Monday, May 18, 2009

Anwar Ridhwan : Arah dan Cabaran Penulis Muda


Dibentangkan dalam ‘Perhimpunan Penulis Muda 2009’ anjuran PENA dengan Kerjasama DBP, dan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah,
22-24 Mei 2009, di Puteri Resort, Ayer Keroh, Melaka.




A. PENDAHULUAN

Fitrah Tuhan mentakdirkan proses pengenerasian terus berlaku. Proses tersebut dialami bukan sahaja oleh flora, fauna, dan peralatan-peralatan moden , malah yang lebih penting turut dialami oleh manusia. Sebagai hayawan natiq[i], yakni makhluk berbahasa, manusia turut belajar daripada bahasa alam, melihat bagaimana daunan hijau muda perlahan-lahan berubah warna menjadi coklat perang; melihat bagaimana telur menetaskan burung yang kemudian melesat terbang; melihat bagaimana peralatan moden mengecil dan menipiskan bentuknya.
Pengenerasian manusia selalu menghadirkan polemik ‘kaum tua’ dan ‘kaum muda’, bukan sahaja yang mengkhusus dalam ranah keagamaan seperti yang pernah terjadi di negara kita, malah meluaskan ranahnya ke medan-medan kehidupan yang lain.
Pengenerasian tidak terjadi dalam vakum atau kekosongan. Pengenerasian terjadi bersama-sama gerak kebudayaan sesebuah masyarakat. Justeru itu, golongan yang telah mapan, atau berasa dirinya mapan, akan selalu bersemuka dan berdialog dengan generasi muda, tentang pelbagai aspek dalam kehidupan yang bergerak pantas ini.
B. PERJUANGAN, ARAH DAN CABARAN

Kesusasteraan Melayu moden telah mengalami pembaharuan atau pengenerasian genre beberapa kali. Salah satu dekad yang penting ialah 1970-an. Dekad itu menyaksikan kemunculan puisi-puisi Melayu yang lebih baik, cerpen-cerpen eksperimental yang segar, novel-novel dengan teknik serta persoalan yang lebih mendalam, dan drama-drama non-realisme. Karya-karya tersebut muncul dari latar belakang sosial, budaya, dan sejarah zamannya.
Kini kesusasteraan Melayu moden muncul dari latar sosial, budaya dan zaman yang terus berubah. Di sekitar kita terjadi perubahan-perubahan penting, yang bukan sahaja melibatkan anggota masyarakat, malah para penulis dan karya mereka. Dalam ruangan yang terbatas ini, hanya beberapa perubahan yang dapat diketengahkan dalam wacana kali ini. Oleh sebab zaman ini memberikan lebih banyak ‘saham’nya kepada penulis-penulis muda, maka penulis-penulis muda wajar menanggapi perubahan-perubahan berikut dalam konteks cabaran dan tantangan yang harus ditangani dengan bijaksana.


Memetakan Perjuangan Seni

Sama ada seseorang penulis muda itu mahu menggariskan perjuangan seninya (yang sekali gus bererti bersedia menghadapi cabaran), serta memetakan arah perjuangan seninya, sangat bergantung kepada tujuan mengarang. Jika tujuan seorang penulis muda itu mengarang hanya untuk mencipta nama, maka namanya akan diingat buat sementara waktu. Jika tujuan seorang penulis muda itu mengarang hanya untuk mendapatkan wang, maka ringgit dan sennya akan habis di dunia ini. Jika tujuan seorang penulis muda itu mengarang hanya untuk seni, maka ia hanya mengagungkan seni yang relatif. Akan tetapi Jika tujuan seorang penulis muda itu mengarang kerana menggunakan bakat untuk menjadi pendakwah seni mengandung ilmu, maka karyanya menjadi lebih bererti, dan lebih lestari. Dalam hubungan ini Hassan Ahmad (2008) pernah menyatakan:
Penulis mesti tahu apakah tujuan dia menulis. Kalau dia ahli sains atau sarjana dalam bidang ilmu tertentu, dia menulis untuk tujuan menyampaikan ilmunya kepada orang lain, kepada masyarakat. Itu tujuannya. Dia tidak boleh main-main. Dia mesti serius. Ini bukan kerja mudah. Dia mesti berfikir, mengolah ilmu. Tetapi bukan itu sahaja. Dia juga harus menguasai alatnya dan teknik penulisan dengan baik. Alat penting penulis ialah bahasa. Kalau dia tidak menguasai alat ini dengan baik, nanti ilmu yang cuba disampaikan pun boleh keliru, tidak jelas, salah dan sukar difahami pembaca. Tetapi menguasai bahasa sahaja belum cukup. Dia juga mesti menguasai teknik penulisan, menguasai kebolehan menggunakan bahasa secara kreatif, dengan gaya bahasa yang menarik, dan sebagainya… menulis buku yang bagus, yang menarik, yang boleh memberangsangkan pembaca, membuka minda pembaca, mengembangkan ilmu dan pemikiran pembaca.

Barangkali, cabaran pertama yang dihadapi oleh setiap penulis muda – iaitu cabaran yang memerlukan jawapan – ialah memetakan perjuangan seninya terlebih dahulu. Jika seseorang penulis muda itu menjadikan nama, ringgit dan seni semata-mata sebagai matlamat tintanya, maka degup perjuangan yang lebih kuat dan besar mungkin tidak akan kedengaran. Sebaliknya jika seseorang penulis muda itu memanfaatkan bakatnya untuk menjadi pendakwah seni mengandung ilmu, maka degup perjuangannya akan kedengaran lebih kencang. Perjuangan ini harus bergerak sejajar dan seiring dengan penciptaan karya-karya sastera yang bermutu tinggi.


Bukan Sekadar Watak dan Peristiwa : Idea Makin Ditagih

Tentang ciri-ciri karya sastera bermutu tinggi (yang antara lain melibatkan pencernaan idea besar, ketrampilan seni dan komposisi, serta penguasaan bahasa kreatif dan berkesan) tidak dapat dihuraikan di sini akibat ruang yang terbatas. Akan tetapi pada umumnya peningkatan kualiti karya menanjak bersama-sama umur yang meningkat, kecuali bagi penulis muda yang benar-benar genius.

Telah menjadi kebiasaan penulis muda yang mengejar nama, dan ringgit, menghasilkan karya-karya popular yang memanipulasi watak dan peristiwa sahaja. Bukanlah nama dan wang tidak penting, hanya kedua-duanya merupakan sesuatu yang sekunder. Golongan ini melatarbelakangkan ‘idea’. Sesetengah penulis muda yang tidak bersetuju dengan pendapat ini menyanggah, bahawa karya mereka juga mengandung ‘idea’!
Marilah kita mendalami sedikit makna ‘idea’ dalam konteks pemikiran Melayu. Bagi saran yang bermakna dan besar, orang Melayu menyebutnya gagasan atau ‘buah fikiran’ – sesuatu yang bersifat metafora. Hanya buah yang baik, dan masak ranum, memberi manfaat yang lebih kepada manusia. Bukan sesuatu daripada bunga dan putik yang mentah, mengkal atau rosak – walaupun disebut ‘buah’ juga. Idea amat erat kaitannya dengan akal, dan dalam konteks ini, menurut Hairudin Harun (2001:504):
… akal Melayu menekankan peranan intellectus lebih daripada rasio. Intellectus dalam epistemologi tradisional dikaitkan dengan “hati” atau naql, merupakan fakulti yang menerima ilmu dan kebenaran yang bersifat metafizikal dan rohaniah. Manakala rasio ialah fakulti rasional yang berpusat di otak merupakan tumpuan ilmu fizik dan logik. Pemikiran tradisional sentiasa mengutamakan fakulti intellectus holistik dan sintesis berbanding dengan rasio analitik dan redusionistik. Fakulti intellect melihat alam ini sebagai kaya dengan simbol-simbol transenden semantik berbanding dengan rasio yang lebih menekankan simbol sintaksis redusionistik.

