Showing posts with label ITBM. Show all posts
Showing posts with label ITBM. Show all posts

Thursday, April 3, 2014



Anwar Ridhwan

MENGEKSPORT  SASTERA
 
Penyebarluasan karya sastera kita sebenarnya mempunyai sekurang-kurangnya dua sempadan. Pertama, sempadan wilayah berbahasa Melayu dengan tembok birokrasi serta akta yang melindungi perdagangan serta kepentingan bahasa Melayu masing-masing negara. Untuk memasarkan karya sastera kita ke Indonesia terutamanya, juga Brunei Darussalam, Singapura dan Thai Selatan, beberapa prosedur mereka harus dipatuhi. Padahal wilayah ini menggunakan bahasa Melayu yang sama, dengan sedikit perbezaan kosa kata, atau kelainan makna bagi kosa kata tertentu.
    Apabila prosedur ketat pihak Indonesia selalu disebut-sebut sebagai halangan pengeksportan buku Melayu ke sana, seorang teman daripada industri buku Indonesia cuba menggunakan alasan yang tidak seratus peratus bersifat perbukuan. Ia menekankan kualiti, sebagaimana dahulu masyarakat di sana menerima filem-filem P. Ramlee; atau kini bagaimana kanak-kanan Indonesia menerima Upin dan Ipin.
    Sempadan kedua adalah perbatasan antara sastera Melayu dengan bahasa-bahasa lain di luar sana. Perbatasan ini bukanlah tidak pernah dilalui. Sejak beberapa dekad yang lalu, sastera Melayu dalam terjemahan telah melewati perbatasan antarabangsa. Dalam hubungan ini Dewan Bahasa dan Pustaka, Institut Terjemahan Negara Malaysia (kini Institut Terjemahan dan Buku Malaysia) dan beberapa penerbit swasta, telah dan sedang mengambil langkah untuk menterjemahkan karya sastera, menerbitkannya secara bersendirian atau bersama, serta memasarkannya di peringkat antarabangsa.
    Usaha-usaha mempromosi karya sastera Melayu dalam terjemahan juga dilakukan melalui pelbagai cara. Antaranya ialah diskusi buku, serta penyertaan dalam pesta-pesta buku antarabangsa yang penting seperti di Bologna, Itali; Tokyo, Jepun; London, England  dan Frankfurt, Jerman.
    Pengeksportan karya sastera Melayu ke luar negara sebenarnya terlebih dahulu melibatkan suatu perkara asas iaitu pemilihan. Siapakah yang memilih karya tersebut untuk diterjemahkan? Dan, mengapakah karya tersebut dianggap wajar untuk diterjemahkan? Soalan kedua itu biasanya disandarkan kepada rasional subjektif bahawa karya tersebut dianggap ‘bermutu,’ maka wajarlah karya tersebut diterjemahkan ke dalam bahasa asing. Sandaran ini masih terbuka kepada perdebatan lantaran asas rasionalnya yang  subjektif itu.
    Persoalan siapakah yang memilih sesebuah karya untuk diterjemahkan merupakan isu yang menarik. Hal ini demikian kerana biasanya terdapat dua kaedah sudut pandang. Pertama, dari sudut pandang orang asing sendiri yang tertarik kepada sesebuah karya sastera Melayu, lalu dipilih untuk diterjemahkan ke dalam bahasa ibundanya. Kedua, dari  sudut pandang individu atau jawatankuasa yang dibentuk di Malaysia untuk memilih karya-karya yang wajar diterjemahkan ke bahasa antarabangsa.
    Contoh daripada sudut pandang pertama ialah apabila Hans Overbeck yang terpesona dengan Hikayat Hang Tuah, memilih karya agung Melayu ini untuk diterjemahkan ke dalam bahasa Jerman. Terjemahan tersebut diterbitkan di Munich pada tahun 1923. Hans Overbeck juga terpukau dengan pantun-pantun Melayu, mengumpulkannya, dan memperkenalkannya dalam Deutsche Watch untuk khalayak Jerman.
    Pemilihan melalui kaedah sudut pandang pertama itu mungkin dianggap sebagai yang paling baik, alamiah dan sesuai dengan cita rasa masyarakat antarabangsa itu sendiri. Ini kerana pihak mereka sendiri yang menemuinya, menilai serta mengangkatnya, dan menterjemahkannya melalui bahasa yang mereka kuasai, yakni  nuansa bahasa khalayak sasarannya. Secara ringkas, karya-karya yang dipilih melalui sudut pandang pertama itu dianggap bermutu, unik, dan mengandung tema atau persoalan yang menarik.
