Showing posts with label Bahasa Melayu. Show all posts
Showing posts with label Bahasa Melayu. Show all posts

Friday, November 30, 2012


 
“Pasaran penerbitan dalam bahasa Melayu juga sepatutnya melihat kemampuan bahasa ini pada peringkat supra nasional. Semua penerbitan dalam bahasa Melayu (termasuk dari Indonesia terutamanya), seharusnya dapat diterima tanpa apa-apa hambatan linguistik. Begitu juga dengan penerbitan buku-buku Melayu untuk pasaran Indonesia. Kita harus belajar daripada bahasa dunia yang besar, di mana bahasa itu bebas menyeberang batas geo-politik, dan dapat diterima serta difahami oleh khalayak yang mempunyai kepelbagaian budaya serta kepercayaan.”
JIKA KERAJAAN tidak mengubah pendirian yang diumumkan oleh YAB Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran kira-kira setahun lebih  yang lalu untuk mengembalikan pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Melayu, maka tahun 2012 bolehlah dianggap sebagai ambang peluang kedua untuk bahasa Melayu kembali menjadi bahasa ilmu. Sebaliknya, jika kerajaan meneruskan dasar PPSMI dalam bahasa Inggeris, maka masa depan bahasa Melayu semakin malap.      
       Kemajuan dan perkembangan bahasa Melayu di Malaysia akan banyak bergantung pada dasar pembinaan dan pengembangan bahasa ini, di samping polisi serta persepsi kerajaan terhadap bahasa ini yang sepatutnya  diangkat menjadi bahasa rasmi, bahasa komunikasi,  bahasa kebangsaan dan bahasa ilmu pengetahuan. Tidak kurang penting ialah penerimaan orang Melayu sendiri terhadap bahasanya, di samping penerimaan kaum-kaum lain terhadap bahasa kebangsaan ini. Usaha mengembangkan bahasa Melayu juga berkait rapat dengan upaya memperkasakan tamadun Melayu. Kita tidak mungkin memperkasakan tamadun Melayu dengan meminjam bahasa orang lain.
       Alam Melayu di tanah lamanya sebelum kedatangan Islam turut mensisakan tinggalan sejarah berupa pelbagai jenis tulisan dan candi. Akan tetapi sejak disinari cahaya tauhid, umat Melayu-Islam memilih tulisan jawi – daripada tulisan Arab yang ditambah beberapa huruf bagi menyesuaikannya dengan lidah serta bunyi Melayu. Melalui aksara ini pujangga dan ulama Melayu silam menghasilkan karya-karya besar termasuk karya-karya sufisme dan kesusasteraan.
       Gelombang pertama kemunculan dan perkembangan bahasa Melayu bermula sejak orang Melayu menghuni gua purba, pesisir dan pulau; daripada masyarakat agrarian sepenuhnya, hinggalah kepada sebahagian masyarakat modennya yang mula menghuni kota. Gelombang pertama ini menyaksikan bahasa Melayu yang dituturkan dan didengar telah berhasil membentuknya sebagai sebuah bahasa yang dinamik. Telah tercipta karya kesusasteraan yang menjadi genius bangsa berupa pantun, peribahasa serta hikayat-hikayat yang agung seperti Hikayat Hang Tuah dan Sulalat al-Salatin. Kepustakaan Melayu terus diisi dengan buku-buku pelbagai bidang.
       Penubuhan UKM dapat dianggap sebagai puncak perkembangan bahasa Melayu. Melalui pendidikan dalam bahasa Melayu, di institusi tersebut latihan ilmiah, tesis, wacana, kuliah dan penerbitan pelbagai bidang dan subbidang dalam bahasa Melayu telah dihasilkan; disamping menghasilkan lulusan pelbagai fakulti. Sepatutnya puncak gelombang itu dipertahankan dan dilonjakkan lagi, kerana ternyata bahasa Melayu mampu mengungkapkan ilmu pengetahuan moden yang tinggi dan rumit.
       Bagaimanapun benteng penyekat gelombang itu dibina dan disiapkan dengan begitu cepat oleh seorang pemimpin negara yang menghadapi kerancuan fikiran  tentang kedaulatan serta potensi bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Benteng itu dibina sekitar tahun 2003 melalui dasar PPSMI.  Jika dasar PPSMI diteruskan, bahasa Melayu perlahan-lahan akan terhakis sebagai bahasa ilmu, bukan sahaja ilmu sains dan teknologi, malah ilmu-ilmu yang sedikit banyak memerlukan disiplin atau pengkaedahan sains dan matematik di dalamnya.
       Keberanian Menteri Pelajaran sekarang untuk memansuhkan PPSMI mulai 2012 bolehlah dianggap sebagai memberikan ‘peluang kedua’ kepada bahasa Melayu untuk membentuk gelombang baru dan seterusnya. Akan tetapi bahasa Melayu terus menghadapi cabaran hebat. Jika salah strategi bahasa Melayu tidak akan kekal sebagai bahasa utama di Malaysia, sebaliknya hanya akan menjadi bahasa kedua. Apakah perkara-perkara yang harus dimantapkan untuk memperkasakan bahasa Melayu agar kekal sebagai bahasa pertama?
