“Semakin
banyak tanah orang Melayu, dan tanah rezab Melayu, termasuk di Pulau Pinang,
telah bertukar tangan. Orang Melayu semakin kehilangan aset bagi pembangunan
perumahan, pejabat, industri dan sebagainya – yang nilainya terus meningkat
dari masa ke masa. Orang Melayu yang terlibat harus menyalahkan diri sendiri.
Pihak yang berkuasa juga wajar dipersalahkan, akibat kurang peka akan
pentingnya orang Melayu memiliki, mempertahankan dan meluaskan pemilikan tanah
di tanah air sendiri.”
TANPA TANAH
tidak ada sesuatu yang boleh
dibangunkan. Pembangunan di pesisir, atau di permukaan air sekali pun, tetap
punya tanah di dasarnya. Banyak cerpen, puisi dan novel Melayu, serta sejumlah
drama, yang mengangkat tema kepentingan
pemilikan tanah ini. Karya-karya ini berbicara dari sudut pandang Melayu atau
bumiputera tentang kepentingan tanah, dan selalu mengajak pembaca untuk
menyedari ancaman yang berupaya mengecilkan atau menghapuskan pemilikan tanah
di kalangan orang Melayu dan bumiputera.
Tema tersebut antara lain diangkat oleh
Keris Mas melalui novelnya Rimba Harapan
(Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka, 1986). Novel ini mengilustrasikan
nasib pemilik tanah Melayu di Bentong – yang oleh sebab-sebab pengembangan
industri, bencana alam serta ketamakan dan pemikiran singkat beberapa watak
antagonis Melayunya, telah kehilangan milik atau meninggalkan tanah pusaka,
lalu membuka rimba di Janda Baik. Pada bahagian akhir cerita, suara pengarang
yang disalurkan melalui watak protagonisnya menegaskan untuk ‘kekal karar’ di
situ. Subteksnya : Melayu tidak boleh
asyik berundur ke rimba sementara orang lain menduduki tanah asal mereka dan
menguasai bandar.
Dalam Pidato Penerimaan Anugerah Sastera
Negara saya antara lain menukilkan:
Prihatinlah
akan nasib tanah air dan bangsa
Hubbul watan minal iman
peganglah ia.
Noor Azam melalui tulisannya dalam Dewan Masyarakat beberapa bulan yang
lalu tentang isu pemilikan tanah orang-orang Melayu, menurunkan perangkaan yang
sepatutnya membimbangkan orang-orang Melayu. Semakin banyak tanah orang Melayu,
dan tanah rezab Melayu, termasuk di Pulau Pinang, telah bertukar tangan. Orang
Melayu semakin kehilangan aset bagi pembangunan perumahan, pejabat, industri dan
sebagainya – yang nilainya terus meningkat dari masa ke masa. Orang Melayu yang
terlibat harus menyalahkan diri sendiri. Pihak yang berkuasa juga wajar
dipersalahkan, akibat kurang peka akan pentingnya orang Melayu memiliki,
mempertahankan dan meluaskan pemilikan tanah di tanah air sendiri.
Di dalam novel saya Naratif Ogonshoto tertulis:
“Kumulai
dengan kisah Adam sedang terapung-apung di angkasa – setelah dikeluarkan dari
syurga – mencari daratannya di dunia ini. Kata sesetengah riwayat dia telah
menemukan India sekarang, sebagai daratan pertamanya.
“Sejak itu manusia terus mencari tanah dan
daratan. Ogonshoto pun telah ditemukan orang. Seluruh daratannya, dulu, milik
natif Ogonshoto belaka. Tetapi bagaimana sekarang? Dulu, ketika orang-orang
Jepun belayar mencari daratan baru, mereka turut menemukan Ogonshoto, lalu
bertapak di Futu-Ata. Tetapi tidak Jepun saja; semua bangsa yang berpandangan
jauh terus mencari daratan.
“Bangsa yang berpandangan singkat
melupakan daratannya. Sayang sekali, politikus Ogonshoto harus dikaitkan dengan
‘bangsa’nya, yang berpandangan singkat itu! Mengapakah kukatakan demikian?
Presiden, dalam upaya memenangi hati musuh-musuh politiknya, atau menghargai
taat setia penyokongnya, membahagi-bahagikan daratan Ogonshoto seolah-olah
tanpa mengkaji implikasinya.
“Bekas musuh-musuh politik Presiden,
setelah menerima kurnia tanah daratan, terus melupakan perjuangan asal kerana
mulai belajar hidup senang-lenang. Mereka membangunkan daratan masing-masing dengan
bantuan pelabur asing; atau terus menjual daratan mereka kepada orang-orang
Amerika atau Eropah. Harga tanah daratan tiba-tiba naik berlipat ganda, yang
tidak dapat dijangkau lagi oleh majoriti natif Ogonshoto. Aku menyoal,
mengapakah pemerintah Ogonshoto tampaknya lebih memihak kepada segelintir
orang, berbanding majoriti natif Ogonshoto yang lebih dahaga akan tanah daratan
dan kehidupan yang lebih baik?
