Showing posts with label Interlok. Show all posts
Showing posts with label Interlok. Show all posts

Wednesday, November 7, 2012


 

 

“Di sebuah negara baru, berlaku persemukaan pelbagai ras dan bangsa atas sebab-sebab politik, ekonomi, pendidikan dan sebagainya lagi.  Rusuhan ras bukanlah sesuatu yang ingin kita lihat di sebuah negara berpenduduk majmuk seperti Malaysia. Tragedi 13 Mei yang penulis alami secara dekat, selalu terbayang dalam ingatan – dengan segala puingnya.”  

NOVEL INTERLOK oleh Abdullah Hussain  telah menjadi komoditi politik. Ia bukan keluaran ladang, bahan mentah atau bahan galian. Karya yang pertama kali diterbitkan pada 1971, mutakhir ini (terutamanya awal 2011) menjadi barangan yang diperdagangkan di pasar politik. Kerana kehadirannya, pasar dibuka lebih lama, dan banyak pihak mengambil peranan tawar menawar. Ketika makalah ini ditulis, pasar masih belum ditutup, dan akibatnya produk itu belum tiba di pintu bilik-bilik darjah anak-anak kita.
       Mak Limah, Pak Musa, Kim Lock, Cing Huat, Perumal, Malini, Gayah, Yew Seng, dan Poh Eng tidak sedar bahawa pada suatu hari nanti kewujudan mereka hanya layak diperdagangkan di pasar politik. Di dalam lembaran kertas, mereka tidak tahu bagaimana riuh rendahnya pasar politik itu. Mereka wujud di kertas untuk saling berkenalan, bukan bermusuhan – kalaulah antagonis di dunia nyata benar-benar menghayatinya.
       Akan tetapi antagonis di pasar politik memang tidak mahu memahami, apa lagi menghayatinya. Semata-mata kerana muncul golongan kasta terendah di dalam novel tersebut. Bagi antagonis ini, seperti dilaporkan dalam media, jalan keluar ialah menarik balik Interlok daripada menjadi buku teks. Mereka enggan memandang ke belakang untuk melihat realiti lampau sistem sosial masyarakat di tanah leluhurnya,  bukan kerana dorongan pendapat sejarawan pascamoden yang menyatakan ‘The past is unknown.
      Seorang calon sarjana berbangsa India, dalam tesisnya menyebut : 'Amalan sistem kasta merupakan antara masalah yang perlu dihapuskan, khususnya di dalam masyarakat India. Menyedari hakikat ini penulis cerpen Tamil Malaysia cuba memaparkan isu tersebut dalam penulisan mereka. Cerpen ‘Puzliyum Pavamum’ (‘Dosa dan Pahalanya’), ‘Samuthaya Irul’ (‘Kegelapan Sosial’) – kedua-duanya oleh oleh M. Ramaiya, menggambarkan penentangan terhadap amalan sistem kasta’. Sistem itu pernah ada di bumi ini.
       Ura-ura Kementerian untuk meminda atau mengubah beberapa bahagian kecil dalam novel tersebut juga telah mengundang perdebatan. Sebelum sesebuah karya terbit, pengaranglah yang paling berhak mengubah mana-mana bahagian dalam manuskripnya. Selepas manuskrip itu diterima penerbit, kuasa profesional editorlah yang kemudiannya diberi hak-hak tertentu untuk mengubahnya. Daripada penulis muda yang baru belajar menghantar karya ke akhbar nyamuk, sampailah kepada penulis tersohor seperti Shahnon Ahmad, Arena Wati dan Hemingway, tahu akan kuasa profesional sang editor. Shahnon Ahmad menerima sebuah cerpennya diubah judul menjadi “Lagu Kit! Kit! Kit!,” Arena Wati akur peranan editor memantapkan lagi beberapa buah manuskrip novelnya. Seorang watak  yang muncul dalam manuskrip Hemingway, ditiadakan oleh editornya apabila karya itu muncul dengan nama The Garden of Eden.