Maka menjadi cabaran penulis muda untuk menambah elemen gagasan dan ‘buah fikiran’ yang besar, bermakna dan bernas di dalam karya-karya mereka; suatu anjakan daripada medan teks yang hanya memanipulasi watak dan peristiwa.
Masukan ilmu menjadi bumbu penting di dalam karya sastera, yakni ilmu yang teradun secara harmonis dan seimbang dalam sosok ciptaan karya kreatif yang berespon kepada emosi, perasaan dan akal; bukan dalam sosok buku ilmu pengetahuan yang hanya berespon kepada intelek. Karya sastera berbeza dengan karya ilmiah. Tentang konteks ilmu ini, sedapat-dapatnya penulis boleh sampai ke dasar makna ilmu seperti yang pernah disebut oleh Syed Othman Alhabshi (2003:153):
Ilmu ialah sesuatu yang pasti yang terbit daripada kebenaran yang mutlak yang harus kekal di sisi manusia dan diterima oleh hatinya (al-qalb). Konsep ilmu ini datang daripada perkataan yaqin yang sememangnya mempunyai maksud benar dan pada masa yang sama membina keamanan, keselamatan dan ketenangan dalam hati. Oleh itu ilmu tidak boleh berada dalam bentuk tekaan yang bijak atau sangkaan yang mungkin mengandungi unsure syak yang akan bertukar atau berubah demi masa atau tempat. Apabila syak wujud walau sedikit sekali pun, ia bukan lagi suatu kebenaran yang mutlak, ia juga tidak lagi akan menenangkan hati dan dengan itu bukan lagi dianggap ilmu.


Bukanlah pendakwah sejati jika tidak menerima cabaran demi cabaran. Sehubungan itu para penulis muda yang termasuk dalam golongan pendakwah seni mengandung idea ini, harus mengamati fenomena seputar kehidupan kini. Terlalu banyak fenomena yang kurang menyenangkan ‘orang tua’ seperti saya dewasa ini. Penulis muda wajar berasa sensitif terhadap perkara-perkara berikut, dan mungkin pula terdorong untuk mengangkatnya menjadi leitmotif di dalam karya.


Ruh Islam, Budaya Kehidupan Liberal dan Karya Sastera

Penjajahan Inggeris dan orientalisme telah memetakan pendidikan agama Islam di Malaysia ke arah yang kelam dan berwarna kelabu. Sejak zaman penjajahan hingga kini, pendidikan Islam tidak pernah berada di pentas perdana dunia pendidikan kita. Sungguhpun diakui bahawa pendidikan Islam yang menyeluruh boleh membentuk peribadi yang mulia atas asas tauhid, mencipta ketamadunan Islam, dan menyelamatkan penganutnya di dunia dan akhirat, kelas-kelas agama masih merupakan subjek kecil, atau ditolak ke sebelah petang yang telah mengambil kesegaran pagi. Hanya di sana sini, secara terpecah-pecah dan pinggiran, muncul pondok dan sekolah agama; tetapi jumlah yang kecil serta keupayaan yang terbatas, tidak memungkinkan suatu perawatan jiwa dan sosial yang lebih menyeluruh.
Akibatnya, roh Islami menjauh daripada kehidupan sebahagian keluarga, yang dititiskan pula sebagai pewarisan negatif kepada anak-anak generasi muda. Yang terbentang luas adalah sebuah dunia sekular, yang menurut Mahmood Zuhdi (2003:123) merupakan ‘sesuatu yang telah didekatkan’, yakni kehidupan dunia ‘yang dekat dengan kesedaran, pengalaman dan pemikiran manusia.’ Lantaran itu, antaranya, dunia hiburan dan hedonism menjadi tuhan baru dalam kehidupan mereka. Budaya kehidupan liberal-sekular menyebabkan mereka lebih banyak menghabiskan masa dan wang ringgit kepada tuhan baru kompromi, dan tuhan baru bernama hedonism, berbanding masa dan wang yang diinfakkan ke jalan yang diredai-Nya. Apakah penulis, termasuk penulis muda memandang sepi perkara ini? Dalam sebuah tulisannya, Fadlullah Wilmot (Hamzah Hamdani, 2003:10) pernah menyebut:
Selama peribadi manusia dikendalikan oleh keinginan duniawinya, selama dia tidak tunduk kepada Allah dan menyucikan pandangan, selama itu juga seorang penyair atau penulis tidak mungkin akan dapat melepaskan diri daripada kesempitan kepentingan nafsunya. Hanya kalau si penulis mempunyai satu matlamat yang mutlak maka dapatlah dia maju, mencapai, memperluas dan menyelesaikan perkara tersebut. Kalau tidak dia cuma berpusing-pusing sahaja, walhal Islam memberikan kepada manuisa matlamat untuk mencari keredaan Allah dalam hidupnya, dan tidak ada matlamat yang lebih tinggi daripada matlamat ini. Dengan matlamat ini, seorang penulis dapat maju dan menciptakan perkara-perkara yang memberi kesedaran baru kepada umat manusia.

Sehubungan itu, yang diperlukan bukan sahaja sensitiviti terhadap isu-isu tersebut yang menjadi sebahagian realiti alam Islam[ii], malahan kecintaan terhadap ilmu yang dapat memandu kita ke jalan yang betul dan matlamat yang jelas. Peranan kepemimpinan juga ditagih, kerana pendekatan kepemimpinannya akan menentukan dimensi yang seimbang atau kecondongan ke arah keduniaan semata. Mengulas perkara ini, Wan Mohd. Noor Wan Daud (2004:23) menyebut bahawa “pemahaman dan penghayatan kerangka keilmuan dan pandangan alam Islam telah berjaya mengangkat orang Melayu dan bahasanya sebagai bangsa dan bahasa yang dihormati walaupun terpaksa menghadapi tentangan langsung daripada kuasa-kuasa ketenteraan dan pentadbiran Barat.” ( Isu martabat bahasa tampak kebenarannya dalam tempoh tertentu, dan ini akan disentuh lagi kemudian).Sebaliknya, menurut Wan Mohd. Nor, akibat “kelemahan pemahaman dan kelalaian pelaksanaan kerangka keilmuan dan akidah ini dalam kalangan beberapa pemimpin menyebabkan akhlak mereka rapuh, tidak bersedia mendengar nasihat, dan terlalu mementingkan kehendak duniawi.”
Terdapat gesaan tegas agar para penulis, termasuk penulis muda, menghadapi fenomena sosial sebagai sesuatu yang nyata, dan memindahkan situasi itu ke dalam teks yang bertanggungjawab. Dalam hubungan ini, Said Quthub (A.Hasjmy, 1977:72) dengan lantang menegaskan:
Islam mengghairahkan manusia agar berani menghadapi hakikat nyata dan jangan lari daripadanya ke dunia khayal yang kabur. Kerana itu, tidak ada lagi dalam daya manusia sisa untuk mimpi-mimpi kabur yang berterbangan, kerana Islam telah menghabiskan daya ini untuk membuktikan mimpi yang tinggi sesuai dengan jalan-Nya yang agung.



Masa Kini dan Masa Depan Pendidikan Sastera yang Mencemaskan
Kita, termasuk penulis muda, wajar berasa khuatir dengan situasi pengajaran dan pembelajaran sastera di negara kita dewasa ini. Bayang hitam kesannya menghorizontal jauh ke depan kita. Dalam sebuah tulisannya, Muhammad Haji Salleh (1999: 597) menyebut:
Pelajar-pelajar digalakkan memilih sains dan teknologi dan mencari kehidupan mereka di dunia itu, yang kononnya banyak menjanjikan kejayaan dan kemewahan. Pelajar-pelajar yang kurang tinggi markahnya dikumpulkan dalam kelas-kelas yang dinamakan sastera. Rasanya sudah muncul suatu keadaan yang memberat kepada dunia sains dan tidak sedikit berprasangka kepada dunia sastera.

