Friday, November 30, 2012


 
“Pasaran penerbitan dalam bahasa Melayu juga sepatutnya melihat kemampuan bahasa ini pada peringkat supra nasional. Semua penerbitan dalam bahasa Melayu (termasuk dari Indonesia terutamanya), seharusnya dapat diterima tanpa apa-apa hambatan linguistik. Begitu juga dengan penerbitan buku-buku Melayu untuk pasaran Indonesia. Kita harus belajar daripada bahasa dunia yang besar, di mana bahasa itu bebas menyeberang batas geo-politik, dan dapat diterima serta difahami oleh khalayak yang mempunyai kepelbagaian budaya serta kepercayaan.”
JIKA KERAJAAN tidak mengubah pendirian yang diumumkan oleh YAB Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran kira-kira setahun lebih  yang lalu untuk mengembalikan pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Melayu, maka tahun 2012 bolehlah dianggap sebagai ambang peluang kedua untuk bahasa Melayu kembali menjadi bahasa ilmu. Sebaliknya, jika kerajaan meneruskan dasar PPSMI dalam bahasa Inggeris, maka masa depan bahasa Melayu semakin malap.      
       Kemajuan dan perkembangan bahasa Melayu di Malaysia akan banyak bergantung pada dasar pembinaan dan pengembangan bahasa ini, di samping polisi serta persepsi kerajaan terhadap bahasa ini yang sepatutnya  diangkat menjadi bahasa rasmi, bahasa komunikasi,  bahasa kebangsaan dan bahasa ilmu pengetahuan. Tidak kurang penting ialah penerimaan orang Melayu sendiri terhadap bahasanya, di samping penerimaan kaum-kaum lain terhadap bahasa kebangsaan ini. Usaha mengembangkan bahasa Melayu juga berkait rapat dengan upaya memperkasakan tamadun Melayu. Kita tidak mungkin memperkasakan tamadun Melayu dengan meminjam bahasa orang lain.
       Alam Melayu di tanah lamanya sebelum kedatangan Islam turut mensisakan tinggalan sejarah berupa pelbagai jenis tulisan dan candi. Akan tetapi sejak disinari cahaya tauhid, umat Melayu-Islam memilih tulisan jawi – daripada tulisan Arab yang ditambah beberapa huruf bagi menyesuaikannya dengan lidah serta bunyi Melayu. Melalui aksara ini pujangga dan ulama Melayu silam menghasilkan karya-karya besar termasuk karya-karya sufisme dan kesusasteraan.
       Gelombang pertama kemunculan dan perkembangan bahasa Melayu bermula sejak orang Melayu menghuni gua purba, pesisir dan pulau; daripada masyarakat agrarian sepenuhnya, hinggalah kepada sebahagian masyarakat modennya yang mula menghuni kota. Gelombang pertama ini menyaksikan bahasa Melayu yang dituturkan dan didengar telah berhasil membentuknya sebagai sebuah bahasa yang dinamik. Telah tercipta karya kesusasteraan yang menjadi genius bangsa berupa pantun, peribahasa serta hikayat-hikayat yang agung seperti Hikayat Hang Tuah dan Sulalat al-Salatin. Kepustakaan Melayu terus diisi dengan buku-buku pelbagai bidang.
       Penubuhan UKM dapat dianggap sebagai puncak perkembangan bahasa Melayu. Melalui pendidikan dalam bahasa Melayu, di institusi tersebut latihan ilmiah, tesis, wacana, kuliah dan penerbitan pelbagai bidang dan subbidang dalam bahasa Melayu telah dihasilkan; disamping menghasilkan lulusan pelbagai fakulti. Sepatutnya puncak gelombang itu dipertahankan dan dilonjakkan lagi, kerana ternyata bahasa Melayu mampu mengungkapkan ilmu pengetahuan moden yang tinggi dan rumit.
       Bagaimanapun benteng penyekat gelombang itu dibina dan disiapkan dengan begitu cepat oleh seorang pemimpin negara yang menghadapi kerancuan fikiran  tentang kedaulatan serta potensi bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Benteng itu dibina sekitar tahun 2003 melalui dasar PPSMI.  Jika dasar PPSMI diteruskan, bahasa Melayu perlahan-lahan akan terhakis sebagai bahasa ilmu, bukan sahaja ilmu sains dan teknologi, malah ilmu-ilmu yang sedikit banyak memerlukan disiplin atau pengkaedahan sains dan matematik di dalamnya.
       Keberanian Menteri Pelajaran sekarang untuk memansuhkan PPSMI mulai 2012 bolehlah dianggap sebagai memberikan ‘peluang kedua’ kepada bahasa Melayu untuk membentuk gelombang baru dan seterusnya. Akan tetapi bahasa Melayu terus menghadapi cabaran hebat. Jika salah strategi bahasa Melayu tidak akan kekal sebagai bahasa utama di Malaysia, sebaliknya hanya akan menjadi bahasa kedua. Apakah perkara-perkara yang harus dimantapkan untuk memperkasakan bahasa Melayu agar kekal sebagai bahasa pertama?
       Pertuturan dan pendengaran adalah  saling berhubungan. Mungkin dianggap remeh. Akan tetapi pertuturan yang gramatis, lengkap, dan berkesan akan memberi citra baik terhadap sesuatu bahasa. Begitu juga sebaliknya. Jika bahasa Melayu dituturkan secara buruk (umpamanya tidak gramatis, pemilihan diksi yang salah, bercampur baur dengan bahasa lain – atau disebut ‘bahasa rojak’, dan seumpamanya) sama ada oleh menteri, pegawai kerajaan, dalam situasi rasmi atau tidak rasmi, dalam media elektronik, dan malah oleh pelajar – maka mereka memberi isyarat yang bahaya dan salah terhadap kemampuan bahasa Melayu. Yang tidak mampu (berbahasa dengan baik) adalah mereka, bukan kelemahan bahasa Melayu. Oleh itu wajar pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu turut menekankan cara bertutur bahasa Melayu yang betul dan berkesan sedari awal lagi.
       Untuk terus berkembang, bahasa Melayu mesti mempunyai kepustakaan ilmu dan persuratan yang banyak. Dan dibaca secara meluas pula. Di Malaysia, khususnya di institusi pendidikan tinggi awam, terdapat kira-kira 1,700 orang profesor dan 20,000 lagi staf akademik. Sekiranya setiap daripada mereka menulis dan menerbitkan sebuah buku setiap dua tahun, maka jumlah kepustakaan Melayu akan meningkat dengan mendadak. Akan tetapi perkara sebaliknya berlaku. Hanya segelintir profesor dan staf akademik IPTA yang menulis dan menerbitkan buku, dan dari yang segelintir itu hanya sebahagaian kecil yang menghasilkan penulisan yang betul-betul mendalam.
       Kepustakaan ini mesti memenuhi selera, minat serta tuntutan ilmu pelbagai golongan – kanak-kanak, remaja dan dewasa. Kepustakaan ini juga mesti meliputi semua bidang dan subbidang. Akan tetapi para sarjana kita di IPTA mungkin lebih mengejar penulisan makalah untuk jurnal-jurnal ISI demi masa depan mereka, selain tawar hati kerana penulisan buku dalam bahasa Melayu tidak diambil kira sebagai salah satu faktor untuk kenaikan pangkat. Jika IPTA tidak memartabatkan bahasa Melayu di Malaysia, pihak mana lagi yang kita harapkan? Mengapa bahasa Melayu dianaktirikan di IPTA Malaysia?
       Menteri Pelajaran pernah menyarankan agar jumlah penerbitan ditingkatkan, begitu juga buku-buku ilmiah. Saranan atau gesaan tersebut amat penting bagi memperkasakan bahasa Melayu. Tetapi siapakah yang menyambut saranan atau gesaan tersebut? Tidak terbaca atau terdengar sebarang perancangan strategik oleh pihak-pihak yang sepatutnya menanggungjawab cabaran tersebut.
       Kadar penerbitan tahunan buku-buku judul baru di negara ini, sebagai contoh, masih amat rendah berbanding jumlah penduduk. Jumlah kira-kira 16,000 judul baharu setahun (berdasarkan perangkaan yang dikeluarkan oleh Perpustakaan Negara Malaysia) masih tidak memuaskan, kerana kita sepatutnya menerbitkan 28,000 judul buku baharu setahun ( kira-kira 0.1% daripada jumlah penduduk negara, dalam upaya membentuk masyarakat lebih berilmu (learned society).  Ini menandakan ramai sarjana, penyelidik dan orang yang mengaku dirinya penulis, tidak menulis, atau kurang produktif. 
       Pasaran penerbitan  kita sepatutnya  dibanjiri dengan akhbar, majalah, buku, jurnal, ensiklopedia, buku dan penerbitan elektronik dalam bahasa Melayu. Cuba bandingkan semua ini dengan bahan-bahan yang terdapat di toko-toko buku yang besar di tanah air kita. Bahan bacaan dalam bahasa Melayu amat sedikit jumlahnya. Bagaimanapun, menurut pengusaha perbukuan, permintaan terhadap buku-buku dalam bahasa Melayu terus meningkat. Di beberapa toko buku yang besar dan terkenal, buku-buku Melayu mendapat tempat peragaan yang lebih strategik. Ini menunjukkan bahawa di peringkat akar umbi, mereka tetap berasa bahawa bahasa Melayu boleh bersaing dengan bahasa-bahasa lain.
       Pasaran penerbitan dalam bahasa Melayu juga sepatutnya melihat kemampuan bahasa ini pada peringkat supra nasional. Semua penerbitan dalam bahasa Melayu (termasuk dari Indonesia terutamanya), seharusnya dapat diterima tanpa apa-apa hambatan linguistik. Begitu juga dengan penerbitan buku-buku Melayu untuk pasaran Indonesia. Kita harus belajar daripada bahasa dunia yang besar, di mana bahasa itu bebas menyeberang batas geo-politik, dan dapat diterima serta difahami oleh khalayak yang mempunyai kepelbagaian budaya serta kepercayaan.
       Untuk menjadi bahasa pertama di negara ini, bahasa Melayu mesti berkemampuan memenuhi tuntutan kreatif dan ilmu pengetahuan semua golongan khalayaknya, terutamanya aspek kepustakaan ilmu. Bahasa Melayu juga wajar dituturkan secara gramatis, baik dan berkesan, agar memberi citra baik terhadap bahasa ini. Bahasa Melayu juga harus menjadi bahasa pengantar utama pendidikan rendah hingga universiti, menjadi bahasa komunikasi utama rakyat, serta citranya yang unggul dan berwibawa dapat dilihat di mana-mana.
Kepustakaan Melayu juga harus men-tsunami dunia maya, agar  - melalui kemudahan teknologi elektronik dan digital - mudah dicapai oleh sesiapa saja, di-mana-mana saja, pada saat apa pun. 