       Mengubah karya sesudah karya itu terbit? Anda boleh melihat kesan lucu atau serius – bergantung dari perspektif mana Anda memandangnya. Lucu apabila diwujudkan sebuah jawatankuasa untuk mengubah mana-mana bahagian di dalam sesebuah karya. Lucu kerana hal ini tidak pernah dibuat orang, di mana-mana, tanpa persetujuan pengarangnya. Lucu juga apabila jika ada pengarang yang tunduk kepada pendapat ahli jawatankuasa – melebihi panggilan kreatif bebasnya yang awal. Jangan nodai integriti dan kebijakan pengarang.
       Sisi serius dan wajar berlaku apabila secara sedar pengarang sendiri ingin mengubah lebih sepuluh peratus daripada teks asal, atas sesuatu sebab, untuk muncul sebagai edisi baru. Atau pengarang sendiri berasa bahawa teksnya terlalu berat, lalu dipermudah menjadi edisi pelajar. Setelah semuanya dilakukan pengarang, dan teks tersebut muncul dalam bentuk buku, tiada pihak lain yang boleh mengubahnya; kecuali pengubahan tafsirannya ke dalam medium yang baharu seperti gubahan menjadi drama pentas dan lakon layar.
      Suatu hakikat budaya dan strata sosial masyarakat India di Benua Kecil India, yang berakar sekian lama, tidak boleh secara mudah di delete begitu saja oleh ketajaman kuasa politik. Ia memerlukan masa yang lama serta keazaman budaya, sosial, politik dan psiki kolektif bangsanya untuk berubah. Dan ini bukanlah sesuatu yang mustahil. Tetapi apabila penyekatan Interlok lebih dijuarai oleh aktivis politik, maka orang Melayu mula bersuara tentang wacana balas politik. Hakikat bahawa hampir tiada kawasan DUN atau parlimen yang majoritinya penduduk India, wacana balas politik NGO Melayu itu – seperti laporan akbar awal Februari 2011, - mungkin memberi kesan yang besar yang belum pernah dilihat dalam senario politik negara, jika benar semua orang Melayu menolak mana-mana calon berbangsa India dalam Pilihan Raya Umum yang akan datang.  
       Mak Limah, Pak Musa, Kim Lock, Cing Huat, Perumal, Malini, Gayah, Yew Seng, Poh Eng dan lain-lain dalam Interlok bukanlah watak yang mudah melupakan masa lampau mereka – yang gelap, pedih, pilu, sukar dan sebagainya. Mereka watak yang berpijak di bumi nyata, yang mendapati bahawa di sebuah negara baru (termasuk baru merdeka), ada sejumlah potensi yang boleh digarap untuk mengubah nasib mereka. Di sebuah negara baru, berlaku persemukaan pelbagai ras dan bangsa atas sebab-sebab politik, ekonomi, pendidikan dan sebagainya lagi.
       Rusuhan ras bukanlah sesuatu yang ingin kita lihat di sebuah negara berpenduduk majmuk seperti Malaysia. Tragedi 13 Mei yang penulis alami secara dekat, selalu terbayang dalam ingatan – dengan segala puingnya.
       Dalam Pidato Penerimaan Anugerah Sastera Negara, antara lain penulis menurunkan rangkap berikut kerana sering menyedari akan hakikat pluraliti dan dalam masa yang sama ingin melihat kelestarian integrasi:
Kita mengenal Suhaif al-Rumi,
Begitu juga Salman al-Farisi,
Beserta dengan Bilal al- Habashi,
Begitu pelbagainya wajah insani.      