    Pengalaman yang sama turut terjadi ke atas beberapa karya Islami atau daripada tradisi kesusasteraan Arab, apabila pihak  barat memilih untuk menterjemahkannya. Antara karya ini termasuklah 1001 Malam, Rubaiyyat oleh Umar Khayyam, puisi-puisi Khalil Gibran yang lebih kontemporari dan sebagainya.
    Puisi-puisi Arab seperti qasida, ghazal, qitah, masnawi, ruba’i dan maqamah bukanlah sesuatu yang mudah untuk diterjemahkan ke dalam bahasa asing. Bagaimanapun  pihak barat berusaha melakukannya walaupun menyedari bahawa terjemahan tidak mungkin mengekalkan semua struktur, dan terutamanya rima  yang berkonotasi kerohanian. Imejan sufistik ada yang tidak dapat diterjemahkan bagi menangkap makna vertikal kerohanian,  sebaliknya hanya menatijahkan gambaran yang memberi makna horizontal keduniaan yang fana.
    Selepas Hikayat Hang Tuah yang menarik perhatian pengkaji Jerman dan barat umumnya, beberapa buah novel Melayu telah diterjemahkan ke bahasa lain atas pilihan sarjana asing. Kaedah ini seperti yang telah dinyatakan, adalah lebih baik, kerana penilaian datang daripada sudut pandang orang asing.
    Bagaimanapun untuk menyebarluaskan karya sastera Melayu ke persada antarabangsa, kaedah pemilihan hanya daripada sarjana asing tidak boleh dijadikan sebagai sandaran tunggal, atau satu-satunya jalan. Ini kerana banyak karya sastera terus dihasilkan, yang memungkinkan lahirnya beberapa karya yang dianggap baik untuk dikongsi secara sejagat. Di samping itu, proses penterjemahan serta penerbitan yang memakan masa, mungkin menyebabkan ada karya bermutu yang harus menunggu giliran untuk dapat dikesan oleh pengkaji luar umpamanya.
    Justeru, usaha solicited, yang merancang secara dalaman pemilihan karya sastera untuk diterjemahkan, wajar diteruskan. Sebagai usaha yang berdasarkan kesan serta penilaian dalaman,  hasil penerimaan ke atas karya tersebut di peringkat antarabangsa mungkin meleset. Kemelesetan tersebut boleh disumbangkan oleh dua lagi faktor, iaitu penterjemahan yang dilakukan bukan oleh penutur asli bahasa khalayak sasaran karya tersebut, dan  karya tersebut di cetak dan hanya dipasarkan di Malaysia.
    Akan tetapi tema serta persoalan dalam karya sastera, terutamanya novel, turut menentukan sama ada karya itu boleh dipasarkan di peringkat antarabangsa ataupun tidak.  Ini suatu pendapat yang boleh diperdebatkan. Ada yang menyebut bahawa kalau persoalannya menyangkut tentang seks, jenayah, pengintipan dan sebagainya, maka karya tersebut mudah memancing penerbit antarabangsa. Tahun lepas, sebuah novel Malaysia yang olahan ceritanya melibatkan seks, jenayah dan pengintipan – dengan latar Kuala Lumpur, dan watak-watak seperti Ning Somprason aka Devil, Terry Fernandez dan Fellatio – telah diterjemahkan dan diterbitkan di Itali.
    Sebahagian besar pengarang Melayu yang mapan dan muda, tampaknya masih tetap rasional untuk tidak terdorong mengolah cerita nafsu nafsi dan selangkangan, semata-mata untuk mencipta nama di pentas dunia.
    Sejak sekian lama pengarang Melayu menyedari tanggungjawab sebagai penulis yang membawa pesan-pesan positif untuk khalayak pembacanya. Untuk menyebut mereka ‘khalifah’ mungkin agak berlebihan, namun karya-karya mereka sering memancarkan kesedaran serta tanggungjawab sebagai karyawan Islam – dengan mesej kental atau bersahaja.
    Bagi mereka ini, terjemahan karya adalah suatu bonus. Mereka tidak mengharapkan lonjakan nama kerana sesuatu yang sensual semata-mata, yang terpikul akibatnya di hari kemudian. Adalah lebih bermakna, hadir dengan karya yang bermutu tinggi, dan pesan yang mendalam abadi untuk pembacanya; dan jika karya itu menjadi fenomena di peringkat antarabangsa, namanya terangkat sekali oleh sebab-sebab yang boleh diterima serta cocok dengan prinsip kepengarangannya.
    Kerana tersembunyi di balik karang, mutiara mungkin lambat ditemui. Mutiara tetaplah bernilai mutiara tidak kira bila ia dituai dari lantai lautan.
(Pertama kali diterbitkan oleh Berita Harian)
   