 

 

 

Monday, November 26, 2012


 

 

“Semakin banyak tanah orang Melayu, dan tanah rezab Melayu, termasuk di Pulau Pinang, telah bertukar tangan. Orang Melayu semakin kehilangan aset bagi pembangunan perumahan, pejabat, industri dan sebagainya – yang nilainya terus meningkat dari masa ke masa. Orang Melayu yang terlibat harus menyalahkan diri sendiri. Pihak yang berkuasa juga wajar dipersalahkan, akibat kurang peka akan pentingnya orang Melayu memiliki, mempertahankan dan meluaskan pemilikan tanah di tanah air sendiri.”
TANPA TANAH  tidak ada sesuatu yang boleh dibangunkan. Pembangunan di pesisir, atau di permukaan air sekali pun, tetap punya tanah di dasarnya. Banyak cerpen, puisi dan novel Melayu, serta sejumlah drama,  yang mengangkat tema kepentingan pemilikan tanah ini. Karya-karya ini berbicara dari sudut pandang Melayu atau bumiputera tentang kepentingan tanah, dan selalu mengajak pembaca untuk menyedari ancaman yang berupaya mengecilkan atau menghapuskan pemilikan tanah di kalangan orang Melayu dan bumiputera.
       Tema tersebut antara lain diangkat oleh Keris Mas melalui novelnya Rimba Harapan (Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka, 1986). Novel ini mengilustrasikan nasib pemilik tanah Melayu di Bentong – yang oleh sebab-sebab pengembangan industri, bencana alam serta ketamakan dan pemikiran singkat beberapa watak antagonis Melayunya, telah kehilangan milik atau meninggalkan tanah pusaka, lalu membuka rimba di Janda Baik. Pada bahagian akhir cerita, suara pengarang yang disalurkan melalui watak protagonisnya menegaskan untuk ‘kekal karar’ di situ. Subteksnya :  Melayu tidak boleh asyik berundur ke rimba sementara orang lain menduduki tanah asal mereka dan menguasai bandar.
       Dalam Pidato Penerimaan Anugerah Sastera Negara saya antara lain menukilkan:
Prihatinlah akan nasib tanah air dan bangsa
Hubbul watan minal iman peganglah ia. 

       Noor Azam melalui tulisannya dalam Dewan Masyarakat beberapa bulan yang lalu tentang isu pemilikan tanah orang-orang Melayu, menurunkan perangkaan yang sepatutnya membimbangkan orang-orang Melayu. Semakin banyak tanah orang Melayu, dan tanah rezab Melayu, termasuk di Pulau Pinang, telah bertukar tangan. Orang Melayu semakin kehilangan aset bagi pembangunan perumahan, pejabat, industri dan sebagainya – yang nilainya terus meningkat dari masa ke masa. Orang Melayu yang terlibat harus menyalahkan diri sendiri. Pihak yang berkuasa juga wajar dipersalahkan, akibat kurang peka akan pentingnya orang Melayu memiliki, mempertahankan dan meluaskan pemilikan tanah di tanah air sendiri. 

       Di dalam novel saya Naratif Ogonshoto tertulis:

“Kumulai dengan kisah Adam sedang terapung-apung di angkasa – setelah dikeluarkan dari syurga – mencari daratannya di dunia ini. Kata sesetengah riwayat dia telah menemukan India sekarang, sebagai daratan pertamanya.
        “Sejak itu manusia terus mencari tanah dan daratan. Ogonshoto pun telah ditemukan orang. Seluruh daratannya, dulu, milik natif Ogonshoto belaka. Tetapi bagaimana sekarang? Dulu, ketika orang-orang Jepun belayar mencari daratan baru, mereka turut menemukan Ogonshoto, lalu bertapak di Futu-Ata. Tetapi tidak Jepun saja; semua bangsa yang berpandangan jauh terus mencari daratan.
       “Bangsa yang berpandangan singkat melupakan daratannya. Sayang sekali, politikus Ogonshoto harus dikaitkan dengan ‘bangsa’nya, yang berpandangan singkat itu! Mengapakah kukatakan demikian? Presiden, dalam upaya memenangi hati musuh-musuh politiknya, atau menghargai taat setia penyokongnya, membahagi-bahagikan daratan Ogonshoto seolah-olah tanpa mengkaji implikasinya. 
       “Bekas musuh-musuh politik Presiden, setelah menerima kurnia tanah daratan, terus melupakan perjuangan asal kerana mulai belajar hidup senang-lenang. Mereka membangunkan daratan masing-masing dengan bantuan pelabur asing; atau terus menjual daratan mereka kepada orang-orang Amerika atau Eropah. Harga tanah daratan tiba-tiba naik berlipat ganda, yang tidak dapat dijangkau lagi oleh majoriti natif Ogonshoto. Aku menyoal, mengapakah pemerintah Ogonshoto tampaknya lebih memihak kepada segelintir orang, berbanding majoriti natif Ogonshoto yang lebih dahaga akan tanah daratan dan kehidupan yang lebih baik? 
       “Penyokong-penyokong Presiden yang menerima kurnia tanah daratan, banyak yang segera menjual daratan masing-masing. Sasaran mereka hanyalah lima tahun, atau lima tahun yang akan datang, apabila pemilihan umum menurut kerangka demokrasi diadakan. Dalam tempoh itu, mereka ini – yang ingin kekal pada status quo atau ingin memanjat lebih tinggi anak tangga kekuasaan – perlukan wang yang tidak sedikit untuk terus mendapat sokongan serta tidak diganggu gugat. Kunyatakan terus terang begini : Politikus kita menilai daratannya untuk tempoh lima tahun  saja; kapitalis yang membeli tanah daratan itu menilainya untuk tempoh ribuan tahun yang akan datang. Lalu kuulangi, sayang sekali ketika bangsa-bangsa lain terus mencari dan meluaskan daratan, Ogonshoto sedang memilih sendiri – tanpa bantuan letupan gunung berapi – mengecilkan daratannya. 
       “Kalian tahu bukan, sekarang ini lebih tujuh puluh peratus daratan Futu-Ata sudah dimiliki oleh orang-orang Jepun. Di Rai-Rapa , lebih lima puluh peratus daratannya sudah menjadi milik orang-orang Inggeris, Amerika, Australia dan New Zealand. Di Gora-Gora hampir enam puluh peratus daratannya sudah didaftarkan atas nama orang-orang Jerman, Itali, Switzerland dan Perancis. Sekali mereka mendapat tanah daratan,  mereka tidak akan melepaskan kepada orang lain, untuk selama-lamanya. 
       “… Pembinaan stesen angkasa adalah tanda ghairah manusia untuk mencari daratan baru di atas sama. Semuanya, kerana sedari awal Adam telah memberikan tamsil ibarat tentang manusia yang perlu mencari daratan. Dan pencarian daratan akan terus dilakukan oleh umat manusia hingga ke akhir zaman kelak. Malangnya, Ogonshoto terus menyerahkan daratannya kepada bangsa-bangsa lain, mengabaikan hak natifnya sendiri.” (hlm. 142-143). 