“Penyokong-penyokong Presiden yang
menerima kurnia tanah daratan, banyak yang segera menjual daratan
masing-masing. Sasaran mereka hanyalah lima tahun, atau lima tahun yang akan
datang, apabila pemilihan umum menurut kerangka demokrasi diadakan. Dalam
tempoh itu, mereka ini – yang ingin kekal pada status quo atau ingin memanjat lebih tinggi anak tangga kekuasaan –
perlukan wang yang tidak sedikit untuk terus mendapat sokongan serta tidak
diganggu gugat. Kunyatakan terus terang begini : Politikus kita menilai
daratannya untuk tempoh lima tahun saja;
kapitalis yang membeli tanah daratan itu menilainya untuk tempoh ribuan tahun
yang akan datang. Lalu kuulangi, sayang sekali ketika bangsa-bangsa lain terus
mencari dan meluaskan daratan, Ogonshoto sedang memilih sendiri – tanpa bantuan
letupan gunung berapi – mengecilkan daratannya.
“Kalian tahu bukan, sekarang ini lebih
tujuh puluh peratus daratan Futu-Ata sudah dimiliki oleh orang-orang Jepun. Di
Rai-Rapa , lebih lima puluh peratus daratannya sudah menjadi milik orang-orang
Inggeris, Amerika, Australia dan New Zealand. Di Gora-Gora hampir enam puluh
peratus daratannya sudah didaftarkan atas nama orang-orang Jerman, Itali,
Switzerland dan Perancis. Sekali mereka mendapat tanah daratan, mereka tidak akan melepaskan kepada orang
lain, untuk selama-lamanya.
“… Pembinaan stesen angkasa adalah tanda
ghairah manusia untuk mencari daratan baru di atas sama. Semuanya, kerana
sedari awal Adam telah memberikan tamsil ibarat tentang manusia yang perlu
mencari daratan. Dan pencarian daratan akan terus dilakukan oleh umat manusia
hingga ke akhir zaman kelak. Malangnya, Ogonshoto terus menyerahkan daratannya kepada
bangsa-bangsa lain, mengabaikan hak natifnya sendiri.” (hlm. 142-143).
Peribahasa Melayu “Bagai Belanda
minta tanah” bukan sahaja untuk menunjukkan ketamakan sesetengah pihak
menguasai daratan yang makin diperluaskan dari masa ke masa, malah secara halus
mengingatkan orang Melayu agar tidak melepaskan pemilikan tanahnya, kerana
sekali terlepas, akan melepaslah buat selama-lamanya. Maka gejala itu mesti
disedari oleh semua orang Melayu, jika tidak mahu menerima nasib sebagaimana
nasib beberapa peribumi di dunia ini.
Gejala “Belanda minta tanah” turut
dialami peribumi Palestin sejak beberapa dekad yang lalu, di mana rejim zionis
Israel membeli tanah milik orang Palestin (yang berpandangan singkat atau
secara paksa), mengambil alih pemilikan tanah rakyat Palestin, dan sentiasa
berusaha memperluaskan sempadan geo-politiknya. Di atas tanah yang mereka
kuasai, dibangunkan perumahan yang didiami oleh pendatang-pendatang Yahudi.
Dalam tempoh singkat, peribumi Palestin akan menjadi golongan minoriti
sebagaimana keluasan tanah mereka semakin mengecut. Untuk merebut kembali tanah
yang hilang bukanlah suatu proses yang mudah kalau hanya melontar batu ke atas
musuh yang lengkap bersenjata, atau melepaskan pengebom berani mati. Yang
menguasai daratan, akan terus bersikap keras mempertahankan daratannya.
Pemilikan tanah dan khususnya
pembangunan perumahan di atasnya, akan memberi impak dalam peti-peti undi
setiap kali diadakan pilihan raya. Pola politik Malaysia menunjukkan jurang
sikap serta sokongan yang berbeza antara pengundi bandar yang padat dengan
pengundi desa yang sepi. Kerana tanah, landskap politik boleh berubah.
Hanya sesuatu kaum yang boleh mengubah
nasibnya sendiri ke arah yang lebih baik. Dalam drama “Bukan Lalang Ditiup
Angin”, Noordin Hassan melalui korus ‘Canang’ turut mengingatkan:
Terkenang
kampung anak dan isteri,
Ramalan
nujum kemudian hari,
Jika
tak ubah nasib sendiri,
Kena
belenggu macam pencuri.
ReplyDeleteشركة رش مبيدات بالدمام
شركة تنظيف سجاد بالظهران