“Di sebuah negara baru,
berlaku persemukaan pelbagai ras dan bangsa atas sebab-sebab politik, ekonomi,
pendidikan dan sebagainya lagi. Rusuhan
ras bukanlah sesuatu yang ingin kita lihat di sebuah negara berpenduduk majmuk
seperti Malaysia. Tragedi 13 Mei yang penulis alami secara dekat, selalu
terbayang dalam ingatan – dengan segala puingnya.”
NOVEL INTERLOK oleh Abdullah Hussain telah menjadi komoditi politik. Ia bukan
keluaran ladang, bahan mentah atau bahan galian. Karya yang pertama kali
diterbitkan pada 1971, mutakhir ini (terutamanya awal 2011) menjadi barangan
yang diperdagangkan di pasar politik. Kerana kehadirannya, pasar dibuka lebih
lama, dan banyak pihak mengambil peranan tawar menawar. Ketika makalah ini
ditulis, pasar masih belum ditutup, dan akibatnya produk itu belum tiba di
pintu bilik-bilik darjah anak-anak kita.
Mak Limah, Pak Musa, Kim Lock, Cing
Huat, Perumal, Malini, Gayah, Yew Seng, dan Poh Eng tidak sedar bahawa pada
suatu hari nanti kewujudan mereka hanya layak diperdagangkan di pasar politik.
Di dalam lembaran kertas, mereka tidak tahu bagaimana riuh rendahnya pasar
politik itu. Mereka wujud di kertas untuk saling berkenalan, bukan bermusuhan –
kalaulah antagonis di dunia nyata benar-benar menghayatinya.
Akan tetapi antagonis di pasar politik
memang tidak mahu memahami, apa lagi menghayatinya. Semata-mata kerana muncul
golongan kasta terendah di dalam novel tersebut. Bagi antagonis ini, seperti
dilaporkan dalam media, jalan keluar ialah menarik balik Interlok daripada menjadi buku teks. Mereka enggan memandang ke
belakang untuk melihat realiti lampau sistem sosial masyarakat di tanah
leluhurnya, bukan kerana dorongan
pendapat sejarawan pascamoden yang menyatakan ‘The past is unknown.’
Seorang calon sarjana berbangsa India, dalam tesisnya menyebut : 'Amalan sistem kasta merupakan antara masalah yang
perlu dihapuskan, khususnya di dalam masyarakat India. Menyedari hakikat ini
penulis cerpen Tamil Malaysia cuba memaparkan isu tersebut dalam penulisan
mereka. Cerpen ‘Puzliyum Pavamum’
(‘Dosa dan Pahalanya’), ‘Samuthaya Irul’
(‘Kegelapan Sosial’) – kedua-duanya oleh oleh M. Ramaiya, menggambarkan
penentangan terhadap amalan sistem kasta’. Sistem itu pernah ada di bumi ini.
Ura-ura Kementerian untuk meminda atau
mengubah beberapa bahagian kecil dalam novel tersebut juga telah mengundang
perdebatan. Sebelum sesebuah karya terbit, pengaranglah yang paling berhak
mengubah mana-mana bahagian dalam manuskripnya. Selepas manuskrip itu diterima
penerbit, kuasa profesional editorlah yang kemudiannya diberi hak-hak tertentu
untuk mengubahnya. Daripada penulis muda yang baru belajar menghantar karya ke
akhbar nyamuk, sampailah kepada penulis tersohor seperti Shahnon Ahmad, Arena
Wati dan Hemingway, tahu akan kuasa profesional sang editor. Shahnon Ahmad
menerima sebuah cerpennya diubah judul menjadi “Lagu Kit! Kit! Kit!,” Arena
Wati akur peranan editor memantapkan lagi beberapa buah manuskrip novelnya.
Seorang watak yang muncul dalam
manuskrip Hemingway, ditiadakan oleh editornya apabila karya itu muncul dengan
nama The Garden of Eden.
Mengubah karya sesudah karya itu terbit?
Anda boleh melihat kesan lucu atau serius – bergantung dari perspektif mana
Anda memandangnya. Lucu apabila diwujudkan sebuah jawatankuasa untuk mengubah
mana-mana bahagian di dalam sesebuah karya. Lucu kerana hal ini tidak pernah
dibuat orang, di mana-mana, tanpa persetujuan pengarangnya. Lucu juga apabila jika
ada pengarang yang tunduk kepada pendapat ahli jawatankuasa – melebihi
panggilan kreatif bebasnya yang awal. Jangan nodai integriti dan kebijakan
pengarang.
Sisi serius dan wajar berlaku apabila
secara sedar pengarang sendiri ingin mengubah lebih sepuluh peratus daripada
teks asal, atas sesuatu sebab, untuk muncul sebagai edisi baru. Atau pengarang sendiri berasa bahawa teksnya terlalu
berat, lalu dipermudah menjadi edisi
pelajar. Setelah semuanya dilakukan pengarang, dan teks tersebut muncul
dalam bentuk buku, tiada pihak lain yang boleh mengubahnya; kecuali pengubahan
tafsirannya ke dalam medium yang baharu seperti gubahan menjadi drama pentas
dan lakon layar.