              Peribahasa Melayu “Bagai Belanda minta tanah” bukan sahaja untuk menunjukkan ketamakan sesetengah pihak menguasai daratan yang makin diperluaskan dari masa ke masa, malah secara halus mengingatkan orang Melayu agar tidak melepaskan pemilikan tanahnya, kerana sekali terlepas, akan melepaslah buat selama-lamanya. Maka gejala itu mesti disedari oleh semua orang Melayu, jika tidak mahu menerima nasib sebagaimana nasib beberapa peribumi di dunia ini.
       Gejala “Belanda minta tanah” turut dialami peribumi Palestin sejak beberapa dekad yang lalu, di mana rejim zionis Israel membeli tanah milik orang Palestin (yang berpandangan singkat atau secara paksa), mengambil alih pemilikan tanah rakyat Palestin, dan sentiasa berusaha memperluaskan sempadan geo-politiknya. Di atas tanah yang mereka kuasai, dibangunkan perumahan yang didiami oleh pendatang-pendatang Yahudi. Dalam tempoh singkat, peribumi Palestin akan menjadi golongan minoriti sebagaimana keluasan tanah mereka semakin mengecut. Untuk merebut kembali tanah yang hilang bukanlah suatu proses yang mudah kalau hanya melontar batu ke atas musuh yang lengkap bersenjata, atau melepaskan pengebom berani mati. Yang menguasai daratan, akan terus bersikap keras mempertahankan daratannya.
       Pemilikan tanah dan khususnya pembangunan perumahan di atasnya, akan memberi impak dalam peti-peti undi setiap kali diadakan pilihan raya. Pola politik Malaysia menunjukkan jurang sikap serta sokongan yang berbeza antara pengundi bandar yang padat dengan pengundi desa yang sepi. Kerana tanah, landskap politik boleh berubah.
       Hanya sesuatu kaum yang boleh mengubah nasibnya sendiri ke arah yang lebih baik. Dalam drama “Bukan Lalang Ditiup Angin”, Noordin Hassan melalui korus ‘Canang’ turut mengingatkan: 

Terkenang kampung anak dan isteri,
Ramalan nujum kemudian hari,
Jika tak ubah nasib sendiri,
Kena belenggu macam pencuri.

[DS1011] 

   

Sunday, November 25, 2012


 
“Sebagaimana contoh di Madinah, umat Islam itu sendiri (baik daripada golongan Ansar mahupun golongan Muhajirin), terlebih dahulu memupuk dan memperkasakan perpaduan ummah. Oleh yang demikian apabila mutakhir ini muncul kembali seruan perpaduan Melayu, maka seruan ini haruslah dilihat dalam perspektif perpaduan Melayu dalam konteks Islam, sesuatu yang bersifat intra, dalaman, bukan sebagai suatu ancaman kepada orang bukan Melayu-Islam.” 

MUTAKHIR INI isu perpaduan ummah khususnya yang melibatkan orang-orang Melayu berkumandang lagi. Timbulnya situasi atau suasana ‘perpecahan’ yang dirasai, tentu bersebab. Mungkin oleh sebab rentak tambur politik yang berbeza, yang menyebabkan ummah mengatur langkah yang berbeza-beza. Mungkin oleh sebab gaya hidup yang berbeza akibat pendidikan serta lingkungan yang berbeza-beza, serta jurang pendapatan yang berbeza yang meluaskan sempadan kelas dalam masyarakat – sehingga setiap individu mempunyai matlamat hidup yang tidak seragam.  Mungkin oleh sebab tiada perancangan strategik hala tuju jelas bagi pencapaian masa depan ummah secara rohaniah dan kebendaan – sehingga setiap individu tidak mungkin melanggan satu ideologi politik bagi menambahbaik kehidupan mereka. Mungkin oleh sebab sejarah pahit  tahun 1970-an yang tidak menjadi penawar bagi sesetengah pihak.
       Sebenarnya bukan dalam masyarakat moden atau pascamoden ini -  yang mengandungi sistem sosial, ekonomi dan politik yang serba kompleks  di mana setiap individu dan bangsa-bangsa saling bersaing sengit  – yang selalu disedarkan akan kepentingan perpaduan itu. Dalam masyarakat Melayu tradisional, agraria, yang agak tertutup dan  sederhana, muncul peribahasa “bagai aur dengan tebing” atau “bulat air oleh pembuluh, bulat kata oleh muafakat” bagi melakarkan betapa pentingnya kerjasama, bersatu dan berpadu sebagai fikrah kehidupan yang terpuji. Lebih-lebih lagi apabila menghadapi sesuatu dugaan besar.
       Antara dugaan besar dalam sejarah bangsa ialah kedatangan tentera Portugis pada awal Kurun ke-16. Kita ingin melupakan perpecahan di kalangan atasan di Istana Melaka, yang mengakibatkan malapetaka. Kita ingin mengingat dua hikayat ini yang memberi perspektif berbeza, iaitu Hikayat Anggun Cik Tunggal dan Hikayat Malim Dewa. Sebagaimana yang pernah disebut dalam sebuah makalah oleh Md Salleh Yaapar, Hikayat Anggun Cik Tunggal pada mulanya merupakan cerita lisan Pawang Ana, yang dituturkan pada awal Kurun ke-20 dan telah disunting oleh  R.O. Winstedt dengan bantuan Raja Haji Yahya. Sementara  Hikayat Malim Dewa  dituturkan oleh  Pawang Ana dan Raja Haji Yahya, serta disunting oleh  R.O. Winstedt dan A.J. Sturrock. Kedua-dua hikayat ini amat popular di kalangan rakyat di Semenanjung Malaysia dan Sumatera sekitar era tersebut hingga beberapa dekad kemudian.
       Kandungan kedua-dua buah hikayat ini boleh dilihat serta diinterpretasi dari pelbagai sudut. Md Salleh Yaapar umpamanya melihat bagaimana kedua-dua hikayat ini menampilkan wira dan bala tentera Melayu melawan musuh iaitu angkatan Portugis, memburu mereka hingga ke tanah Portugis, menewaskan mereka, dan bagi wira Anggun hingga berjaya mengahwini puteri-puteri raja Portugal; sementara wira Malim Dewa hingga berjaya membunuh maharaja Portugal – suatu wacana balas, suatu strikes back terhadap sebuah kuasa asing.
       Kedua-dua buah hikayat ini juga boleh diinterpretasi betapa perpaduan (raja dan rakyat, panglima dan bala tentera) begitu penting untuk menghadapi dugaan besar – ketika itu merupakan ancaman dari sebuah kuasa asing yang beribu-ribu batu jauhnya dari Alam Melayu. Perpaduan dan kekentalan jiwa untuk bertindak balas (yang mutakhir baru disebut sebagai dorongan wacana pascakolonial) memperlihatkan betapa anak Melayu yang disangka lemah, telah melakukan strikes back yang luar biasa, dan sepotong sejarah telah diinterpretasi serta ditulis kembali.
       Lama sebelum masyarakat Melayu mencipta peribahasa-peribahasa  tentang perpaduan, lebih 1,400 tahun terdahulu, Islam telah memberi asas perpaduan berkasih-kasihan sesama Mukmin, terutama karib kerabat:
Muhammad itu adalah rasul (utusan) Allah. Orang-orang yang beriman dengan dia (Muhammad) sangat keras terhadap orang-orang kafir, berkasih sayang sesama mereka, engkau lihat mereka itu rukuk, sujud serta mengharapkan kurnia daripada Allah dan keredaan-Nya. Tanda mereka itu adalah di muka mereka, kerana bekas sujud. Itulah contoh (sifat) mereka dalam Taurat. Dan contoh mereka dalam Injil, ialah seperti tanaman yang mengeluarkan anaknya (yang kecil lagi lemah), lalu bertambah kuat dan bertambah besar, lalu tegak lurus dengan batangnya, sehingga ia menakjubkan orang-orang yang menanamnya. (Begitu pula orang-orang Islam, pada mula-mulanya sedikit serta lemah, kemudian bertambah banyak dan kuat, supaya Allah memarahkan orang-orang kafir sebab mereka. Allah telah menjanjikan ampunan dan pahala yang besar untuk orang-orang yang beriman dan beramal salih di antara mereka itu. [Terjemahan Al-Fath ayat 29, Tafsir Quran Karim oleh Prof. Dr. H. Mahmud Yunus]. 

