Monday, December 21, 2009

Terkenang Semasa Dulu : Bahan Penilaian Hadiah Sastera Perdana

Semalam saya terbaca di Berita Harian, para penulis tempatan diminta menghantar beberapa salinan karya mereka untuk dinilai bagi Hadiah Sastera Perdana 2008-09, kepada Sekretariatnya di DBP.
Terkenang Semasa Dulu : Dulu-dulu, para penulis tidak perlu menghantar beberapa salinan karya untuk dinilai oleh panel yang dilantik oleh DBP. Pada masa itu (dan sepatutnya dulu, kini dan selamanya), DBP mempunyai urus setia dan tenaga kerja yang mengumpulkan semua genre karya sastera untuk dinilai bagi setiap tahun penilaian. Lagi pula, di DBP ada Pusat Dokumentasi Melayu (PDM). Sebagai Pusat Dokumentasi Melayu, pastilah dokumentasinya lengkap (termasuk bahan-bahan yang menyiarkan semua genre sastera bagi setiap tahun penilaian); kerana kalau tidak memiliki dokumentasi lengkap itu, maka tidak sejajarlah dengan nama gahnya Pusat Dokumentasi Melayu.
Bagaimana kalau DBP menarik balik cadangannya agar penulis menghantar beberapa salinan karya untuk dinilai oleh panel yang akan dilantik oleh DBP? Sebaliknya, tugas itu diserahkan sepenuhnya kepada DBP yang mempunyai PDM, staf dan kemudahan lain?
Saya sendiri, maaflah, keberatan untuk mencari-cari semula semua karya saya yang tersiar, memfotokopinya beberapa salinan, dan menghantarnya ke Sekretariat. Bukan kerana saya ini sudah jadi Sasterawan Negara, tapi pada hemat saya, kerja itu patut dibuat oleh urus setia. Itu bukan kerja penulis, kerana penulis ada tugas yang berterusan - iaitu untuk terus menulis.