkali Melayu perlu mendefinisikan dirinya semula. Bukan suatu definisi luaran, fizikal, bahasa, budaya, serta bumi yang dipijak dan langit yang dijunjung semata-mata, tetapi suatu definisi dalaman dan kerohanian yang boleh melonjakkan bangsa ini menjadi bangsa majoriti yang bitara dan perkasa dalam pelbagai sektor kehidupan masa kini dan masa depan.
       Karya agung sesuatu bangsa, umpamanya Hikayat Hang Tuah dan Sulalat al-Salatin bagi bangsa Melayu, menjadi agung bukan  kerana  mendefinisi bangsanya secara  luaran dan fizikal, tetapi kerana definisinya turut menarik masuk idealisme bangsa pintar, bitara, dan unggul, sering mengatasi tokoh dan kerajaan-kerajaan jirannya, serta tokoh dan kerajaan-kerajaan besar dunia.
       Sebagai karya sastera yang secara halus dan tidak langsung mendefinisi bangsa, hayat karya-karya seperti ini dipanjangkan  melalui naratif sastera, teaterikal, senematik dan muzikal.[DS0311].
      

 

 

 

 

 

 

 

 

 

No comments:

Post a Comment