       Banyak orang bukan Islam  hanya tahu sedikit-sedikit ungakapan di atas (kerana bukan tanggungjawab mereka untuk mendalami Islam), hingga mereka menyimpulkan bahawa Islam memusuhi SEMUA yang bukan Islam. Hakikatnya tidak demikian. Ketika Madinah dihuni oleh pelbagai kaum dan kepercayaan sejak hijrah Nabi Muhammad SAW, Islam telah meletakkan nilai keharmonian bermasyarakat, yang mengajak sesama umat manusia menghormati taulan, jiran, kenalan dan penduduk senegara. Dalam Pidato Penerimaan Anugerah Sastera Negara saya menyebut:

Namun bertimbang rasalan kepada taulan,
Pelbagai bangsa, jiran dan kenalan,
Pada zamannya Nabi telah tunjukkan
Islam menjalin indah perpaduan. 

       Sebagaimana contoh di Madinah, umat Islam itu sendiri (baik daripada golongan Ansar mahupun golongan Muhajirin), terlebih dahulu memupuk dan memperkasakan perpaduan ummah. Oleh yang demikian apabila mutakhir ini muncul kembali seruan perpaduan Melayu, maka seruan ini haruslah dilihat dalam perspektif perpaduan Melayu dalam konteks Islam, sesuatu yang bersifat intra, dalaman, bukan sebagai suatu ancaman kepada orang bukan Melayu-Islam.
       Dalam media baru, ada pihak yang mempersoalkan perpaduan Melayu. Suara aneh itu melaung: Mengapa Melayu harus berpadu? Adakah apa-apa kepentingan Melayu yang telah mereka (baca : bukan Melayu) rampas? Suara aneh itu  berasa bimbang akan perpaduan Melayu, lalu menggunakan pendekatan berbau perkauman dalam hujahnya. Suara aneh itu bimbang jika Melayu-Islam berpadu maka hak-hak mereka pula terancam. Perpaduan Melayu-Islam tiada kena mengena dengan ancaman terhadap kaum-kaum lain. Perpaduan Melayu-Islam semata-mata untuk memperkasakan bangsa teras dan majoriti di negara ini bagi membangunkan serta memantapkan hak-hak yang telah dijamin dalam perlembagaan Persekutuan; memperkasakan tamadun Melayu yang telah mempunyai sejarah ribuan tahun; dan agar ‘tak Melayu hilang di dunia.’ 

       Untuk itu bangsa Melayu terlebih dahulu harus menyedari bahawa mereka menganut dan mematuhi ajaran Islam sebagai sumber kekuatan dan keselamatan di dunia dan akhirat. Banyak  puisi tradisional seperti syair dan pantun, serta sajak-sajak moden yang melakarkan peri pentingnya hubungan vertikal dengan Allah, dan hubungan horizontal dengan sesama makhluk, alam, flora dan faunanya.
       Bangsa Melayu seterusnya harus menyedari bahawa mereka mewarisi tamadun  yang besar dan tinggi, terutamanya setelah ketibaan agama Islam di rantau ini. Mereka bangsa bertamadun, sama seperti bangsa-bangsa yang bertamadun dari barat dan timur. Banyak karya agung Melayu telah dihasilkan. Walaupun Malaysia tidak mempunyai tinggalan candi yang utuh, tetapi (seperti menurut Ismail R al-Faruqi), tamadun berasaskan tauhid adalah semulia-mulia tamadun di sisi Allah.
       Sehubungan itu, sebagai umat Melayu yang bertamadun, bangsa ini seharusnya menggerakkan idea-idea besar, bukan bersengketa atas perkara yang remeh temeh. Perpaduan adalah salah satu idea besar itu, bagi menjana kekuatan kolektif sebagai suatu bangsa bermaruah. Sebagai bangsa teras dan majoriti  di tanah airnya, bangsa ini bergerak ke hadapan, bertindak dan bersuara sebagai bangsa teras. Bangsa ini harus di hadapan dalam soal menguasai ilmu pengetahuan ukhrawi dan duniawi, pencipta, penguasaan tanah, kekuasaan ekonomi dan politik,  di samping terus memperkasakan bahasa, budaya serta warisan bangsanya. Dalam Pidato Penerimaan Anugerah Sastera Negara saya menyebutkan: 

Prihatinlah akan nasib tanah air dan bangsa,
Hubbul watan minal iman peganglah ia,
Berhujahlah ‘Melayu Baru’ dengan akal dan fakta,
Bukan zahirkan rasa dan emosi semata.
[DS0911].
 

 

      

Thursday, November 22, 2012


 

 