Dengan kelas-kelas sastera hampir dianak-tirikan, dikurangkan bilangannya oleh kebanyakan pihak sekolah atas nama menjaga prestasi keputusan peperiksaan sekolah, dengan meletakkan guru-guru yang pada umumnya kurang sesuai, dan dengan pelajar-pelajar yang kurang cemerlang mendiami kelas-kelas sastera, kita dapat membayangkan masa depan sastera kita, jika semata-mata bergantung pada situasi pendidikan sastera masa kini! Lebih parah, jika pihak-pihak yang bertanggungjawab, membiarkan situasi ini dibawa arus masa, tanpa apa-apa perubahan.
Tamadun Islam dan tamadun Barat yang masih berkembang, sentiasa menggalakkan perkembangan sastera yang sihat bersama-sama perkembangan teknologi dan materialisme. Pemikiran kreatif, objektif dan saintifik, sentiasa bergerak seiring. Peranan serta fungsi hemisfera otak kanan, dan hemisfera otak kiri, sentiasa mendapat makanannya. Malah terdapat tradisi menghayati sastera sebagai pelengkap kepada proses ketamadunan, termasuk kepada para pentadbir bagi suatu tadbir urus yang lebih manusiawi sifatnya. Muhammad Haji Salleh (1999 : 599/ 613) juga pernah menyebut:
Sastera yang tumbuh dalam jiwa dan bahasa sesuatu bangsa akhirnya menjadi alat, bukti dan unsur jati dirinya. Akar tuanya tertanam dalam nilai, cara berfikir dan perasaan bangsa itu, termasuk dalam manifestasi yang lebih akaliah dan seni sifatnya, seperti yang terlihat dalam sejarah, syair, pantun dan seni pertunjukan. Setelah beberapa lama menyumbang kepada budaya maka sastera itu menjadi sebahagian daripada wajah dan jiwa bangsa kita…
Sastera membina manusia yang berfikir dan beretika, manusia yang halus pertimbangannya, yang bersikap adil dan saksama, dan dapat membayangkan perasaan orang lain. Seorang pembaca yang baik mungkin lebih prihatin terhadap mereka yang harus melalui keperitan hidup, manusia yang peka kepada manusia dan persekitarannya. Manusia begini amat diperlukan untuk membina sebuah masyarakat atau dunia yang baik.

