Thursday, November 22, 2012


 

 

 “Nasionalisme Melayu sejak sebelum merdeka memunculkan dua pola kepemimpinan. Pertama, umpamanya dalam Kesatuan Melayu Muda (KMM), :… datang dari golongan yang di luar dari strata sosial yang biasa menyediakan kepemimpinan politik dalam masyarakat Melayu.’ Kedua, ‘yang berakar umbi dari struktur kekuasaan tradisional yang dipertahankan oleh pihak berkuasa kolonial.” 
Kesedaran nasional kita selalu ditarik ke arah tarikh keramat 31 Ogos 1957 – hari pertama kemerdekaan politik daripada kolonial Inggeris. Penjajahan ratusan tahun oleh Portugis, Belanda, Inggeris, Jepun dan kemudian Inggeris semula (yang bertapak lebih lama kerana sebab-sebab ekonomi dan politik), mulai hari itu beralih kepada kekuasaan politik warga Tanah Melayu. Sejak itu, 31 Ogos dan kemudian 16 September (dengan pembentukan Malaysia) menjadi hari yang diingati warganegara Malaysia khususnya.
       Mutakhir ini, perayaan ulang tahun kemerdekaan agak sering menonjolkan tokoh-tokoh pejuang kemerdekaan pelbagai kaum, yang lebih dilihat daripada kaca mata politik masa kini. Tidak salah melakukannya, jika tokoh-tokoh yang diangkat itu dahulunya benar-benar berjuang dengan idea, tenaga dan keringat atas kesedaran nasionalisme  yang tulen. Lebih-lebih lagi jika idea, tenaga dan keringat mereka benar-benar lebih hebat mengatasi tokoh pejuang yang lain. Dan tidak salah pula untuk kita mengenang wira-wira kemerdekaan – yang oleh sebab-sebab tertentu – hanya berada dalam lipatan sejarah bangsa, dan seolah-olah dilupakan, tidak dicanangkan.
       Penentangan terhadap kolonialisme barat dan timur, sama usianya dengan kedatangan kuasa kolonial itu sendiri. Ini berlaku kepada semua bangsa atau suku kaum  yang terjajah, yang mempunyai harga diri untuk hidup bebas daripada tekanan serta pengaruh asing. Penentangan terhadap kedatangan penakluk dari barat berbangsa Portugis telah dilakarkan, antaranya,  dalam Sulalat al-Salatin, dipindahkan ke dalam Zaman Gerhana (A. Samad Ahmad), dilanjutkan dalam perkembangan penjajahan seterusnya dalam Nyawa di Hujung Pedang (Ahmad Murad Nasaruddin), Sandera (Arena Wati) , Lepaskan Kembali Aku ke Laut (Shaari Isa), serta beberapa karya yang lain dalam genre puisi, cerpen, novel dan drama.
       Di luar dunia cereka, bertapak kukuh atas realiti sejarah tanah air, dari masa ke masa muncul wira-wira tempatan dalam zaman penjajahan yang kemudian menjadi wira bangsa. Di antaranya termasuklah Pahlawan Mat Salleh yang berjuang hingga ke akhir hayatnya di Tibabar, Sabah; wira orang Iban, Rentap (meninggal 1863) yang menentang pemerintahan Raja Putih di Sarawak, begitu juga dengan Rosli Dobi; Tok Janggut, Mat Kilau dan Abdul Rahman Limbong di pantai timur. Mungkin kerana hayat serta perjuangan mereka agak jauh dari garis masa 1950-an, maka sumbangan mereka hanya layak jadi bacaan pelajar yang mengikuti subjek sejarah di sekolah.
       Tempo yang menghampiri garis masa 1950-an, dapat ditelusur pada 1930-an ketika kemunculan nasionalisme Melayu di Semenanjung semakin nyata. Tokoh tempatan yang gemar membicarakan subjek ini ialah Rustam A. Sani (yang juga seorang penyair), juga tokoh-tokoh lain seperti Radin Seonarno dan W.R. Roff.  Nasionalisme Melayu sejak dekad tersebut memunculkan dua pola kepemimpinan. Pertama, unpamanya dalam Kesatuan Melayu Muda (KMM), :… datang dari golongan yang di luar dari strata sosial yang biasa menyediakan kepemimpinan politik dalam masyarakat Melayu.’ Kedua, ‘yang berakar umbi dari struktur kekuasaan tradisional yang dipertahankan oleh pihak berkuasa kolonial.’ 
       Dari pola yang kedua itu, yang kebanyakannya terdidik dalam aliran sekular moden, turut melahirkan beberapa tokoh kebangsaan sebagai penyambung kepada kekuasaan tradisional dalam bentuknya yang baharu. Akan tetapi sejarah juga melakarkan bahawa muncul ‘pesaing-pesaing’ mereka dari kumpulan  pertama yang berlatarbelakang desa-tani, pendidikan Melayu dan pendidikan Timur Tengah, juga gerakan bahasa, sastera dan persuratkhabaran yang lebih merakyat, sesetengahnya berpendidikan Inggeris. Golongan yang terakhir ini juga memunculkan tokoh-tokoh gerakan kebangsaan yang tidak boleh dilupakan begitu sahaja. Dalam hubungan ini, ketika menyampaikan Pidato Penerimaan Anugerah Sastera Negara, saya menyebut dua rangkap berikut:

Bangsa bermaruah merdeka daripada penjajah,
Kuasa-kuasa barat dan timur datang menjarah,
Menghalau mereka tidak sahaja perwira dan orang siasah,
Peranan ulama dan penulis juga diakui sejarah. 