       Allah mencipta pelbagai bangsa di dunia. Allah juga mencipta pelbagai bahasa untuk mereka. Daripada penciptaan tersebut, manusia terdidik dan bertamadun terdorong rasa ingin berkenalan, bukan untuk bermusuhan.
       Setiap tamadun yang sedang berkembang, bersemuka dengan kepelbagaian clan dan bangsa. Tamadun Arab yang berkembang bersama-sama Islam, melihat masyarakat Arab bersemuka dengan kepelbagaian bangsa baik dari Rom, Parsi mahu pun Habshah dan kepelbagaian warna kulit mereka. Di negara lain, perbezaan warna kulit boleh menjadi pencetus diskriminasi (seperti di Amerika Syarikat sehingga awal tahun 1970-an, atau di Afrika Selatan sehingga kekuasaan Nelson Mandela). Tetapi Islam, sejak kira-kira 1,400 tahun yang lalu menunjukkan bahawa dalam masyarakat yang bertamadun, kepelbagaian clan atau bangsa adalah sesuatu yang boleh diraikan dan menjadi pemangkin kekuatan negara bangsa – kerana bangsa dan warna kulit bukan elemen yang menjadi nilai inti kepada tamadun tersebut.
       Malaysia yang penduduk majorotinya Melayu - Islam, diikuti Cina, India, Kadazandusun, Iban dan lain-lain, tentu dapat belajar daripada pengalaman Tamadun Islam itu, sebagaimana yang penulis nukilkan dalam Pidato Penerimaan Anugerah Sastera Negara:

Namun bertimbang rasalah kepada taulan,
Pelbagai bangsa, jiran dan kenalan,
Pada zamannya Nabi telah tunjukkan,
Islam menjalin indah perpaduan.      

       Malaysia yang memartabatkan Islam sebagai agama rasmi, di samping banyak pemimpin kanan (di peringkat Persekutuan dan negeri) beragama Islam, wajar sekali meneruskan usaha melestarikan keamanan masyarakat pelbagai kaum. Inilah tuntutan Islam. Inilah teladan terpuji yang telah ditunjukkan oleh Nabi Muhammad SAW untuk menjadi ikutan. Malaysia tidak berdaya menanggung lagi pengulangan tragedi sebagaimana Tragedi 13 Mei 1969.   Akan tetapi peristiwa di sekitar Interlok menunjukkan kelahiran semula bibit-bibit rasisme.   
       Rasisme menjadi salah satu ancaman besar masyarakat dunia hari ini. Ancaman yang datang bersama-sama kepentingan puak yang berdasarkan perbezaan fizikal, warna kulit, budaya, ideologi, mazhab, serta bagaimana mereka mendefinisi survival ras dalam jangka pendek atau jangka panjang. Dengan bantuan new media, rasisme menemukan lidah baru untuk berkata-kata secara anonymous, lebih lantang, membakar emosi, dan tidak kurang yang biadab! Api seolah-olah hampir menemui minyak.
       Tragedi bukan untuk dicipta, tetapi untuk dihindari. Tragedi alam memang di luar kuasa manusia untuk mengatasi atau menghindarinya seratus peratus. Akan tetapi tragedi bikinan manusia boleh dihindari jika langkah-langkah pencegahan awal melalui pelbagai pendekatan dan strategi dapat dilakukan dengan berkesan. Tragedi juga bukan untuk dicontohi. Cukuplah dengan tragedi Jebat atau Oedipus. [DS411]

 

 

      

Monday, November 5, 2012


 

 

 “Karya agung sesuatu bangsa, umpamanya Hikayat Hang Tuah dan Sulalat al-Salatin bagi bangsa Melayu, menjadi agung bukan  kerana  mendefinisi bangsanya secara  luaran dan fizikal, tetapi kerana definisinya turut menarik masuk idealisme bangsa pintar, bitara, dan unggul, sering mengatasi tokoh dan kerajaan-kerajaan jirannya, serta tokoh dan kerajaan-kerajaan besar dunia.” 

