Anwar Ridhwan(2001) Naratif Ogonshoto. Kuala Lumpur : Matahari; cetakan kedua(2006) Petaling Jaya : Arsalia.
Petikan kulit belakang novel (cetakan pertama,2001):
Mohd. Yusof Hasan : "Naratif Ogonshoto mengandungi sepuluh buah cerpen terbaru Anwar Ridhwan. Sebuah daripadanya "Hering", telah dimuatkan dalam Dewan Sastera (Ogos 2000). Cerpen ini ('Hering') sangat menarik kerana memperlihatkan banyak persoalan tentang politik, tentang kuasa, tentang kasih sayang, tentang taat setia dll melalui perlambangan. Anwar Ridhwan masih hebat dengan tema yang unik, plot yang penuh teknik dan bahasa yang baik dan menawan" (Dewan Sastera, September 2000).
Mawar Shafie : "Membaca cerpen terbaru Anwar Ridhwan ini ('Hering') persis mengembalikan Anwar Ridhwan yang lalu. Beberapa dejavu dan beberapa yang baru/semasa berdasarkan pengalaman mutakhir. Pengarang ... mengadun watak yang pelbagai perasaan tidak terduga dan mencabar tafsiran makna, serta tidak menawarkan pemikiran yang mudah-mudah" (Dewan Sastera, Disember 2000).
Petikan kulit belakang novel (cetakan kedua,2006):
Mohamad Saleeh Rahamad : "Naratif Ogonshoto muncul sebagai sebuah teks sastera rakyat moden yang dapat berdiri sendiri sebagai teks pascamoden multiwacana - pascakolonial, tekstualisme baru, dan realisme magis ... Kedudukannya dapat dibariskan dalam jejeran sastera antarabangsa".
Kamaruddin M. Said : "Naratif Ogonshoto ialah sebuah teks sastera Melayu yang luar biasa."
Awang Azman Awang Pawi : "Selain berunsur metafizik yang merupakan sistem teks yang berlapis-lapis untuk memahami kandungan karya dan diegesis teks, novel Naratif Ogonshoto saya anggap sebagai pewacana ilmu politik hegemoni ... Peranan Anwar bukan lagi sebagai tukang cerita konvensional, sebaliknya berfungsi sebagai pewacana."
Goh Teck : "Anwar Ridhwan dan Gao Xingjian (pemenang Hadiah Nobel, 2000) mempunyai persamaan wawasan ... dengan kayra yang lebih nyata dan lebih menyedarkan."