       Pertuturan dan pendengaran adalah  saling berhubungan. Mungkin dianggap remeh. Akan tetapi pertuturan yang gramatis, lengkap, dan berkesan akan memberi citra baik terhadap sesuatu bahasa. Begitu juga sebaliknya. Jika bahasa Melayu dituturkan secara buruk (umpamanya tidak gramatis, pemilihan diksi yang salah, bercampur baur dengan bahasa lain – atau disebut ‘bahasa rojak’, dan seumpamanya) sama ada oleh menteri, pegawai kerajaan, dalam situasi rasmi atau tidak rasmi, dalam media elektronik, dan malah oleh pelajar – maka mereka memberi isyarat yang bahaya dan salah terhadap kemampuan bahasa Melayu. Yang tidak mampu (berbahasa dengan baik) adalah mereka, bukan kelemahan bahasa Melayu. Oleh itu wajar pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu turut menekankan cara bertutur bahasa Melayu yang betul dan berkesan sedari awal lagi.
       Untuk terus berkembang, bahasa Melayu mesti mempunyai kepustakaan ilmu dan persuratan yang banyak. Dan dibaca secara meluas pula. Di Malaysia, khususnya di institusi pendidikan tinggi awam, terdapat kira-kira 1,700 orang profesor dan 20,000 lagi staf akademik. Sekiranya setiap daripada mereka menulis dan menerbitkan sebuah buku setiap dua tahun, maka jumlah kepustakaan Melayu akan meningkat dengan mendadak. Akan tetapi perkara sebaliknya berlaku. Hanya segelintir profesor dan staf akademik IPTA yang menulis dan menerbitkan buku, dan dari yang segelintir itu hanya sebahagaian kecil yang menghasilkan penulisan yang betul-betul mendalam.
       Kepustakaan ini mesti memenuhi selera, minat serta tuntutan ilmu pelbagai golongan – kanak-kanak, remaja dan dewasa. Kepustakaan ini juga mesti meliputi semua bidang dan subbidang. Akan tetapi para sarjana kita di IPTA mungkin lebih mengejar penulisan makalah untuk jurnal-jurnal ISI demi masa depan mereka, selain tawar hati kerana penulisan buku dalam bahasa Melayu tidak diambil kira sebagai salah satu faktor untuk kenaikan pangkat. Jika IPTA tidak memartabatkan bahasa Melayu di Malaysia, pihak mana lagi yang kita harapkan? Mengapa bahasa Melayu dianaktirikan di IPTA Malaysia?
       Menteri Pelajaran pernah menyarankan agar jumlah penerbitan ditingkatkan, begitu juga buku-buku ilmiah. Saranan atau gesaan tersebut amat penting bagi memperkasakan bahasa Melayu. Tetapi siapakah yang menyambut saranan atau gesaan tersebut? Tidak terbaca atau terdengar sebarang perancangan strategik oleh pihak-pihak yang sepatutnya menanggungjawab cabaran tersebut.
       Kadar penerbitan tahunan buku-buku judul baru di negara ini, sebagai contoh, masih amat rendah berbanding jumlah penduduk. Jumlah kira-kira 16,000 judul baharu setahun (berdasarkan perangkaan yang dikeluarkan oleh Perpustakaan Negara Malaysia) masih tidak memuaskan, kerana kita sepatutnya menerbitkan 28,000 judul buku baharu setahun ( kira-kira 0.1% daripada jumlah penduduk negara, dalam upaya membentuk masyarakat lebih berilmu (learned society).  Ini menandakan ramai sarjana, penyelidik dan orang yang mengaku dirinya penulis, tidak menulis, atau kurang produktif. 
       Pasaran penerbitan  kita sepatutnya  dibanjiri dengan akhbar, majalah, buku, jurnal, ensiklopedia, buku dan penerbitan elektronik dalam bahasa Melayu. Cuba bandingkan semua ini dengan bahan-bahan yang terdapat di toko-toko buku yang besar di tanah air kita. Bahan bacaan dalam bahasa Melayu amat sedikit jumlahnya. Bagaimanapun, menurut pengusaha perbukuan, permintaan terhadap buku-buku dalam bahasa Melayu terus meningkat. Di beberapa toko buku yang besar dan terkenal, buku-buku Melayu mendapat tempat peragaan yang lebih strategik. Ini menunjukkan bahawa di peringkat akar umbi, mereka tetap berasa bahawa bahasa Melayu boleh bersaing dengan bahasa-bahasa lain.
       Pasaran penerbitan dalam bahasa Melayu juga sepatutnya melihat kemampuan bahasa ini pada peringkat supra nasional. Semua penerbitan dalam bahasa Melayu (termasuk dari Indonesia terutamanya), seharusnya dapat diterima tanpa apa-apa hambatan linguistik. Begitu juga dengan penerbitan buku-buku Melayu untuk pasaran Indonesia. Kita harus belajar daripada bahasa dunia yang besar, di mana bahasa itu bebas menyeberang batas geo-politik, dan dapat diterima serta difahami oleh khalayak yang mempunyai kepelbagaian budaya serta kepercayaan.
       Untuk menjadi bahasa pertama di negara ini, bahasa Melayu mesti berkemampuan memenuhi tuntutan kreatif dan ilmu pengetahuan semua golongan khalayaknya, terutamanya aspek kepustakaan ilmu. Bahasa Melayu juga wajar dituturkan secara gramatis, baik dan berkesan, agar memberi citra baik terhadap bahasa ini. Bahasa Melayu juga harus menjadi bahasa pengantar utama pendidikan rendah hingga universiti, menjadi bahasa komunikasi utama rakyat, serta citranya yang unggul dan berwibawa dapat dilihat di mana-mana.
Kepustakaan Melayu juga harus men-tsunami dunia maya, agar  - melalui kemudahan teknologi elektronik dan digital - mudah dicapai oleh sesiapa saja, di-mana-mana saja, pada saat apa pun. 