Akan tetapi mengapakah nasib pengajaran dan pembelajaran sastera di negara kita tampak terpinggir? Mengapakah produk sastera seakan-akan tidak mempunyai pengaruh dan kesan terhadap industri kreatif yang terus berkembang?
Nilai industri kreatif di Malaysia dianggarkan RM6 bilion setahun, dan akan terus meningkat. Sebagaimana diketahui umum, industri kreatif dijana daripada unsur dan sumber sastera. Kini, seperti perkembangan di negara-negara maju, industri kreatif mempengaruhi sebahagian besar aspek kehidupan manusia, umpamanya melalui program-program media elektronik, media cetak, dan penerbitan web. Semuanya itu mempunyai nilai ekonomi yang sangat tinggi.
Akan tetapi di sebalik fakta-fakta tersebut, mengapakah jumlah kelas-kelas sastera di sekolah menengah di negara kita makin mengecil? Malah di beberapa buah sekolah, kelas sastera telah ditutup atas pelbagai alasan yang tidak munasabah? Mengapakah subjek sastera dianggap sebagai subjek yang tidak menjanjikan pekerjaan, serta tiada nilai ekonomi? Jika gambaran sastera yang suram di sekolah-sekolah menengah itu kita jajarkan dengan nilai industri kreatif negara ini yang bernilai RM6 bilion setahun dan akan terus berkembang, nyatalah ada sesuatu yang amat tidak kena dengan pendidikan sastera di sekolah-sekolah. Malah tidak kena dengan slogan ‘modal insan’ bagi sekurang-kurangnya 40% pelajar kita.
Dalam jangka pendek dan jangka panjang, mutu industri kreatif ditentukan oleh mereka yang terdidik dalam bidang sastera, yang turut terlibat dalam industri ini dalam pelbagai peringkat. Jika sistem pendidikan sastera negara dapat melahirkan tenaga kerja industri kreatif yang berkualiti, maka mutu industri kreatif negara akan meningkat. Sebaliknya, jika sistem pendidikan sastera negara gagal melahirkan tenaga kerja industri kreatif yang bermutu, maka tiada nilai yang dapat diharapkan daripada industri kreatif negara. Ini sangat membimbangkan kita.
Jika perkara yang terakhir itu berlaku (dan sebenarnya sedang berlaku di Malaysia), masyarakat tidak memberi ‘rating’ yang tinggi kepada produk industri kreatif tempatan. Akibatnya, industri kreatif kita terpaksa membuka ruang kepada produk industri kreatif negara asing. Produk industri kreatif negara asing, sebahagiannya memang bermutu daripada aspek estetika. Malangnya, produk industri kreatif negara asing juga turut membawa dan mengembangkan pelbagai unsur negatif seperti keganasan, seram, lucah, anti agama dan sebagainya. Gejala-gejala negatif itu pastilah merisaukan pimpinan politik, agama, budayawan dan tokoh masyarakat yang ingin melihat pembentukan nilai akhlak dan moral yang tinggi dalam masyarakat kita, khususnya di kalangan generasi muda.
Sayangnya, pendidikan sastera di sekolah-sekolah kita tidak menjurus ke arah pendekatan terapan sastera yang boleh memperkasakan industri kreatif negara, dan menyediakan tenaga kerja bagi pasaran tersebut. Sastera lebih banyak dipelajari bentuknya, tanpa dilihat potensinya yang boleh dieksploitasi bagi industri kreatif. Jika kesilapan masa kini tidak dibetulkan dengan segera, industri kreatif negara akan terus mundur, di samping terus bergantung pada produk industri kreatif asing yang boleh memusnahkan jati diri bangsa. ‘Sistem’ pendidikan sastera kita sekarang, jika boleh dikatakan suatu sistem, juga akan gagal melahirkan penulis-penulis yang berkualiti.
Justeru itu sudah tibalah masanya dilakukan rombakan besar-besaran terhadap pelbagai aspek pengajaran dan pembelajaran sastera di sekolah-sekolah. Tujuan utama daripada rombakan drastik dan berskala besar itu ialah melahirkan pelajar-pelajar sastera yang bermutu. Mereka boleh menjadi penulis yang baik, atau pelbagai tenaga produksi yang diperlukan oleh industri kreatif negara. Mereka (pelajar-pelajar sastera) akan dibentuk sedemikian rupa untuk mengisi keperluan tenaga kerja industri kreatif yang menyediakan peruntukan lebih RM6 bilion setahun. Untuk mencapai tujuan tersebut, pelbagai aspek pengajaran dan pembelajaran sastera perlu dilihat, dikaji dan dinilai semula.
Pada lewat 1960-an dan awal 1970-an, buku-buku teks sastera memang merupakan karya-karya yang hebat. Sejarah sastera, menggunakan buku Zubir Usman. Pelajar sastera diwajibkan juga membaca karya-karya penting seperti Patah Tumbuh (Keris Mas), Warna Suasana (Masuri S.N), Salah Asuhan (Abdul Muis),Siti Nurbaya (Marah Rusli), Keluarga Gerilya (Pramoedya Ananta Toer), Atheis (Achdiat K. Miharja) dan sebagainya.
Pada ketika itu, dan inilah yang sewajarnya, pembuat keputusan di kementerian tampaknya tidak bertolak ansur terhadap pemilihan dan penggunaan teks sastera yang bermutu. Hal ini turut dijadikan tradisi pemilihan teks sastera di sekolah-sekolah negara maju seperti Britain, Jepun, Perancis, Amerika Syarikat dan sebagainya. Biasanya, hanya teks karangan pengarang-pengarang yang ternama, yang mutu karya mereka telah melalui ujian zaman, dipilih untuk dipelajari. Dengan demikian para pelajar didedahkan kepada kualiti karya zaman klasik, dan klasik-moden yang benar-benar terpilih.
Teks sastera di negara kita, mutakhir ini tidak menunjukkan suatu keputusan yang ketat, yang berpegang kepada prinsip pemilihan teks yang benar-benar telah diuji zaman kerana nilai estetika serta pemberi pengalaman intelektualnya. Sungguhpun beberapa teks tampak agak terpilih, tetapi pemilihan beberapa karya atau teks lain kelihatan agak sembarangan sahaja. Sehingga beberapa karya penulis muda, yang sesetengahnya amat kurang dikenal, turut terpilih. Ini memancarkan sikap pemahaman yang dangkal terhadap ‘peranan’ teks sastera sebenar di kalangan pemilih teks, dan malah menimbulkan beberapa tohmahan yang tidak sedap didengar.
Pemilihan teks atau karya penulis muda (sebagai teks sastera), lebih-lebih lagi apabila karya itu tidak memenangi apa-apa hadiah sastera yang utama seperti Hadiah Sastera Perdana, mungkin hanya akan menjadi bahan jenaka. Ia akhirnya menjadi suatu ‘komedi-tragik’. Adalah suatu yang tidak adil untuk menempatkan teks yang bukan hak sebagai teks sastera yang wajib dipelajari, sementara teks sepatutnya dari zaman klasik dan era klasik-moden dipinggirkan.
Akibatnya para pelajar sastera hanya mempelajari teks yang belum diuji zaman, yang nilai estetika dan pengungkapan pengalaman intelektualnya belum diukur oleh kematangan peradaban bangsanya.
Sehubungan itu wajarlah teks sastera di negara kita, daripada komsas hingga peringkat sekolah menengah dan IPT, menggunakan karya sastera yang benar-benar terpilih. Untuk pembelajaran sejarah sastera (tradisional dan moden), buku yang paling representatif umpamanya terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, yang disusun dan ditulis oleh sekumpulan profesor dan sarjana sastera tanahair. Karya-karya yang dipelajari, mestilah mengutamakan teks prosa dan puisi yang merupakan genius bangsa, di samping tidak melupakan karya pengarang-pengarang penting zaman tradisional seperti Hamzah Fansuri, dan Raja Ali Haji; serta karya para pengarang era klasik-moden, sejak Abdullah Munsyi hingga beberapa karya Sasterawan Negara.
Sejak sekian lama, corak soalan peperiksaan subjek sastera tampaknya tidak dibezakan dengan soalan subjek-subjek lain seperti geografi, sejarah dan sebagainya. Soalan subjek sastera mestilah jauh berbeza dengan soalan subjek-subjek lain, kerana subjek sastera berespond kepada emosi, intelektual, dan kreativiti – tiga komponen yang tidak boleh dilihat secara terpisah-pisah. Perubahan ini mesti dilakukan jika sistem pendidikan sastera kita mahu melahirkan penulis kreatif dan non-kreatif yang baik, dan yang sesuai bagi industri kreatif kita.
Malangnya sejak sekian lama, soalan subjek sastera hanya berlegar pada perkara-perkara struktural dalam teks (tema, plot, watak, latar, bahasa, sudut pandangan dan sebagainya), di samping sedikit ulasan atau pendapat. Tidak hairanlah jika proses pengajaran dan pembelajaran subjek ini begitu menjemukan, tidak menarik minat pelajar cerdik, tertutup dan dalam kegelapan tanpa terlihat sinar harapan di hujung terowong pembelajaran.