HUJAH MENDEFINISI BANGSA  dilakukan dalam mana-mana karya kesusasteraan dunia. Definisinya berupa kolaj-kolaj sejarah agama, politik, ekonomi, intelektual dan sebagainya, yang dimunculkan dalam karya kesusasteraan dari masa ke masa, melalui pelbagai gaya, teknik atau pendekatan. Oleh sebab definisi kesusasteraan terhadap bangsa mempunyai beberapa pertimbangan, visi serta matlamat jangka panjang, ia tidak mungkin ditafsirkan melalui definisi sains sosial atau antropologi  semata-mata.
       Di dalam kesusasteraan Melayu, definisi bangsa turut ditentukan oleh fungsi karya sastera, yang antara lain (menurut Muhammad Haji Salleh dalam Puitika Sastera Melayu), menjadi ‘wadah dan wajah kebijaksanaan,’ ‘ penawar dan penghibur’ dan ‘pembawa contoh dan unggul.’ Fungsi terakhir itu, dalam konteks mendefinisi bangsa, bukanlah sesuatu yang telah tuntas, tetapi sebaliknya merupakan suatu proses  yang wajar ‘dicontohi’ – agar definisi sebuah bangsa yang unggul dalam pelbagai bidang dapat dijelmakan.
       Kesusasteraan Melayu moden yang awal  adalah bancuhan pekat proses tersebut. Di samping pengarang-pengarangnya sedar bahawa bangsa Melayu adalah bangsa utama, teras dan majoriti, tetapi kesedaran itu tidak memudahkan suatu definisi bangsa yang mereka ingini. Mereka menyelongkar ke wilayah tema yang beragam, cuba mengeluarkan anak bangsanya daripada kelam pendidikan, ekonomi, persaingan sosial di dunia sama rata, serta ajaran agama yang progresif.
       Watak pemimpin – yang secara hakikinya mengetuai rekayasa bangsa dalam pelbagai bidang, didekati dan cuba difahami (seperti “Pemimpin Kecil dari Kuala Semantan” oleh Keris Mas ), atau dipandang dengan penuh harapan serta kecurigaan (seperti dalam Menteri dan Perdana oleh Shahnon Ahmad). Apabila pada akhir tahun 1960-an Shahnon Ahmad memukul canang Malay Power akibat kelemahan pemimpin hingga mencetuskan Tragedi 13 Mei, yang tidak mengambil langkah-langkah preventif awalan melalui tema-tema yang telah lama diselongkar dalam kesusasteraan Melayu, subteksnya adalah suatu hasrat agar definisi bangsa dirangka semula, bukan berdasarkan warna kulit, bahasa dan budayanya, tetapi kekuatan dalaman (agama, pendidikan, ekonomi, moral, integriti) dan intelektual yang membolehkan bangsa ini terus di muka menakhoda tamadunnya.
       Dalam Ucapan Penerimaan Anugerah Sastera Negara saya menukilkan:

Persuratan itu mengandung ilmu,
Juga mendidik tiadalah jemu,
Mutiara kata dapat ditemu,
Yang indah-indah dan merdu turut diramu. 