 

 

 

Thursday, July 30, 2009

Peluang Kedua Perkasakan Bahasa Melayu

Peluang pertama pemerkasaan BM sebagai bahasa ilmu berakhir sekitar 2003 apabila Mahathir mengarahkan agar p & p sains dan matematik menggunakan bahasa Inggeris - yang secara langsung akan meletakkan bahasa Inggeris lebih superior sebagai bahasa ilmu berbanding BM.
Baru-baru ini kerajaan yang diwakili Muhyiddin bertindak untuk menghapuskan PPSMI mulai 2012, yang bererti peluang kedua diberikan bagi pemerkasaan BM.
Tapi hingga kini saya (baca : kita) belum terdengar rancangan konkrit daripada DBP, dan penerbit-penerbit universiti untuk memperbanyakkan buku ilmu karya asli dalam BM. Seharusnya, pada hemat saya, pimpinan DBP dan penerbit universiti sudah tampil mengemukakan rancangan strategik tentang bidang/subbidang/jumlah buku ilmu karya asli dalam BM yang boleh diterbitkan mulai 2010 - yang akan terus meningkat dari tahun ke tahun. Jika "peluang kedua" ini tidak digunakan sebaik-baiknya, yang kelak khalayak kecewa kerana kurang buku ilmu karya asli dalam BM, kerajaan mungkin mengubah polisinya memihak bahasa Inggeris!
Seperkara lagi, pengembangan BM sebagai bahasa ilmu bukan tanggungjawab DBP dan orang Melayu semata-mata. Justeru itu DBP patut meluaskan penglibatan penerbit-penerbit bukan Melayu untuk sama-sama berganding bahu bagi memperkasakan BM [ kalaulah bahasa Inggeris hanya dikembangkan oleh orang Inggeris, bahasa Inggeris tidak berkembang pesat seperti sekarang!].
Oleh itu wahai pihak-pihak yang bertanggungjawab, bangunlah daripada lena dan zon selesa, kerana perjuangan memperkasakan BM perlu dilipatgandakan.

