Thursday, April 3, 2014



Anwar Ridhwan

MENGEKSPORT  SASTERA
 
Penyebarluasan karya sastera kita sebenarnya mempunyai sekurang-kurangnya dua sempadan. Pertama, sempadan wilayah berbahasa Melayu dengan tembok birokrasi serta akta yang melindungi perdagangan serta kepentingan bahasa Melayu masing-masing negara. Untuk memasarkan karya sastera kita ke Indonesia terutamanya, juga Brunei Darussalam, Singapura dan Thai Selatan, beberapa prosedur mereka harus dipatuhi. Padahal wilayah ini menggunakan bahasa Melayu yang sama, dengan sedikit perbezaan kosa kata, atau kelainan makna bagi kosa kata tertentu.
    Apabila prosedur ketat pihak Indonesia selalu disebut-sebut sebagai halangan pengeksportan buku Melayu ke sana, seorang teman daripada industri buku Indonesia cuba menggunakan alasan yang tidak seratus peratus bersifat perbukuan. Ia menekankan kualiti, sebagaimana dahulu masyarakat di sana menerima filem-filem P. Ramlee; atau kini bagaimana kanak-kanan Indonesia menerima Upin dan Ipin.
    Sempadan kedua adalah perbatasan antara sastera Melayu dengan bahasa-bahasa lain di luar sana. Perbatasan ini bukanlah tidak pernah dilalui. Sejak beberapa dekad yang lalu, sastera Melayu dalam terjemahan telah melewati perbatasan antarabangsa. Dalam hubungan ini Dewan Bahasa dan Pustaka, Institut Terjemahan Negara Malaysia (kini Institut Terjemahan dan Buku Malaysia) dan beberapa penerbit swasta, telah dan sedang mengambil langkah untuk menterjemahkan karya sastera, menerbitkannya secara bersendirian atau bersama, serta memasarkannya di peringkat antarabangsa.
    Usaha-usaha mempromosi karya sastera Melayu dalam terjemahan juga dilakukan melalui pelbagai cara. Antaranya ialah diskusi buku, serta penyertaan dalam pesta-pesta buku antarabangsa yang penting seperti di Bologna, Itali; Tokyo, Jepun; London, England  dan Frankfurt, Jerman.
    Pengeksportan karya sastera Melayu ke luar negara sebenarnya terlebih dahulu melibatkan suatu perkara asas iaitu pemilihan. Siapakah yang memilih karya tersebut untuk diterjemahkan? Dan, mengapakah karya tersebut dianggap wajar untuk diterjemahkan? Soalan kedua itu biasanya disandarkan kepada rasional subjektif bahawa karya tersebut dianggap ‘bermutu,’ maka wajarlah karya tersebut diterjemahkan ke dalam bahasa asing. Sandaran ini masih terbuka kepada perdebatan lantaran asas rasionalnya yang  subjektif itu.
    Persoalan siapakah yang memilih sesebuah karya untuk diterjemahkan merupakan isu yang menarik. Hal ini demikian kerana biasanya terdapat dua kaedah sudut pandang. Pertama, dari sudut pandang orang asing sendiri yang tertarik kepada sesebuah karya sastera Melayu, lalu dipilih untuk diterjemahkan ke dalam bahasa ibundanya. Kedua, dari  sudut pandang individu atau jawatankuasa yang dibentuk di Malaysia untuk memilih karya-karya yang wajar diterjemahkan ke bahasa antarabangsa.
    Contoh daripada sudut pandang pertama ialah apabila Hans Overbeck yang terpesona dengan Hikayat Hang Tuah, memilih karya agung Melayu ini untuk diterjemahkan ke dalam bahasa Jerman. Terjemahan tersebut diterbitkan di Munich pada tahun 1923. Hans Overbeck juga terpukau dengan pantun-pantun Melayu, mengumpulkannya, dan memperkenalkannya dalam Deutsche Watch untuk khalayak Jerman.
    Pemilihan melalui kaedah sudut pandang pertama itu mungkin dianggap sebagai yang paling baik, alamiah dan sesuai dengan cita rasa masyarakat antarabangsa itu sendiri. Ini kerana pihak mereka sendiri yang menemuinya, menilai serta mengangkatnya, dan menterjemahkannya melalui bahasa yang mereka kuasai, yakni  nuansa bahasa khalayak sasarannya. Secara ringkas, karya-karya yang dipilih melalui sudut pandang pertama itu dianggap bermutu, unik, dan mengandung tema atau persoalan yang menarik.
    Pengalaman yang sama turut terjadi ke atas beberapa karya Islami atau daripada tradisi kesusasteraan Arab, apabila pihak  barat memilih untuk menterjemahkannya. Antara karya ini termasuklah 1001 Malam, Rubaiyyat oleh Umar Khayyam, puisi-puisi Khalil Gibran yang lebih kontemporari dan sebagainya.
    Puisi-puisi Arab seperti qasida, ghazal, qitah, masnawi, ruba’i dan maqamah bukanlah sesuatu yang mudah untuk diterjemahkan ke dalam bahasa asing. Bagaimanapun  pihak barat berusaha melakukannya walaupun menyedari bahawa terjemahan tidak mungkin mengekalkan semua struktur, dan terutamanya rima  yang berkonotasi kerohanian. Imejan sufistik ada yang tidak dapat diterjemahkan bagi menangkap makna vertikal kerohanian,  sebaliknya hanya menatijahkan gambaran yang memberi makna horizontal keduniaan yang fana.
    Selepas Hikayat Hang Tuah yang menarik perhatian pengkaji Jerman dan barat umumnya, beberapa buah novel Melayu telah diterjemahkan ke bahasa lain atas pilihan sarjana asing. Kaedah ini seperti yang telah dinyatakan, adalah lebih baik, kerana penilaian datang daripada sudut pandang orang asing.
    Bagaimanapun untuk menyebarluaskan karya sastera Melayu ke persada antarabangsa, kaedah pemilihan hanya daripada sarjana asing tidak boleh dijadikan sebagai sandaran tunggal, atau satu-satunya jalan. Ini kerana banyak karya sastera terus dihasilkan, yang memungkinkan lahirnya beberapa karya yang dianggap baik untuk dikongsi secara sejagat. Di samping itu, proses penterjemahan serta penerbitan yang memakan masa, mungkin menyebabkan ada karya bermutu yang harus menunggu giliran untuk dapat dikesan oleh pengkaji luar umpamanya.
    Justeru, usaha solicited, yang merancang secara dalaman pemilihan karya sastera untuk diterjemahkan, wajar diteruskan. Sebagai usaha yang berdasarkan kesan serta penilaian dalaman,  hasil penerimaan ke atas karya tersebut di peringkat antarabangsa mungkin meleset. Kemelesetan tersebut boleh disumbangkan oleh dua lagi faktor, iaitu penterjemahan yang dilakukan bukan oleh penutur asli bahasa khalayak sasaran karya tersebut, dan  karya tersebut di cetak dan hanya dipasarkan di Malaysia.
    Akan tetapi tema serta persoalan dalam karya sastera, terutamanya novel, turut menentukan sama ada karya itu boleh dipasarkan di peringkat antarabangsa ataupun tidak.  Ini suatu pendapat yang boleh diperdebatkan. Ada yang menyebut bahawa kalau persoalannya menyangkut tentang seks, jenayah, pengintipan dan sebagainya, maka karya tersebut mudah memancing penerbit antarabangsa. Tahun lepas, sebuah novel Malaysia yang olahan ceritanya melibatkan seks, jenayah dan pengintipan – dengan latar Kuala Lumpur, dan watak-watak seperti Ning Somprason aka Devil, Terry Fernandez dan Fellatio – telah diterjemahkan dan diterbitkan di Itali.
    Sebahagian besar pengarang Melayu yang mapan dan muda, tampaknya masih tetap rasional untuk tidak terdorong mengolah cerita nafsu nafsi dan selangkangan, semata-mata untuk mencipta nama di pentas dunia.
    Sejak sekian lama pengarang Melayu menyedari tanggungjawab sebagai penulis yang membawa pesan-pesan positif untuk khalayak pembacanya. Untuk menyebut mereka ‘khalifah’ mungkin agak berlebihan, namun karya-karya mereka sering memancarkan kesedaran serta tanggungjawab sebagai karyawan Islam – dengan mesej kental atau bersahaja.
    Bagi mereka ini, terjemahan karya adalah suatu bonus. Mereka tidak mengharapkan lonjakan nama kerana sesuatu yang sensual semata-mata, yang terpikul akibatnya di hari kemudian. Adalah lebih bermakna, hadir dengan karya yang bermutu tinggi, dan pesan yang mendalam abadi untuk pembacanya; dan jika karya itu menjadi fenomena di peringkat antarabangsa, namanya terangkat sekali oleh sebab-sebab yang boleh diterima serta cocok dengan prinsip kepengarangannya.
    Kerana tersembunyi di balik karang, mutiara mungkin lambat ditemui. Mutiara tetaplah bernilai mutiara tidak kira bila ia dituai dari lantai lautan.
(Pertama kali diterbitkan oleh Berita Harian)
   