 “Nasionalisme Melayu sejak sebelum merdeka memunculkan dua pola kepemimpinan. Pertama, umpamanya dalam Kesatuan Melayu Muda (KMM), :… datang dari golongan yang di luar dari strata sosial yang biasa menyediakan kepemimpinan politik dalam masyarakat Melayu.’ Kedua, ‘yang berakar umbi dari struktur kekuasaan tradisional yang dipertahankan oleh pihak berkuasa kolonial.” 
Kesedaran nasional kita selalu ditarik ke arah tarikh keramat 31 Ogos 1957 – hari pertama kemerdekaan politik daripada kolonial Inggeris. Penjajahan ratusan tahun oleh Portugis, Belanda, Inggeris, Jepun dan kemudian Inggeris semula (yang bertapak lebih lama kerana sebab-sebab ekonomi dan politik), mulai hari itu beralih kepada kekuasaan politik warga Tanah Melayu. Sejak itu, 31 Ogos dan kemudian 16 September (dengan pembentukan Malaysia) menjadi hari yang diingati warganegara Malaysia khususnya.
       Mutakhir ini, perayaan ulang tahun kemerdekaan agak sering menonjolkan tokoh-tokoh pejuang kemerdekaan pelbagai kaum, yang lebih dilihat daripada kaca mata politik masa kini. Tidak salah melakukannya, jika tokoh-tokoh yang diangkat itu dahulunya benar-benar berjuang dengan idea, tenaga dan keringat atas kesedaran nasionalisme  yang tulen. Lebih-lebih lagi jika idea, tenaga dan keringat mereka benar-benar lebih hebat mengatasi tokoh pejuang yang lain. Dan tidak salah pula untuk kita mengenang wira-wira kemerdekaan – yang oleh sebab-sebab tertentu – hanya berada dalam lipatan sejarah bangsa, dan seolah-olah dilupakan, tidak dicanangkan.
       Penentangan terhadap kolonialisme barat dan timur, sama usianya dengan kedatangan kuasa kolonial itu sendiri. Ini berlaku kepada semua bangsa atau suku kaum  yang terjajah, yang mempunyai harga diri untuk hidup bebas daripada tekanan serta pengaruh asing. Penentangan terhadap kedatangan penakluk dari barat berbangsa Portugis telah dilakarkan, antaranya,  dalam Sulalat al-Salatin, dipindahkan ke dalam Zaman Gerhana (A. Samad Ahmad), dilanjutkan dalam perkembangan penjajahan seterusnya dalam Nyawa di Hujung Pedang (Ahmad Murad Nasaruddin), Sandera (Arena Wati) , Lepaskan Kembali Aku ke Laut (Shaari Isa), serta beberapa karya yang lain dalam genre puisi, cerpen, novel dan drama.
       Di luar dunia cereka, bertapak kukuh atas realiti sejarah tanah air, dari masa ke masa muncul wira-wira tempatan dalam zaman penjajahan yang kemudian menjadi wira bangsa. Di antaranya termasuklah Pahlawan Mat Salleh yang berjuang hingga ke akhir hayatnya di Tibabar, Sabah; wira orang Iban, Rentap (meninggal 1863) yang menentang pemerintahan Raja Putih di Sarawak, begitu juga dengan Rosli Dobi; Tok Janggut, Mat Kilau dan Abdul Rahman Limbong di pantai timur. Mungkin kerana hayat serta perjuangan mereka agak jauh dari garis masa 1950-an, maka sumbangan mereka hanya layak jadi bacaan pelajar yang mengikuti subjek sejarah di sekolah.
       Tempo yang menghampiri garis masa 1950-an, dapat ditelusur pada 1930-an ketika kemunculan nasionalisme Melayu di Semenanjung semakin nyata. Tokoh tempatan yang gemar membicarakan subjek ini ialah Rustam A. Sani (yang juga seorang penyair), juga tokoh-tokoh lain seperti Radin Seonarno dan W.R. Roff.  Nasionalisme Melayu sejak dekad tersebut memunculkan dua pola kepemimpinan. Pertama, unpamanya dalam Kesatuan Melayu Muda (KMM), :… datang dari golongan yang di luar dari strata sosial yang biasa menyediakan kepemimpinan politik dalam masyarakat Melayu.’ Kedua, ‘yang berakar umbi dari struktur kekuasaan tradisional yang dipertahankan oleh pihak berkuasa kolonial.’ 
       Dari pola yang kedua itu, yang kebanyakannya terdidik dalam aliran sekular moden, turut melahirkan beberapa tokoh kebangsaan sebagai penyambung kepada kekuasaan tradisional dalam bentuknya yang baharu. Akan tetapi sejarah juga melakarkan bahawa muncul ‘pesaing-pesaing’ mereka dari kumpulan  pertama yang berlatarbelakang desa-tani, pendidikan Melayu dan pendidikan Timur Tengah, juga gerakan bahasa, sastera dan persuratkhabaran yang lebih merakyat, sesetengahnya berpendidikan Inggeris. Golongan yang terakhir ini juga memunculkan tokoh-tokoh gerakan kebangsaan yang tidak boleh dilupakan begitu sahaja. Dalam hubungan ini, ketika menyampaikan Pidato Penerimaan Anugerah Sastera Negara, saya menyebut dua rangkap berikut:

Bangsa bermaruah merdeka daripada penjajah,
Kuasa-kuasa barat dan timur datang menjarah,
Menghalau mereka tidak sahaja perwira dan orang siasah,
Peranan ulama dan penulis juga diakui sejarah. 

Justeru setiap menyambut ulang tahun merdeka,
Kenangilah pengorbanan dan bakti mereka,
Yang benar-benar berjasa tampilkan ke muka,
Berterima kasih pada saat sesuai dan ketika. 

       Maruah bangsa tidaklah terbela semata-mata kerana kemerdekaan politik. Degup jantung kemerdekaan politik sendiri pada hakikatnya saling bergantungan dengan sektor-sektor kehidupan yang lain, yang sebahagiannya berada di bawah monopoli atau kuasa luar. Sebagai contoh, keberlangsungan politik memerlukan dana yang besar, yang dijana melalui bisnes yang bergerak dalam orbit kapitalisme barat. Sementara itu imperialisme linguistik (dalam konteks Malaysia ialah bahasa Inggeris) turut menduga dan mencabar kekuasaan politik untuk menzahirkan polisinya terhadap dasar bahasa kebangsaan, untuk membuktikan bahawa bahasa kebangsaan benar-benar merdeka di tanah airnya sendiri. 

       Selama beberapa dekad sebelum kemerdekaan, pelbagai pihak terutamanya bumiputera telah berjuang untuk pembebasan tanah air daripada kuasa kolonial. Mereka terdiri daripada anggota pasukan keselamatan seperti polis dan tentera, serta tokoh-tokoh politik yang dianggap ‘kanan’ kerana berjurai keturunan bangsawan atau terdidik melalui sistem sekular moden. Akan tetapi pejuang kebangsaan bukan mereka sahaja. Terdapat tokoh-tokoh lain daripada kalangan ulama, penulis dan wartawan yang ikut berjuang dengan idea, tenaga dan keringat. Sebahagian mereka, yang dilabel sebagai ‘kiri’ menggunakan pelabelan kuasa kolonial, terpaksa meringkuk dalam penjara. Jadi, apa salahnya kini kita memerdekakan sikap, untuk turut mengakui dan memberi penghormatan yang sewajarnya kepada tokoh-tokoh tersebut? 

        Kebenaran, termasuk kebenaran sejarah politik pascamodenisme, hanya terletak pada kuasa yang wujud pada diri (baca : penguasa) penghasil wacana, seperti yang dikatakan Foucault. Di negara-negara yang sedang membangun, atau negara-negara yang dibangunkan oleh pendatang, teks sejarah sosial dan politik direkayasa supaya memihak penghasil wacana, yakni penguasa. Akan tetapi sampai bila rekayasa tersebut dapat menguburkan realiti sosial dan sejarah sesuatu bangsa?

       Fakta-fakta pensejarahan tidak sahaja dibangunkan daripada dokumen-dokumen rasmi. Sekurang-kurangnya itulah yang pernah dilakukan oleh Barbara Watson Andaya dan Leonard Y Andaya ketika menulis Sejarah Malaysia. Mereka turut memanfaatkan karya-karya sastera yang telah lama menjadi kitab ‘sejarah’ bangsa, lama sebelum dokumen-dokumen rasmi kolonial dan pemerintah dicetak atau ditemui.

       Di tanah air kita, terdapat sejumlah buku yang membicarakan tokoh-tokoh perjuangan kebangsaan yang bukan dari ‘arus perdana’ kerana konsep ‘arus perdana’ selalunya ditentukan oleh penguasa penghasil wacana seperti yang ditegaskan oleh Foucault. Perjuangan serta pengorbanan mereka, hingga ada yang dihumbankan ke penjara, ternyata lebih kental berbanding sesetengah tokoh kebangsaan yang didendangkan atas bukan sebab nasionalisme dan politik semata-mata. 