Thursday, February 28, 2013



MAJLIS PELANCARAN BUKU TERJEMAHAN DRAMA KLASIK FAUST

28 Februari 2013 (Khamis) | 3.00 petang | Cinnamon Coffee House, One World Hotel

______________________________________________________________________________________

 Yang Berusaha Encik Mohd. Khair Ngadiron,

Pengarah Urusan Institut Terjemahan & Buku Malaysia.

Yang berbahagia Dr. Michael Feiner,

Pemangku Ketua Perwakilan Jerman di Malaysia.

Sdr Latiff Mohidin,

Penterjemah buku Faust, pelukis dan penulis terkenal  tanah air.

 

Dif-dif kehormat, jemputan-jemputan khas, para sasterawan, penulis, pihak media, tuan-tuan dan puan-puan yang saya dihormati sekalian.

1.                  Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah rahmat-Nya dapat kita bersama-sama dalam Majlis Pelancaran Buku Terjemahan Drama Klasik Faust versi bahasa Melayu terjemahan Latiff Mohidin. Majlis yang dianjurkan oleh Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) ini,  pada hemat saya  melakar satu lagi kejayaan dan usaha penting yang dilaksanakan dalam penerbitan, apabila sebuah buku Karya Agung Dunia yang sangat terkenal akan dilancarkan dan dipersembahkan kepada umum sebentar sahaja lagi.

2.                  Atas sebab-sebab penjajahan, dari kecil kita sudah diperkenalkan kepada lagu kanak-kanak, serta karya sastera negara penjajah kita. Padahal di luar dari lingkungan itu, terdapat seaneka karya sastera besar dan agung. Salah satu daripadanya dari Jerman, iaitu Faust yang dilancarkan pada petang ini.

3.                  Faust adalah karya terbesar penulis tersohor Jerman, Johann Wolfgang von Goethe selepas karyanya yang lain seperti Stella, Egmont, Torquata Tasso dan sebagainya. Pada hemat saya setiap pelajar teater belum sempurna pembelajarannya jika belum membaca dan menghayati karya drama besar, termasuk Faust ini.

4.                  Masyarakat Malaysia, khususnya pendukung dan golongan penting bidang sastera tanah air wajar berasa bangga, apabila buku terjemahan klasik Faust karangan Goethe dilancarkan di sini, dan meletakkan Latiff Mohidin sebagai seorang penterjemah berwibawa yang berjaya mengungkapkan versi klasik Jerman ke dalam bahasa Melayu, dengan leretan puisi yang begitu indah dan setia kepada pengungkapan aslinya; seterusnya diterbitkan oleh Institut Terjemahan & Buku Malaysia dalam bentuk yang berprestij dengan ciri penerbitan istimewa. Dengan bentuk ini, karya klasik terkenal ini dapat dinikmati, dihayati dan dikongsi oleh pelbagai lapisan masyarakat di negara kita. Kita perlu menunggu kira-kira 240 tahun, dan seorang seniman-penterjemah tempatan yang menguasai bahasa Jerman dengan baik, iaitu Latiff Mohidin, untuk dapat menatap Faust dalam bahasa Melayu.