Thursday, February 28, 2013



MAJLIS PELANCARAN BUKU TERJEMAHAN DRAMA KLASIK FAUST

28 Februari 2013 (Khamis) | 3.00 petang | Cinnamon Coffee House, One World Hotel

______________________________________________________________________________________

 Yang Berusaha Encik Mohd. Khair Ngadiron,

Pengarah Urusan Institut Terjemahan & Buku Malaysia.

Yang berbahagia Dr. Michael Feiner,

Pemangku Ketua Perwakilan Jerman di Malaysia.

Sdr Latiff Mohidin,

Penterjemah buku Faust, pelukis dan penulis terkenal  tanah air.

 

Dif-dif kehormat, jemputan-jemputan khas, para sasterawan, penulis, pihak media, tuan-tuan dan puan-puan yang saya dihormati sekalian.

1.                  Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah rahmat-Nya dapat kita bersama-sama dalam Majlis Pelancaran Buku Terjemahan Drama Klasik Faust versi bahasa Melayu terjemahan Latiff Mohidin. Majlis yang dianjurkan oleh Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) ini,  pada hemat saya  melakar satu lagi kejayaan dan usaha penting yang dilaksanakan dalam penerbitan, apabila sebuah buku Karya Agung Dunia yang sangat terkenal akan dilancarkan dan dipersembahkan kepada umum sebentar sahaja lagi.

2.                  Atas sebab-sebab penjajahan, dari kecil kita sudah diperkenalkan kepada lagu kanak-kanak, serta karya sastera negara penjajah kita. Padahal di luar dari lingkungan itu, terdapat seaneka karya sastera besar dan agung. Salah satu daripadanya dari Jerman, iaitu Faust yang dilancarkan pada petang ini.

3.                  Faust adalah karya terbesar penulis tersohor Jerman, Johann Wolfgang von Goethe selepas karyanya yang lain seperti Stella, Egmont, Torquata Tasso dan sebagainya. Pada hemat saya setiap pelajar teater belum sempurna pembelajarannya jika belum membaca dan menghayati karya drama besar, termasuk Faust ini.