Suatu hakikat budaya dan strata sosial masyarakat
India di Benua Kecil India, yang berakar sekian lama, tidak boleh secara mudah
di delete begitu saja oleh ketajaman
kuasa politik. Ia memerlukan masa yang lama serta keazaman budaya, sosial,
politik dan psiki kolektif bangsanya untuk berubah. Dan ini bukanlah sesuatu
yang mustahil. Tetapi apabila penyekatan Interlok
lebih dijuarai oleh aktivis politik, maka orang Melayu mula bersuara tentang
wacana balas politik. Hakikat bahawa hampir tiada kawasan DUN atau parlimen
yang majoritinya penduduk India, wacana balas politik NGO Melayu itu – seperti
laporan akbar awal Februari 2011, - mungkin memberi kesan yang besar yang belum
pernah dilihat dalam senario politik negara, jika benar semua orang Melayu
menolak mana-mana calon berbangsa India dalam Pilihan Raya Umum yang akan
datang.
Mak Limah, Pak Musa, Kim Lock, Cing
Huat, Perumal, Malini, Gayah, Yew Seng, Poh Eng dan lain-lain dalam Interlok bukanlah watak yang mudah
melupakan masa lampau mereka – yang gelap, pedih, pilu, sukar dan sebagainya.
Mereka watak yang berpijak di bumi nyata, yang mendapati bahawa di sebuah
negara baru (termasuk baru merdeka), ada sejumlah potensi yang boleh digarap
untuk mengubah nasib mereka. Di sebuah negara baru, berlaku persemukaan
pelbagai ras dan bangsa atas sebab-sebab politik, ekonomi, pendidikan dan
sebagainya lagi.
Rusuhan ras bukanlah sesuatu yang ingin
kita lihat di sebuah negara berpenduduk majmuk seperti Malaysia. Tragedi 13 Mei
yang penulis alami secara dekat, selalu terbayang dalam ingatan – dengan segala
puingnya.
Dalam Pidato Penerimaan Anugerah Sastera
Negara, antara lain penulis menurunkan rangkap berikut kerana sering menyedari
akan hakikat pluraliti dan dalam masa yang sama ingin melihat kelestarian
integrasi:
Kita
mengenal Suhaif al-Rumi,
Begitu
juga Salman al-Farisi,
Beserta
dengan Bilal al- Habashi,
Begitu
pelbagainya wajah insani.
Allah mencipta pelbagai bangsa di dunia.
Allah juga mencipta pelbagai bahasa untuk mereka. Daripada penciptaan tersebut,
manusia terdidik dan bertamadun terdorong rasa ingin berkenalan, bukan untuk
bermusuhan.
Setiap tamadun yang sedang berkembang,
bersemuka dengan kepelbagaian clan
dan bangsa. Tamadun Arab yang berkembang bersama-sama Islam, melihat masyarakat
Arab bersemuka dengan kepelbagaian bangsa baik dari Rom, Parsi mahu pun Habshah
dan kepelbagaian warna kulit mereka. Di negara lain, perbezaan warna kulit
boleh menjadi pencetus diskriminasi (seperti di Amerika Syarikat sehingga awal
tahun 1970-an, atau di Afrika Selatan sehingga kekuasaan Nelson Mandela).
Tetapi Islam, sejak kira-kira 1,400 tahun yang lalu menunjukkan bahawa dalam masyarakat
yang bertamadun, kepelbagaian clan
atau bangsa adalah sesuatu yang boleh diraikan dan menjadi pemangkin kekuatan
negara bangsa – kerana bangsa dan warna kulit bukan elemen yang menjadi nilai inti
kepada tamadun tersebut.
Malaysia yang penduduk majorotinya
Melayu - Islam, diikuti Cina, India, Kadazandusun, Iban dan lain-lain, tentu
dapat belajar daripada pengalaman Tamadun Islam itu, sebagaimana yang penulis
nukilkan dalam Pidato Penerimaan Anugerah Sastera Negara:
Namun
bertimbang rasalah kepada taulan,
Pelbagai
bangsa, jiran dan kenalan,
Pada
zamannya Nabi telah tunjukkan,
Islam
menjalin indah perpaduan.
Malaysia yang memartabatkan Islam
sebagai agama rasmi, di samping banyak pemimpin kanan (di peringkat Persekutuan
dan negeri) beragama Islam, wajar sekali meneruskan usaha melestarikan keamanan
masyarakat pelbagai kaum. Inilah tuntutan Islam. Inilah teladan terpuji yang
telah ditunjukkan oleh Nabi Muhammad SAW untuk menjadi ikutan. Malaysia tidak
berdaya menanggung lagi pengulangan tragedi sebagaimana Tragedi 13 Mei 1969. Akan tetapi peristiwa di sekitar Interlok menunjukkan kelahiran semula
bibit-bibit rasisme.
Rasisme menjadi salah satu ancaman besar
masyarakat dunia hari ini. Ancaman yang datang bersama-sama kepentingan puak
yang berdasarkan perbezaan fizikal, warna kulit, budaya, ideologi, mazhab,
serta bagaimana mereka mendefinisi survival ras dalam jangka pendek atau jangka
panjang. Dengan bantuan new media,
rasisme menemukan lidah baru untuk berkata-kata secara anonymous, lebih lantang, membakar emosi, dan tidak kurang yang
biadab! Api seolah-olah hampir menemui minyak.
Tragedi bukan untuk dicipta, tetapi
untuk dihindari. Tragedi alam memang di luar kuasa manusia untuk mengatasi atau
menghindarinya seratus peratus. Akan tetapi tragedi bikinan manusia boleh
dihindari jika langkah-langkah pencegahan awal melalui pelbagai pendekatan dan
strategi dapat dilakukan dengan berkesan. Tragedi juga bukan untuk dicontohi.
Cukuplah dengan tragedi Jebat atau Oedipus. [DS411]
No comments:
Post a Comment