Justeru setiap menyambut ulang tahun merdeka,
Kenangilah pengorbanan dan bakti mereka,
Yang benar-benar berjasa tampilkan ke muka,
Berterima kasih pada saat sesuai dan ketika. 

       Maruah bangsa tidaklah terbela semata-mata kerana kemerdekaan politik. Degup jantung kemerdekaan politik sendiri pada hakikatnya saling bergantungan dengan sektor-sektor kehidupan yang lain, yang sebahagiannya berada di bawah monopoli atau kuasa luar. Sebagai contoh, keberlangsungan politik memerlukan dana yang besar, yang dijana melalui bisnes yang bergerak dalam orbit kapitalisme barat. Sementara itu imperialisme linguistik (dalam konteks Malaysia ialah bahasa Inggeris) turut menduga dan mencabar kekuasaan politik untuk menzahirkan polisinya terhadap dasar bahasa kebangsaan, untuk membuktikan bahawa bahasa kebangsaan benar-benar merdeka di tanah airnya sendiri. 

       Selama beberapa dekad sebelum kemerdekaan, pelbagai pihak terutamanya bumiputera telah berjuang untuk pembebasan tanah air daripada kuasa kolonial. Mereka terdiri daripada anggota pasukan keselamatan seperti polis dan tentera, serta tokoh-tokoh politik yang dianggap ‘kanan’ kerana berjurai keturunan bangsawan atau terdidik melalui sistem sekular moden. Akan tetapi pejuang kebangsaan bukan mereka sahaja. Terdapat tokoh-tokoh lain daripada kalangan ulama, penulis dan wartawan yang ikut berjuang dengan idea, tenaga dan keringat. Sebahagian mereka, yang dilabel sebagai ‘kiri’ menggunakan pelabelan kuasa kolonial, terpaksa meringkuk dalam penjara. Jadi, apa salahnya kini kita memerdekakan sikap, untuk turut mengakui dan memberi penghormatan yang sewajarnya kepada tokoh-tokoh tersebut? 

        Kebenaran, termasuk kebenaran sejarah politik pascamodenisme, hanya terletak pada kuasa yang wujud pada diri (baca : penguasa) penghasil wacana, seperti yang dikatakan Foucault. Di negara-negara yang sedang membangun, atau negara-negara yang dibangunkan oleh pendatang, teks sejarah sosial dan politik direkayasa supaya memihak penghasil wacana, yakni penguasa. Akan tetapi sampai bila rekayasa tersebut dapat menguburkan realiti sosial dan sejarah sesuatu bangsa?

       Fakta-fakta pensejarahan tidak sahaja dibangunkan daripada dokumen-dokumen rasmi. Sekurang-kurangnya itulah yang pernah dilakukan oleh Barbara Watson Andaya dan Leonard Y Andaya ketika menulis Sejarah Malaysia. Mereka turut memanfaatkan karya-karya sastera yang telah lama menjadi kitab ‘sejarah’ bangsa, lama sebelum dokumen-dokumen rasmi kolonial dan pemerintah dicetak atau ditemui.

       Di tanah air kita, terdapat sejumlah buku yang membicarakan tokoh-tokoh perjuangan kebangsaan yang bukan dari ‘arus perdana’ kerana konsep ‘arus perdana’ selalunya ditentukan oleh penguasa penghasil wacana seperti yang ditegaskan oleh Foucault. Perjuangan serta pengorbanan mereka, hingga ada yang dihumbankan ke penjara, ternyata lebih kental berbanding sesetengah tokoh kebangsaan yang didendangkan atas bukan sebab nasionalisme dan politik semata-mata. 

       Ketika kesedaran terhadap subjek sejarah menjadi semakin nyata, yang khabarnya subjek ini akan diperkukuhkan melalui pengajaran dan pembelajaran di sekolah-sekolah, sudah sampai masanya tokoh-tokoh pejuang kebangsaan sejak awal diperkenalkan secara sistematik dan adil. Sesunggguhnya dalam rentetan panjang sejarah nasionalisme tanah air, termasuk di Sabah dan Sarawak, jasa tokoh agama, sasterawan, budayawan dan wartawan tidak boleh dipinggirkan dari kenyataan sejarah sosial dan politik negara ini. 

       Semoga pada suatu hari nanti generasi muda Malaysia akan mendapat gambaran yang lebih meluas dan mendalam tentang wira-wira kemerdekaan tanah air : Tokoh-tokoh politik ‘arus perdana’ masa lampau dan kini, polis dan tentera, wira-wira tempatan yang berjuang dengan sumpitan dan lembing, para ulama, penulis, sasterawan, budayawan,  wartawan dan sebagainya. Akhirnya generasi muda Malaysia akan berasa yakin bahawa pejuangan menuntut kemerdekaan tidak semata-mata digerakkan oleh satu golongan sahaja, tetapi suatu gerakan yang merakyat, yang akan mencambahkan rasa tanggungjawab untuk melestarikan dan memperkasakan kemerdekaan tanah air bersama-sama.

      

No comments:

Post a Comment