Wednesday, June 24, 2009

Belajar Bahasa Asing Tanpa Kontoversi

Menguasai bahasa-bahasa asing akan memberi kelebihan kepada seseorang. Wira Melayu Hang Tuah dilakarkan sebagai pahlawan yang turut menguasai berbelas-belas bahasa asing. Melalui penguasaan bahasa-bahasa asing, Hang Tuah mampu bersemuka dengan sesiapa sahaja, kerana ia menguasai bahasa-bahasa tersebut, di samping memahami psikologi dan budaya penuturnya.
Hang Tuah belajar bahasa asing dengan cara yang betul, tanpa sebarang kontroversi. Ia berguru kepada guru atau munsyi bahasa pada zamannya. Ia belajar bahasa asing untuk beberapa tujuan kemahiran, terutamanya kemahiran mendengar dan kemahiran bertutur. Untuk memberikan kemahiran mendengar dan kemahiran bertutur kepada Hang Tuah, pastilah munsyi-munsyi bahasanya menggunakan sistem atau kaedah pengajaran dan pembelajaran yang tertentu.
Proses yang pernah dilalui oleh Hang Tuah itu merupakan proses lazim ketika mempelajari sesuatu bahasa asing. Ia juga merupakan proses yang universal. Kaedah universal tersebut kemudian dirumuskan oleh ahli-ahli bahasa moden, khususnya dalam bidang linguistik terapan.
Menurut linguistik terapan, sesuatu bahasa asing itu dipelajari untuk memperolehi salah satu atau kedua-dua kemahiran berikut : Pertama, kemahiran penerimaan atau receptive skill. Kedua, kemahiran penghasilan atau productive skill. Kemahiran penerimaan merujuk kepada kebolehan (a) mendengar, dan (b) membaca. Sementara kemahiran penghasilan merujuk kepada kebolehan (c) bertutur, dan (d) menulis.
Oleh itu sesiapa yang ingin mempelajari bahasa asing, mestilah terlebih dahulu menentukan tujuan yang ingin dicapai. Adakah ia ingin memiliki kemahiran mendengar, supaya apabila ia mendengar bahasa asing itu dituturkan, maka ia memahaminya? Adakah ia ingin memiliki kemahiran membaca teks bahasa asing, walaupun ia tidak mempunyai kemahiran mendengar dan bertutur dalam bahasa tersebut? Adakah ia ingin memiliki kemahiran bertutur, walaupun tidak boleh membaca dan menulis dalam bahasa asing tersebut? Adakah ia ingin memiliki kemahiran menulis, walaupun tidak menguasai kebolehan mendengar serta bertutur dalam bahasa asing tersebut? Atau ia ingin memiliki keempat-empat kemahiran itu, iaitu mendengar, membaca, bertutur dan menulis? Modul dan kurikulum pengajaran khas akan disediakan bagi mencapai tujuan-tujuan kemahiran tersebut.
Seorang pemandu pelancong umpamanya, lebih memerlukan kemahiran penghasilan, yakni dalam aspek pertuturan. Terdapat pemandu pelancong tempatan yang boleh bertutur dengan pelancong Jepun dan Korea, tetapi pemandu pelancong tersebut tidak menguasai kemahiran membaca atau menulis dalam bahasa Jepun atau Korea.
Bagi seseorang penyelidik atau penyiasat yang bergantung pada bahan-bahan bertulis atau teks, mereka lebih memerlukan kemahiran penerimaan, yakni dalam aspek membaca teks asing. Umpamanya, penyelidik atau penyiasat tersebut boleh memahami tulisan Siam atau Tagalog, tetapi mereka mungkin tidak menguasai kemahiran mendengar dan bertutur di dalam bahasa Siam atau Tagalong.
Namun bagi pelajar-pelajar yang digalakkan menguasai bahasa lain sebagai bahasa asing atau bahasa kedua, mereka biasanya dilatih untuk memiliki kemahiran penerimaan (receptive skill) dan kemahiran penghasilan (productive skill). Dengan ayat yang lain, mereka harus menguasai kebolehan mendengar, membaca, bertutur dan menulis dalam bahasa asing yang dipelajari.
Demikianlah kita menyaksikan pelajar-pelajar kita yang akan ke Jepun dapat menguasai bahasa Jepun. Yang akan ke Korea dapat menguasai bahasa Korea. Yang akan ke Jerman dapat menguasi bahasa Jerman. Yang akan ke Timur Tengah dapat menguasai bahasa Arab. Pelajar-pelajar tersebut menguasai kebolehan mendengar, bertutur, membaca dan menulis dalam bahasa-bahasa asing tersebut.
Apabila pelajar-pelajar kita tiba di Jepun, Korea, Jerman, Timur Tengah dan sebagainya, kemahiran bahasa itu digunakan untuk mempelajari ilmu-ilmu selain bahasa, umpamanya kejuruteraan, perubatan, ekonomi, seni bina, matematik dan sebagainya.
Kejayaan pelajar-pelajar kita yang terlebih dahulu menguasai bahasa asing sebelum dihantar ke luar negara, untuk mempelajari subjek berasaskan sains – dan berjaya pula, membuka ruang polemik yang bersifat kontekstual.