4.                  Masyarakat Malaysia, khususnya pendukung dan golongan penting bidang sastera tanah air wajar berasa bangga, apabila buku terjemahan klasik Faust karangan Goethe dilancarkan di sini, dan meletakkan Latiff Mohidin sebagai seorang penterjemah berwibawa yang berjaya mengungkapkan versi klasik Jerman ke dalam bahasa Melayu, dengan leretan puisi yang begitu indah dan setia kepada pengungkapan aslinya; seterusnya diterbitkan oleh Institut Terjemahan & Buku Malaysia dalam bentuk yang berprestij dengan ciri penerbitan istimewa. Dengan bentuk ini, karya klasik terkenal ini dapat dinikmati, dihayati dan dikongsi oleh pelbagai lapisan masyarakat di negara kita. Kita perlu menunggu kira-kira 240 tahun, dan seorang seniman-penterjemah tempatan yang menguasai bahasa Jerman dengan baik, iaitu Latiff Mohidin, untuk dapat menatap Faust dalam bahasa Melayu.

5.      Faust menjadi  sebuah karya agung Jerman, dan sebagaian sastera besar dunia, kerana keterampilan seni pengarangnya mengangkat tema besar tentang kehidupan manusia yang tidak abadi ini, yang masuk ke jagat logosentrisme. Kreativitinya meluaskan dimensi horisontal kita untuk memahami jiwa manusia, dan dalam masa yang sama mengangkat dimensi vertikal kita akan yang Maha Agung. Penanjakan dimensi vertikal ini bagaimanapun, mungkin menimbulkan persoalan rumit tentang tanzil, atau antropomorfik dalam kalangan kita, terutamanya dalam bahagian ‘Prolog di Langit’ apabila Maha Agung diturunkan ke pentas oleh pengarangnya.

6.      Karya Faust ini masih berpengaruh sehingga kini dan dikatakan mempunyai pesona yang besar dalam dunia sastera, teater dan kegiatan seni, khususnya di benua Eropah. Karya ini sudah banyak difilemkan dan ia menjadi perbahasan khusus dalam dunia sastera. Lantaran itu, saya mengalu-alukan  usaha ITBM menerbitkan terjemahan drama klasik Faust yang akan dapat mempererat hubungan sastera dan ilmu kedua-dua negara iaitu Jerman dan Malaysia.

7.      Keperluan melakukan transformasi dalam persekitaran yang semakin berubah amat dituntut seandainya kita ingin terus kekal berdaya saing seiring dengan negara maju lain. Ini juga proses yang harus dilalui oleh seseorang penulis tempatan jika kita ingin sampai ke pentas sastera dunia. Perubahan yang banyak dilakukan oleh ITBM sejak kebelakangan ini dan penerbitan pelbagai karya agung, sastera dan klasik yang diusahakannya merupakan suatu bentuk perubahan yang diambil oleh ITBM dalam menerajui dunia penerbitan negara, yang harus dimanfaatkan oleh penulis-penulis tempatan. Melalui penerbitan karya sastera luar, ITBM berjaya mengorak langkah lebih jauh mendepani penerbit yang lain dan mempunyai peluang yang lebih besar untuk menerokai dunia baharu di luar sempadannya. Saya mengucapkan tahniah atas usaha konsisten dan kejayaan ITBM meneroka jauh ke pasaran penerbitan antarabangsa.

8.    Dengan lafaz Bismillahhirrahmannirrahim, saya dengan sukacita melancarkan Buku Terjemahan Drama Klasik Faust karya Johann Wolfgang von Goethe yang diterjemahkan oleh Latiff Mohidin. Semoga Allah SWT memberkati segala usaha kita dalam memperbanyak khazanah ilmu dan menyemarakkan penerbitan karya sastera di Malaysia.