Lebih parah apabila guru bukan-sastera, atas sebab-sebab dalaman yang kronik, diminta mengajar subjek sastera! Oleh sebab banyak aspek struktural yang timbul sebagai soalan peperiksaan, maka pihak guru dan pelajar lebih mudah bergantung pada buku-buku panduan yang banyak dijual di pasaran. Akan tetapi subjek sastera bukanlah subjek teknikal yang ‘mati’, yang tiada hubungkaitnya dengan kehidupan ini, serta tidak boleh diindustrikan. Malangnya itulah yang sedang terjadi di sekolah-sekolah kita. Pelajar sastera secara sinis dianggap sebagai golongan ‘ekor’ yang akan pupus. Hal seperti ini tidak terjadi di negara-negara maju. Selain mereka (di negara maju) hampir tidak membuat tembok dikotomi yang jelas antara aliran sains dan sastera, mereka juga lebih pintar memilih bahan teks, kaedah pengajaran, serta hala tuju ke arah pasaran kerja.
Antara ciri sistem pendidikan yang baik ialah melihat semua ilmu berpotensi untuk berkembang, dan para pelajar setiap ilmu itu dapat memanfaatkan ilmu tersebut untuk kegunaan diri sendiri, masyarakatnya, atau malah dikomersialkan.
Pihak Kementerian Pelajaran, sesuai dengan dasar kerajaan mahu menjadikan Malaysia sebuah negara maju pada tahun 2020, mula mempertegas aliran sains dan sastera kepada para pelajar, dengan nisbah 60% sains dan 40% sastera. Nisbah bagi sastera mungkin akan terus dikecilkan, dengan ‘sangkaan’ bahawa sastera tidak menyumbang kepada kemajuan negara.
Memanglah aliran sastera tidak menyediakan tenaga kerja profesional yang dapat membangunkan negara secara fizikal. Akan tetapi pembangunan serta kemajuan sesebuah negara juga turut diukur dengan kemajuan intelektual, sastera dan kebudayaannya. Jumlah pelajar yang mewakili 40% aliran sastera adalah suatu jumlah yang besar. Jika jumlah ini tidak dirancang pembangunan ‘modal insan’nya, negara kerugian sumber tenaga manusianya. Justeru itu sudah sampai masanya semua aspek pengajaran dan pembelajaran sastera dinilai semula.
Sejarah sastera tradisional dan moden masih perlu dipelajari, kerana subjek ini memerikan tokoh, aliran, persoalan serta karya-karya penting yang telah menjadi ‘kanun’ dalam disiplin ini. Akan tetapi ketika mengajar puisi mahupun prosa, yang lebih ditekankan bukan pada bentuk atau strukturalnya, pada hal sastera lebih daripada itu.
Aspek struktural hanyalah peranti yang disesuaikan bagi membawa muatan persoalan dalam sesebuah karya. Jadi mengapa selama ini aspek struktural begitu ditekankan dalam peperiksaan?
Bagi keperluan industri kreatif, memang pada lapisan pertama para pelajar perlu memahami struktur puisi dan prosa. Tetapi selepas itu para pelajar mestilah diajak untuk memahami mengapa struktur sedemikian sesuai bagi membawa muatan persoalan karya. Kemudian memahami pula kekuatan seni dan pengalaman baru yang boleh dikutip daripada sesebuah karya, termasuk aspek ‘kebenaran’nya daripada pandangan agama, akhlak, dan moral.
Semua itu akan memberi suatu konsep ‘bentuk’ dan ‘isi sastera’ yang asas – yang berguna jika seseorang pelajar ingin jadi penulis. Akan tetapi pengetahuan tentang ‘isi’ dan ‘bentuk sastera’ itu juga amat berguna untuk diaplikasikan dalam industri kreatif. Sebagai contoh, dengan memahami bentuk dan isu puisi tradisional dan moden, pengetahuan tersebut boleh gunakan untuk mencipta puisi lirik yang boleh diangkat menjadi seni kata lagu dalam pelbagai genre. Ciptaan puisi lirik itu boleh dikomersialkan, dan penciptanya berhak mendapat honorarium atau royalti di bawah Akta Hak Cipta 1987. Tempoh hak karya dan royaltinya pula berpanjangan hinggalah 50 tahun selepas penciptanya meninggal dunia. Ini bermakna pencipta atau waris pencipta dijamin hak royaltinya di bawah perlindungan harta intelek.
Puisi lirik itu juga boleh dikembangkan kepada pelbagai bentuk terbitan yang boleh menjana pendapatan, umpamanya puisi bermontaj, klip video lagu, diterbitkan bagi acara-acara tertentu, dipersembahkan dalam konsert lagu puisi dan sebagainya lagi. Memahami puisi yang ringkas, padat dan berkesan juga boleh dimanfaatkan bagi penulisan copywriting yang berkesan bagi iklan. Pendek kata, puisi boleh dimanfaatkan dalam pelbagai produk industri kreatif, bukan hanya dipelajari strukturnya sahaja.
Begitu juga dengan memahami bentuk dan isi prosa. Pemahaman tersebut boleh dikembangkan untuk penciptaan karya-karya baru bagi industri kreatif, seperti drama radio, drama tv, skrip filem, skrip drama pentas, pelbagai bentuk penulisan prosa kreatif, cereka dalam penerbitan elektronik, dan sebagainya lagi. Semua produk ini bukan sahaja untuk pasaran tempatan, malah boleh dieksport ke negara-negara yang menggunakan bahasa Melayu, atau ke negara-negara lain melalui penterjemahan.
Pemahaman tentang ‘bentuk’ dan ‘isi sastera’, dalam konteks industri kreatif, boleh menyediakan keperluan yang asas, iaitu penulisan. Akan tetapi penulisan sahaja belum mencukupi bagi industri kreatif yang lebih mementingkan imejan dalam bentuk lakaran atau persembahan. Ini membuka pelbagai aktiviti hiliran bagi industri kreatif, yang wajar didedahkan kepada para pelajar sastera mulai peringkat sekolah menengah.
Sebagaimana yang telah dinyatakan, subjek sastera itu berespond kepada emosi, intelektual dan kreativiti. Ketiga-tiganya tidak boleh dilihat secara berasingan. Dalam konteks kreativiti, pendidikan sastera dalam kaitannya dengan industri kreatif, mesti turut dapat mengenalpasti kecenderungan kreativiti para pelajar. Kreaviti para pelajar mesti dipupuk dan dikembangkan, untuk berperanan sebagai aktiviti hiliran dalam industri kreatif. Sebagai contoh, terdapat pelajar yang cenderung kepada kreativiti penulisan, maka pupuklah minat serta kecenderungan mereka untuk menjadi penulis yang berjaya.
Akan tetapi pelajar-pelajar yang lain mungkin cenderung kepada seni lukis, lakonan, penataan seni, pengarahan, aspek audio dan video, dan sebagainya. Semua kecenderungan kreativiti itu mesti dipupuk dan diarahkan kepada keperluan-keperluan industri kreatif, berdasarkan bahan penulisan yang dihasilkan. Secara ringkas, pembelajaran sastera dibentuk semula untuk menjadi suatu pakej yang sesuai bagi industri kreatif.
Jika perubahan ini dapat dilakukan sejak peringkat sekolah menengah – melalui tahap, fasa, dan skala tertentu secara berperingkat-peringkat, subjek sastera akan menjadi lebih menarik, dan relevan dengan keperluan pasaran masa kini. Dalam jangka panjang, negara akan menghasilkan lulusan sastera yang bermutu sama ada sebagai penulis mahupun profesyen lain. Di samping itu IPT akan turut menerima mahasiswa sastera yang berkualiti.
Untuk mereformasikan pengajaran dan pembelajaran sastera bagi keperluan industri kreatif, pelbagai perubahan mesti dilakukan. Perubahan tersebut termasuklah penyusunan kurikulum baru, sukatan pelajaran yang lebih realistik dengan matlamat yang ingin dicapai (termasuk mengambil kira pandangan pemain industri kreatif), kaedah pengajaran dan pembelajaran yang lebih berkesan, mengembangkan bakat setiap pelajar sesuai dengan kecenderungan seni masing-masing, mengubah cara penilaian peperiksaan, memberi kredit kepada kreativiti pelajar, latihan-latihan hands-on kepada para pelajar ketika sesi persekolahan atau ketika cuti penggal, memberi ilmu asas tentang promosi dan pemasaran, dan sebagainya.
Jika langkah-langkah tersebut dilakukan, pendidikan sastera negara ini akan melahirkan lulusan sastera yang lebih holistik, lebih berdaya saing, dan lebih relevan dengan keperluan pasaran tenaga kerja. Secara ringkas, pelajar sastera akan mendapati bahawa mereka mempunyai masa depan yang cerah dalam industri kreatif yang turut menjanjikan ‘glamour’ serta kemasyhuran.
Perubahan yang drastik mesti dilakukan jika kita mahu melihat sastera dipelajari dan diajar dengan cara yang sepatutnya. Sastera bukanlah subjek yang ‘hina’, sebaliknya sesetengah daripada kita sendiri ‘menghina’ sastera melalui pemilihan teks yang kurang sesuai, pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang kurang berkesan, mencipta soalan-soalan peperiksaan yang tidak mencedikkan pelajar, serta tidak mengaitkan subjek ini dengan keperluan pasaran tenaga kerja. Hijab pihak pembuat keputusan tentang pelbagai aspek subjek ini tampaknya telah tertutup, ketika di negara luar lulusan sastera ditunggu oleh industri kreatif, dan saban tahun kemuncak dramatik pengumuman Hadiah Nobel adalah bagi bidang kesusasteraannya.