5.      Faust menjadi  sebuah karya agung Jerman, dan sebagaian sastera besar dunia, kerana keterampilan seni pengarangnya mengangkat tema besar tentang kehidupan manusia yang tidak abadi ini, yang masuk ke jagat logosentrisme. Kreativitinya meluaskan dimensi horisontal kita untuk memahami jiwa manusia, dan dalam masa yang sama mengangkat dimensi vertikal kita akan yang Maha Agung. Penanjakan dimensi vertikal ini bagaimanapun, mungkin menimbulkan persoalan rumit tentang tanzil, atau antropomorfik dalam kalangan kita, terutamanya dalam bahagian ‘Prolog di Langit’ apabila Maha Agung diturunkan ke pentas oleh pengarangnya.

6.      Karya Faust ini masih berpengaruh sehingga kini dan dikatakan mempunyai pesona yang besar dalam dunia sastera, teater dan kegiatan seni, khususnya di benua Eropah. Karya ini sudah banyak difilemkan dan ia menjadi perbahasan khusus dalam dunia sastera. Lantaran itu, saya mengalu-alukan  usaha ITBM menerbitkan terjemahan drama klasik Faust yang akan dapat mempererat hubungan sastera dan ilmu kedua-dua negara iaitu Jerman dan Malaysia.

7.      Keperluan melakukan transformasi dalam persekitaran yang semakin berubah amat dituntut seandainya kita ingin terus kekal berdaya saing seiring dengan negara maju lain. Ini juga proses yang harus dilalui oleh seseorang penulis tempatan jika kita ingin sampai ke pentas sastera dunia. Perubahan yang banyak dilakukan oleh ITBM sejak kebelakangan ini dan penerbitan pelbagai karya agung, sastera dan klasik yang diusahakannya merupakan suatu bentuk perubahan yang diambil oleh ITBM dalam menerajui dunia penerbitan negara, yang harus dimanfaatkan oleh penulis-penulis tempatan. Melalui penerbitan karya sastera luar, ITBM berjaya mengorak langkah lebih jauh mendepani penerbit yang lain dan mempunyai peluang yang lebih besar untuk menerokai dunia baharu di luar sempadannya. Saya mengucapkan tahniah atas usaha konsisten dan kejayaan ITBM meneroka jauh ke pasaran penerbitan antarabangsa.

8.    Dengan lafaz Bismillahhirrahmannirrahim, saya dengan sukacita melancarkan Buku Terjemahan Drama Klasik Faust karya Johann Wolfgang von Goethe yang diterjemahkan oleh Latiff Mohidin. Semoga Allah SWT memberkati segala usaha kita dalam memperbanyak khazanah ilmu dan menyemarakkan penerbitan karya sastera di Malaysia.

Sekian, Wabillahi Taufiq Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

 Kuala Lumpur,

27 Februari 2013.

Thursday, November 1, 2012


 

 

  

“Akan tetapi kebanyakan pengarang kebangsaan kita – di sini merujuk pengarang Melayu-Islam dan mereka yang menjunjung moraliti -  tidak terpukau oleh terjemahan dan pasaran antarabangsa berdasarkan karya selangkangan, sensasi atau kegilaan moral lainnya yang menyelerakan (sebahagian) khalayak sastera antarabangsa.” 

