Monday, April 27, 2009

Anwar Ridhwan : Epitaf Arena Wati

WARNA SUKMA ELANG MAKASSAR

Pada 30 Julai 1925 putera elang ini dilahirkan
Di tanah antara Borneo dan Maluku yang memisahkan
Di ‘Celebes’ demikian Portugis menamakan
‘Sula’ itu ertinya pulau, ditambah ‘besi’ diperdagangkan
Jadi ‘Sulawesi’, nama yang dikekalkan.

Ketika anak elang ini berlatih mengepak di atas sarangnya
Ia tahu dulu besi amat banyak di Tasik Matano dan sekitarnya
Di Maros, dulu 32,000 tahun sudah ada penghuninya
Sulawesi yang dulu jadi jambatan darat ke benua di selatannya.

Anak elang itu membesar oleh sejarah amarah
Pedagang barat pencari emas datang menjarah
Belanda memerangi Gowa basahi tanah dengan darah
Speelman memaksa Sultan Hasanuddin menyerah.

Sedari muda putera elang ini kental jiwa
Marah akan Captain ‘Turk’ Westerling pembawa petaka
4,000 anak watan Sulawesi hilang nyawa
Menjarah harta, menegak kuasa dengan senjata.

Tinggi puncak Rantemario, tinggi lagi azamnya
Kerana anak elang ini tahu akan kekuatan bangsanya
Sulalat al-Salatin di Gowa naskhah tuanya
Punya aksara sendiri bagi masyarakatnya.

I La Galigo turut merupakan suatu kelebihan
Puisi epik yang bercambah tumbuh di tanah kelahiran
Iliad dan Odyssey pun kalah oleh ukuran
Kurniaan bakat yang datang daripada Tuhan.

Semakin dewasa, anak elang semakin pasti
Bangsanya punya falsafah dan kekuatan diri
Bukan sekadar Arung Palakka di Bone bernegeri
Tetapi juga anak-anak Bugis ke Semenanjung membuka negeri.

Ketika elang remaja itu diterbangkan ke barat laut
Ke Semenanjung dengan isteri tercinta mengikut
Semangat kental Melayu-Islamnya tetap berpaut
Melayu itu berakal dan ‘tuan’, bukannya pengecut.


Sangkaan awal, samudera itulah dunianya
Rupa-rupanya bertukar kertas serta tinta
Begitu prolifik sejak di Singapura
Tapi terpinggir oleh ASAS 50 dan anggotanya.

Bacalah cerpen, novel serta drama
Betapa ia mahu Melayu baru menjelma
Tahu akar dan berkembang minda
Menguasai daratan dan samudera.

Ia pembaca yang tekun dan luas
Pelbagai subjek didalami tanpa puas
Tingkah orang asing dilihat dengan was-was
Karyanya tersirat kebijakan bersulam kias.

Latar Jepun di timur menjadi medan
Barat dan Amerika tidak ketinggalan
Selalu dimunculkan protagonis Melayu handalan
Yang bersiaga menghadapi cabaran.

Terpancar visi besar dalam karyanya
Melayu perkasa menguasai negerinya
Juga pelbagai cabang kehidupannya
Kerana sesuai dengan ajaran agamanya.

Menekuni karyanya seperti meredah taman ilmu
Keajaibannya mencipta dan berfikir tanpa jemu
Di dalam teksnya estetika dan ilmu bertemu
Idea yang matang sering bertamu.

‘Elang menyongsong angin’ itulah peribahasa
Watak gagah berani dalam jiwa perkasa
Bukan sekadar tentang sastera dan bahasa
Tapi menobatkan maruah sebuah bangsa.


-Anwar Ridhwan