Dalam aspek pengajaran dan pembelajaran bahasa, pelajar-pelajar kita itu, seperti juga tradisi Hang Tuah, mempelajari bahasa asing dalam kelas-kelas bahasa, melalui guru yang terlatih, serta modul dan kurikulum yang sesuai. Di sinilah polemik bermula. Mungkinkah pengajaran dan pembelajaran bahasa asing pelajar-pelajar kita itu boleh mencapai prestasi memuaskan dalam tempoh yang relatif singkat, jika pengajaran bahasa asing itu menumpang subjek lain, katakanlah sains dan matematik? Jawapannya tentu ‘tidak’, kerana kemahiran-kemahiran penguasaan bahasa, seperti yang telah digariskan linguistik terapan, telah dicampur-aduk dengan pengajaran ilmu yang kurang mementingkan aspek linguistik.
Inilah yang menjadi salah satu punca penolakan terhadap PPSMI. Mereka yang menolak PPSMI bukanlah anti bahasa asing. Mereka menolaknya, antara lain kerana berpendapat bahawa receptive skill dan productive skill daripada pembelajaran bahasa Inggeris itu tidak akan berkesan. Hal ini demikian kerana dasar yang telah digariskan oleh linguistik terapan telah diketepikan. Akibatnya, tujuan mengajar ilmu dan bahasa telah dicampur-aduk, melalui kemahiran guru yang diragukan (untuk menguasai bahasa Inggeris dan sains/matematik sekali gus), serta modul dan kurikulum yang mengelirukan (kerana cuba mencantumkan dua ‘spesis’ yang berbeza).
Sebab itulah para penentang PPSMI sering menegaskan, usaha untuk memperkuatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar kita mestilah dilakukan di dalam kelas-kelas bahasa. Apabila para pelajar kita belajar bahasa Inggeris dengan matlamat kemahiran yang jelas, serta di dalam kelas yang sistematik dan intensif dengan bantuan guru, modul dan kurikulum yang sesuai, maka mereka boleh menguasai bahasa asing ini dengan berkesan.
Contoh yang sama telah ditunjukkan oleh para pelajar kita yang mempelajari bahasa Jepun, Korea, Jerman, Arab dan sebagainya. Melalui kelas yang sistematik dan intensif, dibantu pula dengan guru, modul dan kurikulum yang sesuai, dalam tempoh yang relatif singkat mereka menguasai bahasa-bahasa asing tersebut.
Para pelajar kita yang menguasi bahasa asing dan menyambung pelajaran di Jepun, Korea, Jerman, Timur Tengah dan sebagainya, telah ramai yang pulang membawa kejayaan. Ini menunjukkan bahawa bahasa asing yang dipelajari secara sistematik di kelas-kelas bahasa, menjadi kunci untuk membuka ilmu-ilmu dalam bahasa tersebut, seperti perubatan, kejuruteraan, matematik, kimia dan sebagainya.
Hal ini sepatutnya berlaku juga kepada bahasa Inggeris, tanpa perlu menumpang dalam subjek sains dan matematik. Jika bahasa Inggeris diajarkan agar pelajar memperolehi receptrive skill seperti mendengar dan membaca, serta productive skill seperti bertutur dan menulis, selepas itu melalui kunci bahasa ini, mereka boleh membuka ilmu-ilmu dalam bahasa Inggeris ini.
Inilah yang ingin dilihat oleh mereka yang tidak bersetuju terhadap pelaksanaan PPSMI. Biarlah pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris diperkuatkan di dalam kelas-kelas bahasa Inggeris, dibantu oleh guru yang berkemahiran, dan modul serta kurikulum yang sesuai dan berkesan.
Untuk membentuk modul dan kurikulum yang berkesan, wajar difikirkan usaha peluasan terhadap dua kemahiran utama itu, yakni receptive skill dan productive skill. Dalam hubungan ini, kemahiran mendengar, membaca, bertutur dan menulis para pelajar bahasa Inggeris, wajar turut mengutip contoh-contoh daripada teks atau wacana bidang ilmu dan sub-bidang ilmu-ilmu penting dewasa ini.
Namun dalam dunia yang pesat berkembang serta maju ini, janganlah pandangan kita ditumpukan kepada bahasa Inggeris sahaja. Telah sampai masa untuk kita meluaskan horison pembelajaran bahasa asing. Bahasa Arab umpamanya, wajar dipelajari oleh semua pelajar Melayu, dan pilihan kepada pelajar bangsa lain. Bahasa Mandarin patut menjadi pilihan semua pelajar. Demikian juga dengan beberapa bahasa dunia yang lain, yang mempunyai kepentingan serta nilai ekonomi, diplomasi dan kebudayaan.
Akan tetapi pembelajaran bahasa-bahasa asing ini, mestilah melalui kelas-kelas bahasa, dibantu oleh guru yang berketrampilan, serta modul dan kurikulum yang sesuai. Inilah praktik pembelajaran dan pengajaran bahasa yang universal.

