“Pandangan-pandangan liberal dan sekular terhadap
hukum syariah di Malaysia antara lain memperdengarkan kepada kita sendaan
terhadap hukum hudud yang dicipta Allah – termasuk oleh mereka yang
beragama Islam. Dengan mempersenda Tuhan, hukum dan undang-undang
ciptaan-Nya, subteks sendaan mereka
ialah ‘pernyataan bahawa Tuhan itu tidak sempurna, gagal mencipta hukum dan
undang-undang yang sesuai dengan zaman, dan tidak mengetahui norma kehidupan
manusia kini setelah Dia menurunkan Adam ke dunia dahulu!”
Tuhan
bukan sekadar wujud untuk disembah dan dimuliakan kerana zat dan sifatnya. Erti
wujudnya adalah melalui tanda-tanda, kalam, serta segala perintah apa yang
harus dilakukan dan dilarang, dalam kerangka hukum-Nya yang amat sempurna dan
kekal.
Inilah
yang menjadi dasar pendidikan agama Islam. Penulis yang lahir melalui sistem
pendidikan ini seperti pujangga-pujangga Islam di Tanah Arab, atau di Alam
Melayu, memanfaatkan bakat kepengarangan mereka dalam puisi dan prosa untuk
menterjemahkan zat, sifat serta segala peraturan-Nya. Bagi penulis yang tidak
terdidik sepenuhnya dalam sistem pendidikan tersebut, ada yang berusaha mencari
‘jalan lurus’ daripada sejumlah simpang siur kehidupan dunia, dan ada pula yang
sesat dalam simpang siur tipu daya dunia.
Dua
aliran pendidikan ini – yang Islami dan sekular – bukan sahaja melahirkan dua
kelompok umat dan masyarakat yang mungkin berbeza jarak, persepsi serta
ketaatan kepada Tuhan-Nya. Disebut ‘mungkin’ kerana hasil pendidikan bukanlah
diukur ketika seseorang itu sedang menerima pendidikannya, tetapi bagaimana ia
membentuk citra dirinya setelah
menamatkan pendidikan formalnya dan meneruskan pencariannya dalam dunia
pendidikan informal yang lebih panjang. Dunia ‘mungkin’ itu boleh
menjungkirbalikkan – dengan sisi negatif apabila (ada sebilangan kecil) yang
berpendidikan Islami kelihatan mempersenda tuhan, dan dengan sisi positif
apabila (ada sebilangan) yang berpendidikan sekular memancarkan citra
Islaminya. Ini tidak terkecuali kepada para penulis.
Jungkirbalik negatif itu turut disebabkan oleh akibat lahir dan
berkembangnya tuhan-tuhan baru yang bernama hak asasi, liberalisme dan
sekularisme – yang tidak diletakkan dalam kerangka serta tasawwur atau
pandangan dunia Islami. Dalam hubungan ini, ketika menyampaikan Pidato
Penerimaan Anugerah Sastera Negara pada 20 Oktober 2009 saya menukilkan:
Seteguh
dahulukah Melayu-Islam kini?
Akidah
mencair atas nama hak asasi,
Islam
liberal dan sekularisme mencemari,
Kepada
al-Din yang benar hendaklah kembali.
Ada
yang mencabar hukum syariah,
Anggap
hukum duniawi lebih indah,
Tidak
sempurna bukan sifatnya Allah,
Di
atas segalanyalah asma’ ilahiyyah.
Hak asasi manusia untuk mendapatkan
keperluan asas seperti makanan, rumah, pakaian dan pendidikan adalah penting.
Begitu juga hak untuk hidup aman dan bebas daripada pemerintahan diktator serta
hukuman yang zalim dan kejam. Akan tetapi hak-hak tersebut adalah lebih
kompleks apabila ditinjau dari sudut agama Islam, umpamanya (sekadar menyebut tiga
contoh) soal makanan yang halal, konsep keadilan, dan hukum hudud. Hak-hak
asasi yang tersebar masa kini lebih beracuan konsep kehidupan barat, umpamanya
yang termuat dalam Deklarasi Kemerdekaan Amerika Syarikat (1776), yang diterima
pakai oleh Dewan Kebangsaan Perancis (1789),
oleh PBB (1948), dan European Convention on Human Rights (1953).