       Ketika kesedaran terhadap subjek sejarah menjadi semakin nyata, yang khabarnya subjek ini akan diperkukuhkan melalui pengajaran dan pembelajaran di sekolah-sekolah, sudah sampai masanya tokoh-tokoh pejuang kebangsaan sejak awal diperkenalkan secara sistematik dan adil. Sesunggguhnya dalam rentetan panjang sejarah nasionalisme tanah air, termasuk di Sabah dan Sarawak, jasa tokoh agama, sasterawan, budayawan dan wartawan tidak boleh dipinggirkan dari kenyataan sejarah sosial dan politik negara ini. 

       Semoga pada suatu hari nanti generasi muda Malaysia akan mendapat gambaran yang lebih meluas dan mendalam tentang wira-wira kemerdekaan tanah air : Tokoh-tokoh politik ‘arus perdana’ masa lampau dan kini, polis dan tentera, wira-wira tempatan yang berjuang dengan sumpitan dan lembing, para ulama, penulis, sasterawan, budayawan,  wartawan dan sebagainya. Akhirnya generasi muda Malaysia akan berasa yakin bahawa pejuangan menuntut kemerdekaan tidak semata-mata digerakkan oleh satu golongan sahaja, tetapi suatu gerakan yang merakyat, yang akan mencambahkan rasa tanggungjawab untuk melestarikan dan memperkasakan kemerdekaan tanah air bersama-sama.

      

Tuesday, November 20, 2012


 

 

 “Menitikberatkan pelajaran merupakan citra penting masyarakat Cina, kerana melalui pelajaran mereka boleh mengubah nasib buruk menjadi nasib yang lebih baik. Mereka menekuni sesuatu bidang dan berilmu dalam bidang tersebut (umpamanya perniagaan). Jika pada hari ini kita melihat kejayaan masyarakat Cina dalam sektor bisnes dan beberapa profesion yang terhormat, ia tidak dicipta sekelip mata. Ia berpangkal daripada keperitan hidup bermigrasi ke selatan, hampir bermula dengan sifar, tetapi dibakar dengan semangat kental untuk mengubah nasib melalui kunci ilmu pengetahuan.” 
 Kumpulan cerpen oleh Lai Choy (penulis Cina Malaysia yang menulis cerpen dalam bahasa Melayu) berjudul Migrasi ke Selatan,  telah diterbitkan beberapa tahun yang lalu. Akan tetapi judul tersebut memberi gambaran serta konotasi yang jauh lebih realistik dan mendalam terhadap hakikat diaspora masyarakat Cina di Malaysia.      
 Ketika membaca dan menilai sebuah manuskrip antologi 14 cerpen Mahua, saya mendapati bahawa penulis-penulis cerpen dalam antologi ini secara jujur mengimbas kembali migrasi nenek moyang mereka ke selatan, ke tanah air baharu yang kini dikenali sebagai Malaysia. Antologi cerpen ini diusahakan oleh Persatuan Penterjemahan dan Penulisan Kreatif (PERSPEKTIF) yang aktif membina jambatan persefahaman sastera pelbagai kaum melalui usaha penterjemahan dan penerbitan. Antologi cerpen ini  mungkin akan diterbitkan pada penghujung tahun ini oleh Dewan Bahasa dan Pustaka dengan judul “Misteri Pahatan : Antologi Cerpen Mahua V”. 
       Beberapa buah cerpen dalam antologi ini mencitrakan watak-watak Cina yang menyedari pangkal pohon diaspora mereka di beberapa wilayah China, yang dahan serta ranting diasporanya  menyebar ke beberapa tempat, khususnya Malaysia. Mereka bermigrasi atas beberapa alasan seperti politik, ekonomi atau ‘kekejaman’ alam yang membawa musim yang tidak memihak pertanian. Generasi yang hidup, lahir dan membesar di tanah air baharu ini bebas mengamalkan kebudayaan mereka, dan dalam masa yang sama turut mengasimilasi budaya dan kehidupan tempatan yang dilatari alam, flora dan fauna yang agak berbeza daripada tanah leluhur. Dua buah cerpen yang watak-wataknya menyedari akan asal usul dari tanah leluhur ialah “Bandar Usang” (oleh Chen Wen Rui) dan “Watak-watak Perantau” (oleh Li Tian Bao).
       Di  bandar usang yang menua bersama perantau-perantau, kehidupan getir diteruskan dengan warna warni tersendiri : kenangan, impian dan realiti. Ketika pemuda pemudinya meninggalkan ‘Bandar Usang’ untuk bekerja di luar negara bagi mencari bekalan kesenangan (sebahagiannya sebagai pekerja tanpa izin) yang bergelut dengan nasib, penipuan dan manipulasi, hanya sedikit sumber yang mampu menghiburkan orang-orang tua yang menetap di ‘Bandar Usang’, umpamanya Mak Kuang Fu yang selepas mandi dengan air suam, duduk menghadap tv menonton siri “Balik ke Tangshan.” Tangshan, tanah leluhur telah lama ditinggalkan ketika migrasi ke selatan, tetapi ironinya, seperti penutup cerpen ini, generasi muda Cina kini terpaksa pula merantau ke negara-negara lain  untuk cuba mencipta kehidupan yang lebih baik. Rantai perantauan berputar semula.
       Fengtang dalam “Watak-watak Perantau” mencipta kejayaan bisnes di sini, tetapi dia harus membayar kesan emosi yang tinggi. Dia meninggalkan kampung halaman di Tangshan yang sering dilanda kemarau dan banjir silih berganti, serta seorang isteri  enam tahun lebih tua daripadanya yang dijodohkan oleh keluarga. ‘Tidak pernah kurang bagi ‘orang rumah’nya; orang perempuan di luar pun sentiasa dibekalkannya pakaian-pakaian lawa lagi berharga. Akan tetapi hanya ‘orang rumah’ di Tangshan yang tidak dapat semua kemewahan ini.’ Tanah leluhur adalah latar yang perlahan-lahan memudar dalam bayangan bersama-sama imejan watak dan peristiwa yang pernah menghuni jiwa protagonisnya – seperti sapuan dakwat China yang menipis di pinggir kertas kehidupan hari tua.
         Setelah selesai membaca sesebuah buku, seperti antologi cerpen ini, pembaca akan mendapat beberapa kesan, termasuk kesan estetik dan pengalaman intelektual yang membekas oleh kuasa naratifnya. Oleh sebab semua cerpen dalam antologi ini dihasilkan oleh penulis-penulis Cina Malaysia yang berbakat, citra umum masyarakat Cina turut terlakar di dalamnya.
       Citra pemigrasi ke selatan ini mungkin stereotaip, tetapi streotaip yang berdimensi positif. Dalam cerpen ‘Bandar Usang’ ada sebuah lagu nyanyian para pelajar sekolah rendah Cina yang menjadi kunci pembuka citra ini : ‘Kita keturunan Cina yang migrasi ke selatan mempunyai sejarah yang panjang. Di kampung halaman baru ini kita terokai, kita bertitik peluh dan berdarah membanting tulang, amalan yang baik ini harus diwarisi dan dikembangkan seterusnya.’
       Mereka ‘meneroka’ pelbagai bidang pekerjaan di kampung halaman baru : bertani atau menternak seperti dalam cerpen “Tahi Harimau,” berniaga secara kecil-kecilan seperti dalam cerpen “Kucing Hitam dan Kucing Bertompok,” atau dalam skala yang lebih besar seperti watak Fengtang dalam “Watak-watak Perantau,” hinggalah terlibat dalam aktiviti  yang tidak bermoral seperti yang dilalui Yu Nihong dan Denghua dalam “Watak-watak Perantau.”
       Menitikberatkan pelajaran merupakan citra penting masyarakat Cina, kerana melalui pelajaran mereka boleh mengubah nasib buruk menjadi nasib yang lebih baik. Mereka menekuni sesuatu bidang dan berilmu dalam bidang tersebut (umpamanya perniagaan). Jika pada hari ini kita melihat kejayaan masyarakat Cina dalam sektor bisnes dan beberapa profesion yang terhormat, ia tidak dicipta sekelip mata. Ia berpangkal daripada keperitan hidup bermigrasi ke selatan, hampir bermula dengan sifar, tetapi dibakar dengan semangat kental untuk mengubah nasib melalui kunci ilmu pengetahuan.
       Tema menitikberatkan pelajaran terlakar dalam “Bandar Usang” dan “Dik Nyonya.” Perbualan antara Cikgu Yang dengan bapa Lin Zhina ini (dalam “Dik Nyonya”) menggambarkannya : ‘Dia ada menegaskan kepentingan pendidikan melalui bahasa ibunda. Oleh itu dia pun membuat keputusan berpindah ke sini. Ini menyenangkan Zhina bertukar ke sekolah Cina demi menerima unsur kebudayaan Cina …(yang) pasti tidak akan merupai anak sulungnya, Yingchong, yang asyik menyanjung hujan emas perak di negara barat.’
       Penegasan terhadap ‘kepentingan pendidikan melalui bahasa ibunda’ dalam cerpen “Dik Nyonya” wujud lama sebelum dasar PPSMI yang penuh kontroversial itu. Bagi majoriti masyarakat Cina,  pendidikan melalui bahasa ibunda bukan sahaja dianggap sebagai kaedah mencerap pengetahuan secara alamiah dan berkesan, malah diangap sebagai suatu kaedah ‘menerima unsur kebudayaan Cina’ (seperti petikan perbualan Cikgu Yang dengan bapa Lin Zhina di atas).
       Bagi aktivis Melayu yang menentang dasar PPSMI kesedaran ini juga dikongsi bersama. Pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Melayu akan memudahkan pelajar Melayu atau pelajar aliran sekolah kebangsaan menerima pengetahuan bagi kedua-dua ilmu tersebut secara alamiah dan lebih berkesan. Di samping itu, oleh kerana bahasa adalah produk sesuatu budaya, maka para pelajar akan turut menerima unsur kebudayaan Melayu yang menjadi teras bagi kebudayaan kebangsaan. Pandangan sinis masyarakat Cina terhadap orang Cina yang tidak melanggan konsep keCinaan yang total, digambarkan melalui sebutan ‘OCBC’ yakni ‘orang Cina bukan Cina!’
       Kehidupan sesuatu masyarakat adalah sebuah jelmaan idealisme kolektif dan realiti individual. Sungguhpun masyarakat Cina mencitrakan kehidupan yang berpaksi pada pendidikan yang berguna, nilai tradisional yang positif, bekerja keras, serta perniagaan yang menguntungkan – yang semuanya boleh dijadikan asas pembentukan sebuah kehidupan yang mapan dan berkualiti, tetapi sejumlah penulis dalam antologi ini menyedari akan realiti individual yang oleh sebab-sebab tertentu, gagal melanggani idealisme kolektif bangsanya. Ini melibatkan suatu realiti yang semakin ketara di dunia pascamoden mutakhir.  Ini melibatkan kehidupan dan watak yang dipinggirkan, yang dimarginalkan oleh masyarakat dan  nasib malangnya sendiri.    Watak-watak malang ini terjelma pada tubuh Wang Cui Yu (“Burung Tiong yang Comel”), Niu Yecheng (“Desakan Nafsu”), dan Xiao Ping (“Rintihan Si Merah Jambu”).
          Salah satu keasikan merenangi perairan sastera ialah apabila kita dapat menyelami psikologi manusia melalui watak-watak yang ditampilkan di dalam karya. Sebuah karya sastera bukanlah semata-mata pemaparan tentang watak dan aksi kehidupannya. Yang tidak kurang penting ialah bagaimana psikologinya ketika bersemuka dengan konflik, yakni psikologi yang berlatarbelakang pendidikan, pengetahuan dan cara pendewasaannya – sehingga secara tidak langsung boleh menawarkan pengalaman baru dan pengalaman intelektual kepada khalayaknya melalui strategi naratif pengarangnya.
       Melalui antologi cerpen ini, langkah pertama migrasi ke selatan oleh leluhur mereka terdahulu, telah merunutkan ribuan tapak tentang kehidupan getir dan manis rakan-rakan Cina kita di Malaysia. Tahniah kepada para penulisnya. Tahniah kepada para penterjemahnya yang melalui kuasa bahasa, membina jambatan sastera penghubung dua tebing jiwa, perasaan dan pemikiran manusia.