Monday, April 27, 2009

Anwar Ridhwan : “Rasa Bangga : Bahasa Ibunda vs Bahasa Asing”

Mengapa isu kedudukan dan masa depan bahasa Melayu di negara sendiri terus dipersoalkan? Sejak kira-kira sedekad yang lalu, isu bahasa Melayu ini merupakan salah satu ujian besar bangsa Melayu sendiri. Segalanya bermula dan berpangkal pada ada atau tidaknya rasa bangga terhadap bahasa Melayu – terutamanya oleh pemimpin Melayu dan oleh orang Melayu sendiri.
Apabila disebut ‘pemimpin’, secara spontan kebanyakan kita akan mengindentifikasikannya dengan pemimpin politik, terutama elit pemerintah. Sungguhpun takrifannya tidak semestinya menjurus ke situ sahaja, tetapi begitulah persepsi masyarakat Malaysia. Sejak sekian lama politik dan orang politik mencitrakan diri sebagai panglima dan ‘juru selamat’ untuk apa-apa sahaja isu di bawah matahari Malaysia ini. Bukan tidak sering, pendapat pakar tentang sesuatu isu telah disisihkan oleh orang politik; dan mereka – secara demokratik atau pun sebaliknya – mengketengahkan idea sendiri yang mesti diterima dan dilaksanakan.
Dalam soal rasa bangga terhadap bahasa Melayu, orang Melayu terutamanya akan terlebih dahulu melihat sikap serta peranan pemimpin politik Melayu mereka. Masyarakat selalu bertanya, sejauh mana pemimpin politik Melayu yang berkuasa meneguhkan dan menterjemahkan rasa bangga bahasa Melayu dalam kapasiti mereka? Sejauh mana mereka memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan Bahasa Kebangsaan negara ini? Sejauh mana mereka memperteguhkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu moden? Sejauh mana mereka memanfaatkan bahasa Melayu yang sejak sekian lama menjadi lingua franca rantau ini untuk terus menjadi bahasa perpaduan di Semenanjung, Sabah dan Sarawak?
Sejak sedekad yang lalu, masyarakat Melayu pada umumnya meragui adanya rasa bangga bahasa Melayu di kalangan ahli politik Melayu yang berkuasa. Berucap dalam bahasa Inggeris dalam majlis rasmi atau majlis separa rasmi yang dihadiri oleh rakyat Malaysia, melonggarkan penggunaan Bahasa Kebangsaan ketika pihak swasta berurusan secara rasmi dengan kerajaan, menggunakan bahasa Inggeris dalam pengajaran sains dan matematik – yang akan merebak kepada ilmu-ilmu yang lain, menukar nama bahasa Melayu menjadi bahasa Malaysia, dan tiadanya usaha bersungguh-sungguh untuk membenihkan jati diri kolektif sejak di sekolah rendah bagi semua kaum melalui bahasa pengantar Melayu yang tunggal – sebagaimana Indonesia dan Thailand membangga-bahasakan bahasa rasmi mereka, adalah antara bukti bahawa pemimpin politik Melayu yang berkuasa kurang atau tidak memiliki sikap rasa bangga bahasa Melayu dalam diri mereka. Mereka mempunyai pertimbangan lain, termasuk politik, yang dilihat lebih besar dan wahid berbanding bahasa bangsanya.
Adalah suatu ironi dan tragedi apabila bangsa yang sedang berkuasa di sesebuah negara, tidak menggariskan wawasan yang besar dan realistik tentang masa depan bahasanya, sebaliknya meminggirkan bahasanya ke sudut pentas kehidupan utama bangsa dan negara.
Orang Melayu, termasuk pencinta dan pejuang bahasa Melayu tentu mengharapkan ahli politik Melayu yang sedang berkuasa berbuat sesuatu untuk memperkasakan bahasa Melayu dalam pelbagai lapangan kehidupan. Bahasa Melayu telah berakar, tumbuh dan berkembang di Alam Melayu selama ribuan tahun, menjadi bahasa pengucapan seni dan pemikiran tinggi termasuk dalam bidang agama, ilmu pengetahuan dan falsafah. Sehubungan itu bahasa Melayu wajar disemarakkan sebagai bahasa rasmi, bahasa ilmu moden (sebagaimana UKM telah membuktikannya pada dekad 1980-an dan awal 1990-an), serta bahasa komunikasi dan perpaduan rakyat negara ini.