       Ada pendapat yang menyatakan, ketika Danial Defoe ‘melepaskan’  Robinson Crusoe belayar pada tahun 1719, itu adalah suatu usaha mendefinisi bangsa Inggeris dalam era penjelajahan dan penaklukan (terhadap ‘the others’) dan lantaran itu takrif orang Inggeris harus turut menyebutnya sebagai kolonial di benua Afrika, Asia dan kawasan samudera. Beberapa tahun kemudian  (1726) Jonathan Swift menghadirkan Gulliver’s Travel. Sama ada ia menjadi ‘gergasi’ di Liliput, atau ‘si kenit’ di Brobdingnag, ada yang menyebutnya ia adalah suatu proses mendefinisi kekuasaan sebuah bangsa yang sedang dalam pencarian, dalam era ketika pintu samudera dunia dibuka kepada pelaut-pelaut berjiwa penakluk.
       Rahim definisi sesuatu bangsa yang paling awal  melekat pada cerita-cerita lisan tentang asal usul keturunan raja atau bangsawan – sama ada sebagai penjelmaan ‘tuhan’, ‘dewa’ , keturunan Iskandar Zulkarnean dan sebagainya.  Ia telah disakralkan begitu rupa, untuk membentuk dikotomi yang sangat jelas antara ‘yang berkuasa’ dengan ‘yang dikuasai.’ Dan definisi sesuatu bangsa pada awalnya tampak membezakan dua darjat ini.
       Definisi tersebut terus dipadankan dengan kekuasaan tradisional, kekuasaan moden, kemudian perang saudara atau perang untuk kemerdekaan yang telah memunculkan penguasa-penguasa absolutisme, aristokrasi, totalitarianisme, pelanggan demokrasi  dan sebagainya. Ia muncul dalam novel-novel Rusia, Eropah, Amerika Syarikat, Amerika Latin dan sebagainya. Bangsa didefinisikan lagi menurut kehendak dan rentak penguasa. Ketika penguasa berkiblat kepada isme, sasterawan melihat pelbagai jalur pilihan ekspresi di hadapan mereka bagi mendefinisi bangsa melalui pelbagai gerakan seni – yang bukan sahaja memanipulasi metafora dan tanda, malah  menggunakan teknik seperti realisme magis. Dan teknik ini bukanlah baharu kerana Tun Seri Lanang, melalui Sulalat al-Salatin (ditulis 1612) telah menerapkannya. Saya menzahirkan pandangan ini melalui Pidato Penerimaan Anugerah Sastera Negara:

Dibantu ilmu karya terkarang,
Piawai Melayu ini jangan dibuang,
Nyata dan magis silang bersilang,
Ke pentas dunia masuk gelanggang.