 

 
Saudara Islam Kita di Palestin, Yahudi dan...
Setiap umat Islam, saban hari, tersentuh emosi dan fikiran apabila memikirkan nasib saudara-saudara Islamnya di Palestin yang dibantai Yahudi (yang dilaknat  Allah) - pembantaian bersakala kecil atau besar yang datang bertalu-talu.
Kita memanifestasikan rasa keprihatinan melalui pelbagai cara (doa, derma, puisi, tunjuk perasaan dan sebagainya lagi). Tetapi umat Islam saudara-saudara kita bukan sahaja dibantai di Palestin, malah di beberapa tempat lagi di dunia ini
Kita semua tahu bahawa kita umat Islam perlu membentuk dan membina kekuatan dalaman dan luaran (politik, ekonomi, persenjataan, hubungan antarabangsa dll) untuk dapat bangkit setara dengan kuasa besar dan kemudian mengatasi semua kejahatan di dunia ini.
Semoga Allah SWT sentiasa melindungi, menolong dan memberi kemenangan kepada umat Islam yang menganut agama samawi-Nya. Amin.
(Anwar Ridhwan)

Tuesday, November 13, 2012


“Untuk selama beberapa dekad, perbezaan bahasa pengucapan kreatif merupakan tembok yang menghalang proses mengenali sastera dan sasterawan antara kaum lain di negara ini:  Melayu, Cina, India, keturunan Siam, Iban, Kadazandusun dan penulis keturunan Orang Asli. Sumbangan sastera sukuan harus diperhatikan dan dihargai, sungguhpun secara perlembagaan, bukti kebahasaan dan kebudayaan, kesemuanya itu tidak boleh menandingi kedudukan  sastera kebangsaan yang  lebih tinggi.”
PENDEDAHAN KEPADA KARYA SASTERA DUNIA (melalui karya asli atau terjemahan) menyebabkan sebahagian kita lebih mengenali sasterawan antarabangsa dari timur, barat dan Amerika Latin, berbanding dengan penulis kaum lain di Malaysia yang lebih merupakan jiran kita sendiri.
       Perbezaan bahasa pengucapan kreatif di negara ini merupakan hasil serta akibat daripada sistem pendidikan. Kanak-kanak Melayu pada umumnya bersekolah kebangsaan (Melayu). Kanak-kanak Cina bersekolah jenis kebangsaan Cina, Kanak-kanak India bersekolah jenis kebangsaan Tamil. Sebahagian kecil kanak-kanak dihantar oleh ibu bapa mereka ke sekolah yang tidak mewakili etnik mereka kerana sebab-sebab yang tertentu, umpamanya terdapat sebilangan pelajar Melayu di sekolah Cina, atau pelajar Cina dan India di sekolah kebangsaan.
       Untuk selama beberapa dekad, perbezaan bahasa pengucapan kreatif itu merupakan tembok yang menghalang proses mengenali sastera dan sasterawan antara kaum lain di negara ini:  Melayu, Cina, India, keturunan Siam, Iban, Kadazandusun dan penulis keturunan Orang Asli. Sumbangan sastera sukuan harus diperhatikan dan dihargai, sungguhpun secara perlembagaan, bukti kebahasaan dan kebudayaan, kesemuanya itu tidak boleh menandingi kedudukan  sastera kebangsaan yang  lebih tinggi.
       Untuk mengenal jiran sasterawan yang tidak dikenali, biasanya ada dua proses yang boleh membuka jendela perkenalan tersebut. Pertama, melalui penterjemahan terhadap kara-karya yang terpilih, dan yang kedua, melalui aktiviti-aktiviti  sastera yang melibatkan pelbagai kaum.
       Perjalanan sastera pelbagai kaum di negara ini pastinya terhutang budi kepada institusi dan badan sukarela yang merintis serta memupuk integrasi nasional melalui karya dan aktiviti sastera. Dewan Bahasa dan Pustaka kerana program penerbitannya yang terbuka kepada semua penulis pelbagai kaum yang menulis dalam bahasa kebangsaan. Di samping itu DBP juga mempunyai bahagian khusus yang melibatkan program serta kegiatan penulis  pelbagai kaum. Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) kerana memperkenalkan karya penulis pelbagai kaum negara ini ke pentas dunia. Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) kerana menyediakan program pendidikan dan latihan seni penulisan kepada para pelajar pelbagai kaum. Persatuan Penterjemahan dan Penulisan Kreatif (PERSPEKTIF) kerana memperkenalkan sastera Mahua kepada masyarakat Melayu dan sebaliknya. Banyak lagi persatuan penulis yang ikut mengambil bahagian, yang tidak dapat disebutkan satu per satu di sini.
       Tulisan ini tidak bermaksud mempengaruhi penulis lain untuk hanya melanggan konsep integrasi nasional dalam karya mereka, kerana tema atau persoalan dalam karya sastera begitu rencam, beragam dan kompleks. Hanya, dalam konteks masyarakat majemuk seperti Malaysia,  perpaduan adalah suatu kuasa abstrak yang sangat kuat, yang boleh menjadi pemangkin  kualiti serta peningkatan kualiti hidup umat manusia dalam pelbagai lapangan kehidupan.