Antagonis pemerkasaan bahasa Melayu yang kebanyakannya berselindung di balik nama samaran, khususunya yang melibatkan isu PPMSI, menggunakan alasan pentingnya bahasa Inggeris dalam kehidupan hari ini dan masa depan. Yang lebih ekstrim dan sinikal, menuduh pejuang bahasa Melayu sebagai anti-bahasa Inggeris dan tidak dapat melihat kepentingan bahasa Inggeris di dunia global hari ini.
Jawapan tegas daripada pejuang dan pencinta bahasa Melayu, yang sering didengar, dan tidak pernah mencairkan semangatnya serta terasa kebenarannya ialah, mereka tidak sekali-kali anti bahasa Inggeris. Hanya mereka mempersoalkan, mengapa dalam upaya mengukuhkan penguasaan bahasa Inggeris yang dijadikan mangsa serta korban ialah bahasa Melayu. Mereka berhujah lagi bahawa dengan meminggirkan bahasa Melayu dalam P&P sains dan matematik – yang akan merebak ke subjek-subjek sains yang lain – taraf bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu moden telah dinafikan oleh suatu dasar ciptaan ahli politik Melayu sendiri!
Pejuang dan pencinta bahasa Melayu meneruskan hujah yang selalu didengar, bahawa subjek sains dan matematik bukanlah wadah yang sesuai bagi P&P bahasa Inggeris. Mengapa tidak P&P subjek bahasa Inggeris itu sahaja yang dimantapkan, termasuk mewujudkan sesi-sesi yang sistematik bagi menguasai bahasa Inggeris sebagai bahasa komunikasi dan sebagainya.
Apabila bahasa Inggeris dijadikan dasar sebagai bahasa pengantar dalam subjek sains dan matematik di seluruh negara, maka dasar itu secara automatik melibatkan para pelajar di bandar, luar bandar, ceruk dan pedalaman. Bagi segelintir pelajar dan ibu bapa di kawasan bandar, mereka menyambut baik dasar ini kerana mereka dan anak mereka boleh menguasai bahasa Inggeris. Tetapi sesuatu dasar dicipta untuk semua, bukan untuk kepentingan serta faedah segelintir pelajar. Bagaimana dengan nasib pelajar-pelajar luar bandar, ceruk dan pedalaman – yang jumlahnya jauh lebih besar daripada jumlah segelintir pelajar bandar?
Jika sesuatu dasar, seperti dasar PPMSI ini hanya memberi faedah kepada segelintir pelajar, tetapi dalam masa yang sama mengecewakan begitu banyak pelajar luar bandar, ceruk dan pedalaman, maka dasar itu boleh dianggap gagal. Para pelajar di luar bandar, ceruk dan pedalaman bukan sahaja tidak dapat mempertingkatkan penguasaan bahasa Inggeris mereka melalui P&P sains dan matematik, malah lebih malang lagi tidak dapat menguasai ilmu sains dan matematik yang disampaikan bukan melalui bahasa ibunda mereka. Jika kegagalan itu berterusan, dan dianggap remeh pula oleh kementerian yang berkenaan, maka satu generasi pelajar luar bandar, ceruk dan pedalaman (kebanyakannya Melayu) menjadi mangsa kepada dasar yang tidak adil ini. Akibat kegagalan itu, mereka akan terlepas peluang pekerjaan yang lebih baik.
Terdengar cakap-cakap yang kurang menyenangkan bahawa kementerian yang berkenaan sedaya mungkin mempertahankan dasar tersebut, dengan memanipulasi keputusan peperiksaan. Khabarnya, tahap markah lulus telah direndahkan, supaya dapat menunjukkan bahawa PPMSI telah melihatkan hasil yang membanggakan, dan dengan itu wajar diteruskan. Jika cakap-cakap dan khabar ini benar, malang sekali generasi pelajar Malaysia, kerana statistik lulus peperiksaan tidak menceritakan situasi yang sebenar.
