Monday, April 27, 2009

Anwar Ridhwan : Mariam dari Plentong (Puisi)

Dini pagi melukiskan rona gelapnya
kerana matahari masih menyimpan
semua rona lain dan kehangatan
dalam kotak sinarnya

Perkebunan
sebuah rumah tua
tangga kayu usang
sebuah tempayan di tepi tangga
sebilah pisau karat di rasuk
semuanya sketsa kelam
gigil dingin-pagi dalam diam

Kecuali warna api pelita merah-kekuningan
yang bergerak dari sudut rumah ke perkebunan
membawa tubuh Mariam

Mariam muda jelita kadang hanyut dalam khayalan
tamsil pelipur lara hidup dukanya
getah dari batang yang menjelmakan nasi dan tamban
getah dari suami yang melahirkan zuriatnya
susu putih yang mula membesarkan putera puterinya

Bukan jelutung bukan rambung di Plentong
kebiasaan pagi membancuh cuka kehidupan
demi sekeping getah asap atau sekerap

Letusan biji getah, siang hari itu, menimpa bumbung rumahnya
Mariam terkejut kerana bunyinya aneh sekali
meletup, bertalu-talu dari Timur Laut
matahari seolah-olah hanya mengeluarkan warna merah
daripada semua warna dalam kotak sinarnya.
Sang suami tergesa-gesa pergi,
katanya, ‘Menyahut panggilan pertiwi’.


Perkebunan getah tetap berdiri
tetapi landskap lain mula menumbuhkan
ubi kayu, pisang, keledek
penanamnya mengairi sambil berdoa:
‘Mohon berbuah lebat, cepat pula boleh dituai’.
Dan Mariam tetap berdiri
menunggu kepulangan sang suami.

Mariam belajar menunggu
kepulangan yang dijanjikan,
seperti kelasi yang ditinggalkan di pulau terpencil
menanti janji juragan untuk kembali mengambilnya

Mariam mula melihat
hijau meninggalkan segala daunan
biru meninggalkan langit
merah kecoklatan meninggalkan tanah
merah meninggalkan matahari
pancawarna meninggalkan pelangi.
Di kanvas berputar kehidupan hitam-putihnya
yang bergerak lesu pada latar kelabu
pada alam membisu

Tiba-tiba ada lelaki asing melihatnya di perkebunan
tertawan oleh kejelitaannya
Mariam kebingungan : Inikah jelmaan suaminya,
atau juragan yang datang untuk mengambilnya
dari pulau kehidupan yang sunyi dan terpencil?
Dan alam tiba-tiba seperti
mengembalikan semua warna pada layar kehidupannya.

Dititipkan putera puterinya
kepada ayah tua
sebelum Mariam belayar ke utara.
Titipan singkat dan sementara
hanya untuk memperoleh restu
ibu ayah bakal suami baharu.

Tetapi Mariam dan lelaki itu
tak tahu pasti apa yang menunggu
di sebalik gunung tinggi Halla di Pulau Cheju



Ingatan pada tanah asalnya
darah dagingnya
kental dan cair
cair dan kental
sepanjang Mariam menghirup udara baru.
Panas bulan Julai
atau bulan-bulan bersalju
yang dihangatkan dengan kimchi
dan impian untuk kembali

Baru Mariam fahami
Gawat tanah ini mewarnai kisah cintanya
Kisah cintanya diwarnai gawat tanah ini
musuh dari Utara
Choson-minjujuui-inmin-konghwaguk yang menakutkan
raksasa yang mengerling dari puncak Paektu.

Perang Korea yang membunuh lebih sejuta orang awam
berjuta-juta lagi kehilangan tempat tinggal
lebih setengah juta tentera hilang, maut atau cedera.

Dan Mariam muda comel di tengah segala
ketika MacArthur mendarat di Inchion
terketar-ketar di lantai ondol rumahnya
berdoa dalam bahasa baru kerana mula kehilangan bahasanya
belajar malakar han’gul dan menuturkannya
di bawah langit yin-yang, iklim empat musim
Matahari, Bulan, Bumi dan Syurga.

Skrip cintanya yang berubah-ubah seperti musim
juragan derita jiwa yang disulap melalui tegukan soju keras
ch’ongju atau makkolli daripada beras.

Dia tanpa nama, tanpa bahasa, tanpa arah, tanpa identiti,
berhati walang
di bumi dan laut yang menghalang jalan pulang.


Lebih enam dasawarsa sudah
dalam lingkaran pasrah dan harap
harap dan pasrah dalam lingkaran
memikul hari tua dengan nama dan bahasa baru.
Berjalan di hujung lorong hayatnya
yang dipanjangkan oleh harapan
Namun ada yang lebih lama
tetapi sering dilihatnya saban tahun
tatkala membuka jendela
memandang kebun sayur yang menghijau
sambil meneguk secangkir teh
langit biru awal musim rontok melukiskan
sekawanan burung penghijrah terbang ke selatan.

Ya, selatan, gumam Mariam dalam bahasa barunya
seperti tanah Taehan-min’guk ini ketika monsoon tenggara
yang membawa hujan, hangat dan lembab
lembab, hangat dan hujan selatan, seperti di Plentong.

Plentong yang mengukirnya menjadi dara dan isteri
malam-malam perkahwinan
anak-anak yang dilahirkan
perkebunan getah
‘getah meleleh ke pangkal, daun melayang jauh’
sesuatu yang ingin dipeluk tetapi nun di horison
jauh sekali, dan lama, kemudian mengabur dalam ingatan
perang dan cinta

Namun ada yang lebih lama
tetapi sering dilihatnya saban tahun
sekawanan burung penghijrah
setiap awal musim rontok berlangit biru
seperti juragan cinta yang setia
hinggap di halaman rumahnya
menjemputnya pergi terbang bersama
ke selatan.
Ke selatan
ke Plentong.

Meninggalkan lingkaran pelangi selepas hujan sirna
dan alam menerima semua warnanya semula

di atas sayap burung
dia ingat namanya dulu, Mariam.



Petaling Jaya,
16 September 2007.