         Perkembangan kesusasteraan di Malaysia telah memunculkan beberapa istilah serta genre yang menarik. Dua daripadanya muncul kerana penglibatan kaum Cina dalam sastera. Pertama, kemunculan ‘Sastera Peranakan’ atau ‘Sastera Baba’, dan yang kedua, kemunculan ‘Sastera Mahua’. Perbezaan yang ketara antara kedua-duanya ialah, bagi para pendukung serta penggerak ‘Sastera Peranakan’ atau ‘Sastera Baba’, mereka berusaha berkarya dalam bahasa Melayu; sementara penulis ‘Sastera Mahua’ menulis karya sastera dalam bahasa ibunda mereka, dengan karya berlatarkan Malaysia.
       Hal yang sama boleh dikatakan tidak berlaku seiras terhadap perkembangan sastera Tamil di negara ini, dengan maksud bahawa memang wujud penulis India yang menulis dalam bahasa Tamil, tetapi tidak muncul tradisi penulisan seperti ‘Sastera Peranakan’ atau ‘Sastera Baba’ di kalangan penulis Tamil di negara ini (sungguhpun terdapat beberapa individu yang menulis dalam bahasa Melayu). Istilah ‘Jawi Peranakan’ atau ‘Jawi Pekan’ lebih mengkhusus kepada kumpulan atau karyawan India-Muslim.

      Ada pendapat yang menyatakan bahawa ‘Sastera Peranakan’ muncul mulai akhir abad ke-19 (mungkin seawal 1877 apabila drama ‘Nasib Mustapha’ dipentaskan oleh kumpulan Theater Royal di Singapura). Di Indonesia, yang merupakan sebahagian dunia Melayu, penulis Tionghua turut menulis dalam bahasa Melayu. Sedari awal kemunculan kelompok ini, sastera Indonesia dalam bahasa Melayu menerima sumbangan 3,005 karya daripada 806 penulis Tionghua (Kesasteraan Melayu Tionghua dan Kebangsaan Indonesia Jilid 1-7 .Jakarta : Kepustakaan Popular Gramedia, 2000). Sementara itu ‘Sastera Mahua’ bermula pada awal kurun ke-20 (pada tahun 1919 dengan wujudnya ruangan sastera ‘Majalah Rakyat Baru’ atau Xin Guoming Zazhi dalam akhbar ‘Harian Rakyat Baru’ atau Xin Guoming Ribao, di Singapura (Yang Quee Yee, Perkembangan Kesusasteraan Mahua Moden : 1919-1965. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka, 2000).
       Sastera Mahua, walaupun ditulis dalam bahasa Cina,  mengambil latar tempatan Malaysia. Sehubungan itu karya sastera Mahua, terutama yang berbentuk cereka, turut melibatkan watak-watak Melayu. Ini adalah suatu proses ‘mengenali’ dan ‘memahami’ orang Melayu oleh penulis Cina dalam proses kreatif mereka. Sama ada ‘perkenalan’ dan ‘pemahaman’ mereka terhadap Melayu itu ringkas dan cetek, atau luas dan mendalam, sangat tergantung pada tempoh masa serta dari sudut mana jalinan tersebut dilakukan. Akan tetapi pemerhatian mereka terhadap Melayu turut juga membentuk konsepsi mereka terhadap bangsa ini. Untuk menzahirkan ‘realiti-fiktif’, pengarang Mahua turut memanfaatkan penggunaan  dialog dalam bahasa Melayu, terutama yang melibatkan watak Melayu.
         Dahulu lain, sekarang lain. Kini, pemahaman penulis Cina terhadap Melayu, terutamanya bagi penulis-penulis Cina yang menulis dalam bahasa Melayu seperti Lim Swee Tin dan Jong Chian Lai, sudah jauh lebih maju dan mendalam daripada ‘abang-abang’ mereka. Hal ini demikian kerana faktor pendidikan, sosial dan sebagainya.

        Tidak banyak yang diketahui tentang permasalahan ini di kalangan penulis India atau Tamil di negara ini. Akan tetapi dengan mengambil iktibar daripada kesan diaspora, kebahasaan, serta asimilasi budaya, barangkali dapat disimpulkan bahawa mereka juga (penulis-penulis India atau Tamil di negara ini) mengalami situasi sebagaimana yang dihadapi oleh para penulis Mahua.
       Hal ini demikian kerana proses dan perkembangan yang sama turut dihadapi oleh penulis-penulis Melayu. Pada peringkat awal (lewat tahun 1940-an dan awal 1950-an), cerpen-cerpen Melayu yang melibatkan watak-watak bukan Melayu, agak dangkal perwatakannya, selain dilihat daripada kacamata yang stereotaip.. Ini adalah akibat proses ‘mengenali’ dan ‘memahami’ yang baru bermula.
       Akan tetapi apabila masa terus beredar, pergaulan antara kaum semakin erat, apabila wujud rasa saling bergantungan dalam aspek material serta keperluan hidup sehari-hari, maka proses ‘mengenali’ dan ‘memahami’ itu memasuki fasa yang lebih bermakna. Dengan demikian kaum lain dilihat bukan daripada aspek fizikalnya sahaja, tetapi sebagai watak yang berdarah daging dengan segala macam aspirasi, impian, kekecewaan dan perjuangan mereka dalam sebuah negara.
       Kadang-kadang sasterawan mendapat ilham daripada kacau bilau atau peperangan yang mengorbankan manusia. Daripada kemusnahan itu dibangunkan cita-cita kemanusiaan dalam karyanya. Apalah ertinya ‘kemanusiaan’ yang dibangunkan daripada suatu tragedi kemanusiaan?
       Dalam konteks  Malaysia, suara sasterawannya adalah seperti yang diwakili oleh suara Usman Awang, Hasan Ali, Abdullah Hussain, dan semua penulis sama ada Melayu, Cina, India, Iban, Kadazandusun, atau berketurunan Siam, bahawa perpaduan amat mahal harganya, kerana nilai kemanusiaan berada di dalamnya. Tiada faedahnya kita merobek perpaduan yang ada, kemudian mencari-cari nilai kemanusiaan dalam situasi perpecahan yang kalut.
       Menutup pintu ‘Benteng’ kali ini, penulis memetik sebahagian kenyataan akhbar Sasterawan Negara yang berbunyi : “… sastera ada ruangnya sendiri dengan keseniannya yang khusus pula. Kita harus membaca sastera sebagai sastera, dan bukan buku sejarah atau politik. Membaca sastera ialah suatu proses berfikir, merasa dan menghayati bahasa, peristiwa dan gagasan. Proses ini penting untuk diri manusia sendiri kerana yang ditawarkan ialah berbagai-bagai jenis pengalaman buat pembacanya - dari yang lahiriah sampailah kepada sikap dan pendiriannya. Semuanya dianggap sebagai cermin dan bayang makna kehidupan manusia.”