Pendidikan harus kembali kepada fitrah manusia dan bahasa ibundanya. Fitrah ini lebih bermakna kepada para pelajar sekolah rendah dan sekolah menengah. Dengan ayat yang lain, pelajar sekolah rendah (terutamanya) lebih mudah memahami dan menguasai sesuatu ilmu yang disampaikan melalui bahasa ibundanya. Sebagai ilustrasi, jika kita (baca : ibu bapa Melayu) mempunyai sepasang anak kembar berusia tujuh tahun, seorang belajar sains dan matematik dalam bahasa Melayu, dan seorang lagi belajar melalui bahasa asing, tentulah anak yang belajar melalui bahasa Melayu itu lebih mudah memahami dan menguasai kedua-dua subjek tersebut berbanding kembarnya yang seorang lagi.
Sebab itulah sekolah-sekolah jenis kebangsaan Cina berkeras mahu mengajar sains dan matematik dalam bahasa Mandarin. Bahasa Mandarin lebih merupakan ‘bahasa ibunda’ kepada para pelajar Cina. Memang terdapat juga pelajar Melayu dan India di sekolah Cina, tetapi mereka belajar bahasa Mandarin dalam kelas bahasa Mandarin, bukan belajar Mandarin melalui sains dan matematik.
Belajar menguasai ilmu dan belajar bahasa asing adalah dua isu yang berbeza. Segala ilmu pada hakikatnya lebih mudah dipelajari melalui bahasa ibunda. Akan tetapi dalam masa yang sama para pelajar kita wajar digalakkan mempelajari dan menguasai beberapa bahasa asing – melalui kelas-kelas bahasa, bukan melalui subjek lain.
Beberapa bulan yang lalu penulis berada di Maghribi, dan berasa kagum kerana kebanyakan rakyatnya boleh menguasai beberapa bahasa. Selain daripada bahasa Arab (bahasa ibunda), kebanyakan mereka boleh menguasai bahasa Perancis (bahasa penjajah) dan bahasa Inggeris. Sesetengah mereka boleh menguasai bahasa ketiga popular iaitu bahasa Sepanyol. Mereka menguasai bahasa-bahasa asing ini melalui kelas-kelas bahasa yang sistematik, bukan melalui subjek sains dan matematik.
Sehubungan itu memang wajarlah jika terdapat desakan rasional agar dasar PPMSI dimansuhkan, dan kedua-dua subjek tersebut kembali diajar dalam bahasa Melayu. Dalam masa yang sama, pelajar-pelajar mesti didedahkan kepada P&P bahasa-bahasa asing (Inggeris, Mandarin, Arab, Perancis, Itali, Sepanyol dll) , di dalam kelas-kelas bahasa yang sistematik, menarik dan berkesan.
Jika pelajar-pelajar kita mula menguasai bahasa asing seperti Inggeris, Mandarin, Arab dan sebagainya dengan baik, mereka bukan sahaja boleh berkomunikasi melalui bahasa ini, malah boleh melanjutkan pelajaran dalam apa jua bidang ilmu yang memerlukan penguasaan bahasa asing tersebut.
Dalam konteks Malaysia, penguasaan bahasa asing (bagi pelajar Melayu khususnya) terutamanya penguasaan bahasa Inggeris dan Mandarin, memanglah penting. Oleh kerana kepentingan itu, subjek dua bahasa ini wajar diajar secara sistematik, menarik dan berkesan dalam kelas-kelas bahasa, bukan memparasit subjek sains dan matematik. Jangan sampai ‘yang dikendong berciciran, yang dikejar tiada dapat’, atau seperti ungkapan pilu yang diubah suai ‘Balik Pulau Bayan Lepas, ilmu terpelau bahasa terlepas.’
Berbeza daripada dekad 1950-an hingga 1980-an yang menyaksikan ‘kerajaan’ merupakan majikan terbesar bagi orang Melayu berkelulusan, kini pihak ‘swasta’lah yang merupakan majikan terbesar. Senario ini menuntut orang Melayu berkelulusan untuk menguasai bahasa lingkaran bisnes tersebut – Inggeris, Mandarin dan sebagainya.

Dengan ilmu yang dikuasai melalui bahasa ibunda (bahasa Melayu umpamanya), dan bahasa asing yang dipelajari secara sistematik di dalam kelas bahasa, gabungan ilmu dan bahasa ini boleh menjadi modal insan yang mengketegahkan ‘towering personality’. Kembalikan ilmu ke lidah bahasa ibunda generasi muda kita. Kembalikan P&P bahasa asing ke dalam kelas-kelas bahasa yang sistematik, menarik dan berkesan, bukan membiarkannya memparasit subjek-subjek yang lain.