Melayu-Islam di Malaysia harus menyedari batas-batas hak asasi barat dan Islam,
agar tidak terjerumus ke medan kebebasan tanpa batas.
Liberalisme pula lebih merupakan suatu
falsafah politik yang telah berkembang sejak Abad ke-18 di Eropah, yang
dikaitkan dengan kebangkitan golongan kelas menengah baharu, yang mencabar
kuasa kebangsawaan tradisional, aristokrat dan golongan agamawan. Kini, dalam bahasa yang lebih
mudah, golongan liberal ialah golongan yang ingin meminggirkan atau memandang
remeh terhadap institusi raja dan agamawan (termasuk prinsip dan hukum agama). Konsep
Islam liberal telah muncul di Indonesia dan Malaysia, sehingga membimbangkan
golongan yang dapat membezakan mana yang hak dan mana yang batil. Tetapi
golongan yang batil bukan mudah untuk dihapuskan, kerana mereka lebih memilih
jalan mudah untuk menjalankan ritual agama, dan percaya bahawa hukum harus
mengikut perubahan masa.
Faham sekular mula berkembang daripada
penganut agama Kristian, terutamanya pada pertengahan Abad ke-20, yang
menobatkan peradaban barat dan keinginan mencipta masyarakat yang
‘religionless,’ dengan penekanan kepada kebebasan manusia dan tanggungjawab,
dan menurut mereka ‘divine transcendence’ boleh difahami melalui disiplin
sejarah, bukan melalui metafizika. Pendidikan sekular, termasuk di Malaysia,
jika tidak dilaksanakan berhati-hati dan dengan kesedaran agama yang jitu, besar kemungkinan melahirkan golongan yang
‘religionless’ – tanpa agama, atau kelihatan beragama tetapi menjarakkan diri
daripada ritual serta falsafah agama yang sebenar.
Pandangan-pandangan liberal dan sekular
terhadap hukum syariah di Malaysia antara lain memperdengarkan kepada kita
sendaan terhadap hukum hudud yang dicipta Allah – termasuk oleh mereka yang
beragama Islam. Dengan mempersenda Tuhan, hukum dan undang-undang
ciptaan-Nya, subteks sendaan mereka
ialah ‘pernyataan bahawa Tuhan itu tidak sempurna, gagal mencipta hukum dan
undang-undang yang sesuai dengan zaman, dan tidak mengetahui norma kehidupan
manusia kini setelah Dia menurunkan Adam ke dunia dahulu!’ Golongan ini percaya
bahawa hukum serta undang-undang ciptaan manusia, umpamanya common law itu lebih manusiawi dan adil.
Pada hal common law itu hanyalah ciptaan manusia, manusia yang dicipta
Tuhan. Ia suatu undang-undang yang dibentuk berdasarkan adat serta norma yang
pada umumnya diterima pakai oleh sesuatu masyarakat. Oleh kerana adat serta
norma sesuatu masyarakat berbeza dengan masyarakat yang lain, maka tidak semua common law dapat diterima di tempat atau
masyarakat yang berlainan. Di England, pengaruh Henry II amat ketara dalam
merekayasa common law, berdasarkan
kes-kes individu berbanding ‘prescriptive codes.’ Rekayasanya yang tidak
berlandaskan prinsip agama (Kristian)
dapat diperteguhkan dengan definisi common
law oleh Blackstone sebagai “the
common sense of the community, crystalized and formulated by our forefathers.”
Mempersenda tuhan zahir dalam pelbagai
bentuk dan cara, atas beberapa tujuan. Ketika saya di Tingkatan Enam membaca
teks wajib Atheis karya Achdiat K.
Mihardja, ucapan mempersenda tuhan datang daripada protagonisnya. Saya tidak mengerti mengapa Atheis dijadikan buku teks untuk remaja
ketika itu. Sungguhpun peleraian novel ini mengambangkan suatu pilihan yang
rasional dan kontekstual, tetapi pembaca dewasa yang lebih matang akan lebih
memahaminya berbanding pembaca remaja belasan tahun. Pembaca remaja memerlukan
bimbingan seorang guru yang pintar untuk memahami konsep ketuhanan, transendental
dan logosentrisme.