PADA TAHUN 2011 sebuah novel dari Malaysia, yang ditulis dalam bahasa Inggeris, telah diterbitkan dalam bahasa Itali, oleh sebuah penerbit yang beroperasi di Milan.
       Kisahnya tentang  Ning Somprason, aka Devil, seorang pelacur  Thai, yang menjual selangkangannya di Kuala Lumpur, sambil menaruh impian mengumpul wang secukupnya untuk dihantar pulang, dan menyelamatkan anak gadisnya daripada jatuh ke lembah yang dilewatinya.  Terry Fernandez pula ialah seorang pemuzik yang gagal, tetapi sedang di ambang perkahwinannya dengan anak perempuan seorang menteri yang boleh menjaminnya mendapat pekerjaan tetap.
       Terry Fernandez meraikan kelok nasib baik yang akan dilaluinya, bersama sejumlah kawannya,   berpesta pora dengan seorang pelacur.  Apabila Terry Fernandes mendapati kawan-kawannya mati di bilik sewaannya di Grand Hotel, dia menyangka menteri (bakal mentuanya) juga mahu dia terbunuh sekali.
       Di hotel yang sama, Ning Somprason baru membunuh seorang pengganas yang melanggannya, kemudian Ning melarikan diri bersama-sama seorang pelanggan barunya. Pelanggan barunya itu tidak lain tidak bukan ialah Terry Fernandes sendiri. Dari situlah cerita berkembang, antaranya melibatkan watak seorang ejen CIA yang percaya bahawa Parti Komunis China turut terlibat; seorang pemandu teksi yang mindanya dipenuhi teori bahawa ia di kelilingi pakatan-pakatan jahat yang dirahsiakan; penjenayah amatur tetapi amat ditakuti – “lelaki paling dikehendaki di Asia Tenggara” – iaitu pelindung Ning Somprason yang menyamar sebagai Fellatio, yang mempercayai nama itu merupakan nama dewa cinta dan kehendak orang Greek. Semua mereka, dan watak-watak lain yang ‘crazy’ terbentur di tengah pergulatan yang tidak disangka-sangka.
       Novel ini sebuah ekspresi kreatif, dan orang selalu mengambil jalan tengah menghormatinya sebagai karya seni. Ia mungkin lebih dihargai kerana novel dari Malaysia ini telah diketengahkan ke medan sastera antarabangsa melalui bahasa Itali.
       Penerbit yang sama hampir pasti menolak novel-novel seperti Bedar Sukma Bisu (Faisal Tehrani), Al-Syiqaq I (Shahnon Ahmad) atau novel-novel berkecenderungan Islami lainnya, untuk diterjemahkan ke dalam bahasa Itali.  Dan karya-karya ini amat sukar untuk berada di medan sastera antarabangsa, kecuali melalui perancangan dan penerbitan dari dalam seperti yang dilakukan oleh Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM).
       Akan tetapi kebanyakan pengarang kebangsaan kita – di sini merujuk pengarang Melayu-Islam dan mereka yang menjunjung moraliti -  tidak terpukau oleh terjemahan dan pasaran antarabangsa berdasarkan karya selangkangan, sensasi atau kegilaan moral lainnya yang menyelerakan (sebahagian) khalayak sastera antarabangsa.
       Pengarang yang menjunjung moraliti, lebih-lebih lagi pengarang Melayu-Islam yang tidak mungkin memisahkan peranan ‘khalifah’ – walau apa jua skalanya, selalu peka akan tanggungjawab kesasterawanannya.
Watak khalifah amatlah kudus dan istimewa di dalam Islam. Tali pertanggungjawabannya terhadap Allah tidak pernah terputus, sehingga ia juga disebut khalifatullah.  Ia amat alim tentang hubungan vertikalnya dengan Allah, dan amat cendekia menterjemah amanah Allah di muka bumi ini dalam hubungan horizontalnya dengan manusia. Tentang peranan khalifah dan hubungannya dengan amanah Syed Muhammad al-Naquib al-Attas (1978: 134) antara lain menyatakan:
Man, thus equipped, is meant to be vicegerent (khalifah) of God on earth (2: 30), and as such the weighty burden of trust (amanah) is placed upon him … the trust of responsibility to rule according to God’s will and purpose and His Pleasure.