       Sebagai karya agung bangsa, Sulalat al-Salatin bukan sahaja menarik kerana sejumlah unsur profetik di dalamnya, tetapi juga kerana ia mencuba mendefinisi Melayu unggul, melalui pandangan teropong sejarah era kejatuhan. Seorang yang pernah berkuasa dan berjaya, akan lebih arif mentakrif erti keunggulan apabila berada dalam era kejatuhan bangsanya.
       Definisi bangsa berdasarkan wilayah geografi, bahasa, warna kulit dan budaya tampak mudah ditakrifkan bagi masyarakat yang homogeneous, tetapi akan menjadi lebih rumit lagi apabila takrifannya ingin menyelam ke dalam jiwa, perasaan serta pemikiran bangsa. Sesuatu bangsa bukanlah diukur dari aspek zahirnya sahaja, tetapi juga aspek jiwa, perasaan serta pemikiran yang berasas pada kepercayaan, kosmologi dan pelbagai unsur pembentukan kebudayaannya. Dan Melaka serta warisannya, seperti yang dilukiskan oleh Tun Seri Lanang, bukanlah mewariskan masyarakat yang benar-benar homogeneous walaupun bilangan anggota masyarakat Melayu lebih banyak berbanding etnik yang lain. Apabila pelbagai bangsa dan etnik ingin ditakrifkan dalam konteks ikatan ketatanegaraan, ia mengundang definisi yang panjang lebar.
       Bagi negara-negara indigenous yang mempunyai penduduk dan kerajaan asal turun temurun (seperti Malaysia, Indonesia, Thailand, Jepun dan sebagainya), definisi penduduk indigenous  ini lebih mudah dilakar dan difahami. Ini agak berbeza dengan mendefinisi bangsa , lebih-lebih lagi dalam konteks ketatanegaraan, di negara-negara yang dikuasai pendatang (umpamanya Singapura, Amerika Syarikat dan Australia). Bagi yang terakhir ini, definisi bagi bangsa majoriti biasanya lebih terancang, panjang dan halus berbanding bangsa minoriti, dengan turut memanipulasi unsur-unsur etnik, linguistik dan sejarah. Pembuat definisi di dalam golongan ini berlindung di balik tembok yang didirikan sejarawan pro pascamoden yang pada dindingnya tertulis : “The past is unknown!”
       Akan tetapi negara indigenous  seperti Malaysia, akibat penjajahan dan ekonomi, terpaksa membuka ruang realiti kepada kedatangan orang--orang baru terutamanya dari China dan India. Dalam tempoh beberapa dekad sahaja, Malaysia menjadi melting pot  di mana setiap orang , atas nama demokrasi dan pasaran bebas,  memanfaatkan segala peluang dan kesempatan dalam pelbagai lapangan kehidupan.
       Percampuran kaum yang baharu dan  riuh ini mengundang persoalan ‘perpaduan’ atau integrasi, kerana negara tidak mungkin bergerak dengan tenang dan maju ke hadapan dalam pelbagai sektor kehidupan, jika aspek integrasi antara kaum diabaikan. Sastera pun ingin memainkan peranannya, secara tidak langsung atau pun langsung, umpamanya yang terlihat dalam Musafir (Hasan Ali) dan Interlok (Abdullah Hussain).
       Penulis Interlok mendefinisi Melayu, China dan India dengan mengambil kira faktor indigenous, tanah asal orang Cina dan India yang datang ke Tanah Melayu (kemudian Malaysia), juga sistem sosial yang ketara dan telah turun temurun dalam tamadun bangsa mereka – termasuk clan dan kasta. Penulis Interlok menggunakan definisi yang telah lama tercatat dalam buku-buku kajian budaya dan strata sosial mereka. Suatu definisi yang telah diterima umum kerana berakar pada realiti kebudayaan turun temurun.
       ‘Penulis cerpen berbangsa India di Malaysia juga mengakui adanya hakikat kasta itu dalam masyarakat mereka. Menurut mereka, amalan sistem kasta merupakan antara masalah yang perlu dihapuskan, khususnya di dalam masyarakat India. Menyedari hakikat ini penulis cerpen Tamil Malaysia cuba memaparkan isu tersebut dalam penulisan mereka. Cerpen ‘Puzliyum Pavamum’ (‘Dosa dan Pahalanya’), ‘Samuthaya Irul’ (‘Kegelapan Sosial’) – kedua-duanya oleh oleh M. Ramaiya, menggambarkan penentangan terhadap amalan sistem kasta’ itu.
       Apabila ada pihak yang tidak menyetujui definisi penulis Interlok, ini bermakna pihak tersebut tidak menyetujui definisi yang berakar pada realiti kebudayaan turun temurun, sebaliknya mahu suatu definisi baru digubal dan diperkenalkan. Pihak ini ingin mencipta definisi baru yang bebas daripada ikatan serta realiti kebudayaan masa lampau di tanah asal mereka. Ini menunjukkan bahawa usaha mendefinisi bangsa merupakan kerja yang belum selesai.
       Kini ketika Melayu merupakan golongan majoriti yang lemah (bahasanya, ekonominya, politiknya, pendidikannya, perpaduannya, pegangan agamanya serta moralnya), barangkali Melayu perlu mendefinisikan dirinya semula. Bukan suatu definisi luaran, fizikal, bahasa, budaya, serta bumi yang dipijak dan langit yang dijunjung semata-mata, tetapi suatu definisi dalaman dan kerohanian yang boleh melonjakkan bangsa ini menjadi bangsa majoriti yang bitara dan perkasa dalam pelbagai sektor kehidupan masa kini dan masa depan.
       Karya agung sesuatu bangsa, umpamanya Hikayat Hang Tuah dan Sulalat al-Salatin bagi bangsa Melayu, menjadi agung bukan  kerana  mendefinisi bangsanya secara  luaran dan fizikal, tetapi kerana definisinya turut menarik masuk idealisme bangsa pintar, bitara, dan unggul, sering mengatasi tokoh dan kerajaan-kerajaan jirannya, serta tokoh dan kerajaan-kerajaan besar dunia.
       Sebagai karya sastera yang secara halus dan tidak langsung mendefinisi bangsa, hayat karya-karya seperti ini dipanjangkan  melalui naratif sastera, teaterikal, senematik dan muzikal.[DS0311].