Martabat Bahasa Melayu di Negara Sendiri

Seperkara lagi yang amat penting kita teliti dan pantau, khususnya oleh penulis muda penyambung generasi, ialah status bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan Bahasa Kebangsaan di negara ini. Hal ini penting kerana bahasa amat erat kaitannya dengan sastera, dan jati diri bangsa.
Kita sedang menyaksikan akhbar-akhbar bukan berbahasa Melayu sedang mendominasi edaran harian. Kita sedang menyaksikan program-program bahasa Inggeris menjadi kuasa majoriti media elektronik. Kita sedang menyaksikan bahasa Melayu mula dipinggirkan sebagai bahasa ilmu tinggi. Suatu hari kelak (mungkin tempohnya sudah begitu hampir, berada di sudut blok kehidupan kita), mungkinkah sastera Melayu juga akan tergeser daripada pentas kehidupan yang utama – diganti oleh bangsa dan masyarakat kita dengan sastera bahasa lain?
Sehubungan itu, cabaran yang menanti di hadapan kita ialah untuk memulihkan status bahasa Melayu di negara sendiri, dan memperkasakannya dalam setiap ranah kehidupan. Mengapa isu kedudukan dan masa depan bahasa Melayu di negara sendiri terus dipersoalkan? Sejak kira-kira sedekad yang lalu, isu bahasa Melayu ini merupakan salah satu ujian besar bangsa Melayu sendiri. Segalanya bermula dan berpangkal pada ada atau tidaknya rasa bangga terhadap bahasa Melayu – terutamanya oleh pemimpin Melayu dan oleh orang Melayu sendiri.
Apabila disebut ‘pemimpin’, secara spontan kebanyakan kita akan mengindentifikasikannya dengan pemimpin politik, terutama elit pemerintah. Sungguhpun takrifannya tidak semestinya menjurus ke situ sahaja, tetapi begitulah persepsi masyarakat Malaysia. Sejak sekian lama politik dan orang politik mencitrakan diri sebagai panglima dan ‘juru selamat’ untuk apa-apa sahaja isu di bawah matahari Malaysia ini. Bukan tidak sering, pendapat pakar tentang sesuatu isu telah disisihkan oleh orang politik; dan mereka – secara demokratik atau pun sebaliknya – mengketengahkan beberapa idea sendiri yang mesti diterima dan dilaksanakan.
Dalam soal rasa bangga terhadap bahasa Melayu, orang Melayu terutamanya akan terlebih dahulu melihat sikap serta peranan pemimpin politik Melayu mereka. Masyarakat selalu bertanya, sejauh mana pemimpin politik Melayu yang berkuasa meneguhkan dan menterjemahkan rasa bangga bahasa Melayu dalam kapasiti mereka? Sejauh mana mereka memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan Bahasa Kebangsaan negara ini? Sejauh mana mereka memperteguhkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu moden? Sejauh mana mereka memanfaatkan bahasa Melayu yang sejak sekian lama menjadi lingua franca rantau ini untuk terus menjadi bahasa perpaduan di Semenanjung, Sabah dan Sarawak?
Sejak sedekad yang lalu, masyarakat Melayu pada umumnya meragui adanya rasa bangga bahasa Melayu di kalangan ahli politik Melayu yang berkuasa. Berucap dalam bahasa Inggeris dalam majlis rasmi atau majlis separa rasmi yang dihadiri oleh rakyat Malaysia, melonggarkan penggunaan Bahasa Kebangsaan ketika pihak swasta berurusan secara rasmi dengan kerajaan, menggunakan bahasa Inggeris dalam pengajaran sains dan matematik – yang akan merebak kepada ilmu-ilmu yang lain, menukar nama bahasa Melayu menjadi bahasa Malaysia, dan tiadanya usaha bersungguh-sungguh untuk membenihkan jati diri kolektif sejak di sekolah rendah bagi semua kaum melalui bahasa pengantar Melayu yang tunggal – sebagaimana Indonesia dan Thailand membangga-bahasakan bahasa rasmi mereka, adalah antara bukti bahawa pemimpin politik Melayu yang berkuasa kurang atau tidak memiliki sikap rasa bangga bahasa Melayu dalam diri mereka. Mereka mempunyai pertimbangan lain, termasuk politik, yang dilihat lebih besar dan wahid berbanding bahasa bangsanya.
Adalah suatu ironi dan tragedi apabila bangsa yang sedang berkuasa di sesebuah negara, tidak menggariskan wawasan yang besar dan realistik tentang masa depan bahasanya, sebaliknya meminggirkan bahasanya ke sudut pentas kehidupan utama bangsa dan negara.
Orang Melayu, termasuk pencinta dan pejuang bahasa Melayu tentu mengharapkan ahli politik Melayu yang sedang berkuasa berbuat sesuatu untuk memperkasakan bahasa Melayu dalam pelbagai lapangan kehidupan. Bahasa Melayu telah berakar, tumbuh dan berkembang di Alam Melayu selama ribuan tahun, menjadi bahasa pengucapan seni dan pemikiran tinggi termasuk dalam bidang agama, ilmu pengetahuan dan falsafah. Sehubungan itu bahasa Melayu wajar disemarakkan sebagai bahasa rasmi, bahasa ilmu moden (sebagaimana UKM telah membuktikannya pada dekad 1980-an dan awal 1990-an), serta bahasa komunikasi dan perpaduan rakyat negara ini.
Antagonis pemerkasaan bahasa Melayu yang kebanyakannya berselindung di balik nama samaran, khususunya yang melibatkan isu PPSMI, menggunakan alasan pentingnya bahasa Inggeris dalam kehidupan hari ini dan masa depan. Yang lebih ekstrim dan sinikal, menuduh pejuang bahasa Melayu sebagai anti-bahasa Inggeris dan tidak dapat melihat kepentingan bahasa Inggeris di dunia global hari ini.
Jawapan tegas daripada pejuang dan pencinta bahasa Melayu, yang sering didengar, dan tidak pernah mencairkan semangatnya serta terasa kebenarannya ialah, mereka tidak sekali-kali anti bahasa Inggeris. Hanya mereka mempersoalkan, mengapa dalam upaya mengukuhkan penguasaan bahasa Inggeris yang dijadikan mangsa serta korban ialah bahasa Melayu. Mereka berhujah lagi bahawa dengan meminggirkan bahasa Melayu dalam P&P sains dan matematik – yang akan merebak ke subjek-subjek sains yang lain – taraf bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu moden telah dinafikan oleh suatu dasar ciptaan ahli politik Melayu sendiri!
Pejuang dan pencinta bahasa Melayu meneruskan hujah yang selalu didengar, bahawa subjek sains dan matematik bukanlah wadah yang sesuai bagi P&P bahasa Inggeris. Mengapa tidak P&P subjek bahasa Inggeris itu sahaja yang dimantapkan, termasuk mewujudkan sesi-sesi yang sistematik bagi menguasai bahasa Inggeris sebagai bahasa komunikasi dan sebagainya.
Apabila bahasa Inggeris dijadikan dasar sebagai bahasa pengantar dalam subjek sains dan matematik di seluruh negara, maka dasar itu secara automatik melibatkan para pelajar di bandar, luar bandar, ceruk dan pedalaman. Bagi segelintir pelajar dan ibu bapa di kawasan bandar, mereka menyambut baik dasar ini kerana mereka dan anak mereka boleh menguasai bahasa Inggeris. Tetapi sesuatu dasar dicipta untuk semua, bukan untuk kepentingan serta faedah segelintir pelajar. Bagaimana dengan nasib pelajar-pelajar luar bandar, ceruk dan pedalaman – yang jumlahnya jauh lebih besar daripada jumlah segelintir pelajar bandar?
Jika sesuatu dasar, seperti dasar PPSMI ini hanya memberi faedah kepada segelintir pelajar, tetapi dalam masa yang sama mengecewakan begitu banyak pelajar luar bandar, ceruk dan pedalaman, maka dasar itu boleh dianggap gagal. Para pelajar di luar bandar, ceruk dan pedalaman bukan sahaja tidak dapat mempertingkatkan penguasaan bahasa Inggeris mereka melalui P&P sains dan matematik, malah lebih malang lagi tidak dapat menguasai ilmu sains dan matematik yang disampaikan bukan melalui bahasa ibunda mereka. Jika kegagalan itu berterusan, dan dianggap remeh pula oleh kementerian yang berkenaan, maka satu generasi pelajar luar bandar, ceruk dan pedalaman (kebanyakannya Melayu) menjadi mangsa kepada dasar yang tidak adil ini. Akibat kegagalan itu, mereka akan terlepas peluang pekerjaan yang lebih baik.
Terdengar cakap-cakap yang kurang menyenangkan bahawa kementerian yang berkenaan sedaya mungkin mempertahankan dasar tersebut, dengan memanipulasi keputusan peperiksaan. Khabarnya, tahap markah lulus telah direndahkan, supaya dapat menunjukkan bahawa PPSMI telah melihatkan hasil yang membanggakan, dan dengan itu wajar diteruskan. Jika cakap-cakap dan khabar ini benar, malang sekali generasi pelajar Malaysia, kerana statistik lulus peperiksaan tidak menceritakan situasi yang sebenar.
Pendidikan harus kembali kepada fitrah manusia dan bahasa ibundanya. Fitrah ini lebih bermakna kepada para pelajar sekolah rendah dan sekolah menengah. Dengan ayat yang lain, pelajar sekolah rendah (terutamanya) lebih mudah memahami dan menguasai sesuatu ilmu yang disampaikan melalui bahasa ibundanya. Sebagai ilustrasi, jika kita (baca : ibu bapa Melayu) mempunyai sepasang anak kembar berusia tujuh tahun, seorang belajar sains dan matematik dalam bahasa Melayu, dan seorang lagi belajar melalui bahasa asing, tentulah anak yang belajar melalui bahasa Melayu itu lebih mudah memahami dan menguasai kedua-dua subjek tersebut berbanding kembarnya yang seorang lagi.
Sebab itulah sekolah-sekolah jenis kebangsaan Cina berkeras mahu mengajar sains dan matematik dalam bahasa Mandarin. Bahasa Mandarin lebih merupakan ‘bahasa ibunda’ kepada para pelajar Cina. Memang terdapat juga pelajar Melayu dan India di sekolah Cina, tetapi mereka belajar bahasa Mandarin dalam kelas bahasa Mandarin, bukan belajar Mandarin melalui sains dan matematik.
Belajar menguasai ilmu dan belajar bahasa asing adalah dua isu yang berbeza. Segala ilmu pada hakikatnya lebih mudah dipelajari melalui bahasa ibunda. Akan tetapi dalam masa yang sama para pelajar kita wajar digalakkan mempelajari dan menguasai beberapa bahasa asing – melalui kelas-kelas bahasa, bukan melalui subjek lain.
Sehubungan itu memang wajarlah jika terdapat desakan rasional agar dasar PPSMI dimansuhkan, dan kedua-dua subjek tersebut kembali diajar dalam bahasa Melayu. Dalam masa yang sama, pelajar-pelajar mesti didedahkan kepada P&P bahasa-bahasa asing (Inggeris, Mandarin, Arab, Perancis, Itali, Sepanyol dll) , di dalam kelas-kelas bahasa yang sistematik, menarik dan berkesan.
Jika pelajar-pelajar kita mula menguasai bahasa asing seperti Inggeris, Mandarin, Arab dan sebagainya dengan baik, mereka bukan sahaja boleh berkomunikasi melalui bahasa ini, malah boleh melanjutkan pelajaran dalam apa jua bidang ilmu yang memerlukan penguasaan bahasa asing tersebut.
Dalam konteks Malaysia, penguasaan bahasa asing (bagi pelajar Melayu khususnya) terutamanya penguasaan bahasa Inggeris dan Mandarin, memanglah penting. Oleh kerana kepentingan itu, subjek dua bahasa ini wajar diajar secara sistematik, menarik dan berkesan dalam kelas-kelas bahasa, bukan memparasit subjek sains dan matematik. Jangan sampai ‘yang dikendong berciciran, yang dikejar tiada dapat’, atau seperti ungkapan pilu yang diubah suai ‘Balik Pulau Bayan Lepas, ilmu terpelau bahasa terlepas.’
Berbeza daripada dekad 1950-an hingga 1980-an yang menyaksikan ‘kerajaan’ merupakan majikan terbesar bagi orang Melayu berkelulusan, kini pihak ‘swasta’lah yang merupakan majikan terbesar. Senario ini menuntut orang Melayu berkelulusan untuk menguasai bahasa lingkaran bisnes tersebut – Inggeris, Mandarin dan sebagainya.
Dengan ilmu yang dikuasai melalui bahasa ibunda (bahasa Melayu umpamanya), dan bahasa asing yang dipelajari secara sistematik di dalam kelas bahasa, gabungan ilmu dan bahasa ini boleh menjadi modal insan yang mengketegahkan ‘towering personality’. Kembalikan ilmu ke lidah bahasa ibunda generasi muda kita. Kembalikan P&P bahasa asing ke dalam kelas-kelas bahasa yang sistematik, menarik dan berkesan, bukan membiarkannya memparasit subjek-subjek yang lain.