Sekian, Wabillahi Taufiq Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

 Kuala Lumpur,

27 Februari 2013.

Sunday, December 2, 2012


 
“Di sesetengah negara, kadang-kadang campur tangan politik dan bisnes mengatasi dapatan dan cadangan pakar-pakar alam sekitar, menyebabkan kawasan-kawasan hijau dan kawasan tadahan hujan, termasuk di lereng-lereng bukit dan gunung, dibangunkan dengan berleluasa. Selalu pula tiada kawalan dan penguasaan yang ketat terhadap operasi kilang-kilang dari luar negara, sehingga mereka melepaskan bahan toksik ke dalam sungai, tasik, paya dan laut, dan melepaskan kepulan asap hitam pekat ke udara selama 24 jam. Penduduk negara asal kilang-kilang tersebut pastinya berasa gembira kerana segala bahan toksik dan kotoran telah dilepaskan di negara-negara miskin atau sedang membangun …”
KONSEP ‘hablumminannas’ selalu diberi takrifan yang singkat iaitu peri hubungan sesama manusia, pada hal manusia memerlukan alam – termasuk segala flora dan fauna dalam kitaran kehidupan. Sehubungan ini, sejak beberapa dekad yang lalu, karya sastera turut menampilkan alam sebagai watak, lalu muncullah kritikan ekologi dalam apresiasi karya kesusasteraan.
       Dalam sebuah tulisannya Buell mendefinisi kritikan ekologi sebagai “ a study of the relation between literature and the environment conducted in a spirit of commitment to environmentalist praxis.” Howarth menyebut tentang “ecology describes the relations between nature and culture.” Sementara Evernden menanggapinya sebagai “The deep ecological movement, the one that concerns itself with the underlying roots of environment crisis rather than simply its physical manifestation, demands the involvement of arts and humanities.”
       Anda menemui tema ini dalam beberapa buah novel, umpamanya Seluang Menodak Baung (Shahnon Ahmad) dan Daerah Beta (Azizi Haji Abdullah). Satu daripada isu yang menarik perhatian penulis dalam proses penghasilan Naratif Ogonshoto  ialah isu alam sekitar, yang kemudian menjadi sebahagian bab novel tersebut iaitu “Aisberg.”
        Di negara-negara miskin dan sedang membangun, keprihatinan semua pihak terhadap pelestarian alam sekitar pada umumnya masih rendah. Keperluan bagi mendapatkan bahan bakar yang murah dan mudah menyaksikan penebangan hutan dan belukar yang berleluasa. Cara mudah membuang pelbagai sisa dan sampah sarap ialah melontarkannya ke tasik, sungai dan laut. Tiadanya perancangan jangka panjang dan bersepadu oleh pihak yang bertanggungjawab, mengakibatkan pembangunan yang tidak terkawal.
       Di sesetengah negara, kadang-kadang campur tangan politik dan bisnes mengatasi dapatan dan cadangan pakar-pakar alam sekitar, menyebabkan kawasan-kawasan hijau dan kawasan tadahan hujan, termasuk di lereng-lereng bukit dan gunung, dibangunkan dengan berleluasa. Selalu pula tiada kawalan dan penguasaan yang ketat terhadap operasi kilang-kilang dari luar negara, sehingga mereka melepaskan bahan toksik ke dalam sungai, tasik, paya dan laut, dan melepaskan kepulan asap hitam pekat ke udara selama 24 jam. Penduduk negara asal kilang-kilang tersebut pastinya berasa gembira kerana segala bahan toksik dan kotoran telah dilepaskan di negara-negara miskin atau sedang membangun, dan dengan cara itu mereka dapat mengekalkan kejernihan air dalam sungai dan tasik negara mereka, di samping melestarikan langit biru jernih berudara segar di negara mereka.
        Negara-negara maju tidaklah terus mencapai status tersebut, tanpa – dalam skala yang berbeza-beza – menghadapi isu alam sekitar pada masa lampau. Sungguhpun isu alam sekitar terus wujud di setiap negara, tetapi pada umumnya negara-negara maju dapat merangka dan menguatkuasakan pelestrian alam sekitar. Jika alam sekitar dijadikan latar kepada empat keperluan asas manusia iaitu (a) makanan, (b) pakaian, (c) perumahan, dan (d) pendidikan, maka negara maju amat mengambil berat terhadap kualiti air dan tanah untuk pertanian; amat mengambil berat operasi kilang industri asas tani dan pakaian; lebih teliti merancang pembangunan kawasan perumahan yang mesra alam, di samping mendapat bekalan air bersih yang berkualiti dan bekalan elektrik yang berpanjangan; serta lebih teliti ketika mendirikan institusi-institusi pendidikan agar cukup kondusif, dan landskap yang bergabung-jalin dengan alam sekitarnya (terutama yang lokasinya bertempat di sub-urban atau luar kota). Sungguhpun di bandaraya tertentu negara maju muncul isu CFC dan sebagainya, pada umumnya masih terdapat kawasan hijau dan kawasan tadahan air yang dijaga rapi, dan mereka tidak menghadapi masalah kekurangan air serta bekalan elektrik, yang merupakan dua keperluan penting bagi kehidupan manusia. 
       Sewaktu penulis sedang merangka ‘Naratif Ogonshoto’ di Tokyo, penulis terbaca berita tentang krisis bekalan air yang melanda Melaka dan Kuala Lumpur. Di Melaka krisisnya lebih dahsyat. Tidak ada bekalan air selama berhari-hari, yang amat menyulitkan urusan orang ramai, serta bidang pertanian, ternakan dan operasi kilang yang memerlukan bekalan air.
       Situasi tersebut menimbulkan semacam ironi. Hujan turun hampir setiap hari di Malaysia, tetapi tiada jaminan bahawa bekalan air akan sentiasa ada bagi pelbagai keperluan. Tentulah tiada ironi jika situasi tersebut berlaku di negara padang pasir tandus. Sumber yang amat berharga yang selalu turun dari langit, tampaknya tidak ditadah secara sistematik, untuk dikumpulkan dalam empangan yang besar bagi menjamin bekalan yang berpanjangan. Dalam masa yang sama, pengabaian terhadap pelestarian kawasan-kawasan hijau tadahan hujan, penerokaan hutan yang kurang terkawal, dan pencemaran sungai, turut menyumbang kepada krisis bekalan air. Ini menunjukkan bahawa kepekaan  terhadap konsep pelestarian alam sekitar yang holistik masih pada tahap yang belum memuaskan. Anehnya, di sesetengah negara, termasuk di Republik Ogonshoto, dana yang besar telah dikeluarkan untuk projek mega, yang dalam kes republik tersebut ialah memugar hutan belantara kawasan tadahan hujan bagi membina padang golf yang luas, demi citra di mata dunia; daripada menggunakan dana yang besar itu untuk menyediakan salah satu keperluan asas rakyatnya.  
       Penulis teringat akan kata-kata seorang sahabat penulis, yang bertugas sebagai jurutera yang bertanggungjawab terhadap empangan dan bekalan air di Lembah Kelang. Katanya, “Apabila paras air empangan rendah, tekanan darah saya jadi tinggi. Apabila paras air empangan tinggi, tekanan darah saya jadi rendah.”      
         Isu krisis bekalan air di Melaka itu mengingatkan penulis kepada sebuah     peribahasa Melayu : “Itik Berenang dalam Air Mati Kehausan.” Jika diambil pengertian literal, lugas atau kognitifnya sahaja, jelaslah bahawa penduduk Melaka ketika krisis tersebut seolah-olah itik berenang mati kehausan, kerana sungguhpun hujan turun, tetapi mereka tidak mendapat bekalan air yang sewajarnya. Bagaimanapun, beberapa bahagian Naratif Ogonshoto, menterjemahkan maksud yang biasanya dikaitkan dengan peribahasa tersebut, untuk menggambarkan keciciran peribuminya dalam pelbagai bidang kehidupan di sebuah republik yang kaya raya.
       Krisis bekalan air di Republik Ogonshoto terjadi selepas pembinaan sebuah padang golf luas yang setaraf St. Andrews,  dengan mengorbankan hutan hijau kawasan tadahan hujan, semata-mata kerana Presiden mahu menaikkan citra republik tersebut yang mampu membina dan memiliki padang golf kelas dunia. Bagi Presiden, citra lebih penting daripada realiti. Pandangan dan pendapat pakar-pakar alam sekitar yang tulen telah diketepikan, kerana Presiden boleh membentuk sekumpulan pakar-pakar alam sekitar yang memihak kepadanya, yang boleh menyokong semua rancangan pembangunan di Ogonshoto melalui sogokan wang atau kenaikan pangkat.
       Apabila kemarau terjadi, dalam situasi terdesak, Presiden memuaskan egonya dengan memerintahkan agar dua bongkah aisberg dari Kutub Selatan ditarik ke Ogonshoto. Aisberg itu nanti boleh ditambat di pelabuhan, dipotong-potong, dan dimuatkan ke dalam tangki-tangki air. Sikap grandiose Presiden sejajar dengan seleranya yang tinggi mengumpulkan kekayaan, merancang projek skala besar, mendewakan materialisme, dan menunjukkan kehebatannya. Projek itu  memakan biaya besar (yakni biaya kepada pakar aisberg, dan operator 14 buah kapal yang setiap tujuh buah akan menarik sebongkah aisberg). Projek itu diberikan kepada kroninya.
Penulis menjukstaposisikan sikap grandiose Presiden dengan seorang lelaki tua warga Ogonshoto itu yang agak tuli dan buta huruf, tetapi bersikap lebih praktikal dalam menangani kemarau sehari-hari. Dia menterjemahkan enigma angka kepada kerja. Cerita tentang dua bongkah aisberg besar mendorongnya untuk menggali perigi dan menyuling air laut dalam dua periuk besar – sebagai persiapan menghadapi kemarau panjang. Angka empat belas buah kapal yang menarik aisberg memberinya ilham untuk mencari 14 tong air yang bakal mengisi air sulingnya. Hasil kerja gigihnya berbulan-bulan dalam musim kemarau yang membakar, kolam yang digali telah mengeluarkan mata air, dan dia dapat mengumpul 14 tong air suling.
       Apabila Presiden Ogonshoto yang ‘lebih suka ditakuti daripada dihormati’ itu tidak mengendahkan nasib rakyatnya, wajarlah orang kecil seperti lelaki tua itu bersikap praktikal dalam menangani kehidupannya sehari-hari. [DS1211].

Friday, November 30, 2012


 
“Pasaran penerbitan dalam bahasa Melayu juga sepatutnya melihat kemampuan bahasa ini pada peringkat supra nasional. Semua penerbitan dalam bahasa Melayu (termasuk dari Indonesia terutamanya), seharusnya dapat diterima tanpa apa-apa hambatan linguistik. Begitu juga dengan penerbitan buku-buku Melayu untuk pasaran Indonesia. Kita harus belajar daripada bahasa dunia yang besar, di mana bahasa itu bebas menyeberang batas geo-politik, dan dapat diterima serta difahami oleh khalayak yang mempunyai kepelbagaian budaya serta kepercayaan.”
JIKA KERAJAAN tidak mengubah pendirian yang diumumkan oleh YAB Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran kira-kira setahun lebih  yang lalu untuk mengembalikan pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Melayu, maka tahun 2012 bolehlah dianggap sebagai ambang peluang kedua untuk bahasa Melayu kembali menjadi bahasa ilmu. Sebaliknya, jika kerajaan meneruskan dasar PPSMI dalam bahasa Inggeris, maka masa depan bahasa Melayu semakin malap.      
       Kemajuan dan perkembangan bahasa Melayu di Malaysia akan banyak bergantung pada dasar pembinaan dan pengembangan bahasa ini, di samping polisi serta persepsi kerajaan terhadap bahasa ini yang sepatutnya  diangkat menjadi bahasa rasmi, bahasa komunikasi,  bahasa kebangsaan dan bahasa ilmu pengetahuan. Tidak kurang penting ialah penerimaan orang Melayu sendiri terhadap bahasanya, di samping penerimaan kaum-kaum lain terhadap bahasa kebangsaan ini. Usaha mengembangkan bahasa Melayu juga berkait rapat dengan upaya memperkasakan tamadun Melayu. Kita tidak mungkin memperkasakan tamadun Melayu dengan meminjam bahasa orang lain.
       Alam Melayu di tanah lamanya sebelum kedatangan Islam turut mensisakan tinggalan sejarah berupa pelbagai jenis tulisan dan candi. Akan tetapi sejak disinari cahaya tauhid, umat Melayu-Islam memilih tulisan jawi – daripada tulisan Arab yang ditambah beberapa huruf bagi menyesuaikannya dengan lidah serta bunyi Melayu. Melalui aksara ini pujangga dan ulama Melayu silam menghasilkan karya-karya besar termasuk karya-karya sufisme dan kesusasteraan.
       Gelombang pertama kemunculan dan perkembangan bahasa Melayu bermula sejak orang Melayu menghuni gua purba, pesisir dan pulau; daripada masyarakat agrarian sepenuhnya, hinggalah kepada sebahagian masyarakat modennya yang mula menghuni kota. Gelombang pertama ini menyaksikan bahasa Melayu yang dituturkan dan didengar telah berhasil membentuknya sebagai sebuah bahasa yang dinamik. Telah tercipta karya kesusasteraan yang menjadi genius bangsa berupa pantun, peribahasa serta hikayat-hikayat yang agung seperti Hikayat Hang Tuah dan Sulalat al-Salatin. Kepustakaan Melayu terus diisi dengan buku-buku pelbagai bidang.
       Penubuhan UKM dapat dianggap sebagai puncak perkembangan bahasa Melayu. Melalui pendidikan dalam bahasa Melayu, di institusi tersebut latihan ilmiah, tesis, wacana, kuliah dan penerbitan pelbagai bidang dan subbidang dalam bahasa Melayu telah dihasilkan; disamping menghasilkan lulusan pelbagai fakulti. Sepatutnya puncak gelombang itu dipertahankan dan dilonjakkan lagi, kerana ternyata bahasa Melayu mampu mengungkapkan ilmu pengetahuan moden yang tinggi dan rumit.
       Bagaimanapun benteng penyekat gelombang itu dibina dan disiapkan dengan begitu cepat oleh seorang pemimpin negara yang menghadapi kerancuan fikiran  tentang kedaulatan serta potensi bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Benteng itu dibina sekitar tahun 2003 melalui dasar PPSMI.  Jika dasar PPSMI diteruskan, bahasa Melayu perlahan-lahan akan terhakis sebagai bahasa ilmu, bukan sahaja ilmu sains dan teknologi, malah ilmu-ilmu yang sedikit banyak memerlukan disiplin atau pengkaedahan sains dan matematik di dalamnya.
       Keberanian Menteri Pelajaran sekarang untuk memansuhkan PPSMI mulai 2012 bolehlah dianggap sebagai memberikan ‘peluang kedua’ kepada bahasa Melayu untuk membentuk gelombang baru dan seterusnya. Akan tetapi bahasa Melayu terus menghadapi cabaran hebat. Jika salah strategi bahasa Melayu tidak akan kekal sebagai bahasa utama di Malaysia, sebaliknya hanya akan menjadi bahasa kedua. Apakah perkara-perkara yang harus dimantapkan untuk memperkasakan bahasa Melayu agar kekal sebagai bahasa pertama?
       Pertuturan dan pendengaran adalah  saling berhubungan. Mungkin dianggap remeh. Akan tetapi pertuturan yang gramatis, lengkap, dan berkesan akan memberi citra baik terhadap sesuatu bahasa. Begitu juga sebaliknya. Jika bahasa Melayu dituturkan secara buruk (umpamanya tidak gramatis, pemilihan diksi yang salah, bercampur baur dengan bahasa lain – atau disebut ‘bahasa rojak’, dan seumpamanya) sama ada oleh menteri, pegawai kerajaan, dalam situasi rasmi atau tidak rasmi, dalam media elektronik, dan malah oleh pelajar – maka mereka memberi isyarat yang bahaya dan salah terhadap kemampuan bahasa Melayu. Yang tidak mampu (berbahasa dengan baik) adalah mereka, bukan kelemahan bahasa Melayu. Oleh itu wajar pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu turut menekankan cara bertutur bahasa Melayu yang betul dan berkesan sedari awal lagi.
       Untuk terus berkembang, bahasa Melayu mesti mempunyai kepustakaan ilmu dan persuratan yang banyak. Dan dibaca secara meluas pula. Di Malaysia, khususnya di institusi pendidikan tinggi awam, terdapat kira-kira 1,700 orang profesor dan 20,000 lagi staf akademik. Sekiranya setiap daripada mereka menulis dan menerbitkan sebuah buku setiap dua tahun, maka jumlah kepustakaan Melayu akan meningkat dengan mendadak. Akan tetapi perkara sebaliknya berlaku. Hanya segelintir profesor dan staf akademik IPTA yang menulis dan menerbitkan buku, dan dari yang segelintir itu hanya sebahagaian kecil yang menghasilkan penulisan yang betul-betul mendalam.
       Kepustakaan ini mesti memenuhi selera, minat serta tuntutan ilmu pelbagai golongan – kanak-kanak, remaja dan dewasa. Kepustakaan ini juga mesti meliputi semua bidang dan subbidang. Akan tetapi para sarjana kita di IPTA mungkin lebih mengejar penulisan makalah untuk jurnal-jurnal ISI demi masa depan mereka, selain tawar hati kerana penulisan buku dalam bahasa Melayu tidak diambil kira sebagai salah satu faktor untuk kenaikan pangkat. Jika IPTA tidak memartabatkan bahasa Melayu di Malaysia, pihak mana lagi yang kita harapkan? Mengapa bahasa Melayu dianaktirikan di IPTA Malaysia?
       Menteri Pelajaran pernah menyarankan agar jumlah penerbitan ditingkatkan, begitu juga buku-buku ilmiah. Saranan atau gesaan tersebut amat penting bagi memperkasakan bahasa Melayu. Tetapi siapakah yang menyambut saranan atau gesaan tersebut? Tidak terbaca atau terdengar sebarang perancangan strategik oleh pihak-pihak yang sepatutnya menanggungjawab cabaran tersebut.
       Kadar penerbitan tahunan buku-buku judul baru di negara ini, sebagai contoh, masih amat rendah berbanding jumlah penduduk. Jumlah kira-kira 16,000 judul baharu setahun (berdasarkan perangkaan yang dikeluarkan oleh Perpustakaan Negara Malaysia) masih tidak memuaskan, kerana kita sepatutnya menerbitkan 28,000 judul buku baharu setahun ( kira-kira 0.1% daripada jumlah penduduk negara, dalam upaya membentuk masyarakat lebih berilmu (learned society).  Ini menandakan ramai sarjana, penyelidik dan orang yang mengaku dirinya penulis, tidak menulis, atau kurang produktif. 
       Pasaran penerbitan  kita sepatutnya  dibanjiri dengan akhbar, majalah, buku, jurnal, ensiklopedia, buku dan penerbitan elektronik dalam bahasa Melayu. Cuba bandingkan semua ini dengan bahan-bahan yang terdapat di toko-toko buku yang besar di tanah air kita. Bahan bacaan dalam bahasa Melayu amat sedikit jumlahnya. Bagaimanapun, menurut pengusaha perbukuan, permintaan terhadap buku-buku dalam bahasa Melayu terus meningkat. Di beberapa toko buku yang besar dan terkenal, buku-buku Melayu mendapat tempat peragaan yang lebih strategik. Ini menunjukkan bahawa di peringkat akar umbi, mereka tetap berasa bahawa bahasa Melayu boleh bersaing dengan bahasa-bahasa lain.
       Pasaran penerbitan dalam bahasa Melayu juga sepatutnya melihat kemampuan bahasa ini pada peringkat supra nasional. Semua penerbitan dalam bahasa Melayu (termasuk dari Indonesia terutamanya), seharusnya dapat diterima tanpa apa-apa hambatan linguistik. Begitu juga dengan penerbitan buku-buku Melayu untuk pasaran Indonesia. Kita harus belajar daripada bahasa dunia yang besar, di mana bahasa itu bebas menyeberang batas geo-politik, dan dapat diterima serta difahami oleh khalayak yang mempunyai kepelbagaian budaya serta kepercayaan.
       Untuk menjadi bahasa pertama di negara ini, bahasa Melayu mesti berkemampuan memenuhi tuntutan kreatif dan ilmu pengetahuan semua golongan khalayaknya, terutamanya aspek kepustakaan ilmu. Bahasa Melayu juga wajar dituturkan secara gramatis, baik dan berkesan, agar memberi citra baik terhadap bahasa ini. Bahasa Melayu juga harus menjadi bahasa pengantar utama pendidikan rendah hingga universiti, menjadi bahasa komunikasi utama rakyat, serta citranya yang unggul dan berwibawa dapat dilihat di mana-mana.
Kepustakaan Melayu juga harus men-tsunami dunia maya, agar  - melalui kemudahan teknologi elektronik dan digital - mudah dicapai oleh sesiapa saja, di-mana-mana saja, pada saat apa pun. 

 

 

 

Monday, November 26, 2012


 

 

“Semakin banyak tanah orang Melayu, dan tanah rezab Melayu, termasuk di Pulau Pinang, telah bertukar tangan. Orang Melayu semakin kehilangan aset bagi pembangunan perumahan, pejabat, industri dan sebagainya – yang nilainya terus meningkat dari masa ke masa. Orang Melayu yang terlibat harus menyalahkan diri sendiri. Pihak yang berkuasa juga wajar dipersalahkan, akibat kurang peka akan pentingnya orang Melayu memiliki, mempertahankan dan meluaskan pemilikan tanah di tanah air sendiri.”
TANPA TANAH  tidak ada sesuatu yang boleh dibangunkan. Pembangunan di pesisir, atau di permukaan air sekali pun, tetap punya tanah di dasarnya. Banyak cerpen, puisi dan novel Melayu, serta sejumlah drama,  yang mengangkat tema kepentingan pemilikan tanah ini. Karya-karya ini berbicara dari sudut pandang Melayu atau bumiputera tentang kepentingan tanah, dan selalu mengajak pembaca untuk menyedari ancaman yang berupaya mengecilkan atau menghapuskan pemilikan tanah di kalangan orang Melayu dan bumiputera.
       Tema tersebut antara lain diangkat oleh Keris Mas melalui novelnya Rimba Harapan (Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka, 1986). Novel ini mengilustrasikan nasib pemilik tanah Melayu di Bentong – yang oleh sebab-sebab pengembangan industri, bencana alam serta ketamakan dan pemikiran singkat beberapa watak antagonis Melayunya, telah kehilangan milik atau meninggalkan tanah pusaka, lalu membuka rimba di Janda Baik. Pada bahagian akhir cerita, suara pengarang yang disalurkan melalui watak protagonisnya menegaskan untuk ‘kekal karar’ di situ. Subteksnya :  Melayu tidak boleh asyik berundur ke rimba sementara orang lain menduduki tanah asal mereka dan menguasai bandar.
       Dalam Pidato Penerimaan Anugerah Sastera Negara saya antara lain menukilkan:
Prihatinlah akan nasib tanah air dan bangsa
Hubbul watan minal iman peganglah ia. 

       Noor Azam melalui tulisannya dalam Dewan Masyarakat beberapa bulan yang lalu tentang isu pemilikan tanah orang-orang Melayu, menurunkan perangkaan yang sepatutnya membimbangkan orang-orang Melayu. Semakin banyak tanah orang Melayu, dan tanah rezab Melayu, termasuk di Pulau Pinang, telah bertukar tangan. Orang Melayu semakin kehilangan aset bagi pembangunan perumahan, pejabat, industri dan sebagainya – yang nilainya terus meningkat dari masa ke masa. Orang Melayu yang terlibat harus menyalahkan diri sendiri. Pihak yang berkuasa juga wajar dipersalahkan, akibat kurang peka akan pentingnya orang Melayu memiliki, mempertahankan dan meluaskan pemilikan tanah di tanah air sendiri. 

       Di dalam novel saya Naratif Ogonshoto tertulis:

“Kumulai dengan kisah Adam sedang terapung-apung di angkasa – setelah dikeluarkan dari syurga – mencari daratannya di dunia ini. Kata sesetengah riwayat dia telah menemukan India sekarang, sebagai daratan pertamanya.
        “Sejak itu manusia terus mencari tanah dan daratan. Ogonshoto pun telah ditemukan orang. Seluruh daratannya, dulu, milik natif Ogonshoto belaka. Tetapi bagaimana sekarang? Dulu, ketika orang-orang Jepun belayar mencari daratan baru, mereka turut menemukan Ogonshoto, lalu bertapak di Futu-Ata. Tetapi tidak Jepun saja; semua bangsa yang berpandangan jauh terus mencari daratan.
       “Bangsa yang berpandangan singkat melupakan daratannya. Sayang sekali, politikus Ogonshoto harus dikaitkan dengan ‘bangsa’nya, yang berpandangan singkat itu! Mengapakah kukatakan demikian? Presiden, dalam upaya memenangi hati musuh-musuh politiknya, atau menghargai taat setia penyokongnya, membahagi-bahagikan daratan Ogonshoto seolah-olah tanpa mengkaji implikasinya. 
       “Bekas musuh-musuh politik Presiden, setelah menerima kurnia tanah daratan, terus melupakan perjuangan asal kerana mulai belajar hidup senang-lenang. Mereka membangunkan daratan masing-masing dengan bantuan pelabur asing; atau terus menjual daratan mereka kepada orang-orang Amerika atau Eropah. Harga tanah daratan tiba-tiba naik berlipat ganda, yang tidak dapat dijangkau lagi oleh majoriti natif Ogonshoto. Aku menyoal, mengapakah pemerintah Ogonshoto tampaknya lebih memihak kepada segelintir orang, berbanding majoriti natif Ogonshoto yang lebih dahaga akan tanah daratan dan kehidupan yang lebih baik? 
       “Penyokong-penyokong Presiden yang menerima kurnia tanah daratan, banyak yang segera menjual daratan masing-masing. Sasaran mereka hanyalah lima tahun, atau lima tahun yang akan datang, apabila pemilihan umum menurut kerangka demokrasi diadakan. Dalam tempoh itu, mereka ini – yang ingin kekal pada status quo atau ingin memanjat lebih tinggi anak tangga kekuasaan – perlukan wang yang tidak sedikit untuk terus mendapat sokongan serta tidak diganggu gugat. Kunyatakan terus terang begini : Politikus kita menilai daratannya untuk tempoh lima tahun  saja; kapitalis yang membeli tanah daratan itu menilainya untuk tempoh ribuan tahun yang akan datang. Lalu kuulangi, sayang sekali ketika bangsa-bangsa lain terus mencari dan meluaskan daratan, Ogonshoto sedang memilih sendiri – tanpa bantuan letupan gunung berapi – mengecilkan daratannya. 
       “Kalian tahu bukan, sekarang ini lebih tujuh puluh peratus daratan Futu-Ata sudah dimiliki oleh orang-orang Jepun. Di Rai-Rapa , lebih lima puluh peratus daratannya sudah menjadi milik orang-orang Inggeris, Amerika, Australia dan New Zealand. Di Gora-Gora hampir enam puluh peratus daratannya sudah didaftarkan atas nama orang-orang Jerman, Itali, Switzerland dan Perancis. Sekali mereka mendapat tanah daratan,  mereka tidak akan melepaskan kepada orang lain, untuk selama-lamanya. 
       “… Pembinaan stesen angkasa adalah tanda ghairah manusia untuk mencari daratan baru di atas sama. Semuanya, kerana sedari awal Adam telah memberikan tamsil ibarat tentang manusia yang perlu mencari daratan. Dan pencarian daratan akan terus dilakukan oleh umat manusia hingga ke akhir zaman kelak. Malangnya, Ogonshoto terus menyerahkan daratannya kepada bangsa-bangsa lain, mengabaikan hak natifnya sendiri.” (hlm. 142-143). 

              Peribahasa Melayu “Bagai Belanda minta tanah” bukan sahaja untuk menunjukkan ketamakan sesetengah pihak menguasai daratan yang makin diperluaskan dari masa ke masa, malah secara halus mengingatkan orang Melayu agar tidak melepaskan pemilikan tanahnya, kerana sekali terlepas, akan melepaslah buat selama-lamanya. Maka gejala itu mesti disedari oleh semua orang Melayu, jika tidak mahu menerima nasib sebagaimana nasib beberapa peribumi di dunia ini.
       Gejala “Belanda minta tanah” turut dialami peribumi Palestin sejak beberapa dekad yang lalu, di mana rejim zionis Israel membeli tanah milik orang Palestin (yang berpandangan singkat atau secara paksa), mengambil alih pemilikan tanah rakyat Palestin, dan sentiasa berusaha memperluaskan sempadan geo-politiknya. Di atas tanah yang mereka kuasai, dibangunkan perumahan yang didiami oleh pendatang-pendatang Yahudi. Dalam tempoh singkat, peribumi Palestin akan menjadi golongan minoriti sebagaimana keluasan tanah mereka semakin mengecut. Untuk merebut kembali tanah yang hilang bukanlah suatu proses yang mudah kalau hanya melontar batu ke atas musuh yang lengkap bersenjata, atau melepaskan pengebom berani mati. Yang menguasai daratan, akan terus bersikap keras mempertahankan daratannya.
       Pemilikan tanah dan khususnya pembangunan perumahan di atasnya, akan memberi impak dalam peti-peti undi setiap kali diadakan pilihan raya. Pola politik Malaysia menunjukkan jurang sikap serta sokongan yang berbeza antara pengundi bandar yang padat dengan pengundi desa yang sepi. Kerana tanah, landskap politik boleh berubah.
       Hanya sesuatu kaum yang boleh mengubah nasibnya sendiri ke arah yang lebih baik. Dalam drama “Bukan Lalang Ditiup Angin”, Noordin Hassan melalui korus ‘Canang’ turut mengingatkan: 

Terkenang kampung anak dan isteri,
Ramalan nujum kemudian hari,
Jika tak ubah nasib sendiri,
Kena belenggu macam pencuri.

[DS1011]