Pada awal tahun 1970-an, dunia sastera
Indonesia dihebohkan dengan cerpen “Langit Makin Mendung” karya Ki Panjikusmin
– yang dipertahankan oleh paus sastera Indonesia H.B.Jasin atas nama kebebasan
berkarya. Ini cerpen antropomorfik yang
melukiskan Tuhan dengan sifat-sifat manusia. Begitu jelasnya cerpen ini
mempersenda Tuhan, sehingga ada yang merungkaikan nama penulisnya sebagai
akronim kepada ‘kibaran panji-panji komunis internasional.’ Di Malaysia, Kassim
Ahmad tercebur ke dalam kontoversi hangat dan berpanjangan setelah dia
mengungkapkan “Tuhan sudah mati’ dalam sebuah puisinya.
Dekad-dekad 1950-an hingga awal 1970-an
menyaksikan pengaruh realisme sosialis dalam gerakan dan penciptaan karya seni
baik di Malaysia mahupun di Indonesia. (Ini harus dibezakan dengan ‘realisme
sosial’ yang dalam karya seperti ciptaan Coubert “Stonebreakers’ atau
artis Renato Guttoso dari Itali yang
menggambar ‘real life’ sebagai satu cara mencabar nilai-nilai ‘burjuis.’). Penguasa
sosialis membentuk dan menggalakkan kemunculan armada yang terdiri daripada penulis,
artis dan penggubah lagu yang melanggan fahaman realisme sosialis, kerana
mereka, menurut Stalin, ialah ‘jurutera jiwa manusia’ (engineers of human
souls).
Ada yang mempersenda Tuhan untuk
terangkat ke kancah kontoversi dan cepat terkenal. Sebuah novel atau drama
pentas dicipta untuk menggambarkan betapa konon hukum serta undang-undang Islam
menindas kaum wanitanya. Ia menjadi lebih berkesan jika anda merupakan penulis
Islam sendiri. Atau anda mencipta karya yang menghina Islam (Tuhan, Nabi serta
ayat-ayat-Nya). Karya anda segera diterjemahkan ke dalam beberapa bahasa
Eropah. Karya anda itu mungkin akan mendapat salah satu anegarah berprestij di
Eropah atau Amerika Syarikat. Jika nyawa anda terancam (diancam oleh mereka
yang lebih menyayangi Tuhan), anda akan mendapat suaka politik di Eropah atau
Amerika Syarikat, dan diberikan kawalan keselamatan sepanjang masa. Lebih
daripada itu, ada penerbit di Eropah atau Amerika Syarikat yang bersedia
menghulurkan wang pendahuluan untuk penyelidikan, keselesaan berkarya serta
royalti yang lumayan kepada anda – untuk karya anda yang akan datang, yang diharap
lebih ghairah mempersenda Tuhan, Nabi dan ayat-ayat-Nya. Dan fenomena ini telah
dan sedang berlaku…
Akhirnya penulis atau pengarang kembali
kepada persoalan : Apa tujuan anda mengarang? Untuk menjawabnya penulis mencarinya dari latar belakang pendidikan, pandangan dunianya,
konsepsinya terhadap peranan karya, tafsirannya terhadap kejayaan dan ganjaran,
dan sebagainya lagi. Dari atas benteng yang dihuni oleh pengarang-pengarang
Melayu-Islam yang faham akan tujuan mengarang, mereka memandang ke bawah dan
kejauhan, melihat pena yang bergerak melibas sembarangan membentuk aksara dan ungkapan
yang melanggan fahaman liberalisme, sekularisme, dan malah mempersenda tuhan.
Saya sedang memanjat tangga di sisi
benteng itu, belum tiba di atasnya.
Ketika itu saya teringat dua rangkap
puisi yang saya kumandangkan pada malam penerimaan Anugerah Sastera Negara:
Hamzah
Fansuri, Syeikh Ahmad al-Fatani,
Tun
Seri Lanang, Raja Ali Haji,
Karya
persuratan padat berisi
Tanda
pujangga seorang insani.
Persuratan
tidak mengulang yang lama,
Aku
hanya alam dan watak semata,
Fikrah
falsafah itu lebihlah mulia,
Disulam
keindahan membijaksanakan manusia.
No comments:
Post a Comment