Endah Akan Harta Intelekual Anda dan Shara’

Berbanding karyawan seni yang lain seperti penyanyi, penulis lirik, penggubah lagu, penulis skrip dan sebagainya, para penulis agak malang apabila dikaitkan dengan bayaran honorarium atau royalti – yang ada hubungannya dengan harta intelekual dan hak cipta. Penerbit-penerbit besar yang established biasanya mematuhi Akta Hak Cipta 1987, termasuk membayar royalti kepadapa para penulis. Akan tetapi penerbit-penerbit baru, dan yang belum bertapak kukuh, ada yang memanipulasi penulis atau memangsakan penulis, terutamanya penulis muda.
Jumlah media penampungan karya sastera (seperti akhbar dan majalah) dewasa ini amatlah banyak, berbanding beberapa dekad sebelumnya. Jumlah penulis juga semakin banyak. Satu pihak memerlukan pihak yang lain. Tetapi pihak medialah yang lebih memerlukan penulis. Dalam situasi penawaran – permintaan seperti ini, sepatutnya penulis menerima haknya dalam bentuk royalti atau pun honorarium. Namun realitinya, banyak cerpen, drama pendek, dan puisi yang disiarkan begitu sahaja, dan penulis tidak mendapat apa-apa bayaran atas bakat, masa serta modal yang telah dikeluarkannya.
Undang-undang berhubung hak cipta di Malaysia ialah Akta Hak Cipta 1987 (digazetkan pada 21 Mei 1987) yang memansuhkan dan menggantikan Akta Hak Cipta 1969. Hak cipta didefinisikan sebagai “hak penguasaan yang dilindungi undang-undang atas seluruh atau sebahagian daripada hasil ciptaan seseorang pengarang yakni pencipta, penggubah dan lain-lain (Kamus Dewan, 1998 :428-429). Definisi lain juga telah diberikan, iaitu “hak eksklusif yang diberikan oleh undang-undang kepada pencipta atau penerima haknya untuk mengawal pengeluaran semula atau berbagai-bagai bentuk penggunaan karya berkenaan bagi sesuatu tempoh (Panduan Hak Cipta, Kementerian Perdagangan dan Perindustrian) (Arieff Salleh Rosman,2002 :21).
Tulisan ini memberikan penekanan serta kesedaran akan pentingnya harta intelektual. Akan tetapi dalam masa yang sama penulis ingin menyentuh kesedaran akan harta intelektual ini menurut fiqh Islam, seperti yang dinyatakan oleh Arieff Salleh (2002 : 8):
Definisi harta intelektual menurut fiqh Islam ialah : Sekumpulan hak yang disabitkan oleh shara’ untuk individu dalam bidang kuasa yang mengawal gambaran idea dan dipastikan memenuhi kepentingan padanya dengan mengguna dan mentadbir dalam ruang lingkup ketentuan-ketentuan shara’ yang telah ditetapkan.

Jelas melalui definisi di atas bahawa kita berhak menuntut dan memperoleh hasil daripada harta intelektual kita, tetapi segala-galanya mesti diawali dengan penciptaan karya yang memenuhi hukum shara’.

Pembawa Pembaharuan Idea dan Teknik

Penulis-penulis yang kini sudah established atau mapan, dahulunya adalah penulis-penulis muda. Mereka telah mencipta karya dengan idea dan teknik yang terbaik pada dekadnya. Sebagai penulis yang kreatif, mereka berusaha melakukan inovasi dan eksperimental yang berterusan. Usaha mereka bukan sahaja merupakan suatu proses ‘peremajaan’ kreativiti untuk diri sendiri, tetapi dalam masa yang sama merupakan suatu proses yang bersemuka dengan keupayaan serta kemahiran seni angkatan muda zamannya.
Proses pembaharuan dalam pelbagai aspek kehidupan berlaku setiap beberapa dekad. Termasuk dalam tamadun Islam. Ketika hukum-hakam kekal tidak berubah, pembaharu mencari dan menemukan jalan untuk terus memperkasa ilmu dan budaya sebagai teras-teras penting kepada peradaban. Demikianlah sejarah pemikiran Islam menemukan tokoh-tokoh pembaharuan seperti Muhammad Ibn Taymiyyah (abad ketujuh Hijrah), Ibn Qayyim al-Jawziyyah, Muhammad ibn “Abd al-Wahhab, Muhammad Abduh dan sebagainya.
Ciri yang sama, walaupun bukan dalam konteks keagamaan, turut terlihat dalam sejarah perkembangan kesusasteraan Melayu moden. “Kemunculan Noordin Hassan dalam bidang drama pada tahun 1970-an, terutama dengan dramanya “Bukan Lalang Ditiup Angin” telah menggegarkan dunia drama tanah air. Pemberontakan dan perlanggarannya terhadap aliran realism hasil tatapan Kala Dewata dengan “Atap Genting Atap Rumbia” yang telah menjadi larian yang dominan dan cukup besar pengaruhnya pada waktu itu sangat bermakna. Berbeza dengan kelahiran Kala Dewata pada tahun 1960-an, yang melanggar tradisi sandiwara dan merempuh drama sejarah beraliran romantisme yang dipelopori oleh Shahrom Husain itu.” (Mana Sikana, 2006:20). Dalam konteks ini, drama Melayu telah dibaharukan oleh penulis muda dalam tempoh masa kira-kira setiap 10 tahun sahaja.
Puisi Melayu moden warisan ASAS 50, juga sajak-sajak ciptaan para penyair 1960-an, telah dibaharukan oleh Muhammad Haji Salleh dengan puisi-puisi intelektualnya; serta puisi-puisi yang lebih sarat idea Baha Zain, dan yang kaya dengan imejan serta puitis seperti ciptaan A.Latif Mohidin. Sehingga dapatlah dikatakan bahawa puisi Melayu juga diperbaharui dalam tempoh setiap kira-kira 10 tahun juga.
Perkembangan yang lebih kurang sama terlihat juga di dalam genre cereka seperti cerpen dan novel. Sekadar mengambil dua tiga contoh, terlihat bagaimana konsep novel Ishak Haji Muhammad Putera Gunung Tahan (1938) diperbaharui oleh Keris Mas melalui Anak Titiwangsa (1967), yang kemudian diperbaharui pula oleh Shahnon Ahmad dalam tempoh yang lebih pantas, dengan novel yang masuk ke dunia id, superego, dan teknik aliran bawah sedar, melalui karya-karyanya seperti Ranjau Sepanjang Jalan (1966), Menteri (1967), Protes (1967), Perdana (1969), Srengenge (1973) dan sebagainya.
Proses pembaharuan dan ‘peremajaan’ dalam aspek teknik serta idea karya sastera adalah suatu siklus yang terus berputar. Tiada sesiapa dapat menahannya daripada berhenti, walaupun usaha itu pernah dibuat umpamanya oleh rejim komunis dan sosialis yang mensyaratkan karya para seniman mesti melanggan ideologi sosialisme serta humanisme universal.
Tulisan ini tidak mungkin menyenarai-panjangkan penulis-penulis muda Malaysia (sebahagiannya mulai tidak muda lagi) yang dilihat telah memainkan peranan membawa pembaharuan idea dan teknik dalam karya masing-masing. Akan tetapi Zaen Kasturi, Rahimidin Zahari, SM Zakir, Faisal Tehrani, Mawar Shafie, Nisah Harun, Namron adalah antara yang tergolong di dalam kelompok ini.
Pembaharuan menjadi suatu proses yang alamiah, kerana teks-teks sastera sendiri kerap menampilkan watak-watak protagonis yang mencintai pembaharuan sikap, pandangan hidup, serta berani menghadapi cabaran. Sekadar beberapa contoh, sikap sedemikian tergambar pada watak Hanim (Adibah Amin, 1983. Tempat Jatuh Lagi Dikenang), Anna (Adibah Amin, 1968. Seroja Masih Di Kolam), Sheirin (Zaharah Nawawi, 1972. Sebelum Berhujungnya Musim Bunga), Hisyam, Rahmat dan Munirah (Abdul Talib Mohd. Hassan, 1976. Saga), Pak Senik (Shahnon Ahmad, 1965. Rentong), Hassan (Abdullah Hussain, 1966. Rantau Selamat), Hashim (A.Samad Ismail, 1966. Patah Sayap Terbang Jua), Panglima Awang (Harun Aminurrashid, 1958. Panglima Awang), Mastura (Khadijah Hashim, 1981. Bila dan di Mana), Salmah (Ahmad Rashid Talu, 1929. Iakah Salmah?) dan sebagainya lagi.