                   Sebagai manusia biasa pengarang juga berkecenderungan untuk membangunkan dunia fizikal atau mental melalui karya mereka. Pengarang memilih watak tertentu mewakili pandangan serta sikapnya. Hal ini tidaklah asing kerana pengarang Melayu yang beragama Islam menyedari tentang falsafah agamanya yang sering menyeru ke arah peningkatan kebaikan. Seruan-seruan ke arah kebaikan telah disebarkan melalui Quran, umpamanya:
                     “Hendaklah ada di antara kamu umat yang menyeru kepada kebaikan, menyuruh dengan makruf (yang baik-baik) dan melarang dari yang mungkar dan mereka itulah yang menang.”
                                                                                          (Maksud Surah Ali ‘Imran 3:104)
                     “Serulah (manusia) ke jalan (agama) Tuhanmu dengan kebijaksanaan dan pengajaran yang baik, dan berbantahlah (berdebatlah) dengan mereka dengan (jalan) yang terbaik. Sesungguhnya Tuhanmu lebih mengetahui orang-orang yang sesat dari jalan-Nya dan Dia lebih mengetahui orang-orang yang dapat pertunjuk .”
                                                                                           (Maksud Surah An-Nahl 16:125)
       Sastera Melayu moden mempunyai citranya yang tersendiri, di tengah- tengah pengaruh globalisasi, media baru (new media) serta landaan tsunami moral atas nama hak asasi manusia, kebebasan individu dan ekspresi seni. Pengarangnya tidak kalut dan gelojoh untuk sampai ke pentas antarabangsa, walaupun dalam tempo yang sedikit perlahan, iaitu suatu tempo yang boleh diperdebatkan. Sekiranya pengarang kita mampu menghasilkan karya-karya  yang bermutu dari masa ke masa sebagaimana Shahnon dengan Ranjau Sepanjang Jalan atau Usman Awang dengan puisi-puisi kemanusiaannya, maka gerak ke pentas antarabangsa itu boleh dipercepatkan, tanpa bermodalkan selangkangan, kebejatan moral atau mencabar kewibawaan Tuhan dan Islam (dan yang terakhir ini adalah tema yang lebih ditunggu-tunggu dengan tangan terbuka oleh barat yang sedang menghidap wabak Islamofobia!).
       Berpaksi pada akidah dan berperanan mulia melalui karya sastera  merupakan benteng pertama kita, khususnya yang melibatkan karyawan kebangsaan Malaysia. Di atas menara benteng ini, ketika menyampaikan ucapan penerimaan Anugerah Sastera Negara antara lain saya menukilkan:
            Sastera itu adab persuratan
Pelbagai makna serta tafsiran,
Namun bakat serta indah penulisan
Tentang Tuhan, makhluk-Nya dan pemikiran. 
 

Bakat dan karya ada tanggungjawabnya,
Berbuat di dunia balasannya di alam baqa,
Diingatkan Allah menjadi khalifah-Nya,
Bantu membimbing umat manusia.
 

Hindari kutukan kepada penyair sesat,
Dalam Al-Syu’ara telah tersurat,
Yang ditulis benar itulah yang diperbuat,
Taqwa itu memandu pena menyurat.
 

Dengan akal pena menukilkan,
Seperti lidah wajar berperaturan,
                       Pena yang jujur lebih dimuliakan,
Bukan pedang melibas sembarangan. 

       Sejauh mana penulis generasi baru menyedari akan kewujudan benteng ini? Atau ada yang  pura-pura tidak melihatnya? Sebuah benteng, sebagai kastil, tetap berdiri tegak jika setiap generasi menghargainya dan membenarkan kewujudannya.  Atau benteng ini, seperti juga sesetengah kastil, dimusnahkan oleh kuasa alam yang kejam – yang meruntuhkan temboknya secara cepat atau perlahan? Dan dalam konteks pascamoden kini kuasa alam itu berwajah  hedonisme, materialisme dan populariti murahan.
(Telah tersiar dalam Dewan Sastera Januari 2011).