Mencipta Karya Untuk Malaysia dan Dunia

Peranan seorang penulis, termasuk penulis muda, ialah untuk terus menulis. Akan tetapi sumbangan seorang penulis muda bukan sahaja dinilai daripada kuantiti karyanya, termasuk jika ia seorang penulis prolifik, tetapi yang lebih penting ialah kualiti karyanya.
Antara kesedaran yang harus ada di kalangan penulis muda ialah untuk mencipta karya-karya bermutu. Bermutu bukan sahaja menurut puitika sastera Melayu, malah piawaian antarabangsa juga, yang seharusnya bebas daripada kontoversi serta sensasi murahan. Memang terdapat beberapa kelompok antarabangsa yang mencari desperado sastera, yang menobatkan karya-karya kontoversial (terutamanya yang menghina Allah, ayat-Nya, serta Rasul-Nya). Ini bukanlah jalan pintas yang mulia untuk menuju pentas sastera antarabangsa. Kita masih boleh mengikuti dan menikmati karya-karya besar dunia yang sesungguhnya bebas daripada kontroversial dan sensasi murahan. Sesungguhnya masih banyak persoalan yang wajar kita ungkapkan dalam karya sastera, seperti saranan Muhammad Haji Salleh (1999:607):
Masih banyak daerah yang harus kita masuki – keadilan, ideologi, keantarabangsaan, masa depan manusia dan teknologi, ilmu tradisional dan sampah sarap informasi multimedia dan sebagainya. Senario dan budaya terakhir ini cepat menular ke dalam kehidupan harian serta jiwa anak-anak kita. Oleh itu kita juga harus menulis tentang dilemma mereka seperti kita harus menulis tentang mereka yang melarat kemiskinannya, atau malah melarat kerana kekayaannya.


Cabaran nyata dan terdekat yang dihadapi oleh penulis muda ialah untuk karya mereka sama ada menjadi bermutu atau sebaliknya – melalui peranan editor; dan sama ada karya mereka dinilai bermutu atau sebaliknya – melalui peranan kritikawan. Ini tugas orang lain, yang dipanggil editor dan kritikawan sastera. Akan tetapi kedua-dua profesion ini kurang menonjolkan jumlah yang membanggakan, serta wibawa yang sepatutnya. Mujurlah, melalui penilaian kritikawan sastera yang langka itu, kita dapat mengenalpasti karya-karya mutakhir yang bermutu.
Institut Terjemahan Negara Malaysia Berhad (ITNMB) mutakhir ini memperlihatkan kesungguhan menterjemah, menerbit dan memasarkan karya-karya sastera Melayu ke persada antarabangsa. Usaha ITNMB itu sewajarnya disambut oleh pihak-pihak lain yang dipertanggungjawabkan, untuk bergerak seiring dalam usaha kritikan karya, serta promosi pengarang dan karya-karya sastera Malaysia.

C. AKHIRULKALAM

Seperti yang telah dinyatakan di atas, kertas ini hanya membicarakan sebahagian daripada arah dan cabaran yang ditempuh sebagai proses cabaran kepada penulis-penulis muda hari ini. Sebahagian besar cabaran mungkin telah dibicarakan di sini, tetapi pastilah ada cabaran-cabaran lain yang boleh dilihat daripada perspektif pengkaryaan, penerbitan, khalayak dan sebagainya secara lebih mendalam (yang kertas ini hanya menyentuh serba sedikit).
Kertas ini menekankan aspek pengenerasian dalam konteks bahawa sesuatu yang mapan harus diperbaharui atau ‘diremajakan’ agar tidak berlaku dekadensi seni, kebudayaan, dan ketamadunan Melayu pada umumnya. Lebih-lebih lagi ketamadunan Melayu seperti yang digariskan oleh Wan Mohd. Nor (2004:2):

Tamadun Melayu bermakna hasil pencapaian manusia Melayu dalam pelbagai bidang utama kehidupan kemanusiaan dan kebendaan selama beberapa generasi dan melalui beberapa sistem pemerintahan. Keseluruhan hasil pencapaian ini haruslah mencerminkan tata nilai utama orang Melayu … Tamadun Melayu adalah sebahagian daripada tamadun induk yang lebih besar, yakni tamadun Islam, sebuah tamadun yang berpaksikan ajaran Islam dan dipimpin oleh umat Islam tetapi sifatnya yang inklusif , menayangkan juga sumbangan bermakna agama-agama dan peranan masyarakat bukan Islam.

Kini peranan besar tersebut turut berada di gelanggang para penulis muda. Sumbangan para penulis muda bukan sahaja mencorakkan rupa dan jiwa sastera masa depan, mengelakkan budaya dekaden, malah yang lebih penting memperkasakan tamadun Melayu-Islam.

Wallahualam.

Petaling Jaya,
3 Mei 2009.
NOTA HUJUNGAN
i Istilah ini antara lain diperkenalkan oleh Sidik Fadzil. Lihat Sidik Fadzil 2002. “Peranan Islam dalam Pembinaan Bahasa dan Pencerdasan Bangsa : Rujukan Kepada Pengalaman Dunia Melayu” dlm. Syed Muhammad Dawilah al-Edrus (ed.)2002. Pemikiran Melayu Tentang Alam dan Hakikat Diri. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.i
ii Tentang alam Islam melalui sudut pandangan nazari, zahiri dan sebagainya, boleh diikuti di dalam tulisan Syed Muhammad Naquib al-Attas 2003. “Tinjauan Ringkas Peri Ilmu dan Pandangan Alam” dlm. Isu dan Proses Pembukaan Minda Umat Melayu Islam. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

RUJUKAN

A. Hasjmy,1977. Sumbangan Kesusasteraan Aceh dalam Pembinaan Kesusasteraan Indonesia. Jakarta : Penerbit Bulan Bintang.
Arieff Salleh Rosman,2002. Harta Intelektual Menurut Fiqh Islam : Pendekatan Perbandingan dengan Undang-undang Malaysia. Skudai : Penerbit Universiti Teknologi Malaysia.
Hadijah Rahmat,1998. Sastera & Manusia Melayu Baru : Kumpulan Esei & Wawancara. Singapura : Persatuan Wartawan Melayu Singapura.
Hamzah Hamdani,2003. Kesusasteraan Islam : Konsep, Prinsip dan Pengembangannya. Kuching : Badan Keluarga Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak.
Hassan Ahmad,2008. “Penerbitan Buku : Tuntutan Intelektual atau tarikan Komersial?”, kertas kerja siri Wacana Intelektual, Dewan Bahasa dan Pustaka, (17 November 2008).
Mahmood Zuhdi Hj. Abd. Majid, 2003. “Sekularisme dan Islamisme : Kemunduran dan Kemajuan Umat” dlm. Panel Penulis,2003. Isu dan Proses Pembukaan Minda Umat Melayu Islam. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
Mana Sikana,2006. “Dramatis Pascamoden” dlm Noordin Hassan (2006). Teater Fitrah dan Esei Pilihan. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
Muhammad Haji Salleh,1999. Menyeberang Sempadan : Kumpulan Esei Pilihan. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
Panel Penulis, 2003. Isu dan Proses Pembukaan Minda Umat Melayu Islam. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
Sidek Fadzil, 2003. “Minda Muslim : Ketegaran dan Keluwesannya” dlm. Panel Penulis,2003. Isu dan Proses Pembukaan Minda Umat Melayu Islam. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
Syed Muhammad Dawilah al-Edrus (peny),2002. Pemikiran Melayu Tentang Alam dan Hakikat Diri. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
Syed Othman Alhabshi, 2003. “Masyarakat Ilmu, Ekonomi Ilmu dan Masyarakat Islam” dlm. Panel Penulis, 2003. Isu dan Proses Pembukaan Minda Umat Melayu Islam. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
Wan Mohd. Nor Wan Daud, 2004. Kerangka Keilmuan Tamadun Melayu. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
Yaacob Harun(ed),2001. Kosmologi Melayu. Kuala Lumpur : Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya.